Saturday, January 30, 2016

Takziah kepada Uwei

Petang tadi saya mendapat khabar isteri Uwei Haji Saari, Usah  (warga Amerika)  telah ditemukan  meninggal dunia selepas hilang semasa berenang di laut di  Oakland, California.  Baru sebentar tadi pukul 10 malam saya dapat menghubungi Uwei di Kuala Lumpur dan mengucapkan takziah.

Kata Uwei, beliau telah meminta pihak  rakan-rakan dalam kalangan komuniti Islam di California menguruskan jenazah isterinya.  Sebelum ini Uwei sering berulang alik ke California  untuk melawat  isteri dan dua anaknya, Bantu Hassan dan Lebih.

Saya mengenali Usah semasa terlibat   sebagai penolong pengarah kepada Uwei dalam penerbitan drama swasta tahun 1987.  Ketika itu Uwei baru balik ke Malaysia selepas menetap 12 tahun di New York.  Usah seorang wanita Inggeris yang dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran negara ini dan menjadi guru di sebuah sekolah antarabangsa.

Saya selalu menghabiskan masa bersama-sama Uwei di rumah mereka di Sri Hartamas hingga lewat malam untuk membedah skrip dan mencari pelakon. Ketika itu saya mengenali  Usah  kerana sering lepak di rumah Uwei selepas waktu pejabat. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.

Bahri Zin, rakyat bersama anda

Walaupun dengan begitu mudah Peguam Negara, Apandi Ali memutuskan skandal derma RM2.6 bilion yang dimasuk dalam akaun peribadi Najib Razak,  tetapi sebenarnya telah  menelan banyak korban.  Pihak yang menjalankan siasatan siang dan malam adalah SPRM  atau lebih tepat lagi Pengarah Operasi Khas SPRM,  Bahri Zin.

Beliau adalah wira yang tidak didendang dalam membongkar skandal Perdana Menteri walaupun akhirnya Peguam Negara memutuskan Najib tidak bersalah dan menutup siasatan SPRM ke atas skandal derma  yang bukan sahaja memalukan Malaysia malah umat Islam.  Kerja keras Bahri dibalas dengan cemuhan oleh pencacai  Najib sebagai "orang pembangkang."

Semasa menjalankan siastaan kes profil tinggi yang melibatkan Perdana Menteri sebuah negara Islam,  Bahri  hampir menjadi korban apabila diarah pindah dengan kadar segera ke Jabatan Perdana Menteri (JPM)  sedangkan ketika itu beliau mengetuai siasatan skandal 1MDB.  Katakan apa lagi kalau bukan bertujuan untuk menghalang Bahri berkerja dengan jujur dengan menukarkan seorang yang arif dalam siasatan rasuah ke JPM?

Sekiranya pertukaran itu dibuat oleh pertimbangan profesional (bukan untuk mengacau  siasatan ke atas 1MDB)  kenapa  akhirnya Bahri dipulangkan ke SPRM selepas komplot  menghalang SPRM berkerja terburai dan rakyat bangkit bersuara?  Ini membuktikan pertukaran yang tidak masuk akal ke JPM dibuat semata-mata untuk menganggu kerja SPRM.

Jadi, apabila Bahri  memberi kenyataan kemungkinan besar akan merayu terhadap keputusan pelik Peguam Negara yang menutup kes itu,  beliau dilihat  bertentangan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamad.  Sekali lagi  Bahri akan dijadikan korban apabila puak-puak pro Najib  menganggap  Bahri sebagai penderhaka.

Semua orang yang tidak diserkup kepala mereka  yang kemudiannya dijamu  dengan dedak akan tahu perasaan  kecewa Bahri apabila kesungguhan untuk menegakkan kebenaran  akhirnya  dianggap pertualang.  Kini Bahri  berada dalam keadaan tidak selamat, bila-bila masa sahaja beliau boleh dimasukkan dalam peti ais, balasan kerana berkerja dengan penuh amanah.

Sebenarnya itulah harga yang perlu dibayar oleh pegawai-pegawai kerajaan yang menjalankan tugas dengan amanah dan tidak mengharapkan pujian  kerana bersekongkol melanggar batas amanah demi kelangsungan politik pihak tertentu.  Kita percaya Bahri sudah bersedia berdepan dengan semua kemungkinan di negara  Islam yang memangsakan orang seperti Bahri.

Drama Pasca 26 Januari: Skrip hancur


ANEKDOT AHAD 31 JAN 16

Kalau skripnya baik,  jalan cerita bagus,  sebab musabab boleh dipercayai dan watak-watak yang dibina  menyakinkan, kalau dikatakan bulan  berwarna biru pun orang boleh percaya.  Sebab itu di Barat diadakan sesi membedah skrip (lakon layar)  sebelum difilemkan. Supaya mana-mana bahagian yang menimbulkan persoalan dijawab terlebih dulu dalam skrip.

Contohnya macam skrip drama Pasca 26 Januari.  Skrip teruk sangat.  Jalan cerita entah apa-apa, boleh pening dibuatnya. Hakikatnya inilah yang berlaku dalam  drama yang sedang dimainkan oleh Najib Razak, Apandi  Ali dan Zahid Hamidi.  Drama boleh ditamatkan dengan pelbagai cara.  Cuma penamat yang tergantung dan watak antagonis terlepas  hukuman yang kurang disukai.  Kalau di India,  panggung yang tayang filem tidak ditamatkan dengan memuaskan atau crook terlepas dari hukuman,  panggung itu akan dibakar.  Kalau pelakon crook ada  di situ mereka akan bakar bersama-sama panggung.

Sekarang ini  hendak kata macammana sekalipun orang sudah tidak percaya kepada ketiga-tiga pelakon utama itu,  diikuti oleh pelakon-pelakon pembantu yang membuatkan skrip menjadi kacau bilau.  Dialog watak-watak tak konsisten dan inilah yang memburaikan semua yang cuba diselindungkan daripada penonton.

Kononnya drama ini hendak dijadikan suspen thriller,  derma RM2.6 bilion pada awalnya dikatakan hanya tohmah puak pembangkang.  Tetapi apabila The Wall Street Journal membuat pendedahan, tohmah bertukar jadi pengakuan. Ditambah pula dialog oleh puak-puak pemakan dedak yang tiba-tiba mengaku derma itu untuk parti mereka.

Plot begini sangat susah untuk ditamatkan cerita.  Lepas itu dikatakan pula untuk belanja PRU 13.  Ini sekali lagi tak ikut skrip yang sepatutnya.  Skrip asal kata,  belanja  kempen pilihan raya umum ada hadnya.  Kalau lebih had,  keputusan boleh jadi tidak sah.  Maka diciptakan dialog baharu,  "bukan semua diambilnya derma itu,  hanya sedikit sahaja. Selebihnya dipulangkan kepada pemberi."

Penonton drama  bukan semuanya dalam kalangan pemakan dedak.  Malah mereka juga bukan berfikir lurus macam sesetengah wartawan yang menerima tanpa berfikir  dialog-dialog yang dimuntahkan oleh ketiga-tiga watak penting ini.  Penonton  drama pasca 26 Januari mempunyai pemikiran yang sangat kritis, sebab itu mereka sudah  menyampah dengan plot  drama ini.  

Mereka sudah menjangka dialog ini (memulangkan  baki derma)  sengaja ditulis untuk selarikan jumlah belanja kempen pilihan raya yang dibenarkan oleh SPR.  Tetapi kalau drama ini mendapat sentuhan pengarah yang hebat,  sudah tentu dia akan membuat syot close up  penyata bank yang membuktikan baki derma itu dipulangkan. Tetapi maaf cakaplah, pengarah drama ini pun ling long.  Kalau diberi kepada TV3 pun awal-awal lagi ditolak.

Sekarang ini watak Zahid  senyap seketika, mungkin sedang menulis dialog baharu untuk selarikan dengan perkembangan semasa.  Dulu watak Zahid sepatah haram tidak sebut  sebahagian derma itu dipulangkan,  dia cuma kata sudah berjumpa dengan pemberi derma. 

Tetapi dialog yang dituturkan oleh Zahid sebenarnya tersalah tulis.  Pemberi derma seperti yang dilaporkan oleh BBC London, adalah Raja Abdullah.  Kalau diteliti  berita  Zahid membaca dialog dia berjumpa dengan pemberi derma (tidak disebut Raja Abdullah) pada Ogos 2015. Raja Abdullah telah meninggal dunia pada Januari 2015.  Alih alih watak Zahid pun bertuturlah bahawa isu derma sudah selesai. Ini betul-betul wayang.

Akhirnya penamat belum ada tetapi penonton sudah membuat penamat sendiri iaitu  watak Apandi berjasa kepada Najib kerana telah "membersihkan"  Najib dan tidak ada mahkamah yang boleh mencabar keputusan Apandi.  Inilah yang dikatakan oleh orang yang arif undang-undang.  Penonton pun segera berfikir,  drama ini menjadi berbeza kalau watak Apandi ditukar kepada Gani.

