Tuesday, March 1, 2016

Prosedur untuk keluar UMNO

Setiausaha Agung UMNO,  Adnan Mansor berkata,  beliau  belum menerima surat daripada Tun Dr. Mahathir memaklumkan untuk keluar UMNO.  Adakah hendak keluar UMNO perlu menghantar surat terlebih dahulu?  Kalau begitu biarlah Adnan Mansor menunggu surat daripada Dr. Mahathir hingga kucing tumbuh tanduk atau lembu panjat pokok kelapa.

Patutlah UMNO sekarang terus berbangga dengan tiga juta orang ahli.  Sebab selagi tidak menghantar surat dikira masih menjadi ahli.  Buktinya Dr. Mahathir dan Siti Hasmah dikira masih ahli kerana tidak menghantar surat.  Eloklah. 

Akhirnya walaupun dewan kosong tetapi UMNO tetap berbangga kononnya  mempunyai tiga juta ahli. Barulah kita tahu dari mana datangnya tiga juta ahli yang dikatakan terus bersama UMNO.  Tetapi yang penting  sebenarnya  bukanlah menjadi ahli atau tidak, tetapi menyokong atau tidak.  Untuk menyedapkan hati, Adnan Mansor perlu menganggap Dr. Mahathir sudah tidak ada pengaruh, Dr. Mahathir orang biasa dan semua orang Melayu bermata duitan,  selagi tabur duit  selagi itulah orang Melayu setia dengan UMNO. 


Dr M keluar UMNO: Komen Zahid beradab

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi telah memperlihatkan ketinggian budi pekerti semasa memberikan reaksi kepada media terhadap tindakan Tun Dr. Mahathir  keluar UMNO.  

Kata Zahid, " Saya menghormati secara peribadi segala keputusan dan segala yang telah diputuskan oleh Dr. Mahathir. Namun saya yakin beliau akan mempertimbangkan semula untuk menyertai UMNO apabila tiba masanya kelak."

Perkataan dan ayat yang digunakan menunjukkan  Zahid jauh berbeza dengan beberapa pengampu Najib yang bertindak setaraf dengan cybertrooper prepaid UMNO.  Zahid tetap menjaga kedudukannya sebagai orang yang lebih muda yang semestinya menghormati orang yang lebih tua,  apa lagi seorang negarawan.

Berbeza pendapat bukanlah lesen untuk seseorang itu menunjukkan sikap yang biadab kepada yang lebih tua. Saya percaya Zahid amat memahami ini dan kerana itu reaksi beliau terhadap Tun Mahathir tidak kelihatan dikeluarkan oleh seorang yang bertaraf  cybertrooper prepaid UMNO.  Zahid matang mengendalikan situasi genting dengan mengutamakan adab dan pekerti.

Kalau dibandingkan reaksi Zahid dengan panglima  yang melindungi Najib seperti  Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan dan Puad Zarkashi,  ibarat langit dengan bumi.  Mereka memberi reaksi dengan emosi yang tidak dikawal oleh akal,  membuak-buak dan setaraf dengan cybertrooper prepaid UMNO.

Reaksi begini tidak menunjukkan kematangan malah tidak ada jauh beza dengan beberapa pemimpin pembangkang yang hilang adab apabila berhujah.  Mahu tidak mahu mereka terpaksa mengakui bahawa Dr. Mahathir bukanlah "ketua cawangan UMNO" yang boleh diperkecilkan sedemikian rupa. Mereka silap besar kalau meletakkan Dr Mahathir sekelas dengan Ketua Cawangan UMNO.

Oleh yang demikian Zahid sebagai orang nombor dua dalam UMNO perlu mendidik  para cybertrooper prepaid ini supaya menyimpan marah dalam adab yang tinggi.  Marahlah dengan bersopan seperti kita tidak setuju dengan ayah kita,  ketidaksetujuan kita perlu dizahirkan dengan adab.  Kalau boleh Zahid sekolahkan cybertrooper prepaid UMNO ini supaya tidak terkeluar daripada lingkungan orang Melayu Islam yang berabad dan beradat.

Sebenarnya kalau memikirkan keangkuhan UMNO sekarang,  memang sangat baik kalau cybertrooper prepaid UMNO bersikap  tidak beradab.  Dengan cara ini UMNO lebih cepat menemui stesen terakhirnya.  Tetapi saya malu memikirkan mereka ini tetap Melayu Islam yang sepatutnya menghormati seorang  tua kalaupun mereka menafikan Dr. Mahathir seorang negarawan di mana tuan mereka, Najib Razak belum pun sampai tahap kelingking Dr. Mahathir.