Wednesday, January 25, 2017

Bersikap kritikal belum tentu pembangkang

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi mendedahkan setakat ini hanya 6.6 peratus daripada cybertrooper yang menyokong UMNO berbanding 93.4 peratus menyokong pembangkang.

Menurut Zahid, inilah yang membuatkan persepsi negatif terhadap kerajaan terus kekal.

Adakah kenyataan Zahid ini mahu memberitahu bahawa media arus perdana (akhbar dan stesen televisyen) dibawah kawalan UMNO sudah tidak memberikan persepsi positif kepada kerajaan?

Bukankah media arus perdana sangat menyokong kerajaan hingga mengorbankan nilai dan etika kewartawanan dan seolah-olah sudah menjadi pamplet UMNO.

Daripada kefahaman saya, cybertrooper bermaksud tentera siber yang diupah. Inilah kali pertama pemimpin tinggi UMNO mengaku mempunyai cybertrooper dan tahu jumlahnya; 6.6 peratus daripada keseluruhan cybertrooper.

Kalau tidak silap saya UMNO tidak lama dulu sudah mengadakan majlis pelancaran Tentera Laut Biru iaitu cybertrooper UMNO.

Tidak munasabah pelancaran yang begitu gah hanya dapat 6.6 peratus saja. Kenapa orang liat sangat hendah menjadi cybertrooper UMNO?
Kalau tidak silap UMNO sudah lama mempunyai "kepala" yang menggerakkan tentera maya dengan peruntukkan yang boleh tahan juga banyaknya.

Saya sebenarnya sama sekali tidak kenal mana satu cybertrooper kerana di dahi mereka tidak ada cop macam logo Halal Jakim.

Cuma di media sosial saya lihat banyak yang kritikal terhadap kerajaan dan UMNO pada isu-isu yang juga kritikal dan tidak wajar dibenamkan.
Tetapi saya fikir mereka yang memberikan pandangan kritikal yang tidak ada di media arus perdana kawalan UMNO belum tentu pembangkang, apa lagi cybertrooper.

Saya dapat mengesan sebahagian besar malas bercakap perihal politik parti yang sangat melalut tidak tentu arah. Tetapi mereka hanya bercakap secara kritikal pada isu-isu yang melibatkan rakyat seperti integriti, ekonomi atau dasar-dasar yang menjejaskan maruah negara.

Misalnya isu indeks integriti sesetengah pemimpin diragui dan secara persepsinya rendah, isu kemasukan warga China secara besar-besaran dan penjualan hartanah kepada warga asing.


Sebagai warganegara, saya fikir mereka berhak membahaskan secara kritikal kerana ini melibat kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.
Di mana lagi kalau bukan di media sosial untuk mereka mengutarakan pandangan terhadap isu-isu kritikal setelah media kawalan UMNO membenamkan isu penting ini?

Adakah mereka ini dikelaskan sebagai cybertrooper yang 93.4 peratus yang dikatakan menyokong pembangkang itu?

Saya fikir tanggapan itu tidak berapa tepat kerana bersikap kritikal kepada UMNO bukan bermakna pembangkang. Inilah yang susahnya kerana budaya mengkritik hampir tidak ada dalam UMNO.


Saya fikir UMNO tidak perlu menambah cybertrooper bagi meyaingi pembangkang kalau isi kandungan yang dibawa oleh cybertrooper itu sama dengan media arus perdana.