Wednesday, July 27, 2016

Kambing hitam terbaru akan dikorbankan

(Peringatan: Ini bukan rencana politik)

Saya fikir Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun  tidak mempunyai keberanian untuk bertindak sebelum mendapat isyarat daripada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Najib Razak.  Saya  sama sekali tidak fikir sikap pemimpin bawahan UMNO berani melangkau ketua.  Mereka sanggup mempertahankan ketua tetapi tidak sanggup mempertahankan kebenaran.

Semalam Khairul dengan diiringi beberapa juaknya telah membuat laporan polis terhadap tiga  bekas pegawai tinggi kerajaan kononnya berkomplot dengan pihak luar untuk menggulingkan Najib.  Mereka yang dituduh oleh Khairul ialah bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail,  bekas Gabenor Bank Negara Zeti Aziz dan Ketua Persuruhjaya SPRM  Abu Kassim Mohamad.

Khairul bukan sahaja mendapat isyarat daripada Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin tetapi yang lebih signifikan ialah isyarat daripada Najib. Ini kerana mereka bertiga menganggotai pasukan yang menyiasat 1MDB tetapi kemudianya dibubarkan.  Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang kelihatan "mesra"  arus perdana tidak termasuk dalam senarai laporan polis.

Tentu kita masih ingat budak yang sama juga yang mendesak kerajaan menarik balik kemudahan yang dinikmati Tun Dr. Mahathir di Yayasan Perdana kerana kerana mengkritik Najib.  Tidak lama selepas itu  "Majlis Tertinggi"  mengambil ketetapan menutup Yayasan Perdana.  Siapa yang menguasai keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  kalau bukan Amerika.  Siapa yang menguasai keputusan MT kalau bukan Presiden.  Maaflah saya tidak fikir MT berani menyanggah arahan Najib.

Perkara ini (laporan polis) adalah suatu yang terancang. Buktinya sebaik sahaja Pemuda UMNO membuat laporan polis  cybertrooper pro Najib dengan cepat memuat naik komen-komen yang menyokong  tindakan itu dan mencaci ketiga-tiga pegawai tinggi berkenaan.

Ini pasti akan disusul kemudian dengan reaksi daripada pemimpin-pemimpin  UMNO  yang menyeru supaya pihak berkuasa membuat siasatan ke atas ketiga-tiga  tokoh ini.  Tidak cukup pemimpin tinggi UMNO  komen juga akan datang daripada "entah siapa-siapa" asalkan menyokong tindakan Pemuda UMNO.

Ironinya, ketiga-tiga pegawai tinggi yang dituduh oleh Pemuda UMNO sebagai dalang mengguling Najib sudah terbukti individu yang berintegriti tinggi.  Tetapi ketiga-tiga jabatan yang mereka terajui telah dikacau oleh tangan-tangan ghaib;  pertukaran aneh Peguam Negara,  pemindahan paling tidak masuk akal dua pengarah SPRM yang menyiasat 1MDB  dan serangan kepada Zeti.

Saya juga mempunyai  kebimbangan bahawa ketiga-tiga mangsa politik kotor ini dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang menafikan peluang mengemukakan bukti. Saya selari dengan  kebimbangan peguam Syahredzan Johan sekiranya mereka bertiga  akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang membolehkan penahanan awal sehingga 28 hari tanpa bicara.  Kita jangan lupa bahawa tuduhan ini adalah berat.

Pada Rabu  lalu Najib telah menjadi tumpuan dunia apabila Jabaran Kehakiman Amerika (DOJ)  mengambil tindakan menyita aset dua rakyat Malaysia,  Riza Aziz (anak tiri Najib) dan Jho Lo  seorang Cina dari Malaysia serta dua individu yang bernilai lebih AS1 bilion.  Mereka dituduh mengambil wang daripada 1MDB,  syarikat pelaburan negara yang terlibat dalam skandal kewangan.

Pada umumnya pendirian  UMNO ialah menafikan keempat-empat tertuduh melarikan wang milik 1MDB.  Ini dapat dilihat pada reaksi pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang cuba menyalahkan DOJ  dan yang paling kelakar berhujah mempertikaikan  kewibawaan Peguam Negara Amerika Loretta Lynch.  Kemudian mereka mengalih tumpuan kononnya Amerika mencampuri hal ehwal negara ini.  Mereka tidak terangkan kepada rakyat bahawa Amerika hanya mengambil tindakan perbuatan yang diakukan di Amerika bukan di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin tinggi  UMNO juga tidak menerangkan kepada rakyat tindakan mereka melindungi  Riza Aziz dan Jho Lo,  seolah-olah dari awal lagi kedua-dua ini dianiaya oleh Amerika.  Amerika bukanlah baik tetapi dalam isu ini  UMNO sepatutnya berterima kasih kepada Amerika kerana berusaha memulangkan wang yang dicuri.

Kepada rakan-rakan yang memperjuangkan kebenaran,  saudara-saudara perlu menerangkan kepada rakyat bahawa ketiga-tiga tokoh yang dituduh mempunyai rekod integriti yang tidak boleh dinafikan lagi.  Mereka adalah kambing hitam terbaru dalam episod drama 1MDB.  Adakah kita rela melihat mereka yang menjunjung integriti  ini teraniaya?   Adakah kita lebih bersimpati kepada Riza Aziz dan Jho Lo berbanding  Gani Patail,  Abu Kassim dan Zeti Aziz?





