Sunday, February 28, 2016

Biar derhaka daripada setia melulu


Keyakinan  saya terhadap  krisis ketelusan   UMNO kini semakin memuncak apabila sesuatu keputusan besar mengenai parti  mendapat persetujuan "sebulat suara"  daripada kepimpina tertinggi.  Saya fikir hampir semua pemimpin UMNO khususnya yang menduduki kerusi Majlis Tertinggi tidak memahami implikasi  keputusan "sebulat suara"  yang mereka buat.

Saya ada juga membaca buku-buku tentang politik dan kepimpinan.  Daripada pembacaan itu sebahagian besarnya menekankan debat sebagai satu kaedah untuk mendapat keputusan yang terbaik.  Keputusan yang dibuat secara "sebulat suara"  memperlihatkan sesebuah organisasi itu bukan sahaja tidak demokratik malah  menghampiri ciri-ciri diktator.

Saya menyokong tradisi debat yang subur dalam politik  di Amerika Syarikat.  Melalui debat rakyat dapat melihat ketokohan atau  kemuflisan pemikiran seseorang pemimpin.  Tetapi di negara kita  debat diberikan  gambaran negatif, padahal  mereka sebenarnya yang takut berdebat.

Oleh yang demikian saya yakin sebahagian besar pemimpin UMNO  memilih  "sokong"  membuta tuli kepada pemimpin utama kerana menjaga kepentingan lain.  Sikap "membuta tuli" inilah yang   akhirnya terhasil  semua keputusan yang dibuat  adalah "sebulat suara."

Saya sangat hairan kerana sesetengah pemimpin UMNO  dengan bangga menjaja bahawa keputusan menggantung  Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO  dibuat secara "sebulat suara."   Maknanya tidak ada hujah  daripada ahli Majlis Tertinggi  selepas   Nazri Aziz mencadangkan Muhyiddin digantung atau dipecat daripada UMNO.

Organisasi apakah ini?   Khabarnya umur sudah dekat 70 tahun tetapi  mahu terus hidup  dengan dokongan  ahli-ahli  yang "setia melulu".   Malah berbangga dengan penerapan ciri-ciri  diktator  kerana semua keputusan dibuat secara "sebulat suara."

Jadi tidak hairanlah kalau esoknya di media  penuh dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO  memuji tindakan menggantung  Muhyiddin.  Saya yang  tidak arif berpolitik ini  tertanya-tanya  apakah mereka ini dipilih oleh rakyat hanya untuk mengangguk seperti ayam yang menjadi pemakan dedak?

Percayalah UMNO  bukan sahaja tidak akan ke mana-mana malah akan pupus kalau  pemakan dedak terus diberi peluang bersarang dalam parti ini.  Sekarang ini siapa lagi yang hendak percaya bahawa  hanya UMNO yang menjadi dahan untuk orang Melayu kalau di dalamnya penuh dengan pemakan dedak?

Saya fikir UMNO kena kembali kepada teras iaitu memperjuangkan kebenaran.  Jangan  memperjuangkan  setia membuta tuli kepada parti sedangkan ada sesetengah keputusan yang dibuat melanggar prinsip kebenaran.  Dalam konteks ini saya sangat setuju dengan Muhyiddin  di mana tindakannya dilihat tidak setia kepada parti (sebenarnya kepada Perdana Menteri sahaja)  tetapi memperjuangkan kebenaran.

Saya tidak kata yang dibangkitkan oleh Muhyiddin itu suatu yang benar. Tetapi kalau yang dikatakan Muhyiddin tidak benar, apa yang benarnya?  Pemimpin UMNO pemakan dedak tidak berupaya membuktikan Muhyiddin tidak benar.  Saya akan setuju dengan pemakan dedak kalau berjaya membuktikan  kenyataan Muhyiddin tidak benar.

Saya tidak menyertai pihak lain  yang terus menyorong UMNO  tenggelam ke dalam longkang di sebalik tulisan-tulisan mereka yang meminta semua orang setia kepada kepimpinan UMNO.  Bagi saya ini bukan hendak menyelamat UMNO tetapi melongkangkan UMNO.  Bagi saya lebih baik menjadi pembelot atau penderhaka  daripada menjadi penyokong  setia tetapi  dungu  yang membawa  UMNO ke lembah kehancuran.