Penonton pun cuba ingat-ingat semula tragedi  Najib memecat (bahasa lembut ialah menamatkan) Gani,  Peguam Negara itu hanya ada tiga bulan sahaja lagi kontraknya.  Tetapi tiga bulan boleh jadi macam-macam.  Cuba ingatkan balik apa yang dilakukan dalam masa tiga bulan itu?   Takkan sudah lupa pegawai kanan SPRM  yang  siasat 1MDB kena tukar ke JPM,  penonton bising memprotes,  dua tiga hari di JPM ditukarkan balik ke SPRM.  Ini boleh jadi drama komedi yang kelakar gila.

Drama ini telah memaksa penonton  menerima plot yang caca marba  akibat skrip yang hancur.  Apabila watak Apandi berkata, "tidak ada kes"  penonton pun bertepuk tangan sambil berkata, "kalau benar tak ada kes bawalah ke mahkamah."

Kesimpulannya, pada zaman penonton kita sudah bijak,  mereka membaca banyak sumber untuk mendapat maklumat, pemikiran pun sudah luas dan susah hendak dikelentong.  Kalau ada pihak yang masih menganggap penonton kita masih dungu, bahlol, bingai,  bangang dan macam lembu dicucuk hidung, mereka adalah dalam kalangan  orang-orang  yang membuat kesilapan besar.


Friday, January 29, 2016

RM300 ribu harga rumah pertama

Walaupun secara keseluruhan Pengubahsuaian Belanjawan 2016 tidak memperlihatkan "untuk rakyat"  tetapi saya memuji langkah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Najib Razak menetapkan bahawa rumah berharga RM300,000 ke bawah untuk pembeli pertama sahaja.  Ini adalah satu langkah yang sangat baik untuk mengekang pihak tertentu membeli  banyak rumah baharu kemudian menjualkan dengan harga yang berlipat ganda.

Sekalipun saya tidak dapat menikmati peraturan yang digariskan dalam Pengubahsuaian Belanjawan 2016 ini tetapi saya tetap menyokong.  Saya bukanlah seperti sesetengah penulis pamplet yang menulis mengikut acuan,  misalnya banyak pandangan bernas yang curiga tindakan Peguam Negara membersihkan Najib dari skandal derma RM2.6 bilion.  Tetapi  penulis pamplet tidak menulis tentang itu kerana tidak berani terkeluar dari acuan.

Saya bukan penulis pamplet,  apa yang baik  perlulah ditulis  baiknya.  Apa yang dilihat, difikir dan berkongsi dengan pakar-pakar semuanya kata tidak baik,  saya tidak akan menulis kononnya baik.  Banyak pihak  yang bertaraf penulis pamplet  misalnya tidak akan mempersoalkan tindakan Peguam Negara membersihkan Najib dilihat  tidak masuk akal oleh pakar perundangan. Tetapi penulis pamplet tidak akan menulis tentang kecurigaan itu.

Berbalik pada rumah RM300,000 untuk pembeli pertama,  walaupun  sepatutnya telah lama dilaksanakan tetapi bukan terlambat untuk memastikan dalam kalangan generasi muda dapat memiliki rumah.  Kalau tidak ada peraturan ini, sudah tentu rumah  baharu berharga RM300,000 dengan sekelip mata sahaja habis dijual,  kemudian  sindiket  yang memborong rumah itu menaikkan harga ke tahap yang "gila".

Sindiket  memborong rumah ini kebanyakkannya dilakukan oleh taikun Cina untuk mendapat keuntungan tinggi dalam masa yang cepat.  Buktinya projek perumahan di atas tanah rezab Melayu akan mengalami jualan yang perlahan kerana orang Cina tidak boleh memiliki rumah berkenaan.  Tetapi bagi projek bukan di atas tanah rezab Melayu,  sebahagian besar pembeli  terpaksa membeli rumah secondhand  dengan harga yang tinggi.

Oleh kerana itu, tahniah kepada Najib dalam bab rumah pertama RM300,000 ke bawah.  Walaupun begitu Najib jangan leka,   sesetengah pemaju juga mempunyai  banyak muslihat untuk memastikan rumah dijual dengan cepat dan diborong oleh yang sebangsa dengan mereka.

Misalnya dengan peraturan rumah pertama harga RM300,000 ke bawah,  mereka  menaikkan harga rumah menjadi RM350,000 atau RM400,000. Sudah tentulah rumah ini tidak dikawal oleh kerajaan dan siapa sahaja boleh membelinya termasuk sindiket pemborong rumah.  Kerana itu Najib perlu selangkah ke depan untuk bertindak  mengawal ketat kenaikan harga rumah. Malah wajar mengenakan peraturan kuota kepada pemaju membina rumah RM300,000 ke bawah dan bukannya  semua berharga di atas RM300,000.

Biarlah kalau dikatakan cara komunis sekalipun asalkan bertujuan baik untuk rakyat.  Bukankah Najib selalu berkata, rakyat didahulukan?  Memanglah pemaju dan sindiket memborong rumah pun rakyat juga. Tetapi kenalah mengutamakan rakyat yang berpendapatan rendah supaya jurang sosial kaya miskin tidak terlalu jauh.








Wednesday, January 27, 2016

Najib mesti bersih diri di mahkamah


Mahkamah adalah tempat untuk seseorang itu membersihkan diri dan mendapatkan keadilan ,  tidak kiralah tuduhan kecil atau besar.  Sebab itulah sesetengah pihak lebih rela disaman supaya mahkamah dapat membuat keputusan adil ,  walaupun  tidak semestinya  pihak yang  disaman  akan menang.

Seorang pencuri ayam pun dihadapkan ke mahkamah  walaupun ada orang nampak memang benar dia mencuri ayam. Ini kerana mahkamah bukanlah tempat untuk menghukum sebaliknya tempat untuk yang teraniaya, seperti Perdana Menteri, Najib bin Razak  yang menerima derma RM2.6 bilion.

Sebab itulah banyak pihak mahu Najib menyaman akhbar The Wall Street Journal yang dikatakan "memfitnah"  Najib dalam isu derma RM2.6 bilion dan  skandal 1MDB.  Tetapi malangnya  hingga hari ini sudah berapa kali "Selasa"  Najib  tidak juga  menyaman The Wall Street Journal.  Tunggu apa lagi, saman saja.  Akhbar "fitnah"  mesti disaman.

Dalam isu  derma RM2.6 bilion, kita mesti berlaku adil kepada Najib yang telah dianggap telah melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya oleh seorang Perdana Menteri.  Kita berbaik sangka sahaja dan menganggap Najib teraniaya.  Tanggapan buruk sesetengah pihak terhadap Najib hanya akan terhapus sekiranya mahkamah yang mendapati  seorang penjawat awam adalah tidak bersalah menerima derma peribadi.

Najib jangan terlalu gembira dan lega hanya kerana diputuskan oleh Peguam Negara (tanpa melalui mahkamah) bahawa dia tidak bersalah. Jangan mudah hendak padam atau meminta rakyat melupakan. Mana boleh bro. Tambahan pula Peguam Negara ini dilantik secara tergesa-gesa ketika isu 1MDB dan RM2.6 bilion  meledak. 

Saya percaya Najib akan dilihat lebih bersih dan amanah sekiranya kes menerima derma RM2.6 bilion  dibawa ke mahkamah dan Najib didapati tidak bersalah,  berbanding keputusan yang sangat mencurigakan oleh Peguam Negara.  Saya tidak fikir Najib takut ke mahkamah kerana dia tidak bersalah. Bukanlah Peguam Negara kata dia tidak bersalah?

Kenapa kita (bukan saya) menganiaya Najib sedemikian rupa dengan  tidak memberi peluang kepada dia membuktikan tidak bersalah di mahkamah?  Ini tidak adil.  Maka,  Najib mesti dibawa ke mahkamah supaya dia  dapat membersihkan diri  melalui sistem kehakiman yang terbukti integritinya.

Pada masa sama, ini juga untuk adil kepada rakyat marhaen yang dituduh  rasuah  tetapi tidak mampu untuk menbayar peguam yang hebat untuk mendapatkan keadilan.  Najib tidak akan menghadapi masalah mendapatkan khidmat peguam terhebat untuk membuktikan dia memang tidak bersalah.


