Wednesday, December 21, 2016

Mana suara wartawan kita?

Wartawan Indonesia walaupun kritikal kepada Presiden tetapi dalam keadaan tertentu, misalnya dikritik wartawan Malaysia, mereka berada di sebelah Presiden.

Saya pernah mengalami keadaan ini apabila mengkritik Presiden Jokowi yang mengarahkan tentera Indonesia membakar bot-bot nelayan kita yang ditahan di perairan Indonesia.

Saya ketika itu sebagai wartawan bangkit menegur kebiadaban Jokowi dalam etika hidup bertetangga. Tidak perlu melemparkan provokasi seolah-olah Malaysia sebuah jajahan Indonesia.

Saya diserang teruk oleh media Indonesia. Koresponden Utusan di Jakarta ketika itu, Saharudin Mohd Musthafa memberitahu hal ini kepada saya.

Di Malaysia pula ada pihak kurang senang dengan ketegasan saya terhadap Jokowi, Saharudin menjadi mangsa untuk menulis yang baik-baik tentang Jokowi untuk cover up tulisan saya.

Beberapa wartawan Indonesia di Jakarta mahu wawancara saya, tetapi dinasihatkan oleh pihak atasan Utusan supaya menolak, dan tidak membesarkan isu itu. Saya akur.
Sebagai wartawan dan rakyat Malaysia, saya percaya telah melakukan yang betul demi maruah negara. Saya melakukannya dengan penuh sedar.

Akhbar Jakarta Post keluaran 17 Disember lalu menyiarkan karikatur yang menghina Perdana Menteri, Najib Razak pada halaman 7 akhbar berbahasa Inggeris itu.
Najib (dari name tag yang dipakai) digambarkan memegang uncang yang bertulis "1MDB" di tangan kanan, sementara tangan kiri menepis neraca sistem perundangan hingga terpelanting.

Saya memang melanggan e-paper Jakarta Post dan tahu tentang karikatur itu pada hari berkenaan. Sengaja tidak menulis respons untuk melihat kalau ada wartawan lain mempertahankan Perdana Menteri.

Tetapi selepas lima hari tidak ada wartawan yang menulisnya (mungkin saya terlepas pandang) saya membuat kesimpulan wartawan kita tidak berminat mempertahankan Perdana Menteri kita yang dihina oleh media Indonesia.

Adakah ini semua dengan pengetahuan Jokowi? Ini kerana kalau di Malaysia selalu dianggap dengan pengetahuan Perdana Menteri.

Pada situasi beginilah Perdana Menteri memerlukan sokongan moral daripada wartawan-wartawan arus perdana. Malah sepatutnya ada suara ini daripada wartawan media arus perdana, kesan diplomatiknya pasti lebih besar.

Maka tertanya-tanyalah saya di mana hilangnya wartawan-wartawan kita dalam situasi pemimpin negara dihina dan dimalukan? Atau ada "wahyu" supaya diam. Tetapi kenapa? Adakah ini mengiyakan "fitnah" Jakarta Post?

Wartawan-wartawan yang selama ini berdiri teguh di belakang Perdana Menteri dan menyokong apa sahaja termasuk yang sukar diterima akal, tidak boleh membiarkan Perdana Menteri keseorangan.

Mereka mesti menyerang balas Jakarta Post sebagaimana mereka menyerang tokoh negarawan seperti Dr Mahathir yang suaranya senada dengan Jakarta Post.
Sepatutnya simpanlah sedikit rasa benci kepada Dr Mahathir kerana jasanya, tetapi seranglah Jakarta Post yang tidak ada apa-apa jasa kepada kita.

Tuesday, December 13, 2016

Wartawan : Alat politik atau pendiri keluhuran?


Politikus dan wartawan  adalah dua jalur profesion yang tidak dapat dipisahkan.  Kedua-dua ini saling berkaitan antara satu dengan lain. Saling memerlukan. Kedua-duanya secara  relatif mempunyai matlamat sama  -  memperjuangkan  kerangka  dan gerak kerja  organisasi yang adil  yang  akhirnya memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Maka sangat tidak tepat kalau sekiranya  politikus atau wartawan menganggap hubungan mereka perlu rapat kerana politikus adalah bahan berita,  sementara politikus pula menganggap wartawan sebagai agen promosi profesion politiknya.