Wednesday, February 24, 2016

Kewartawanan bertanggungjawab itu bagaimana?

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Keruak  menyelar  akhbar  The Wall Street Journal (WSJ)  mengamalkan "kewartawanan yang tidak bertanggungjawab"  kerana terus membuat pendedahan  tentang skandal yang sudah dibersihkan oleh Peguam Negara, Apandi Ali. Kalau  WSJ  mengamalkan kewartawanan yang tidak bertanggungjawab,  Salleh kenalah memberi contoh  macammana pula kewartawanan "yang bertanggungjawab".

Adakah Salleh mahu mengatakan bahawa "kewartawanan bertanggungjawab" itu seperti yang diamalkan oleh RTM dan TV3 sekarang ini?  Adakah definisi "bertanggungjawab"  bagi Salleh adalah yang secara melulu melindungi Perdana Menteri dan melulu setuju dengan Peguam Negara menggugurkan kes derma RM2.6 bilion?

Selepas lebih 30 tahun menjadi wartawan,  Salleh kenalah membimbing saya untuk menjadi "wartawan yang bertanggungjawab"  dengan memberikan contoh laporan untuk saya jadikan panduan.  Saya percaya Salleh mempunyai banyak pengetahuan tentang  kewartawanan, kalau tidak atas asas apa Perdana Menteri melantik  Salleh mengawal selia hal ehwal komunikasi.

Thursday, February 11, 2016

Salleh Keruak minta ahli politik hati-hati keluar kenyataan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Keruak meminta ahli politik supaya berhati-hati  apabila mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh menjejaskan ekonomi negara.  Kenyataan ini dirujuk kepada pemimpin pembangkang yang mengkritik 1MDB dan Tabung Haji.

Saya sangat setuju dengan Salleh Keruak.  Orang politik termasuk menteri juga kenalah berhati-hati  semasa mengeluarkan kenyataan  melindungi apa-apa salah laku yang berlaku kerajaan.  Jangan teruja sangat membela tuan hingga  fakta-fakta lintang pukang.

Tetapi ini bukan masalah besar, Salleh sendiri  mengawal stesen RTM dan UMNO mengawal  semua media arus perdana.  Jangan siarkan kenyataan pembangkang yang boleh menjejaskan ekonomi negara.  Kalau media arus perdana tidak siarkan,  rakyat tidak tahu tentang kenyataan itu.

Bagaimanapun apabila  Salleh bimbang dengan kenyataan ahli politik pembangkang,  adakah  Salleh mahu mengatakan media alternatif (bukan media sosial) lebih berpengaruh dari media arus perdana? Kalau begitulah maksudnya,  UMNO  kenalah berbuat sesuatu supaya rakyat tidak percaya dengan media alternatif dan hanya percaya kepada media arus perdana.

Salah satunya UMNO perlu terbuka menerima kritikan.  Parti politik sekuat mana sekalipun akan lemah kalau menafikan kerosakan yang berlaku dalam parti. Sepatutnya RTM menyiarkan  secara adil  kritikan  Rafidah Aziz terhadap sikap UMNO yang memaksa ahli setia kepada individu bukan kepada parti.

Tetapi agak malang RTM tidak menyiarkan kritikan membina daripada Rafidah.  Kalau UMNO berhajat menjadi muda kenalah terima kritikan.  Apalah sangat dengan kritikan Rafidah. Tetapi kalau UMNO takut dengan Rafidah maknanya hebatlah Rafidah berbanding Najib yang saban hari memenuhi di media arus perdana.  Lalu Salleh kena bertanyalah di mana silapnya UMNO?





Wednesday, February 10, 2016

Bangkitlah menentang pindaan OSA


Saya tidak fikir ada  wartawan  (sekali lagi ada wartawan) termasuk dari media arus perdana yang menyokong pindaan Akta Rahsia Rasmi  1972 (OSA) yang awal-awal lagi membayangkan  gangguan kepada profesion kewartawanan di negara ini.  Dengan menggunakan kuasa Peguam Negara dan disokong oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pindaan ini  kelihatan tidak lebih untuk melindungi perbuatan rasuah dalam kerajaan, bukan menghalang penyebaran maklumat keselamatan.