Terbukti RM2.6 bilion bukan duit UMNO


Dalam situasi sekarang, seharusnya UMNO tidak melibatkan diri dalam isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Anggaplah itu milik peribadi dan UMNO seharusnya tahu batas-batas peribadi. Lagi pun sejak awal lagi The Wall Street Journal hanya mengatakan dalam akaun peribadi. Tetapi pelbagai lapisan pemimpin dalam UMNO menafikan "tuduhan" itu dan dianggap "tidak masuk akal". Ironinya apabila SPRM mengesahkan, UMNO mengaku pula duit itu untuk parti.
x
Kalau UMNO mahu dilihat sebagai menjunjung integriti, berkerja kuatlah menjelaskan kepada rakyat bahawa derma itu bukan untuk UMNO. Jangan kelirukan rakyat antara derma dan dana politik. Sekarang sudah ada kecenderungan mengalih isu derma dalam akaun peribadi kepada istilah dana politik. Rakyat marhaen yang dunia mereka sebesar tempurung faham benar perbezaan antara kedua-duanya.
x
Ini kerana, dana politik disalurkan dalam akaun parti dan melalui proses pengauditan. Tetapi derma dalam akaun peribadi adalah hak peribadi penerima. Kata rakyat marhaen, UMNO janganlah pandai-pandai menganggap hak peribadi sebagai hak UMNO. Oleh yang demikian, UMNO perlu menegaskan bahawa derma RM2.6 bilion itu adalah hak peribadi. Jangan menganggap hak parti sedangkan pemimpin parti sendiri tidak tahu menahu tentang kewujudannya. Pelik bukan?
x
Saya petik jawapan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Shahrir Samad terhadap soalan nombor empat anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled seperti yang disiarkan Utusan Malaysia semalam. Saya harap Utusan Malaysia tidak "salah taip" atau "salah lapor".
x
Soal Akmal Saufi, jika duit itu adalah sumbangan kepada UMNO, adakah kepimpinan UMNO terutama Majlis Tertinggi mengetahui tentang derma itu?

Jawapan Shahrir: Selama saya dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri, soal derma tidak pernah dibangkit atau didedahkan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi dan perhubungan negeri.
x
Ini jelas menunjukkan derma itu bukan kepada UMNO. Maka penat lelah Pengarah Strategik dan Komunikasi Barisan Nasional (BN), Rahman Dahlan yang membina persepsi bahawa dana politik bukan suatu yang luar biasa sudah tidak relevan langsung. Kita bercakap tentang isu yang lain. Dalam laporan Astro Awani, Rahman berkata, dana politik yang diterima Perdana Menteri Najib Razak adalah satu perkara biasa yang sememangnya telah diamalkan pemimpin terdahulu lagi.
x
(Di atas adalah petikan kolum Anekdot Ahad 9 Ogos 2015 dan yang terakhir disiarkan)
x
x
Selepas tulisan itu disiarkan di Mingguan Malaysia pada hari berkenaan beberapa pemimpin UMNO telah meroyan dan memperlihatkan kuasa  mereka kepada saya.  Saya wartawan (bukan penulis pamplet) tetap dengan pendirian. Sebenarnya dalam tulisan itu saya hanya mengatakan duit RM2.6 bilion itu adalah hak peribadi Perdana Menteri, Najib bin Razak dan bukan duit UMNO.
x
Pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan  menganggap saya tidak faham bahawa RM2.6 bilion itu adalah dana politik UMNO bukannya derma kepada Najib walaupun disalurkan melalui akaun peribadi  Najib. Mereka telah memutarbelitkan fakta kepada rakyat  untuk memperlihatkan Najib tidak dikaitkan dengan derma misteri itu.
x
Dalam tulisan itu saya tidak mengatakan salah laku Najib kerana saya bersangka baik dan menganggap Najib manusia paling beruntung di dunia kerana mendapat derma RM2.6 bilion.  Cuma saya mempertegaskan bahawa itu bukan duit UMNO dan UMNO tidak wajar melibatkan diri dengan mendakwa itu duit UMNO. Ini kerana perbuatan itu akan melingkupkan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.
x
Hari  ini,  saya hendak tanya kepada pemakan dedak dalam kalangan pemimpin UMNO, apakah komen mereka apabila  Peguam Negara, Apandi Ali secara rasmi mengumumkan derma RM2.6 bilion itu diberikan kepada Najib dan tidak disebut pula dana politik seperti mana yang cuba diputarbelitkan oleh pemakan dedak dalam UMNO?
x
Maka  tidak hairanlah  Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan, Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO tidak tahu kewujudan “dana politik” yang dikatakan oleh sesetengah pemimpin UMNO itu.  Kalau memang benar itu satu dana politik, sudah tentu Muhyiddin tahu,  Shahrir Samad tahu dan Shafie Apdal tahu.  Mereka hanya tahu tentang duit UMNO bukan duit Najib.
x
Saya hanya menekankan supaya pemimpin UMNO tidak mencemarkan parti itu  menyekutukan dengan perbuatan yang tidak amanah dan bukan milik parti berkenaan. Soal derma RM2.6 bilion itu  biarlah Najib  di atas kapasiti peribadi menguruskan persepsi rakyat,  tetapi bukan sebagai Presiden UMNO.
x
Biarlah Najib menjawab bagi pihak dirinya sendiri kepada rakyat selepas  Peguam Negara memutuskan perbuatan menerima derma RM2.6 bilion itu bukan satu kesalahan.  Walaupun dalam kalangan penjawat awam, mereka arif sangat tentang larangan  menerima derma, sumbangan atau hadiah waima sebungkus hamper kerana itu dianggap sebagai rasuah.
x
Saya harap UMNO tidak lagi memutarbelitkan fakta kepada rakyat bahawa RM2.6 bilion itu adalah dana politik.  Kata Peguam Negara, duit itu adalah sumbangan peribadi keluarga diraja Arab Saudi kepada Najib,  tidak disebut pun untuk kegunaan UMNO.



Sunday, January 24, 2016

Elak membazir, kurangkan makhluk bertaraf Menteri


ANEKDOT AHAD 24 JAN 16

Perdana Menteri, Najib bin Razak akan membentangkan pengubahsuaian Belanjawan 2016 pada 28 Januari ini.  Pengubahsuaian belanjawan ini dibuat berikutan keadaan ekonomi yang  tidak stabil dan harga minyak turun ke paras paling rendah dalam sejarah iaitu AS$25 setong.

Pengubahsuaian belanjawan ini juga  dijangka akan melibatkan banyak belanja yang akan disalurkan kepada semua kementerian akan dikurangkan, ini  bermakna program yang diwujudkan bertujuan membantu rakyat  juga  kemungkinan akan berhadapan dengan pengurangan.

Pengubahsuaian Belanjawan ini memang baik tetapi rakyat juga hendak tahu  apakah yang  dijimatkan daripada belanjawan baharu tersebut?  Adakah pengubahsuaian itu hanya melibatkan peruntukan untuk pembangunan untuk rakyat tetapi  pada masa sama  sikap  boros  kerajaan  tidak berubah?

Malah perkara yang penting diberitahu kepada rakyat apakah pengubahsuaian belanjawan ini untuk memastikan kos sara hidup  kerajaan tidak terjejas dengan memotong beberapa peruntukkan yang sepatutnya disalurkan  untuk membangunkan rakyat?

Petronas  telah lebih awal membuah pengubahsuaian belanjawan sebagai menghadapi  harga minyak yang menjunam  paling teruk dalam sejarah.  Petronas telah membuat tindakan drastik mengurangkan  belanja operasi sebanyak RM50 bilion tahun ini.

Pada masa yang sama Petronas bukan sekadar mengurangkan belanja operasi malah   gaji pengurusan kanan dipotong sebanyak 20 hingga 30 peratus.  Ini satu contoh yang baik,  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.  Adakah dalam pengubahsuaian belanjawan ini  Perdana Menteri akan mengumumkan pemotongan elaun  Menteri dan Timbalan Menteri  serta pegawai kanan kerajaan gred  JUSA A ke atas?

Malah Perdana Menteri juga wajar menunjukkan teladan dan berjiwa rakyat dengan mengurangkan  urusan  ke luar negara untuk urusan yang tidak penting.  Pilihlah yang paling penting dan bukannya lebih kepada lawatan yang membawa rombongan yang elaun mereka dibayar hasil cukai oleh rakyat.

Sekiranya Perdana Menteri ikhlas melakukan pengubahsuaian belanjawan demi rakyat,  perkara pertama dan paling mudah dilakukan ialah mengecilkan jumlah Menteri.  Sekarang ini  Malaysia  "beruntung"  kerana berada pada tangga pertama negara yang mempunyai Menteri Kabinet paling banyak iaitu  36 orang termasuk 10 orang di selain  penasihat dan duta bertaraf Menteri. Maknanya kawan, rakan dan juak-juak semuanya bertaraf Menteri.

Misalnya bekas Ahli Parlimen  Lembah Pantai, Shahrizat  Jalil yang tewas  dalam pilihan raya umum  dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita padahal sudah ada kementerian yang menjaga hal ehwal wanita.   Rakyat tertanya-tanya apakah tugas besar yang boleh dilakukan oleh Sharizat? Adakah  Shahrizat  berada di atas Menteri yang menjaga hal ehwal wanita dan keluarga?
 Begitu juga dengan bekas  Menteri  dan Presiden MIC, Samy Vellu sebagai  Duta Khas ke India dan Asia Selatan yang masih bertaraf Menteri , padahal  kita sudah ada  Kementerian Perdagangan Antarabangsa  Industri (MITI).

Tidak cukup itu , Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar yang juga bertaraf Menteri.   Apakah signifikannya  Pengerusi Perhubungan UMNO negeri bertaraf Menteri?  Dan kenapa hanya  Noh Omar?

