Tuesday, December 29, 2015

PKR membisu isu atlet Israel

Menteri Belia dan Sukan, Khairy  Jamauddin  memperlihatkan pendirian tegas dalam isu menolak penyertaan atlet luncur angin dari Israel yang beraksi di Langkawi baru-baru ini.  Walaupun  DAP menganggap tindakan Khairy sebagai tidak adil kerana tidak memisahkan  ideologi dan kesukanan,    Pas  tetap menyokong  tindakan Khairy.

Saya percaya Pas menyokong bukan kerana  demam  hubungan mesra UMNO - Pas sejak akhir-akhir ini.  Pas belum menerima pinangan UMNO yang sangat teruja itu.  Tetapi Pas menyokong  Khairy kerana melibatkan isu  Islam  dan kemanusiaan   apabila  dasar  Israel yang menzalimi  rakyat  Palestin.

 Tetapi yang menjadi persoalan ialah  PKR yang  terus diam membisu dalam isu melibatkan Israel?
Kenapa PKR dengan tiba-tiba menjadi bisu?  Adakah ini mengesahkan kemesraan  pemimpin besar PKR dengan Israel yang banyak diperkatakan selama ini?  Dalam isu ini kita boleh melihat belang PKR dalam isu yang melibatkan agama Islam.  PKR  sengaja tidak melihat  isu  Israel  sebagai  isu  pencabulan terhadap Islam dan  kemanusiaan.

Pendirian DAP  sebenarnya tidak menghairankan.  DAP lebih melihat  hak  atlet Israel  untuk menyertai  acara sukan dengan memisahkan dengan isu-isu kemanusiaan yang melingkari rejim yang kejam itu.  Tetapi pada masa sama DAP tidak melihat  hak  rakyat Palestin yang dizalimi  Israel.  Dalam  konflik Israel - Palestin,  pihak yang melanggar asas-asas kemanusiaan ialah Israel maka  tiada  hubungan diplomatik.

Tindakan Khairy sangat tepat kerana  membenarkan  penyertaan  atlet Israel tidak boleh mengubat  kelukaan dan kesengsaraan berjuta rakyat Palestin yang dizalimi  Israel.  Sebaliknya  melarang penyertaan mereka telah mengangkat maruah Malaysia bukan sahaja  memperjuangkan  rakyat Palestin  tetapi  juga kemanusiaan  sejagat.

Tetapi sangat malang PKR tidak  berminat untuk memperlihatkan pendirian. Adakah ini kerana mahu menjaga hati  sekutunya DAP  yang menyokong penyertaan atlet Israel?  Ternyata PKR  bermain politik dalam semua perkara yang boleh menyumbangken keuntungan kepadanya.  Tidak seperti Pas yang tidak  melihat keuntungan politik  dalam semua perkara. 

Adakah ini bermakna Azeez Rahim bersandiwara?

Selepas  sebuah blog membuat pendedahan bahawa Tabung Haji telah membeli sebidang tanah  di TRX  (milik 1MDB)  dengan harga yang jauh lebih mahal daripada pasaran,  Pengerusi Tabung Haji, Azeez Rahim  seolah-olah "merajuk"  kerana pembelian tanah yang dikatakan menguntungkan Tabung Haji itu dicemuh oleh banyak pihak.  Azeez mengumumkan  Tabung Haji akan  menjualkan semula tanah itu untuk mengelak persepsi serong kepada Tabung Haji.

Sejak awal lagi saya tertanya-tanya  adakah pembelian tanah itu dibuat oleh panel pelaburan yang profesional atau panel politik?  Kalau dibuat secara profesional,  Azeez  tidak perlu merajuk mahu menjual semula kerana cemuhan rakyat.  Kalau dalam isu ini Azeez melayan cemuhan rakyat,  rakyat juga mengkritik Azeez yang lebih sudu dari kuah berbanding  Ketua Pegawai Ekselutif  Tabung Haji dalam memberikan kenyataan kepada media.

Azeez sewajarnya  melayan juga cemuhan rakyat  dengan melepaskan jawatan Pengerusi Tabung Haji.  Tetapi ini tidak berlaku.  Organisasi  yang hebat seperti Tabung Haji tidak boleh diurus berdasarkan cemuhan rakyat.  Tabung Haji mesti diuruskan dengan profesional.  Azeez sudah tidak profesional apabila membelakangkan panel pelaburan yang profesional  dalam isu membeli tanah di TRX.