Tetapi kalau ada  wartawan yang masih menyokong  tindakan politik  Peguam Negara,   saya tidak tahu hendak kata apa lagi  kecuali berdoa supaya  mereka diberi pencerahan dan  memperjuangkan ketelusan kewartawanan. Bukannya bersetuju dengan undang-undang yang menjerut leher rakan-rakan wartawan semata-mata untuk  melindungi dua tiga kerat orang politik yang berada dalam kerajaan.  Wartawan tidak boleh setia melulu terhadap semua yang diutarakan kerajaan sekaligus merestui perbuatan  yang bertentangan dengan undang-undang dilakukan dengan sebebas-bebasnya.

Saya masih tertanya-tanya di mana hilangnya wartawan-wartawan besar media arus perdana?  Di mana suara mereka terhadap sesuatu undang-undang yang akan menjejaskan profesion mereka berkerja untuk rakyat (kecualilah mereka berkerja untuk parti politik dan individu tertentu)?  Kalau bukan wartawan yang bangkit menentang pindaan OSA yang menzalimi wartawan, siapa lagi? 

Tahniah kepada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ)  yang berani memberikan kenyataan sekalipun ahli-ahli mereka berkerja di media arus perdana yang dikawal oleh  kerajaan.

Kepada semua wartawan, tidak kira apa fahaman politik  atau berkerja  di media arus perdana atau  alternatif,  bangkitlah  menentang pihak yang memperalatkan  undang-undang untuk kelangsungan hayat politik.  Tahniah kepada Gerakan Media Marah (Geramm)  yang mendesak supaya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dikaji semula untuk membolehkan wartawan merahsiakan pemberi maklumat.

Cadangan meminda OSA dicetuskan oleh Peguam Negara  Apandi Ali  antara lain membolehkan mahkamah memaksa wartawan mendedahkan pemberi maklumat.  Pemberi maklumat dan wartawan  akan berdepan dengan hukuman berat iaitu penjara seumur hidup atau sepuluh sebatan. Sekiranya  pindaan yang dicadangkan oleh  Apandi diterima,   wartawan yang melaporkan  dan pemberi maklumat akan berdepan dengan hukuman berat.  Sekarang ini pemberi maklumat dirahsiakan dan mahkamah tidak boleh memaksa wartawan mendedahkan pemberi maklumat.

Rejim Najib Razak  begitu rakus  memperalatkan OSA  dengan memindanya untuk menyelamatkan diri daripada salah laku didedahkan kepada umum.  Walaupun tujuan pendedahan ialah untuk mengekang kerosakan sistem akibat rasuah dalam kerajaan tetapi bagi  oportunis kekebalan wartawan mendapatkan maklumat sulit  adalah satu ancaman politik. OSA yang ada sekarang hanya melindungi maklumat-maklumat rahsia mengenai keselamatan tetapi tidak melindungi perbuatan rasuah atau penyelewengan.

Dalam masa terdekat ini  belum ada wartawan yang mendedahkan maklumat-maklumat yang boleh dikelaskan sebagai rahsia keselamatan.  Sebaliknya yang banyak didedahkan ialah maklumat-maklumat biasa yang menunjukkan berlaku rasuah atau salah laku dalam agensi kerajaan.  Pendedahan maklumat tentang  skandal  1MDB,  derma RM2.6 bilion, surat amaran Bank Negara kepada Tabung Haji atau perjanjian Tabung Haji membeli tanah TRX  bukan maklumat keselamatan. Kalau urus niaga dilakukan dengan telus kenapa Tabung Haji begitu gelisah dengan kebocoran maklumat pembelian tanah di TRX?

Di sinilah peranan wartawan menjadikan faktor periksa dan imbang kepada kerajaan. Wartawan menjadi mata dan kepala rakyat yang memantau perlaksanaan sistem dalam kerajaan, caranya dengan mendedahkan salah laku daripada sumber dalaman sendiri. Penjawat awam tidak boleh dipersalahkan kalau membocorkan maklumat yang mengandungi salah laku dalam kerajaan. Ini satu amanah yang mesti dilakukan demi kepentingan umum.

