Tuesday, October 25, 2016

Tahap integriti pemimpin politik


Mengikut kajian Transparency International Global Corruption Baromater tahun 2015, 51 daripada 107 negara mencatatkan bahawa politik adalah antara bidang paling korup kerana terlibat dengan rasuah.  Malaysia berada pada tangga ke 54 dengan  capaian  hanya 50 peratus tahap integriti.

Kita masih boleh berbangga kalau dibandingkan dengan Lesotho tangga 61 atau Serbia di tangga 71. Tetapi  jangan lupa Israel  berada di tangga 32 di atas daripada kita.  Malu juga di negara yang pemimpinnya lebih jahat  tetapi integriti  lebih tinggi.

Kita lupakan  angka-angka itu. Yang penting dari kajian ini  menunjukkan dunia politik secara umum terbuka luas kepada perbuatan atau tindakan yang melanggar prinsip integriti. Walaupun  dalam politik tidak disebut rasuah  dan dimurnikan sebagai "politik wang", "dana politik" atau "derma ikhlas",  semua ini tidak dapat  mengalih persepsi negatif  tahap integriti pemimpin politik.

Kita boleh sahaja mengabaikan hasil daripada kajian ini. Atau kita boleh sahaja menganggap pelanggaran integriti berlaku di seluruh dunia, bukan sahaja di negara ini. Tetapi  kesannya kalau benar ada pemimpin yang tidak ada integriti,  seluruh sistem akan dirosakkannya. Sistem perundangan dan penguatkuasaan misalnya tidak berfungsi  seperti  yang diharapkan.

Sepatutnya sudah ada kaedah untuk menangkis persepsi bahawa politik itu sebuah lubuk emas. Malangnya ada dalam kalangan pemimpin politik dalam kerajaan tidak berminat melaksanakannya. Alasan mereka pemimpin politik pembangkang tidak menyokong. Tetapi anehnya bab lain pembangkang tidak sokong pun boleh dilaksanakan.  

Rakyat tahu tentang ganjaran terhadap jawatan dalam politik. Kepada yang celik matematik akan mencongak  pendapatan  yang munasabah berbanding gaya hidup yang tidak munasabah sesetengah pemimpin politik termasuk di peringkat bawah.

Memang benar politik sentiasa terdedah kepada persepsi. Tidak politiklah namanya kalau tidak ada persepsi. Parti yang berjaya dalam perang persepsi akan mencapai kemenangan. Tetapi ini tidak bermakna tidak ada satu kaedah supaya integriti diangkat  sebagai tunggak dalam politik.

Maka inilah pentingnya satu perakuan daripada badan yang berwibawa bahawa kekayaan seseorang pemimpin bukan dari pelanggaran integriti. Kalau di negara kita patut diwajibkan pemimpin politik mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bukan isytiharkan kepada Perdana Menteri.

Kalau tidak silap satu atau dua tahun lalu  Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Shahrir Samad berkata bahawa Ahli Parlimen BN setuju menandatangani ikrar integriti. Itu ikrar bukan perakuan integriti oleh SPRM.

Ikrar integriti  sahaja tidak cukup apatah lagi berikrar di depan pemimpin parti sendiri. Kenapa tidak isytihar harta seperti pegawai kanan dalam perkhidmatan awam?  Adakah  mereka tidak isytiharkan harta kerana takut dirompak?  Bilionaire  yang disiarkan kekayaan mereka oleh majalah Forbes  belum pernah dirompak.
Atau adalah ini menunjukkan bilionaire  yang didedahkan kekayaan mereka oleh Forbes sebenarnya jauh lebih kecil berbanding kekayaan pemimpin politik kita?





Tuesday, October 4, 2016

Politik vs agama

Politik dan agama walaupun dikatakan saling memerlukan tetapi sebenarnya saling bertentangan. Orang politik memantau orang agama kerana agama juga boleh menjadi platform menggapai kuasa. Orang agama mencurigai orang politik kerana kerap mengeksploitasi agama untuk kepentingan politik.

Orang politik hanya mendekati, memesrai dan menyarung baju Islamik apabila kuasa politik mula merudum. Mereka memuntahkan istilah istilah berbau Islamik. Mereka tahu orang Melayu cepat terpesona dengan istilah kearaban.
Orang politik yang tidak jujur memperkasa agama lebih pentingkan bau dari isi. Maka lahirlah Islam Hadhari, wassatiyyah dan beberapa lagi.

Tetapi semua ini hanya bau agama sahaja. Memperkasakan agama yang lebih holistik ialah menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sistem perbankan Islam, mewujudkan Bank Islam dan berani bersuara di pentas dunia membela Islam.

Orang politik akan ikut menjulang tokoh agama kerana dengan berbuat demikian mereka dilihat mendokong agama. Siap bagi anugerah lagi.
Mereka tahu agama ada pengaruh yang tersendiri malah mampu melahirkan pemimpin yang lebih berpengaruh.

Agama tidak menjadi penting malah dipinggirkan sekiranya pengaruh orang politik di tahap yang sangat kuat. Tidak akan lahir istilah wassatiyyah, menaja mengerjakan Haji atau Islam Hadhari.

Agama pasti dipinggirkan seperti nasib bahasa Melayu kerana orang politik tidak boleh menumpang bahasa Melayu. Rakyat termasuk Melayu tidak endahkan bahasa Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan. Cubalah kalau pengaruh bahasa Melayu dan pejuang bahasa seperti orang agama, tidak ada orang politik yang bercakap bahasa kaki lima.

Mereka bukan takut dengan bahasa Melayu tetapi hendak menumpang pengaruh bahasa Melayu. Tetapi ini tidak berlaku.

Disebabkan orang politik hanya menumpang agama, maka sarjana sarjana Islam tidak bebas menulis secara akademik di media arus perdana. Beberapa sarjana dan pemikir yang tegas dengan prinsip akademiknya akan tersingkir. Ini kerana apabila menulis dengan prinsip kebenaran, ada pihak yang terasa disindir.

Maka sarjana, profesor atau pensyarah yang mahu menulis perlulah mengorbankan prinsip akademiknya. Jangan sentuh yang tidak dibenarkan oleh orang politik. Kebenaran adalah satu dosa.

Kerana itu jangan terkejut apabila orang politik yang liberal dan sekular mendekati orang politik agama. Alasan retoriknya demi agama. Tetapi kenapa tidak mendekati orang politik agama ketika orang politik sekular kukuh di puncak kuasa? Kenapa bila dah nyawa nyawa ikan baru sedar "demi agama"?