Bagaimanapun berita terbaru, Menteri  "Agama" ,  Jamil Khir  Baharom berkata,  Tabung Haji tidak menjualkan tanah tersebut  kerana akan memberikan pulangan yang tinggi. Jadi, benarlah  rajukan  Azeez hanya  sandiwara, padahal  urusan pembelian itu tidak berubah apa-apa walaupun  banyak pihak mempersoalkan kenapa 1MDB  (Najib) membeli tanah itu daripada kerajaan (Najib) dengan harga yang  murah tetapi dijual kepada Tabung Haji dengan harga yang berlipat ganda?

Zahid kata jangan percaya WSJ

Timbalan Perdana Menteri (yang baharu) Zahid Hamidi meminta rakyat supaya tidak percaya dengan laporan terbaru   The Wall Street Journal mengenai syarikat kebanggaan negara, 1MDB.  Tidak ada masalah untuk tidak mempercayai laporan akhbar kewangan  nombor satu dunia itu tetapi dengan syarat Zahid memberikan laporan yang boleh dipercayai mengenai 1MDB.  Saya tidak fikir rakyat mempercayai The Wall Street Journal kalau   Zahid juga mengeluarkan angka-angka yang dikatakan  tidak tepat itu. 

Sunday, December 27, 2015

Najib juga kena beri berita sahih dan benar

Saya bersetuju dengan saranan Perdana Menteri, Najib Razak supaya semua pihak jangan menyiarkan atau menyebarkan berita yang tidak sahih atau palsu.  Saya tidak fikir ada pihak yang menyanggah saranan Najib dalam perkara ini.  Memang benar  sejak akhir-akhir ini banyak berita tidak sahih disebarkan oleh pemain-pemain di media sosial.

Tetapi pada masa yang sama Najib dan  sekelian menteri juga perlu memberikan berita yang benar bukan jawapan berupa retorik politik supaya yang sampai kepada rakyat adalah berita benar bukan yang palsu.  Untuk mendapatkan berita benar sumber perlu memberikan fakta yang sebenar.

Oleh yang demikian Najib  yang  menjadi salah satu sumber berita kepada media tempatan perlu memberikan fakta sebenar mengenai isu derma RM2.6 bilion.  Najib sebelum ini memberitahu derma itu sebagai dana politik. Tetapi peliknya tidak ada dalam penyata kewangan UMNO.  Najib wajar memberitahu fakta sebenar di mana wang sebanyak itu disalurkan?  Adakah kepada DAP, Pas  atau PKR kerana tidak ada dalam akaun UMNO.

Najib berupaya menghentikan penyebaran berita yang tidak sahih tentang derma kalau dia sendiri  yang memberikan fakta yang sebenar.  Kalau dia mengambil pendekatan membiarkan juak-juaknya memberikan kenyataan retorik  tentang derma itu,  akan berterusanlah "berita palsu"  tentang isu tersebut.




Saturday, December 26, 2015

Pendirian Khairy dalam isu Israel mesti disokong


Semua pihak yang memperjuangkan keamanan dan keadilan  serta menolak kezaliman wajar menyokong  tindakan bermaruah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin  yang tidak memberikan visa kepada dua peserta luncur angin  Israel yang dijadualkan menyertai kejohanan itu di Langkawi esok.

Tindakan Khairy bertepatan dengan pendirian Malaysia yang  mengutuk Israel yang mencabul  dan merampas tanah rakyat Palestin sejak 1948 hingga kini.  Pendirian Malaysia terhadap Israel bukan kerana ideologi politik tetapi  sikap kejam Israel terhadap pemilik asal negara Palestin.

Pada masa yang sama tindakan Khairy telah memperlihatkan UMNO ke depan dalam isu-isu yang melibatkan pemcabulan hak asasi rakyat Palestin oleh Israel walaupun  Khairy membuat tindakan itu di atas kesedaran peribadinya sebagai  individu yang menjunjung hak asasi  manusia khususnya Palestin.

Tindakan Khairy menimbulkan rasa kurang senang Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin  yang menganggap  Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Katakan kepada Chong Zhemin bahawa tindakan menghalang penyertaan dua peserta Israel bukan disebabkan oleh sentimen politik.  Malah DAP juga seharusnya sensitif kepada pendirian Malaysia yang memperjuangkan hak asasi  rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi Israel.

Tetapi malangnya DAP tidak melihat perbuatan  kejam Israel terhadap Palestin sebagai mencabul hak asasi rakyat asal Palestin di mana sekarang ini negara Palestin  hampir semuanya diceroboh oleh Israel,  satu bangsa yang hina dan tidak ada negara.