Oleh yang demikian meminda OSA  hanya untuk melindungi pelaku-pelaku rasuah kelas tertinggi yang berada dalam kerajaan.  Sekiranya pindaan ini diterima,  golongan ini  akan  bermaharajalela kerana mereka dilindungi oleh OSA. Padahal  rasuah adalah perbuatan yang dikeji dalam semua agama, budaya dan kaum.  Selepas ini sudah tentu individu yang tahu berlakunya rasuah tidak berani mendedahkan kepada wartawan,  sementara wartawan pula sudah tidak boleh menulis kerana hukuman paling kejam menanti mereka yang berkerja untuk rakyat.

Kita jangan percaya sama sekali dengan pembohongan pihak-pihak yang menyokong pindaan OSA kononnya untuk  keselamatan. Ini adalah satu pembohongan.   Ini  adalah satu  konspirasi  untuk menghalang  wartawan mendedahkan perbuatan yang tidak bermoral dan berintegriti  yang dilakukan oleh orang politik  dalam kerajaan.

Di negara-negara maju,   media (kewartawanan) berada pada state  keempat   selepas,  judisiari,  legistatif  dan eksekutif.  Tetapi di negara ini banyak kes memperlihatkan yang berada di state pertama adalah political executive. Cuma  di atas kertas sahaja judiasiari di tempat paling atas.  Lihatlah bagaimana cara political executive melantik Peguam Negara yang kelihatan selari dengan Perdana Menteri.  Apabila political executive  mengambil tempat judisiari,  maka berlakulah  gangguan  terhadap  agensi   penguatkuasa seperti  SPRM dan polis. 

Contoh yang paling mudah ialah pertukaran tergesa-gesa Peguam Negara,  political executive menganggu tugas agensi penguatkuasaan seperti membuat pertukaran  yang tidak masuk akal terhadap dua pengarah SPRM yang sedang menyiasat skandal 1MDB. Ini termasuk pertukaran Timbalan Pengarah Cawangan Khas ke Jabatan Perdana Menteri.

Pindaan OSA  secara  terang-terang untuk melindungi orang politik dalam kerajaan yang melakukan perkara yang tidak betul.  Kalau benar selama ini pendedahan oleh wartawan  tidak betul kononnya  1MDB begitu kucar kacir urus tadbirnya kenapa perkara ini benar-benar berlaku hingga dipersoalkan oleh media antarabangsa?  Kalau maklumat yang diperoleh wartawan tidak benar,  1MDB bukan menanggung hutang yang banyak tetapi mendapat keuntungan yang berlipat ganda daripada sekian banyak pelaburan. Tetapi hakikatnya 1MDB tenat. Jadi di mana salahnya laporan wartawan?

Kalau maklumat yang diperoleh wartawan tidak betul,  kenapa  Najib akhirnya mengaku menerima derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi?  Kalau benar derma itu bukan isu,  kenapa menggunakan Peguam Negara untuk menutup kes?  Bawalah ke mahkamah biar rakyat melihat kes ini diadili. Sekali lagi ini bukan maklumat keselamatan, ini maklumat yang mendedahkan Perdana Menteri Malaysia menerima derma dan disalurkan dalam akaun peribadinya.

Wartawan berkerja untuk kepentingan umum.  Mendedahkan perbuatan rasuah bukan untuk menjatuhkan individu tetapi menghentikan amalan yang memberikan kesan buruk kepada rakyat  kerana  rasuah merosakkan semua sistem.  Bayangkan kalau tidak ada wartawan yang mendedahkan kepincangan 1MDB dan derma RM2.6 bilion,  apakah yang akan berlaku kepada negara? 

Walaupun baru-baru ini Peguam Negara telah menutup kedua-dua kes skandal itu  tetapi  terus diperkatakan sekaligus menjelaskan pelantikan Peguam Negara untuk melindungi individu tertentu. Mengusulkan pindaan OSA  satu lagi  tugas Peguam Negara untuk membina tembok supaya maklumat salah laku sukar ditembusi.  Ini bukannya dibuat demi kepentingan rakyat.  Malah rakyat perlu tahu apakah yang pemimpin mereka lakukan.

Kesimpulannya kepada mana-mana  individu yang mengaku wartawan  bangkitlah menentang  pindaan OSA yang menzalimi wartawan generasi selepas ini. Mahukah kita dikecam oleh generasi wartawan selepas ini kerana kealpaan sesetengah daripada kita dengan pangkat dan kedudukan? Tetapi saya tidak fikir ada wartawan  yang sanggup diperalatkan oleh individu tertentu untuk melindungi salah laku yang dilakukan. Malah saya tidak fikir ada wartawan yang cuba mengalih isu melindungi peribadi individu tertentu sebagai perjuangan "untuk agama, bangsa dan negara."