Friday, July 22, 2016

Biarlah media arus perdana benam berita 1MDB

Tengah hari semalam (Khamis 21 Julai) , lima kawan saya yang berkerja di sebuah kementerian di Putrajaya mengajak berjumpa di sebuah restoran mamak di sebelah Masjid Putra, Putrajaya. Saya menerima pelawaan itu kerana tumpang gembira apabila kawan-kawan yang dulunya bukan siapa-siapa kini bertaraf Jusa.

Apabila saya muncul pertanyaan pertama yang terluncur dari mulut mereka ialah, "Kenapa media arus perdana tak siar berita besar mengenai 1MDB di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat."

Kata salah seorang daripada mereka yang baru sahaja bergelar Datuk, "Bukankah nilai beritanya tinggi berbanding berita yang diletakkan di muka depan semua akhbar Melayu dan Inggeris kecuali akhbar bahasa Cina? Aku fikir berita depa siar tu boleh simpan dulu."

Saya katakan saya tidak ada hak untuk menjawab bagi pihak media arus perdana. Kalau perlu jawapan segera boleh hubungi editor akhbar masing-masing. Tetapi saya ingatkan bahawa cara itu juga belum tentu boleh jawapannya. Kerana tidak ada jawapan.

Kemudian saya tanya mereka pula, "Apa masalah hangpa media arus perdana tidak siar berita itu? Adakah kerana tidak disiarkan maka berita besar bertaraf dunia itu tidak sampai kepada hangpa? Bukankah sama ada media arus perdana siar atau tidak, penembusan maklumat tidak terjejas sedikit pun?"

"Taklah macam tu. Kot kot la hang tau sebab-sebabnya, " kata Datuk itu. Saya menerangkan kepada mereka (macam tengah bagi ceramah pula) bahawa pada era liberalisasi media dan pendemokrasian maklumat, media arus perdana bukan faktor yang membantutkan perkembangan ini.

Era pendemokrasian maklumat dan liberalisasi media, rakyat negara ini dengan mudah mendapat akses untuk membaca akhbar-akhbar terkemuka dunia yang disiarkan secara di atas talian. Keadaan ini tidak sama dengan zaman Tun Dr. Mahathir di mana kebergantungan yang tinggi kepada media arus perdana; akhbar, radio dan televisyen.

Akhbar kontroversi The Wall Street Journal (WSJ), The Washington Post, The New York Times, USA Today boleh diakses dengan mudah dan murah. Ini belum lagi perkhidmatan berita seperti Cable News Network (CNN), Al Jazeera dan British Broadcasting Corporation (BBC).

Semalam media antarabangsa melaporkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengambil tindakan menyita harta milik anak tiri Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz dan Jho Low yang menetap di Amerika Syarikat. Mereka didakwa mengambil wang syarikat pelaburan negara, 1MDB untuk kegunaan peribadi.

Sitaan yang bernilai AS$1 bilion itu difahamkan yang terbesar dalam sejarah kehakiman Amerika. Nama Malaysia di peta dunia, siapa yang tak berbangga.
Seperti semua orang maklum, tindakan media arus perdana tidak memberikan apa-apa kesan terhadap penyebaran berita berkenaan. Media arus perdana tentu mempunyai sebab-sebab tertentu membenamkan berita yang begitu besar tetapi sebagai pengguna, semua pihak tidak perlu gundah dengan tindakan tersebut.

Walaupun ada peneraju media arus perdana memberikan alasan berita itu masuk terlalu lewat hingga tidak sempat disiarkan di akhbar, saya fikir beliau bergurau kerana saya mendapat berita itu pukul 12 tengah hari Rabu.

Ada juga pihak yang menganggap media antarabangsa penipu dan memutarbelitkan fakta. Hal itu terpulang kepada penilaian masing-masing dan sepatutnya mereka juga perlu tahu di sebalik tabir media arus perdana. Kenalah tanya kawan saya Mustapha Kamil yang baru sahaja meletakkan jawatan dari media arus perdana.

Ini bukan kali pertama media arus perdana membenamkan berita-berita tertentu, misalnya kenyataan Barack Obama yang menyokong LGBT semasa melawat negara ini. Tidak ada media arus perdana yang siarkan kenyataan atau reaksi membantah padahal media yang sama juga berteriak menentang LGBT.

Begitu juga dengan titah Majlis Raja-Raja Melayu supaya pihak yang berkenaan menyelesaikan segera kemelut 1MDB. Ada media arus perdana menyiarkan di halaman dalam dengan saiz yang kecil, ada yang siar lewat sehari di halaman yang tidak utama.

Pesan saya, kita tidaklah perlu gundah gulana hanya kerana media arus perdana membenamkan berita-berita tertentu. Ini kerana tindakan itu tidak sedikit pun menghalang kita mendapat maklumat pada era penembusan Internet jalur lebar yang begitu tinggi ketika ini.

Selepas ceramah panjang lebar itu saya pun menikmati nasi kandar yang dibelanjakan oleh kawan-kawan yang berjaya dalam kerjaya. Kalau mereka "belanja nasi kandar" atau menghulurkan "derma" kepada saya, rasanya tidak menjadi kesalahan kerana saya bukan "siapa-siapa". Lainlah kalau tanda tangan saya bernilai tinggi.