Apakah terlalu besar lesen sukan hingga boleh membuatkan kita yang meraikan keamanan dan keadilan melupakan kekejaman Israel kepada Palestin,  bukan kerana Islam tetapi kepada bukan Islam pun tindakan Israel ini  dikelaskan  sebagai sangat kejam.  Pendirian DAP terhadap isu Israel sebenarnya sangat bahaya kerana tidak dapat membaca isu Israel bukan kerana ideologi politik tetapi kekejaman  terhadap sesama manusia.

Acara sukan luncur angin ini disertai oleh 50 negara termasuk Brazil, Argentina, Mexico, Rusia, Afrika Selatan, Sepanyol, Finland, Ireland, Itali, Belanda, Jerman dan Perancis.



Friday, December 25, 2015

Awas, retorik politik membayangi penyatuan UMNO - Pas

Sejak akhir-akhir ini  isu penyatuan UMNO dan Pas menjadi tajuk bualan utama sama ada di warung mamak di kaki lima atau di restoran mewah  hotel lima bintang.  Isu ini memang sangat "seksi"  dan sudah tentulah menarik perhatian banyak pihak untuk memperkatakannya.

Kesediaan Pas membuka pintu kepada kerjasama dalam isu-isu melibatkan Islam dan Melayu sangat dihargai.  Tetapi bagi UMNO  kerjasama  yang dimaksudkan bukanlah dalam isu -isu tersebut malah mahu diperluaskan hingga kerjasama politik. Ini boleh dilihat daripada  ulasan-ulasan  yang lebih membawa  "penyatuan" ini sebagai retorik politik  bukan penyatuan ummah seperti yang ditegaskan oleh Pas.

Pengulas beretorik,  kalau Pas menolak kerjasama menyelamatkan ummah (sebenarnya mahu kerjasama politik)  Pas  tidak mengotakan  slogan memperjuangkan martabat Islam.  Sebenarnya ulasan-ulasan  retorik begini yang boleh  menghalang kerjasama  yang sepatutnya dilaksanakan.  Semua pihak wajar berwaspada  supaya gagasan kerjasama UMNO - Pas ini memberikan faedah politik kepada individu tertentu untuk memastikan kelangsungan kuasa.

Pada teorinya memanglah gagasan kerjasama  (bukan kerjasama politik)  boleh mengukuhkan ummah tetapi Pas perlu perhalusi terma-terma kerjasama yang hanya tertumpu kepada isu Islam dan Melayu sahaja.  UMNO adalah parti yang kuat (ini banyak kali ditegaskan oleh pemimpinnya)  dan tidak perlulah menumpang pengaruh Pas untuk terus berkuasa.

Sekiranya mahu berkerjasama dalam politik,  kedua-dua parti mesti mengenali dalam dan luar pasangan masing-masing.  Pas perlu menerima gaya berpolitik UMNO  yang memerlukan duit yang banyak, begitu juga UMNO yang perlu memahami gaya politik penyokong Pas yang lebih banyak memberi daripada menerima habuan.

Dalam Pas, pemimpin peringkat bawah boleh berhujah dan menyanggah Presiden terutama dalam isu kerjasama dengan UMNO tanpa dikenakan tindakan  dipecat.  Tetapi dalam UMNO,  Presiden  selalu benar dan mempersoalkan boleh membuatkan seseorang  itu dipecat.


Monday, December 21, 2015

Cara mendepani skeptisme agama


Pemikir  dan penulis kontroversi Kassim Ahmad hari ini menang mencabar pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadapnya asas tuduhan menghina Islam dan melanggar fatwa.

Hakim Mahkamah Rayuan Vernon Ong menyampaikan keputusan panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan Putrajaya, yang antara lain mengisytiharkan penahanan  Kassim yang berusia  82 tahun itu pada 26 Mac lalu tidak sah.

Ong juga berkata terdapat pindaan dibuat terhadap waran tangkap yang digunakan kepada Kassim, justeru menjadikannya tidak sah dan terbatal.

Saya bukanlah penyokong Kassim Ahmad.  Tetapi apabila bercakap tentang individu seperti Kassim Ahmad, yang perlu dilihat dengan serius ialah   gerakan skeptisme agama  Birokrat agama sepatutnya melangkah  setapak ke depan untuk melihat secara mikro punca isu seumpama  yang dicetuskan oleh orang seperti Kassim.