Bayangkan berapa banyak wang yang dikutip dari cukai yang dibayar oleh rakyat  digunakan untuk menampung  belanja gaji, elaun dan sebagainya untuk mereka yang dilantik ke jawatan  bertaraf Menteri?  Sebahagian besarnya sama sekali tidak perlu dilantik sebagai penasihat bertaraf Menteri, salah satunya bertindih dengan Menteri yang menerajui kementerian tertentu.

Sebenarnya  36  pemimpim  UMNO yang dilantik ke jawatan  Menteri atau bertaraf Menteri  dilihat lebih kepada untuk dianugerahkan kepada kawan-kawan  yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan politik Perdana Menteri.  Tetapi masalahnya ini melibatkan belanja yang besar di mana tujuannya untuk kelestarian politik  Perdana Menteri.

Begitu juga dengan 10 Menteri di JPM,  sudah tentulah rakyat tertanya-tanya apakah tugas yang dilakukan oleh Menteri ?  Bayangkan  jumlah Menteri di JPM  hampir separuh jumlah Menteri Kabinet.

Cuba kita bandingkan dengan negara luar,  United Kingdom misalnya hanya ada 21 Menteri   Kabinet,  Jerman (17 Menteri Kabinet), Perancis (15 Menteri Kabinet).  Di negara-negara berkenaan tidak ada Menteri di  JPM, Penasihat atau Duta yang bertaraf Menteri.   Ironiknya  dengan  jumlah Menteri yang kecil  tidak pula meletakkan negara berkenaan berada di bawah  kedudukan Malaysia dari segi kemajuan, pembangunan dan ekonomi.

Jumlah  bertaraf Menteri yang  banyak memperlihatkan kerajaan  tidak endah kepada  pembaziran yang tujuannya untuk kelestarian politik pihak tertentu dan bukannya untuk menyumbang kepada rakyat. 

Kalau benar Najib jujur melakukan pengubahsuaian belanjawan kerana prihatin kepada nasib rakyat terutama golongan berpendapatan rendah,  dia mesti membuat  tindakan drastik mengecil jumlah makhluk yang bertaraf Menteri.  Malah kecilkan  jumlah Menteri Kabinet kepada angka yang munasabah. Ini untuk mengelakkan  Menteri Kabinet tidak  menjadi  "penjaga kabinet"  kerana tidak ada kerja yang hendak dibuat.






Friday, January 22, 2016

UMNO Kedah belum insaf


Dalam keadaan yang sangat nazak sekarang ini UMNO Kedah ternyata belum insaf apabila  masih mencantas dalam kalangan sesama sendiri, bukannya saling bertautan antara satu dengan yang lain.  Sekelompok ketua sayap UMNO Kedah yang diketuai olah Ahmad Bashah Hanipah secara terbuka  menuntut  Presiden UMNO, Najib Razak memecat  Mukhriz Mahathir dari jawatan Menteri Besar.

Walaupun semasa sidang akhbar Ahmad Bashah menggesa Najib menggantikan dengan pemimpin lain (sudah tentu dia sendiri) tetapi dalam kalangan UMNO mereka percaya  Ahmad Bashah dipergunakan oleh Najib untuk menyingkir Mukhriz.  Hujahnya  Ahmad Bashah  tidak akan berani membuat sesuatu yang tidak disukai  Najib.

Jangan lupa Mukhriz juga mempunyai pengaruh dalam kalangan pemimpin UMNO di Kedah. Ini dibuktikan apabila beberapa  pemimpin sayap UMNO mendedahkan bahawa mereka seolah-olah tertipu  apabila diminta datang mesyuarat sedangkan Ahmad Bashah mahu mengumumkan "semua"  pemimpin Kedah menolak Mukhriz.

Ini menunjukkan UMNO Kedah telah berpecah dua.  BN  Kedah  hanya majoriti enam kerusi,  21 BN dan 15 pembangkang.  Keadaan sekarang, tidak kira sama ada Ahmad Bashah atau Mukhriz menjadi Menteri Besar  hakikatnya  UMNO berada di ambang pepecahan.  Peluang   Pas  untuk menguasai Kedah pada pilihan raya umum akan datang adalah cerah. 

Politik Kedah agak unik kerana sebahagian besar pengundi tidak taksub kepada sesuatu parti.  Ini memperlihatkan kematangan  berpolitik berbanding  kejumudan politik yang terus memberi undi sekalipun kepada tunggul kayu yang dipakai dengan  baju parti.  Orang Kedah telah membuktikan mereka menolak  Menteri Besar  UMNO yang tidak berkualiti,  Mahdir Khalid  diganti dengan Allahyarham Azizan Razak dari Pas.

Kalau Ahmad Bashah menaruh impian mahu menjadi Menteri Besar,  dengan izin Najib  dia mungkin menjadi Menteri Besar sehingga  pilihan raya umum dua tahun lagi.  Ini kerana pemilihan Ahmad Bashah bukan melalui pilihan raya.  Tetapi selepas pilihan raya umum, Ahmad Bashah mungkin terpaksa  bungkus kerana peluang Pas semakin cerah untuk menguasai Kedah.

Pada pilihan raya umum yang lalu, sekiranya tanpa pengaruh Dr. Mahathir yang turut berkempen untuk UMNO,  Kedah mungkin terus  diterajui Pas.  Faktor kemenangan UMNO adalah Dr. Mahathir.  Pilihan raya umum akan datang sudah tentu  Dr. Mahathir tidak akan berkempen untuk UMNO  kecuali  Najib meletak jawatan atau tidak bertanding. 

Oleh yang demikian, semua ini menunjukkan UMNO tidak pernah insaf dengan keadaannya yang nazak,  terpaksa pula menagih simpati dari Pas kononnya demi memperjuangkan Islam tetapi hakikatnya untuk memancing pengundi Melayu - Islam  pada pilihan raya umum akan datang.  Walaupun begitu Pas telah menegaskan bahawa kerjasama dengan UMNO tidak melibatkan politik, maknanya  Pas dan UMNO tetap musuh politik.

Jadi, tidak mungkin Pas tidak akan bertanding di kawasan UMNO di Kedah.  Dalam keadaan UMNO yang sarat dengan pelbagai isu integriti dan bersekongkol dengan tindakan-tindakan yang membelakangkan integriti,  membuatkan dalam kalangan akar umbi UMNO juga sudah mula mempersoalkan keadaan ini. Sementara Pas pula sudah bersih daripada anasir  sekular apabila sebahagian daripadanya keluar Pas  dengan menubuhkan parti Amanah.


Thursday, January 21, 2016

Double standard dalam UMNO


TERKINI:

Beberapa Exco Kedah dan ketua sayap UMNO menafikan mereka diberitahu tentang tujuan dipanggil  berhimpun di sebuah hotel di Alor Setar di mana Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Ahmad Bashah Hanipah  mengadakan sidang akhbar mengatakan pemimpin UMNO Kedah menolak Menteri Besar, Mukhriz Mahathir.

Beberapa Exco mendedahkan mereka tidak tahu menahu  tujuan dipanggil berhimpun dan terperanjat apabila  Ahmad Bashah  mengumumkan seolah-olah semua Exco dan kepimpinan peringkat negeri menolak dan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.  Mereka mendakwa seolah-olah ditipu  supaya kelihatan bersekongkol dengan Ahmad Bashah  menjatuhkan Mukhriz.

Tembelang sudah terburai.  Sekarang jelaslah siapa sebenarnya yang mahu menjatuhkan Mukhriz  dan menggunakan taktik lapuk  seolah-olah pemimpin lain juga seperti dia.  Tetapi ini  adalah gaya berpolitik yang sangat memalukan.  Maka banyak pihak  tertanya-tanya sispakah sebenarnya yang mahu menurunkan Mukhriz dan digantikan dengan pemimpin lain yang sebulu dengannya?

Adakah kerana tidak  dapat tanduk, pulas telinga pun jadilah?  Mukhriz adalah anak Dr. Mahathir  pengkritik tegar Najib bin Razak.  Ketika Mukhriz dilantik Menteri Besar,  hubungan  Najib - Mahathir masih akrab.  Tetapi sekarang sudah  berkerat rotan berpatah arang apabila banyak isu-isu  yang menimbulkan kecurigaan tidak diatasi  oleh Najib.  Misteri. Siapa yang mengarahkan Ahmad Bashah berbuat demikian?


Posting asal:


Tidak berapa lama dulu beberapa  Ketua Cawangan UMNO yang menuntut supaya Perdana Menteri, Najib bin Razak meletakkan jawatan telah dikenakan tindakan tatatertib.  Maknanya menuntut supaya "pemimpin" atasan UMNO meletakkan jawatan adalah satu kesalahan dalam UMNO.  Oleh yang demikian, ada yang dipecat kerana menuntut Najib meletak jawatan.

Kalau  hukuman ke atas Ketua Cawangan yang menuntut Najib meletakkan jawatan boleh dianggap cara UMNO menyelamatkan "peminpin" atasan daripada kritikan orang bawahan,  adakah  UMNO akan mengambil tindakan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO Kedah yang menuntut  Menteri Besar, Mukhriz Mahathir meletak jawatan?