Kalau ada juga yang bersikap demikian, belot kepada perjuangan untuk rakyat,  saya syorkan mereka menjadi  penulis pamplet kerana penulis pamplet sememangnya berkerja untuk individu.  Wartawan berkerja untuk rakyat.  Bagaimanapun saya tidak fikir ada wartawan pamplet di negara ini.  Maka, tunjuklah tanggungjawab dengan menolak pindaan OSA yang akan memandulkan wartawan selepas ini.



Saturday, February 6, 2016

Derma RM2.6 bilion, Menteri Arab kata bukan derma

The Star 6 Feb. 2016

Saudi minister believes funds given to Najib were investment, not donation

PETALING JAYA: A Saudi Arabia minister believed that the funds that went to Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak's personal account was an investment rather than a political donation.

Foreign Minister Adel al-Jubeir (pic) said this although he accepted the Attorney-General's opinion that there had been no wrongdoing, he also said that he did not think the money had come from the Saudi government or that it was a political donation.

"It is a private Saudi citizen, I believe, and the funds went to an investment in Malaysia," he said in an interview with the New York Times on Thursday.

The paper also quoted one member of the royal family and one associate of the family, speaking on the condition of anonymity, who confirmed that it was not a donation.

"The association questioned the reported sum but said the funds were part of a business deal," the paper reported.

Attorney-General Tan Sri Apandi Ali had previously cleared Najib of any criminal offence in relation to the alleged RM2.6bil political donation and the SRC International case.

He said that documents showed it was in fact US$681mil (2.08bil) that was tranferred to Najib's personal accounts between March 22 and April 10, 2013 from the Saudi royal family.

Najib had also returned US$620mil (RM2.03bil) in August 2013 as the funds had not been put to use.
On the SRC International case, Apandi said there was no evidence that Najib had abused his position during a Cabinet meeting that approved a Government guarantee on the loan from Retirement Fund Inc, a pension fund.

He subsequently instructed Malaysian Anti-Corruption Commission to cease investigations and close the case since there is no criminal element. The anti-graft body said it would be referring the A-G's decision to two independent review panels.

But in light of the A-G's decision, Najib had said that it was time to move on from issues and controversies.

Komen saya:

Apa sudah jadi?  Nafi sana nafi sini, kilas sana kilas sini,  akhirnya  "pembersihan"  yang dibuat oleh Peguam Negara Apandi Ali terhadap Najib Razak nampaknya tidak bersih.  Apandi menggunakan kuasanya untuk menutup skandal Najib yang belum terjawab.  Tetapi tidak tertutup.  Sistem yang ada di negara ini telah dimusnahkan,  Pejabat Peguam Negara, SPRM dan  polis sudah tidak berfungsi kerana semuanya diprogram untuk menyelamatkan Najib.

Dengan pendedahan demi pendedahan dari luar negara (media dalam negara tidak boleh dedah) apakah masih ada yang percaya dengan kenyataan Peguam Negara bahawa Najib adalah bersih?  Apakah dengan siasatan yang  dilakukan oleh SPRM dan Peguam Negara menolak semuanya dengan mudah masih membuatkan orang percaya kepada sistem?

Saya tidak tahu nak kata apa lagi kalau dengan pendedahan demi pendedahan ini pun masih ada yang menerima melulu kenyataan Peguam Negara. 