Yang lebih serius dan bahaya sekarang ialah fenomena skeptisisme agama. Fenomena ini telah lama wujud dan Kassim Ahmad hanyalah sebahagian daripada mereka yang skeptikal terhadap Islam.

Skeptisisme agama dalam definisi longgarnya ialah mempunyai persepsi sinis terhadap agama, bukan sahaja Islam malah terhadap agama lain juga. Mereka ini juga ragu-ragu terhadap Islam kerana realiti yang berlaku tidak seperti yang dibaca, dipelajari ataupun diasuh di sekolah dan sebagainya mengenai Islam. Banyak yang bertentangan, mereka jadi keliru dan akhirnya skeptikal terhadap Islam.

Mereka telah hilang keyakinan kepada golongan yang digelar ulama, institusi  Islam dan pengemudi birokrat agama yang tidak bertindak seperti termaktub dalam Islam. Misalnya masih wujud pilih kasih dalam mengambil tindakan, tidak memperlihat ketegasan untuk turut mengemudi negara dengan menegur sesetengah pemimpin  yang diragui integriti dan yang lebih buruk ada ulama membiarkan diri menjadi bahan jual beli di pasar politik.

Di Barat, skeptisisme agama adalah satu cabang kajian akademik oleh ahli sosiologi dan teologi mengenai sikap sinis dan ragu-ragu terhadap agama Kristian. Tetapi tidak semestinya yang skeptikal terhadap agama menolak kewujudan Tuhan dan antiagama.

Ini satu gerakan massa  dan  individu bukanlah puncanya. Skeptisisme agama bukan satu cetusan, sebaliknya satu tindak balas. Maknanya, Kassim Ahmad bukan mencetuskan tetapi memberikan tindak balas terhadap sesuatu yang berlaku dalam lingkungan agama, sistem dan institusi agama.

Isunya kenapa wujud golongan yang bersikap sinis kepada agama? Inilah yang perlu ditanyakan kepada birokrat agama dan untuk menangani skeptisisme agama tidak semudah menangkap atau mengurung orang  seperti Kassim Ahmad.

Apabila Kassim Ahmad dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam, ini adalah satu tindak balas. Perkara inilah yang sepatutnya diuruskan, sebab musabab tindak balas yang berlaku dan ditujukan kepada siapa? Saya tidak pasti adakah birokrat agama sedar atau tidak kewujudan skeptisisme agama. Sebab secara umumnya mereka kelihatan selesa, cuma sesekali diganggu oleh orang seperti Kassim Ahmad.

Kita memang ada undang-undang, apa lagi Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan. Tetapi kalau birokrat agama kita selalu melihat ke luar tingkap, mereka akan bersetuju bahawa ada yang lain lebih menuntut tumpuan.

Skeptis melihat sesetengah ulama kita sangat pasif, tidak berfikir di luar kotak, angkuh dengan kuasa dan menolak mentah-mentah apabila ada gagasan yang menongkah arus tanpa diberi ruang bicara. Inilah yang selalu disuarakan terutama oleh generasi muda.

Sebab itulah kita tidak boleh menyalahkan sepenuhnya golongan yang sinis terhadap kebesaran Islam. Mereka mempunyai sebab misalnya dalam Islam ada tertulis bahawa agama ini memuliakan dan memberikan keadilan kepada wanita.

Tetapi realitinya terdapat sesetengah institusi kehakiman Islam dan birokrat agama malah ulama telah memberikan persepsi serong terhadap Islam. Buktinya ketidakadilan terus berlaku kepada wanita, misalnya bertahun-tahun malah ada yang berbelas tahun digantung tidak bertali apabila menuntut cerai.

Menuntut nafkah daripada bekas suami pula kerap kali menjadi suatu yang traumatik kepada wanita. Ini kerana kerenah birokrasi dan juga birokrat agama. Kalau tangga mahkamah syariah boleh bercakap, tanyalah berapa banyak masa dan wang dihabiskan untuk mendapatkan hak yang terbantut kerana penyakitada undang-undang tetapi tidak dikuatkuasakan.

Apakah hujah untuk menangkis tanggapan bahawa Islam  bukan menganiaya wanita dan tidak meletakkannya di kelas tiga? Kalau benar Islam memuliakan dan memberi keadilan kepada wanita kenapa masih ada yang terus dianiaya? Apakah yang dilakukan birokrat agama dalam perkara ini? Jadi, salahkah kalau ada yang skeptikal terhadap Islam?