Situasinya sama.  Yang menuntut berada pada kedudukan yang lebih rendah daripada Menteri Besar.  Jadi,  perbuatan mereka sama dengan yang dilakukan oleh Ketua Cawangan.  Tetapi adakah mereka yang terdiri daripada ketua sayap UMNO Kedah akan dikenakan tindakan?   Banyak yang percaya mereka  tidak akan dikenakan tindakan kerana UMNO  selalu mengamalkan double standard.

Ada sumber memberitahu,  semua ketua sayap UMNO termasuk dua ulama UMNO,  Jamil Khir Baharum dan Mashitah Ibrahim  bersepakat hadir ke sidang media semalam kerana diarah oleh pihak tertentu.  Oya terlupa seorang lagi ulama ialah Azeez Rahim yang menjadi Pengerusi Tabung Haji.

Kalau benarlah itu arahan oleh pihak tertentu, ini satu perkembangan yang menarik.  Tentangan daripada sayap UMNO  Kedah terhadap Mukhriz adalah satu  tanda aras bahawa  pemimpin sayap UMNO juga boleh menuntut  pemimpin  yang lebih tinggi  meletak jawatan.  UMNO kena membuktikan ini bukan parti yang double standard,  pilih kasih, pilih bulu dan pilih mangsa yang kecil-kecil sahaja untuk dibenam. 



Saturday, January 16, 2016

Taja bola sepak tidak memajukan bangsa



ANEKDOT AHAD 17 JAN 16

Kisah seorang tauke bedak pemutih muka yang sanggup menaja  sebuah pasukan bola sepak RM16 juta menjadi topik yang hangat diperkatakan ketika ini. Pelbagai lapisan terutama dalam  kalangan orang Melayu menjadikan isu kekayaan tauke itu sebagai satu  topik wajib untuk diperkatakan  walaupun keadaan orang Melayu sama seperti lirik lagu Anak Kecil Bermain Api. 

Sana sini orang menggelengkan kepada sambil berkata, "Banyaknya duit dia."   Sebagai negara yang mengamalkan dasar terbuka (bukan komunis)  kita  tidak ada masalah kalau ada yang muncul dengan kekayaannya. Begitu juga dengan tauke bedak pemutih ini.  Tetapi tentu lebih afdal kalau kekayaan digunakan untuk  memajukan bangsa. Saya sangat percaya bahawa suatu bangsa yang berjaya  adalah kerana ada  dalam kalangan mereka yang kaya membantu memajukan  yang sebangsa dengannya.

Sudah tentulah agenda mebantu memajukan bangsa tidak  tercapai  dengan menaja pasukan bola sepak.  Tetapi menaja pasukan bola sepak bukanlah satu kesalahan  cuma cara ini tidak membantu memajukan bangsa kita yang  mundur terutama  dalam hal  ekonomi dan pendidikan.  Saya percaya kalau pasukan yang ditaja itu mampu menjadi juara Piala Dunia sekalipun, bangsanya tidak teranjak berbanding wujudnya yayasan untuk membantu golongan pelajar dan generasi muda dalam kerjaya.

Apa yang boleh dilakukan dengan RM16 juta?  Secara mudah kalau dengan nilai ringgit sekarang, RM16 juta  boleh menaja sepenuhnya sekurang-kurang 40 orang pelajar  peringkat degree  di universiti di United Kingdom. Kalau menaja separuh mungkin menjangkau 80 orang pelajar belajar di tempat yang sama.  Kalau belajar dalam negara tidak terkira pulalah jumlahnya yang bukan sahaja mendapat hasil daripada RM16 juta sebaliknya melahirkan profesional Melayu dalam jangka masa tertentu.

Dalam soal ini sesetengash daripada kita boleh dianggap tersilap memberikan tumpuan kepada  kesanggupan tauke bedak pemutih ini menaja pasukan bola sepak.  Biarlah dia menaja, itu cara dia.  Saya akui bola sepak memang sukan yang sangat berpengaruh di negara ini walaupun pasukan nasionalnya tercorot antara yang tercorot. Ada yang kata tajaan luar biasa ini akan mengubah landskap bola sepak negara? Entahlah? 

Apabila kita selalu berkata yang perjuangan  adalah   "Demi  agama, bangsa dan negara,"   saya tidak melihat  pula ada elemen untuk agama,  untuk bangsa dan untuk negara dalam mempopularkan isu tajaan itu.  Seperti yang saya hujahkan tadi,  kalau pasukan itu menjadi juara Piala Dunia sekalipun, tidak ada elemen untuk agama, bangsa dan negara. Kalau hendak dikatakan demi negara, menjulang Piala Dunia belum tentu itu tanda aras kemajuan  sesebuat negara.

Saya mengakui bahawa pemikiran saya agak kolot  misalnya saya tidak nampak tajaan itu boleh mengubah nasib bangsa. Saya masih percaya kalau jumlah yang sama dilaburkan  untuk mewujudkan sebuah yayasan pendidikan  bagi pelajar dari keluarga miskin misalnya,  ia lebih banyak membantu.. Saya percaya  kalau setakat  tajaan itu membawa kepada juara Piala Malaysia tetapi sekiranya disalurkan kepada yayasan pendidikan dalam masa 20 tahun misalnya jumlah wang itu mampu melahirkan  banyak profesional Melayu yang bertaraf antarabangsa.

Tentu ada yang berkata,  untuk apa menubuhkan yayasan pendidikan kerana  media tidak akan memberikan tumpuan seperti menaja pasukan bola sepak.  Saya akui hakikat ini dan sebab itulah sesetengah pihak dalam industri media perlu melakukan anjakan paradigma supaya memberikan banyak tumpuan atau publisiti kepada  perkara yang boleh memajukan bangsa dan mengurangkan  yang menjurus kepada melemahkannya. Media mesti membentuk  anjakan pemikiran masyarakat,  mengalihkan daripada suatu yang tidak membina bangsa kepada suatu yang membina. 

Dalam penguasaan orang Melayu dalam ekuiti yang tidak sepadan dengan usia kemerdekaan yang orang Melayu perjuangkan,  takkan kita masih  mahu  terus menidurkan orang Melayu dengan isu  tajaan bola sepak.  Kalau nak taja, tajalah. Saya fikir kita tidak wajar ikut terbius dengan keseronokan yang sementara itu. Ketika orang Melayu menjadi pencandu bola sepak dan memenuhi semua stadium, di mana orang Cina?   Ini menunjukkan  di luar mimpi,  kuasa ekonomi dipegang oleh Cina  dan Melayu hanya  terpesona dengan  bola  itupun bola yang hampir kempis.

Saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan di gerai mamak atau kafe kerana saya tidak teruja untuk menyampuk apabila mereka bercerita tentang jana  RM16 juta. Saya bukan marah tetapi saya fikir sumbangan saya kepada bangsa terlalu kecil.  Jadi tak wajarlah saya bincang hal-hal tauke bedak pemutih taja bola sepak.  Maknanya masa berbual pun perlu dimanfaatkan kepada perkara-perkara yang berfaedah. Apa lagi dalam keadaan  bangsa  kita yang semakin terundur di belakang. Kini datang pula satu bala kepada orang Melayu apabila keterujaan isu bola sepak  membayangi realiti pedih yang mereka hadapi. Bila lagi Melayu hendak berubah?



Friday, January 15, 2016

Siapa yang mengarahkan adakan program ulang tahun ke 40 kepulangan Razak?


Seingat saya kita tidak pernah menganjurkan program sedemikian besar untuk memperingati kepulangan Perdana Menteri kedua, Razak Hussein  seperti yang ke 40 tahun baru-baru ini.  Tidak ada pula program besar-besaran sempena tahun ke 20 atau tahun ke 30.  Tetapi kenapa ke 40 sangat menonjol hingga diadakan seminar dan segala bagai?

Jujurkah mereka yang terlibat dengan penganjuran program memperingati  kepulangan Razak ke 40 tahun ini?  Kalau mereka berkerja atau membuat kerja dengan menganjurkan program ini tidak jujur,  kita mahu gelarkan mereka ini sebagai manusia jenis apa?  Bagi saya sangat baik kita memperingati pemimpin.  Tetapi kenapa sebelum ini tidak disambut seperti tahun ini?

Adakah ini kerana faktor Najib sebagai Perdana Menteri ketika ini?  Masa ulang tahun ke 20 atau ke 30,  Najib belum menjadi Perdana Menteri maka  penganjur yang bermuka-muka itu pun  tidak menganujurkan kerana Najib bukan Perdana Menteri.  Tahun ini kerana Najib menjadi Perdana Menteri maka dianjurkan segala macam program memperingati bapa Najib.

Saya fikir mereka ini tidak jujur, mereka membuat sesuatu kerana ada alasan lain bukan  secara jujur  memperingati Razak.  Adakah  mereka tidak malu dengan  ketidakjujuran yang mendasar dalam diri mereka?   Atau  adakah Najib yang mengarahkan ulang tahun ke 40 dibuat secara gilang gemilang kerana dia yang berkuasa ketika ini?