Friday, February 5, 2016

Alahai Pengarah Strategik BN


Krisis politik Kedah sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar oleh Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tiada kaitan langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
x
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata krisis politik tersebut merupakan urusan dalaman Umno negeri itu dan tiada kena mengena dengan perdana menteri.
.
"Ini (krisis politik di Kedah) tiada kaitan dengan perdana menteri. Saya harap mereka yang menuduh PM menjadi dalang isu ini tidak teruskan tohmahan ini," katanya.
.
Abdul Rahman, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru selepas melawat tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Bukit Tagar di Bestari Jaya, dekat Kuala Selangor semalam. (BERNAMA)
.
Komen saya:
.
Pertama,  saya tak tau nak cakap apa lagi kalau kenyataan paling bingai begini pun masih ada yang percaya. Eloklah ambil sahaja otak dan letak di kepala lutut.  Kalau masih percaya dengan kenyataan begini, otak yang ada tidak sepatutnya berada di kepala tetapi di kepala lutut.
.
Kedua, inilah kesan buruk apabila terlalu banyak memakan dedak.  Dedak pun boleh memabukkan  dan keluarlah kenyataan-kenyataan kepada media yang tidak masuk akal.
.
Ketiga,  dia ini  Pengarah Komunikasi dan Strategik BN tetapi kenyataannya macam Pengarah Strategik Najib Razak.  Lagi pun kalau beginilah  akal strategik  Pengarah Strategik BN,  segeralah siapkan payung sebelum hujan.
.
Keempat,  saya hendak tanya  dia  siapa yang tawarkan jawatan Timbalan Menteri kepada Mukhriz?   Tentulah Najib.  Adakah ini bermakna Mukhriz kena buat dua kerja, satu Menteri Besar Kedan dan satu lagi Timbalan Menteri  mengikut  syor Ahmad Maslan?

Wednesday, February 3, 2016

Kenapa UMNO ikut PKR?

Menteri cybertrooper Perdana Menteri,  Salleh Keruak berkata,  PKR dulu pun menukar Menteri Besarnya, Khalid Ibrahim kepada Azmin Ali  tanpa undi tidak percaya di DUN,  jadi tidak boleh salahkan UMNO menukar Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dengan Ahmad Bashah Hanipah di luar DUN.   Tetapi Salleh,  sejak bila UMNO mengikut apa yang dibuat oleh parti lain?  Adakah ini menunjukkan UMNO hanya menjadi pengikut bukan pencetus?  Malulah UMNO kalau macam tu.

Najib gagal "beli" prinsip Mukhriz



TERKINI:
Sudah tersebar khabar angin bahawa Mukhriz akan dipecat dari UMNO.  Walaupun belum dapat dipastikan, tindakan itu dikatakan sebagai balasan kerana Mukhriz terus mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan pucuk pimpinan mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion.  Kalau benar Mukhriz dipecat,  Pas Kedah boleh buat kenduri pulut durian,  Ini  adalah isyarat  UMNO akan menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada Pas pada PRU 14  nanti.

Posting asal:

Pucuk  pimpinan UMNO tersalah langkah apabila mahu "membeli"  prinsip Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dengan menawarkan jawatan Timbalan Menteri dengan syarat meletak jawatan sebagai Menteri Besar Kedah. Pucuk pimpinan itu berbuat demikian kerana sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO boleh dibeli dengan jawatan.  Sudah tentu dia arif sangat dengan gempar keling pemimpin UMNO, bila diberi jawatan boleh buat pusingan U bila-bila masa sahaja.

Tetapi ternyata tidak semua tidak bermoral  seperti itu.  Buktinya Mukhriz  lebih menjunjung prinsip dari diperkotak katik oleh pucuk pimpinan. Mukhriz antara dua tiga pemimpin UMNO yang berani mempersoalkan tentang skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion kepada seorang bernama Najib bin Razak.

Mukhriz bukan tidak tahu apa kesannya mempersoalkan dua skandal itu yang menjadi tabu kepada pucuk pimpinan UMNO.  Muhyiddin Yassin dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Shafie Apdal dipecat dari Menteri, kedua-duanya kerana mempersoalkan skandal yang menjadi buah mulut rakyat.

Kalau Mukhriz memikirkan kedudukan (bukan prinsip kebenaran)  dia boleh sahaja terima tawaran menjadi Timbalan Menteri.  Jawatan itu juga menjadi rebutan banyak pemimpin UMNO.  Zahid misalnya tidak menolak apabila ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri,  bekas Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed terima tawaran menjadi Timbalan Menteri yang secara automatiknya dia tidak boleh lagi menjadi pengerusi PAC  dan menjalankan siasatan ke atas 1MDB.

Pucuk pimpinan UMNO patut malu apabila dimalukan oleh Mukhriz yang menolak tawarannya. Kalau Mukhriz menerima tawaran itu, dia sudah tidak boleh lagi bercakap mengenai skandal 1MDB dan derma RM2.6 bilion.  Dia tahu muslihat ditawarkan jawatan berkenaan. Kita wajar bersyukur kerana masih ada pemimpin UMNO yang mengutamakan perjuangan untuk rakyat daripada perjuangan mengekalkan pemimpin yang dicurigai  amanahnya.