Birokrat agama mesti bertanggungjawab apabila wujud pemikiran begini dalam kalangan masyarakat. Dalam banyak perkara, saya tidak setuju dengan pergerakan seperti Sisters In Islam (SIS). Tetapi kita tidak dapat menafikan suara-suara ketidakpuasan hati yang disampaikan melalui SIS untuk menuntut keadilan bagi pihak wanita yang teraniaya tidak boleh dipandang dengan persepsi negatif secara total.

Ia seharusnya menjadi cabaran kepada birokrat agama untuk terus mempertingkatkan keupayaan dan memperlihatkan ketinggian Islam sebagai cara hidup yang sesuai untuk semua manusia. Banyak cara yang lebih matang dalam menghadapi golongan berfikiran seperti ini.

Tetapi apabila birokrat agama mendiamkan mereka yang skeptikal terhadap agama dengan pelbagai hukuman yang ada kalanya makin menjauhkan mereka kepada kebenaran Islam, momentum kebencian mereka kepada agama semakin besar. Maka kita tidak boleh menyalahkan mereka yang bergantung harap kepada SIS yang pada fahaman mereka sentiasa berjuang membela wanita teraniaya..

Marilah kita sama-sama menggali akar permasalahan, ini lebih baik daripada hanya memotong pucuknya yang akan tumbuh apabila tiba waktu.




Sunday, December 20, 2015

KPN tidak hayati saranan Najib

Ketua Polis Negara (KPN),  Khalid Abu Bakar berkata,  pengguna jalan raya yang tidak memberi laluan kepada pengiring orang kenamaan (VVIP)  (baca pemimpin UMNO) boleh dikenakan tindakan.    Sepatutnya Khalid tidak mengumumkan tentang tindakan  polis  tetapi pesan kepada VVIP  supaya bijak merancang perjalanan mereka.

Sejak akhir-akhir ini pada waktu puncak sebelah pagi dan petang semakin kerap pula VVIP dengan polis pengiring menganggu lalu lintas.  Apabila Khalid mahu mendahulukan VVIP nampaknya dia tidak menghayati saranan Najib supaya "rakyat didahulukan  dan pencapaian diutamakan."

Bila lagi pemimpin UMNO yang bertaraf VVIP  mahu menghayati  denyut nadi  dan pahit getir rakyat setiap hari yang terperangkap dalam sistem trafik yang paling buruk dan setaraf Jakarta.  Khalid jangan ingat semua pengguna di jalan raya hanya makan angin atau suka-suka.  Mereka  juga terpaksa merentas kesukaran itu kerana mahu hidup.

Jangan anggap VVIP sahaja yang mempunyai tugas penting dan perlu cepat  ke destinasi,  rakyat  yang setiap hari  terseksa dalam kesesakan teruk juga mempunyai tugas penting, setidak-tidaknya memastikan keluarga terbela  dengan memastikan majikan tidak memecat mereka.  Kalau VVIP  sentiasa diberi laluan mudah,  mereka  tidak akan  menghayati masalah kesesakan di Kuala Lumpur.

Lagi pun Menteri Rahman Dahlan sudah memberikan petua  supaya bangun awal untuk mengelakkan kesesakan.  VVIP pun kena bangun awal  supaya tidak berebut jalan dengan rakyat  marhean yang gajinya hanya  sama nilai dengan sepasang kasut menteri.  

Ibrahim Ali sindir pemimpin UMNO

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali telah menyindir pemimpin UMNO yang tidak menghantar wakil semasa mesyuarat agung pertubuhan itu baru-baru ini. Sebaliknya Pas telah menghantar  Takiyuddin Hassan dan Mustafa Ali.

Kata Ibrahim, mungkin pemimpin UMNO sibuk dengan persiapan Krismas walaupun beliau sudah menghantar undangan kepada Setiausaha Agung UMNO  dan Ketua Penerangan UMNO.  Sindiran itu sepatutnya  diterima dengan rasa malu kerana UMNO selalu mendakwa sebagai parti penyelamat Melayu dan Perkasa pertubuhan Melayu.

Sebenarnya  pemimpin UMNO mula menjauhkan diri daripada Perkasa apabila Ibrahim Ali ada mengkritik Najib Razak terutama dalam isu yang melibatkan integriti.  Pemimpin UMNO bimbang disenarai hitam atau mungkin terlepas kenaikan pangkat serta peluang menganggotai kabinet Najib kalau dilihat rapat dengan Perkasa.