Perkara ini tidak benar sama sekali. Dan kalau perkara ini wujud,  maka yang perlu ditanya ialah apakah wartawan hanya setaraf agen promosi dan politikus pula sekadar mengaut populariti?  Sudah tentu bukan begitu.

Jadi kedua-duanya;  politikus dan wartawan mesti  menjalankan peranan masing-masing secara "bebas". Semua ini  perlu dilakukan supaya matlamat  kesejahteraan untuk rakyat dapat tercapai oleh kedua-dua pendokong profesion yang saling bertimbal balik itu.

 Tanpa wartawan yang  bebas dan  jujur,  para politikus di sesebuah negara akan muflis  akhlaknya  Ini kerana tidak ada pihak yang berperanan sebagai  "periksa dan imbang"  untuk menegur atau menghalang kebobrokan  sesetengah politikus. Hanya wartawan yang menjunjung keluhuran sahaja yang sanggup mengambil  risiko  dengan tindakan tidak popular -  menegur politikus yang hilang kompas akhlak.

Begitu jugalah halnya kalau tidak ada politikus yang  luhur dan bebas.  Wartawan  luhur akan terganggu.  Malah  sesetengah dalam kalangan politikus berusaha mempergunakan wartawan  secara terhormat.  Sekiranya gagal banyak cara untuk mengenakan wartawan yang tidak sealiran.

Apabila kewartawanan menjadi bobrok,  kekayaan negara dengan bebas  menjadi rebutan  politikus  oportunis untuk melebarkan pengaruh  dan  memanjangkan hayat politiknya.  Tanpa politikus yang luhur,  keputusan  besar  demi  masa depan rakyat tidak dapat dibuat dengan bebas,  saksama dan tepat  kerana kepentingan politik yang lebih diutamakan.

Memang benar  kuasa  (pilihan raya dan undi) adalah "politik".  Tetapi itu hanya cebisan kecil daripada tafsiran "politik"   yang luas itu.  Politik menyentuh pelbagai sisi dalam kehidupan semua orang. Tidak ada seorang pun yang terlepas daripada "politik".  Misalnya kalau  seorang  bercakap tentang  negaranya atau  pemimpinnya,  mereka sebenarnya sedang mengambil bahagian dalam politik yakni mengambil tahu keadaan negara.

Kalau tafsiran politik hanya pilihan raya, undi dan parti sahaja,  tentulah tidak wujud satu  bidang keilmuan yang disebut "sains politik" pada akhir abad ke 19 di Amerika Syarikat.  Ini membuktikan politik  mempunyai tafsiran luas dan kita  tidak terlepas daripada lingkarannya. 

Bidang sains politik merangkumi ruang dan disiplin yang lebih luas dan melangkaui  parti, pilihan raya atau undi.  Oleh yang demikian adalah lebih baik kalau  wartawan juga menguasai  ilmu sains politik supaya  mereka daripada terperangkap  dengan tafsiran politik kepartian yang sempit.

Tambahan pula kalaulah politik itu hanya berkisar tentang pilihan raya dan parti,  kita sudah tidak memerlukan wartawan.  Darjat dan keperluan wartawan  tidak  selayaknya  untuk  campur tangan  dalam hal-hal politik  parti yang banyak diforumkan  di kedai kopi di tepi-tepi jalan. 

Wartawan mesti jauh lebih tinggi hujah dan pemikirannya daripada forum di tepi jalan. Kalau keadaannya begitu, cukuplah mempunyai penulis pamplet yang dibayar gajinya oleh parti-parti tertentu yang akan bertanding dalam pilihan raya. 

Oxford Dictionary menggariskan tafsiran "politik" adalah:   Ilmu dan seni berkerajaan. Pada masa yang sama ia juga adalah sains berkaitan dengan bentuk organisasi dan pentadbiran sesebuah negara. Ia berkaitan dengan peraturan hubungan sesebuah negara dengan negara lain."