Kita jangan menyanjung Razak kerana Najib.  Razak telah kembali ke rahmatullah 40 tahun lalu tetapi baru kali ini program memperingati Razak diadakan secara besar-besaran. Bagi saya Razak jauh lebih besar malah tidak wajar dibandingkan dengan Najib dalam apa segi sekalipun.  Maka sepatutnya  memperingati Razak tidak perlu menunggu  Najib menjadi Perdana Menteri. Itu pun kalau "kita"  bukan pengampu  yang beriya-iya  menjulang kembali Razak ketika ini.

Dalam soal ini saya melihat  Tokoh Wartawan Negara,  Zainuddin Maidin (Zam) jauh lebih jujur daripada sebahagia besar mereka yang terlibat dalam menjulang semula Razak ketika ini.  Lebih kurang sepuluh tahun lalu Zam menulis buku  Jejak Patriot yang memfokuskan  perjuangan Razak membangunkan bangsa dan negara.

Zam menulis buku ini bukan kerana hendak mengampu Najib kerana ketika itu  Najib  adalah menteri Kabinet biasa dan belum ada bayangan akan menjadi Perdana Menteri.  Zam  adalah wartawan semasa  Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.  Malah ketika ini  Zam tetap menyanjung tinggi Razak tetapi pada masa sama menjadi pengkritik tegar kepada Najib. 


Thursday, January 14, 2016

Apabila Najib berkerja setiap hari

Perdana Menteri Najib Razak berkata, dia mengikut sifat ayahnya  Razak Hussein yang komited dengan kerja  membuatkan Najib berkerja setiap hari.  Walaupun Najib berkerja setiap hari tetapi berbeza dengan rakyat marhaen yang ditindas oleh kos sara hidup yang tinggi  membuatkan mereka bukan sahaja berkerja setiap hari  tetapi terpaksa membuat dua atau tiga kerja hingga 18 jam sehari.  Saya lebih bersimpati kepada rakyat marhaen  yang hanya menjadi tangga kepada sesetengah pemimpin politik untuk memetik buah musim pilihan raya.

Siapa panel pilih Pantai Kasih?

TERKINI:

Tokoh sastera yang juga seorang ahli akademik,  Rahman Shaari  berkata kepada Berita Harian bahawa guru-guru yang mengajar Komsas  perlu  menggunakan pendekatan psikologi terbalik untuk menjadikan yang lucah sebagai tidak lucah. Jadi,  Pantai Kasih yang ada unsur-unsur lucah, menurut Rahman perlu disampaikan sebaliknya.

Kalau begitulah caranya,  selepas ini bolehlah Kementerian Pendidikan memilih novel lucah kerana apabila menggunakan psikologi  terbalik ia menjadi tidak lucah, memetik kata Rahman Shaari. Mudahnya. Kalau orang kata lucah,  kita salahkan balik orang itu dengan berkata, "Itu salah awak kerana tidak membaca terbalik".

Saya tidak menolak syor Rahman tetapi persoalannya kena memilih jalan susah memilih novel yang ada unsur-unsur lucah kemudian memaksa guru pula untuk menterbalikkan  menjadi tidak lucah?  Bukanlah  lebih baik kalau dari awal lagi memilih  yang bersih daripada unsur-unsur itu?  Adakah  saranan Rahman ini boleh dianggap sebagai  daging yang busuk tetapi sayang untuk dibuang lalu dibasuh untuk menghilangkan kebusukannya dan dimakan?  Adakah Rahman mahu menyelamatkan novel ini yang kemungkinan dikeluarkan dari Komsas?

Pada pengamatan saya Azmah Nordin bukanlah penulis novel picisan seperti  yang berlambak di pasaran.  Azmah Nordin dalam kelas lain cuma  novel ini sahaja yang  agak erotik.  Soalnya kenapa  Azmah Nordin sendiri  tidak menolak apabila novel ini dipilih menjadi teks Komsas?  Kalau Azmah Nordin jujur dengan karyanya, saya pasti dia akan berbuat demikian sekalipun akan kehilangan beratus ribu ringgit hasil royalti.


Posting asal:


Novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin telah mencetuskan kontroversi di media sosial dan kini menjadi tumpuan di media arus perdana kerana dikatakan mengandungi  unsur-unsur lucah yang tidak sesuai  untuk bacaan dan kajian pelajar.  Novel ini  antara karya sastera yang  menjadi teks Komsas Tingkatan Empat.

Berdasarkan beberapa petikan yang terdapat di media sosial,  siapa pun akan bersetuju bahawa hanya panel yang bernaluri lucah sahaja yang menganggap  novel ini sebuah karya sastera untuk menerapkan pengajaran kepada pelajar.  Soalnya siapakah yang menjadi panel memilih novel ini?

Akhbar Berita Harian hari ini misalnya memuatkan pandangan daripada beberapa pensyarah dan guru  yang sudah membaca novel ini dan menganggap tindakan  panel yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan boleh merosakkan  akhlak pelajar dalam jangka masa panjang.  Hakikatnya  kita tidak ketandusan  novel-novel yang  baik, sama ada nilai estetika sastera atau kandungan moral  serta pemikiran tetapi kenapa novel Pantai Kasih yang dipilih?

Selepas Kementerian Pendidikan  tunduk kepada desakan segelintir dalam kalangan masyarakat India yang menganggap novel Interlok karya Abdullah Hussein  menghina orang India,  adakah Kementerian Pendidikan  tidak mahu tunduk kepada desakan orang Melayu sendiri  supaya  mengeluarkan Pantai Kasih daripada Komsas?

Apakah  rasionalnya  memilih  Pantai Kasih yang dalamnya ada unsur-unsur lucah ( seperti yang dibangkitkan oleh banyak pihak)  selepas beberapa tahun lalu  panel Kementerian Pendidikan membatalkan pemilihan  novel Cinta Madinah  karya Abu Hassan Murad?   Adakah Cinta Madinah lebih lucah berbanding  Pantai Kasih?

Selepas ini supaya pemilihan lebih telus,  umumkan sahaja barisan panel yang diberi tanggungjawab memilih novel  Komsas. Apa hendak dibimbangkan kalau pemilihan dibuat dengan tepat.  Tetapi beberapa petikan yang menjadi viral di media sosial  daripada novel Pantai Kasih tentulah membuatkan kita tertanya-tanya siapakah panel  yang sangat tidak layak itu?

Kalau Kementerian Pendidikan tidak serius memilih panel yang berwibawa,   saya ingin mencadangkan  untuk tahun depan eloklah pilih novel  seperti Cinta Si Wedding Planner,  Playboy Itu Suami Aku, Love You Mr Arrogant dan banyak lagi yang dijadikan drama televisyen.



Tuesday, January 12, 2016

Rakyat diperbodohkan dalam isu bauksit

Banyak yang tidak sedar ada main wayang dalam isu bauksit.  Isu ini telah dialih tumpuan kepada hal-hal lain daripada isu utama yang menjadi masalah kepada rakyat.  Cuba perhatikan,  mula-mula isu bauksit bukanlah pelombong haram atau halal. Isunya  pencemaran yang sangat  teruk kepada alam sekitar dan penduduk setempat.

Ini isu bauksit yang sebenar.  Tetapi kerana menjaga kepentingan pihak tertentu,  isu ini beralih kepada wujudnya pelombong haram dan SPRM juga ikut main wayang apabila menahan  beberapa kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Pahang (PTG)  di atas dakwaan mengeluarkan lesen palsu. Dari lesen palsu ini wujud pelombong haram.

Dalam soal ini rakyat telah diperbodohkan oleh tindakan-tindakan  yang seolah-olah isu bauksit adalah pelombong haram dan penyelewengan  di PTG Pahang.  Rakyat jangan menelan bulat-bulat propaganda kerajaan untuk  menutup  isu sebenar bauksit kerana  sama ada pelombong haran atau halal,  melombong bauksit tetap memberi kesengsaraan kepada rakyat.

Faktanya, pelombong haram hanya segelintir sementara yang lain adalah pelombong halal yang diberi lesen oleh kerajaan.  Sepatutnya  SPRM  turut menyiasat  pihak  yang memainkan peranan mempertahankan perlombongan bauksit di Pahang.  SPRM jangan membiarkan agensi ini dipergunakan untuk menutup isu sebenar bauksit  yang seolah-olah tidak boleh disentuh.

Nampaknya berterusanlah rakyat dipermain-mainkan dan dijadikan mangsa kerakusan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan.  Kemudian rakyat diperbodohkan  selepas   penduduk setempat melaporkan fenomena ikan mati di sungai  dalam keadaan luar biasa apabila Jabatan Perikanan Negeri menganggap ikan mati perkara biasa.

Semua orang tahu bahawa ikan mati perkara biasa tetapi yang luar biasa adalah dalam jumlah yang besar dan kalau benar fenomena biasa kepada penduduk setempat menganggap luar biasa?  Nasib baik Jabatan Perikanan tidak berkata,   ikan di pasar pun mati,  tidak ada masalah pun.