Perkasa lantang memperjuangkan kepentingan Melayu tanpa mengira ideologi politik.  Perkasa juga bersikap telus apabila mengkritik Najib dengan tujuan yang membina.  Sepatutnya kritikan kepada Najib datang daripada pemimpin UMNO sendiri. Tetapi ini tidak berlaku dalam UMNO  tambahan pula Najib memperlihatkan dia seorang yang anti kritikan apabila memecat Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri  dan  Shafie Apdal kerana  mempersoalkan derma RM2.6 bilion.

Apabila pemimpin UMNO seperti tidak berperanan untuk membetulkan pemimpin tertinggi, kita memang memerlukan pertubuhan seperti Perkasa. 

Thursday, December 17, 2015

WSJ dedah lagi

Hari ini dalam  dalam versi online, The Wall Street Journal (WSJ)   membuat pendedahan lagi tentang syarikat kebanggaan negara, 1MDB.  Nampaknya sudah banyak kali  WSJ  "memfitnah"  1MDB. Jadi kalau hendak mengambil tindakan saman pun sudah lebih daripada patut. Berani kerana benar, jangan takut.  Saman sahaja. Bukankah sebelum  ini  gegak gempita kononnya  hendak mengambil tindakan undang-undang ke atas WSJ?  Kawallah  WSJ  macam  mengawal  media di negara ini.  Tetapi jangan bagi alasan pembangkang menguasai WSJ sudahlah.

Inilah pemimpin berjiwa besar

Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) Setya Novanto meletak jawatan setelah didapati terbabit dalam kes melanggar kod etika kerana meminta saham dari sebuah syarikat menggunakan nama Presiden Joko Widodo dan Naib Presiden Jusuf Kalla.
x
Peletakan jawatannya diterima oleh Mahkamah Kehormatan Dewan (MKD) malam tadi setelah Timbalan Ketua MKD Sufmi Dasco Ahmad membacakan surat pengunduran diri Novanto dalam satu mesyuarat tertutup.
x
Menerusi siaran langsung televisyen tempatan lewat malam tadi, Sufmi berkata, Novanto yang dilantik sebagai Speaker bagi tempoh 2014-2019, meletakkan jawatannya demi kebaikan bangsa dan negara.
x
Kes Novanto dibongkarkan media tempatan dengan tajuk "Papa Minta Saham" yang menyebabkan Joko dan Jusuf berang serta mahu kes itu dibawa ke muka pengadilan bagi membersihkan nama mereka. – Bernama.
 x

Komen saya:
x
Inilah contoh pemimpin yang  berjiwa besar  kerana sanggup bertanggung jawab dan  meletakkan jawatan apabila didapati melanggar kod etika integriti.  Tetapi ada yang mengaku berjiwa besar  tetapi  tidak mahu mengalah walaupun bangkai gajah yang  ditutup dengan nyiru  itu sudah membusuk. Baunya sudah sampai di serata dunia.

Elok ditanya juga berapa kerugian pengedar dadah

Walaupun para peniaga vape Kelantan mendakwa mengalami kerugian RM50 juta,   kita yang waras dan tidak berada di bawah tempurung politik wajar memuji  kerajaan Pas Kelantan yang bertindak bukan  sekadar bercakap.  Barangkali nilai kesihatan lebih diutamakan oleh kerajaan Kelantan  berbanding populariti politik.

Bagaimanapun disebabkan  Kelantan  diterajui oleh Pas maka  perihal peri pentingnya kesihatan telah digadai oleh kepentingan politik.  Kerugian peniaga vape RM50 juta dijadikan alasan untuk menafikan kepentingan kesihatan rakyat. 

Kalau puak-puak yang  melihat kerugian peniaga vape sebagai alasan,  eloklah rasanya mereka memperjuangkan dan menonjolkan   kerugian  yang ditanggung oleh pengedar dadah termasuk  dalam kalangan orang Melayu  apabila  dadah diharamkan dan dirampas di negara ini.  Adakah kita boleh bertolak ansur kepentingan kesihatan dengan kepentingan politik sempit begini?

Malah kalau hujah alasan kerugian atau terlepas peluang berniaga dalam kalangan orang Melayu, eloklah juga ditonjolkan peraturan yang melarang orang Islam membuka kedai arak,  pusat judi atau pusat pelacuran satu kerugian. Kalau arak, judi dan pelacuran mendatangkan bahaya,  vape yang mempunyai potensi luas untuk disalahguna  memuatkan bahan dadah apa kurangnya?  Di mana  slogan "agama, bangsa dan negara"  yang menjadi  pegangan UMNO   apabila mempertikaikan langkah terpuji kerajaan Kelantan?   