Malah menurunkan Mukhriz juga sebagai memberi amaran kepada Dr. Mahathir yang menjadi  pengkritik tegar Najib bin Razak dalam isu skandal 1MDB dan derma misteri RM2.6 bilion.  Ahmad Bashah Hanipah tidak akan ada keberanian luar biasa (kalau bukan mendapat isyarat Najib)  untuk  menggugat kerusi  Mukhriz.  Bashah hanya alat sahaja kerana dia sendiri pun dengan rela diperalatkan.   

Kini Mukhriz juga  dijauhi oleh wartawan-wartawan yang dulunya  sangat rapat dengannya.  Sejak seminggu lalu banyak wartawan menulis supaya Mukhriz memberi laluan kepada penggantinya sebagai Menteri Besar Kedah.  Malah ada antara mereka yang menganggap Mukhriz adalah punca pergolakan politik UMNO Kedah.  Pendek kata semua tidak baik tentang Mukhriz. Itu bukan suara mereka, tetapi itu adalah suara pucuk pimpinan. Mereka hanya tukang ajuk sahaja.  Maka  mereka pun tulislah krisis politik UMNO Kedah berakhir.  Mudahnya membuat kesimpulan.   Tunggulah kalau nak tahu berakhir atau tidak....




Demi parti bukan demi kebenaran

Ada orang berkata Mukriz Mahathir kena berkorban demi parti. Kalau parti kata turun, kena turun walaupun kita tahu telah dianiaya atau tahu  tujuan sebenarnya  kerana tidak dapat tanduk, pulas telinga pun jadilah.  Saya bertanya, kenapa demi parti bukan demi kebenaran?

Napuh ini yang juga orang kuat UMNO menjegilkan matanya luas-luas, parti memerlukan pengorbanan untuk terus kuat.  Tunjuklah kesetiaan kepada parti.  Saya tanya lagi,  bagaimana pula kalau tindakan parti tidak dibuat di atas asas yang betul?  Suruh terjun longkang misalnya,  adakah kita perlu berkorban untuk terjun longkang?

Dia menjawab lagi,  parti ada sebab untuk berbuat begitu. Sebab itulah kami memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.  Kami tidak mahu dianggap derhaka kepada parti.  Kita mesti berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan parti  dalam apa juga keadaan.

Saya tanya,  kalau pucuk pimpinan dalam keadaan tidak benar pula bagaimana?  Adakah hendak terus berdiri teguh menyokong yang tidak benar?  Napuh itu menjawab,  kami percaya pucuk pimpinan tidak pernah berada dalam keadaan yang tidak benar. Kalau ada yang mengatakan  begitu,  mereka itu adalah pembangkang yang tidak takut Tuhan  kerana menabur fitnah.

Saya tanya lagi, adakah orang UMNO takut kepada Tuhan?

Napuh menjawab,  kalau nak tahu,  perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara. Sudah tentulah Tuhan berada di tempat pertama dalam perjuangan kami. 

Saya bertanya,  kalau benar takut kepada Tuhan kenapa  tidak berani menegur pucuk pimpinan? Kenapa membiarkan puak pembangkang yang sesetengah itu bukan Islam untuk mengingatkan pucuk pimpinan UMNO  tentang amanah dan kejujuran?  Sepatutnya ulama-ulama  yang berkelulusan Mesir, Jordan dan macam-macam lagi  dalam UMNO terlebih dulu menegur pemimpin mereka, bukannya pembangkang?

Napuh berkata,  kau bukan orang politik, Kau tak tahu sepak terajang politik.  Dalam politik mana boleh buat macan tu.  Kalau buat macam tu, tak lama kena tendang keluarlah.  Kena amalkan prinsip, lindungi kelemahan orang kita dan besarkan kelemahan pembangkang. Hei, kau janganlah tanya aku banyak-banyak.  Aku ni napuh sahaja tau. Kau jangan cuba menyesatkan aku dari berjuang demi parti kepada berjuang demi kebenaran. 

* Napuh : nama saintifik ialah tragulus napu, dalam bahasa Inggeris disebut greater mouse deer  dan hampir pupus.