Rakyat wajar ambil peringatan bahawa dalam apa keadaan sekalipun sudah tidak siapa yang akan melindungi kepentingan dan kehidupan mereka.  Walaupun  mereka tenggelam dalam debu merah, percayalah pihak-pihak tertentu terus membuat lawak bodoh   bagi menjawab pertanyaan wartawan. Inilah yang dikatakan rakyat didahulukan.  Rakyat didahulukan menerima kesengsaraan.


Raja Nazrin menginsafkan saya

“Pengolahan berita yang keterlaluan memihak, memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih, tidak memberi manfaat, bersifat counter productive, dan jika dilakukan secara keterlaluan oleh institusi media rasmi negara, dibimbangkan perbuatan sedemikian, pada akhirnya semakin memisahkan rakyat dengan kerajaan. Pengarang Timothy B. Tyson, pemegang “Grawemeyer Award 2006, mengingatkan “If there is to be reconcilliation, first there must be truth”.  

Oleh itu, laporan yang menjunjung prinsip kebenaran, keadilan, ketepatan dan kesahihan adalah penentu kepada kredibiliti dan integriti institusi media.

Bahawa fakta yang tepat itu suci sifatnya - murni kandungannya, dan institusi media wajib berpegang kepada prinsip kebenaran yang kudus; sementara para petugas pula menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan hati dan iman yang penuh takwa, insaf, bahawa setiap perkataan, setiap perbuatan di dunia ini, akan dinilai oleh Allah SWT pada hari pengadilan nanti.”

Di atas adalah petikan titah ucapan  Sultan Perak, Raja Nazrin di Ipoh baru-baru ini.  Saya fikir semua  peneraju organisasi media,  editor dan  wartawan  negara ini wajib menghayati saranan Raja Nazrin  supaya wartawan dan kewartawanan dihormati kerana prinsip kebenaran yakni tidak memihak  menjaga kepentingan kelompok atau individu tertentu (bukan atas alasan kebenaran tetapi alasan politik).

Bagi saya,  ucapan Raja Nazrin sangat menginsafkan.  Bagaimanapun setakat ini saya boleh bersyukur kerana tidak pernah “memutihkan yang hitam”  demi menjaga kepentingan politik pihak tertentu  yang bertenggek di atas hujah lapuk kononnya  mereka  berjuang demi kepentingan Melayu dan Islam.  Kalau hitam saya akan katakan hitam,  begitu juga kalau sebaliknya.

Tidak ada ertinya  hebat menjadi  wartawan  kalau  prinsip asasnya untuk kepentingan umum  tidak dipegang sebaliknya berkerja untuk sekelompok kecil dan individu tertentu. Tidak perlu belajar di universiti untuk memahami prinsip kebenaran. Ia timbul  berpandukan tujuan apa untuk menjadi wartawan.  Memang benar  wartawan antara golongan profesional yang berpengaruh. Kalau  pelukis boleh menukarkan warna laut  di atas kanvas,  wartawan yang boleh menukarnya  dengan keupayaan mencipta persepsi. Akhirnya  seperti kata Raja Nazrin  yang  hitam diputihkan dan yang putih dihitamkan.

Bagaimanapun  semua  keupayaan itu akhirnya tidak ada nilai  apabila  kita tidak berkerja  demi  kesejahteraan rakyat tetapi  sekadar  menyambung nyawa  politik pihak tertentu.  Orang bijaksana  kerap mengingatkan, pena lebih tajam daripada mata pedang. 

Sangat  benar. Maka bayangkan kalau pedang itu kita  gunakan untuk memancung mangsa yang tidak sepatutnya.  Kemuliaan pendekar adalah menewaskan musuh rakyat,   bukannya musuh peribadi.  Kemuliaan wartawan  adalah berjuang untuk rakyat bukan untuk kesenangan  diri. Ia berbalik kepada siapa yang menggunakan pedang itu,  

Wartawan pada prinsipnya adalah  golongan yang mempunyai pemikiran. Tetapi bayangkan alangkah  hinanya kalau pemikiran itu tidak digunakan  sebaliknya  apabila membiarkan  golongan tertentu mencucuk hidung.  Wartawan yang sedemikian tentulah tidak ada bezanya dengan  pengiklan yang menulis untuk orang mempercayai kehebatan sesuatu barangan yang dia sendiri meraguinya.

Kalau ada pihak yang cuba memperbodohkan wartawan dengan berkata bahawa bulan berwarna biru,  biarlah  kelompok yang dungu  sahaja yang mempercayai  atau pura-pura percaya kemudian  menjaja kebodohan itu kepada orang lain.  Wartawan tidak sepatutnya  bersekutu dengan pembohongan kerana prinsip wartawan seperti kata Raja Nazrin adalah kebenaran.

Raja Nazrin telah menambahkan lagi keinsafan saya bahawa dalam  setiap penulisan  saya memastikan tidak dirasuk oleh faktor-faktor material atau kedudukan  dengan  mengabaikan fakta sesuatu yang hitam tetapi dikatakan putih.  Dalam konteks ini benarlah kata  Sasterawan Negara A. Samad Said dalam  novel Hujan Pagi,  wartawan sejati bukan sahaja makan gaji tetapi juga terpaksa makan hati.

Maka  pihak yang berkuasa ke atas media dan wartawan jangan abaikan peringatan Raja Nazrin bahawa,   “Era pihak berkuasa merasakan mereka mengetahui semua sudah berakhir. Era institusi penyiaran milik negara berada di puncak tertinggi telah sampai ke ruang senja. Malah trend semakin menunjukkan bahawa kredibiliti agensi media dan komunikasi milik negara semakin sehari semakin dipertikaikan. Kini media baru bukan sahaja semakin berada di pentas utama malah semakin memperlihatkan peranan mencanai minda dan mempengaruhi pendirian warga di serata dunia.”


Erti kekayaan bagi Syed Mokhtar

Saya pernah membuat wawancara eksklusif dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary selama dua jam setengah mula pukul 11 malam di  Muzium Kesenian Islam pada 2007. Kesimpulan daripada  wawancara panjang itu ialah Syed Mokhtar mengamalkan  konsep kekayaan  adalah satu proses untuk membantu golongan  yang memerlukan.

Beliau berpendapat,  kekayaan yang diperoleh dengan izin Allah mahu dikongsikan  dengan pihak yang memerlukan. Misalnya beliau  menubuhkan Yayasan Al Bukhary yang mengeluar biasiswa dan menaja beribu pelajar miskin melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.

Tidak cukup itu  yayasan ini juga membiayai  orang miskin mengerjakan haji pada setia tahun.  Syed Mokhtar berpendapat zakat yang dikeluarkan setiap tahun tidak memadai berbanding rezeki  yang Allah berikan kepadanya.  Oleh kerana itu  beliau menubuhkan Yayasan Al Bukhary untuk membantu golongan yang miskin.

Suatu hari jawatankuasa surau  Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur menghantar surat permohonan untuk membaikpulih surau berkenaan. Apabila  Syed Mokhtar mendapat tahu permohonan itu,  beliau sedekahkan sebuah masjid iaitu Masjid Al Bukhary.

Bagaimanapun  Syed Mokhtar memilih tidak “mesra media”.   Sepanjang menjadi tokoh perniagaan dan antara sepuliuh terkaya di negara ini,  Syed Mokhtar hanya memberi  dua kali peluang kepada media mewawancara beliau. Kedua-dua wawancara itu dibuat oleh Mingguan Malaysia.

Beliau tidak pernah memberikan sidang akhbar atau kenyataan akhbar.  Sebaliknya sidang akhbar atau kenyataan akhbar dikeluarkan oleh  CEO atau pengerusi  syarikat-syarikat miliknya.  Bagi Syed Mokhtar biar orang bercakap tentang dirinya, bukan  beliau  mempopularkan  dirinya di media.

Kata-kata Syed Mokhtar yang masih saya ingat, “Apalah sangat hendak dibanggakan dengan kekayaan,  rumah besar macam singahsana pun pada satu-satu masa kita tidur satu bilik sahaja,  memandu satu kereta sahaja dan makan  hanya sampai kenyang sahaja.”  Sebab itu orang tidak tahu  apa jenis kereta,  rumah  dan cara hidup Syed Mokhtar seperti sesetengah orang kaya lain.

Saya sangat setuju dengan Syed Mokhtar bahawa kekayaan  bukan untuk diperagakan  atau  disalurkan kepada kegiatan yang tidak ada kaitan  membantu golongan miskin.  Kaya lawannya miskin, maka  apabila dianugerahkan kekayaan,  itu adalah  hak golongan yang miskin. 

Saya berbangga ada orang Melayu kaya yang mempunyai pemikiran dan keinsafan seperti Syed Mokhtar. Tetapi saya bukan sahaja tidak berbangga malah rasa  diperbodohkan  oleh orang kaya  yang memperagakan kekayaan yang semuanya untuk dirinya.