Adakah semua ini kerana  ada  dalam kalangan menteri yang memperjuangkan  supaya vape dihalalkan (walaupun ada perisa yang bercampur dadah)   dengan alasan vape satu gaya hidup orang muda?  Kalau begitu, dadah juga bagi penagih dadah adalah gaya hidup orang muda   yang sepatutnya   dihalalkan juga. Adakah itu maksud puak-puak yang menentang langkah kerajaan Kelantan? 

Walaupun kerajaan Kelantan tahu tindakan mengharamkan vape boleh menjejaskan sokongan orang muda terhadap parti itu dalam pilihan raya,  tetapi kerana kepentingan rakyat, Pas sanggup menggadai kepentingan politik.  UMNO tidak berani berbuat demikian mungkin kerana bimbang sokongan politik daripada orang muda berkurangan.  Kenapa tidak ada negeri UMNO terlebih dahulu berbuat demikian.   

Keadaan ini samalah dengan  tindakan memadamkan  sokongan  Obama terhadap LGBT semasa melawat Malaysia  kerama Malaysia  mahu kelihatan popular  dan sehaluan oleh  Obama daripada menjulang  slogan "agama. bangsa dan negara."   Mujurlah media sosial  yang bertindak viralkan  sokongan Obama terhadap LGBT yang membolehkan rakyat tahu kejahatan pemimpin  Amerika yang menjadi pujaan pemimpin Malaysia. Dan melihat  Malaysia telah memadam yang buruk-buruk tentang Obama.




Wednesday, December 16, 2015

Kalau benar-benar berjiwa besar

Kalau  seseorang itu  benar-benar kuat dan berjiwa besar,  dia  tak akan sama sekali memplaster mulut musuhnya,  mengikat tangannya kemudian membelasahnya.  Tidak cukup membelasah,  dia  melancarkan perang psikologi dengan  menghulurkan  tangan  kononnya perdamaian padahal mereka  tidak pernah bersengketa,  cuma bertanya.  Orang  yang kuat dan berjiwa besar  yang hanya akan  berlawan di padang  yang rata,  mengakui kesilapan  dan tidak mementingkan diri. Tidaklah berjiwa besar kalau  semua saluran demokrasi dimusnahkan  untuk kelangsungan kuasa.

Penggiat seni jangan berpolitik?

Zahid bin Hamidi berkata,  penggiat seni jangan berpolitik.  Sebenarnya bukan sahaja penggiat seni,  orang politik pun tidak seharusnya sepanjang masa berpolitik hingga  menafikan isu  integriti,  derma jadi dana  dan akhirnya tidak  diketahui di mana  tempat simpannya.  Dalam akaun parti tak ada, dalam akaun peribadi tidak tahulah  pula. Demikianlah kata-kata  retorik  apabila orang politik cuba untuk dilihat tidak berpolitik.