Maknanya kita semua secara sedar atau tidak sedar terlibat dengan politik. Kita wajar berfikir dan bercakap mengenai politik kerana ini  ada kaitan dengan  kehidupan kita, samada  perseorangan atau kelompok masyarakat.

 Orang non-partisan tetap  mengambil tahu  mengenai politik.  Hanya politikus dangkal sahaja yang mengucapkan, "Jangan politikan isu bla...bla...bla"  Hakikatnya semua isu melibatkan rakyat dan negara adalah politik.  Cuma terletak kepada bagaimana keterbukaan politikus menerima tafsiran politik yang lebih menyeluruh.

Sekiranya  politikus dan wartawan bergerak selari,   tidak  wujudlah  keadaan  yang sangat memalukan  di mana wartawan diperalatkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.  Tidak akan wujud juga  "wartawan  pamplet"  yang  berperanan sebagai  agen propaganda yang tidak   memanfaatkan ruang kebebasan dan kewarasan bagi mencapai matlamat sebagai  pendiri  kesaksamaan dan keadilan.

Kewujudan "wartawan  pamplet"  adalah pencabulan terhadap keluhuran profesion  wartawan dan dunia kewartawanan. Sepatutnya  pendiri dalam kewartawanan  mengisi profesion  dengan idealisme dan kemulian untuk kepentingan umum.  Janganlah membiarkan keadaan bobrok ini berlarutan di mana  wartawan  hanya tinggal nama tetapi hilang darjatnya.

Wartawan  menikmati kebebasan  tetapi dalam  lingkaran etika dan disiplin tersendiri.  Tidak ada kebebasan  mutlak  misalnya  bebas untuk melakukan atau menyokong keburukan. Ini menafikan tanggapan umum bahawa wartawan mempunyai kebebasan tanpa batasan hingga boleh memfitnah atau memalukan orang lain apabila berada di pihak lawan.

Apa lagi  bagi wartawan Muslim  yang pengertian kebebasannya  mesti selari dengan  ajaran Islam;  tidak boleh bersubahat dengan perbuatan  tidak berakhlak,  tidak boleh mengada-adakan suatu yang tidak ada dan memperkatakan yang benar untuk kepentingan rakyat.  Misalnya  seseorang  yang datang membawa sesuatu berita itu orang yang fasik yakni akhlaknya, berita itu tentunya tidak boleh dihebahkan  sewenang-wenang.  

Inilah membezakan  wartawan  dengan sekian banyak penulis surat layang yang maruahnya  hanya di bawah sepatu seorang pengemis.  Amat hina. Kalau wartawan tidak memurnikan dunia kewartawanan mereka,  membiarkan diri setaraf penulis surat layang,  siapa lagi  yang akan memurnikannya?

Tuesday, December 6, 2016

PRU 14: UMNO akan menang besar

Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi UMNO dalam PRU 14. Saya dengan penuh yakin memberitahu UMNO akan mencapai kemenangan besar sekaligus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan. Walaupun teman-teman di luar UMNO kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

Pertama, UMNO terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua iti sudah keluar bukan lagi masalah UMNO.

Maknanya yang masih ada dalam UMNO tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam UMNO jangan diperkecilkan, ini terbukti luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam UMNO.
Kedua, UMNO adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan Melayu. UMNO juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin UMNO.

UMNO juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan kuat menyokong UMNO dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.
UMNO membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin UMNO yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah. Pendakwaan adalah hak mutlak Peguam Negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Ketiga, UMNO tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti UMNO menerima dana asing. Atas nama UMNO tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi UMNO menghadapi PRU 14. Tidak ada dalam kalangan penganalisis membayangkan UMNO dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan UMNO.

UMNO adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. UMNO semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin UMNO.
Kelima, pemimpin-pemimpin UMNO yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama UMNO. Yang tinggal dalam semuanya yang bersih sekaligus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. UMNO sangat tegas dalam isu ini.

Keenam, semua parti pembangkang kecuali Pas berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi UMNO dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, UMNO mempunyai yang pembangkang tidak ada; Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan, Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan UMNO.

Disebabkan UMNO muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, UMNO tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU 14.
Maka UMNO tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, ini bukan tanggungjawab UMNO. Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.