Wednesday, January 6, 2016

Zahid Hamidi, Hadiah Nobel dan Harry Potter


Saya selalu percaya bahawa melibatkan pemimpin politik dalam acara-acara kesusasteraan dan akademik lebih banyak membawa  mudarat  daripada mengangkat ke tahap pemikiran yang lebih tinggi.  Malah acara-acara kesusasteraan  misalnya tidak  perlu menjadi tempat untuk pemimpin politik menghamburkan  pemikiran setengah masak atau sudah basi.

Tetapi masalahnya  dalam kalangan penganjur  acara kesusasteraan,  pemikiran mereka juga masih dijajah. Asal sahaja  ada acara,  yang terlintas untuk merasmikan ialah pemimpin politik.  Kenapa tidak ada  cadangan acara kesusasteraan dirasmikan oleh tokoh sastera sendiri,  Sasterawan Negara umpamanya.

Tujuannya supaya setiap patah daripada ucapan itu  bukan retorik politik,  idea setengah masak atau idea basi.  Sasterawan kita jauh lebih ke depan pemikiran dan gagasan berbanding sesetengah pemimpin politik yang  tidak tahu apa-apa tentang kesusasteraan tetapi berlagak semua tahu.

Baru-baru ini  semasa merasmikan acara Apresiasi Tokoh Sarjana:  Penerima Anugerah Tokoh Buku Negara,  Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi telah melontarkan dua gagasan kelakarnya.

Kita tidak boleh menyalahkan  Zahid Hamidi kerana “buat kelakar” di depan  sarjana dan sasterawan, tetapi kita patut mempersoalkan penganjur iaitu Yayasan Pembangunan Buku Negara yang “memaksa” dan “meletakkan”  Zahid Hamidi  dalam persekitaran yang  canggung baginya.

Jenaka pertama apabila  Zahid Hamidi  mencabar sasterawan tempatan supaya memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan  selewat-lewatnya pada 2057 iaitu sempena 100 tahun merdeka. Macam tidak percaya  cabaran itu dizahirkan oleh  Zahid Hamidi,  Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Ini kerana “satu dunia”  (bukan 1 Malaysia lagi)  sudah tahu  berlakunya  pemainan politik, berat sebelah  dan cuba mencaturkan pemikiran  manusia di dunia dengan memilih  sasterawan tertentu  sebagai penerima Hadiah  Nobel Kesusasteraan.  Sasterawan besar  dunia sudah lama  tidak percaya kepada  Hadiah Nobel Kesusasteraan  malah tidak bercita-cita untuk mendapatkannya.

Hadiah Nobel Kesusasteraan  pada dekad terakhir ini  lebih  menjurus kepada sasterawan yang  menentang establishment,  Islam dan  memperjuangkan hak asasi manusia daripada definisi  Barat.  Memang benar,   sebelum ini  Hadiah Nobel Kesusasteraan  adalah tanda aras tanda aras yang boleh dipakai.  Itu dulu.

Bagaimanapun  cabaran  Zahid Hamidi supaya  sebelum 2057 ada pemenang  Hadiah Nobel Kesusasteraan  dari negara ini bukan  suatu yang mustahil  sekiranya  selepas ini muncul sasterawan yang anti Islam,  anti Melayu,  menolak Perlembagaan dan memperjuangkan hak asasi manusia dan LGBT.  Zahid kenalah berbangga kalau  suatu hari nanti sasterawan begini muncul sebagai penerima Hadiah Nobel  Kesusasteraan pertama  adalah jenis ini.

Cuba kita lihat, daripada lima pemenang  Hadiah Nobel  Kesusasteraan Rusia, hanya seorang sahaja yang tidak mempunyai kaitan dengan pergerakan  politik dan  pemilihannya dilihat tepat dengan ketinggian karya-karya yang dihasilkan iaitu Mikhail Sholokhov.

Tetapi selebihnya  empat penerima Hadiah  Nobel  Kesusasteraan  dari Rusia yang lain  adalah  aktivis  gerakan politiknya anti  Rusia yakni anti kerajaan.  Mereka adalah  Ivan Bunin,   Boris Pasternak  (penulis novel Dr. Zhivago),   Alexander Solzhenitzyn dan  KeIosif Brodsky.

Ini menunjukkan  sikap anti establishment  menjadi antara  prasyarat  penting  untuk memenangi  Hadiah Nobel Kesusasteraan. Adakah dalam kalangan  sasterawan besar kita termasuk Sasterawan Negara tidak memiliki ciri-ciri ini  tersebut. Mereka  tidak  memperjuangkan hak asasi hingga terlepas dari paksi Islam sebagai agama Persekutuan.

Jenaka of the year yang kedua daripada Zahid Hamidi ialah  tanda aras kecemerlangan  pemikiran, seni dan sastera  (menurut  Zahid Hamidi)  antaranya ialah  kecemerlangan novel Harry Porter dan  Winter Sonata  yang diadaptasi ke filem dan mencatatkan keuntungan.

Saya fikir  untuk berlaku adil, kita patut membezakan  antara  novel  popular dengan  novel yang membawa pemikiran besar menerusi bahasa yang murni.  Harry Porter  bukanlah karya sastera yang boleh dijadikan panduan atau rujukan walaupun  popular. 

Karya-karya oleh  Sasterawan Negara kita jauh lebih besar pemikirannya berbanding  Harry Porter misalnya  karya-karya besar oleh  Sasterawan Negara Anwar Rethuan,  Sasterawan Negara  Usman Awang,  Sasterawan Negara  Keris Mas, Sasterawan Negara A. Samad Said dan beberapa sasterawan lagi.  Novel Harry Porter tidak besar dan bagilah  contoh lain yang lebih diyakini. 



Bauskit dihentikan 3 bulan sahaja, rakyat telah dipermainkan


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Kabinet telah memutuskan untuk mengenakan moratorium (henti sementara) ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari ini.
x
Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
x
Menurut Wan Junaidi, dalam tempoh pelaksanaan moratorium tersebut, kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan bersepadu bagi memastikan perkara ini dipatuhi.
x
“Tempoh moratorium ini akan dilaksanakan selama tiga bulan mulai tarikh tersebut. Tindakan penguatkuasaan bersepadu akan melibatkan agensi Persekutuan dan negeri termasuklah tentera, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. - Utusan online
 x
Komen saya:
 x
Selepas tiga bulan  aktiviti yang menyusahkan rakyat itu akan disambung semula dan  sekaligus ini menunjukkan  apalah sangat dengan  kesusahan rakyat apabila kerajaan negeri Pahang tidak mengambil kira tentang perkara itu.
x
Nampaknya kerajaan pusat pun sudah habis usaha untuk membanteras perlombongan bauskit apabila ada pihak yang lebih berkuasa mahu  aktiviti itu diteruskan walaupun  laut menjadi merah,  rakyat  terdedah kepada penyakit dan  alam sekitar tercemar dengan teruknya.
x
Persoalannya  siapakah yang terlalu kebal hingga kerajaan pusat tidak boleh berbuat apa-apa. Malah sidang akhbar Menteri  Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi Tuanku Jaafar  tidak lebih  retorik untuk mengumumkan  kerajaan akan menguatkuasakan peraturan perlombongan bauskit.  Adakah selama ini tidak ada penguatkuasaan?  Rakyat bukan pemakan dedak yang  terlalu dungu untuk berfikir.
x
Kalau setakat inilah kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,  lebih baik mansuhkan sahaja kementerian ini yang tidak memperlihatkan sedikit pun prihatin kepada kesusahan rakyat sebaliknya prihatin kepada pihak yang mengaut keuntungan.
x
Setidak-tidaknya  kerajaan dapat menjimatkan  belanja (gaji  Menteri, Timbalan Menteri dan berbagai-bagai lagi, tidak terkecuali  pegawai-pegawai kanan kementerian)  daripada dibazirkan oleh kementerian yang tidak berupaya waima untuk menghentikan perlombongan bauskit di sebuah daerah  (bukan negeri atau negara) di Pahang.
x
Walaupun  laut di muara Sungai Balok dan Pantai Batu Hitam bertukar menjadi “darah”  baru-baru ini tetapi  Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) menafikan dakwaan bahawa kejadian  itu  berpunca  daripada  limpahan bauksit dari Pelabuhan Kuantan.
x
Ketua Pegawai Operasi KPC, Datuk Khasbullah A Kadir, berkata siasatan pihaknya mendapati air di sekitar Pelabuhan Kuantan, antaranya di Sungai Pengorak tidak terjejas seperti di Sungai Balok dan Pantai Batu Hitam.
x

Nampaknya banyak pihak yang cuba menyelamatkan diri (play safe) dalam isu rakyat yang sangat kritikal sekarang ini. Macam ada suatu yang tidak kena dengan isu kali ini.  Apabila KPC  menafikan  laut bertukar menjadi merah disebabkan bauskit,  maka  benarlah kata netizen  bahawa  semua itu disebabkan air sirih yang mengalir ke laut.  Jalan selamat  kerajaan wajib mengharamkan  sirih dibawa masuk ke Pahang.