Saturday, December 12, 2015

ANEKDOT AHAD 13 DIS 15

SELEPAS 53 TAHUN PEMBUNUHAN JFK

SEJARAH dunia mungkin berbeza daripada apa yang telah berlaku sepanjang setengah abad yang lalu sekiranya Presiden John F. Kennedy tidak dibunuh. Keamanan dan kestabilan politik dunia lebih menyerlah apabila dasar luar John F. Kennedy atau JFK ini cenderung kepada hubungan yang baik termasuk dengan musuh dalam perang dingin, Kesatuan Soviet.
x
Banyak peristiwa yang berlaku selepas pembunuhan JFK pada 22 November 1963 mungkin tidak wujud sekiranya JFK diberi kesempatan yang lebih panjang untuk menguruskan sebuah negara yang angkuh dan sombong seperti Amerika Syarikat (AS).
x
JFK seorang reformis yang menyongsang arus pemimpin AS sebelumnya. JFK mewujudkan dasar luar yang sangat pelik bagi amalan Presiden dan kerajaan AS, antaranya untuk berbaik-baik dengan Kesatuan Soviet. Langkah ini mengganggu pengaruh dan kuasa Agensi Perisikan Pusat (CIA). Dalam diam CIA memusuhi Presidennya sendiri, apa lagi dasar luar mengenai Kesatuan Soviet telah menjejaskan kepentingan beberapa orang kuat CIA.
x
Perang dingin hanya berakhir selepas runtuhnya Kesatuan Soviet dan negara-negara blok komunis pada 1989. Tetapi sekiranya JFK masih hidup, perang dingin itu dijangka tamat pada 1965. Keruntuhan Kesatuan Soviet bukan disebabkan oleh AS tetapi realiti sosiopolitik dunia yang menolak komunisme dan memilih kapitalisme.
x
Penganalisis politik menjangka sekiranya JFK tidak dibunuh, peristiwa yang memalukan AS iaitu perang Vietnam tidak akan berlaku. Campur tangan AS dalam hal ehwal Vietnam semata-mata untuk mengekang penguasaan komunis China di Asia Tenggara akhirnya memalukan AS apabila kalah dalam perang itu.
x
Perang Vietnam menjadi mimpi ngeri AS, rakyat tidak merestui negara mereka campur tangan dan generasi muda dekad 1970-an bangkit membantah menerusi pergerakan sosial dan seni. JFK menolak sama sekali dasar campur tangan itu tetapi usianya pendek, pembelot dari Kesatuan Soviet, Lee Harvey Oswald menamatkan riwayatnya semasa melawat Dallas.
x
Sebahagian besar rakyat percaya motif pembunuhan JFK yang meninggalkan misteri hingga hari ini disebabkan dasar mahu berdamai dengan Kesatuan Soviet, kuasa besar komunis yang menjadi penghalang pengaruh AS.
x
Walaupun Lee Harvey Oswald diputuskan oleh mahkamah sebagai pembunuh JFK tetapi konspirasi tidak pernah berakhir hingga kini. Banyak pihak mencetuskan teori demi teori tentang siapa di belakang Oswald? Persoalan bertambah misteri apabila Oswald sendiri ditembak mati dua hari selepas itu oleh pemilik kelab malam, Jack Rudy.
x
Pembunuhan JFK menjadi kisah paling misteri dan pelbagai teori konspirasi bukan sahaja dicetuskan oleh sejarawan dan orang politik malah karyawan filem. JFK antara Presiden AS yang paling singkat, tidak sempat menghabiskan satu penggal di White House.
x
Tetapi dalam masa yang sesingkat itu JFK merancang dan melaksanakan dasar luar yang besar ke arah keamanan. Beliau Presiden AS paling muda, berusia 43 tahun ketika melangkah masuk ke White House dan hingga kini rakyat AS percaya JFK seorang idealis yang menjuarai perjuangan menuntut kebebasan dalam dan di luar negara.
x
Walaupun pada era JFK, Kesatuan Soviet dengan ejen perisik KGB yang digeruni kelicikannya, banyak penganalisis percaya JFK mempunyai lebih banyak musuh dalam kerajaannya berbanding KGB.
x
Banyak yang menjangka pembunuhan itu dilakukan oleh CIA kerana beberapa keputusan JFK mengetepikan CIA sekali gus menjejaskan kepentingan segelintir pemimpin CIA yang cukup berpengaruh selepas Presiden. Salah satu teori konspirasi yang paling diyakini dicetuskan oleh pengarah filem Oliver Stone yang menghasilkan filem JFK tahun 1991. Menurut Oliver Stone, daripada sekian banyak kajian untuk merungkai misteri pembunuhan itu, yang paling ketara sekali ialah dilakukan oleh Lyndon Johnson yang kemudiannya dilantik menggantikan JFK.
x
Filem JFK bukan cereka sejarah tentang pembunuhan Presiden itu tetapi teori konspirasi yang dicetuskan sendiri oleh pengarahnya. Filem ini menambah satu lagi teori konspirasi mengenai misteri pembunuhan JFK. Kalau mengikut teori Oliver Stone menerusi JFK, pembunuhan itu melibatkan CIA dengan pengetahuan Lyndon Johnson. Bagaimanapun selepas pembunuhan segala bukti telah dilupuskan untuk melindungi beberapa pihak yang terlibat.
x
Untuk mendapatkan keyakinan rakyat, Lyndon Johnson menubuhkan Suruhanjaya Warren (Warren Commission) bertujuan menyiasat pembunuhan JFK. Suruhanjaya itu diperalatkan sebagai badan bertauliah untuk mengatakan pembunuhannya tidak mempunyai kaitan dengan pihak ketiga. Dalam lain perkataan Lyndon Johnson atau CIA tidak terlibat dengan pembunuhan itu.
x
Di mahkamah,  pembunuhan JFK  tidak ada motif tertentu kerana pembunuhnya, Oswald tidak dibuktikan ada sengketa dengan JFK. Perancang pembunuhan JFK, kalau benar dilakukan oleh Lyndon Johnson bukan sahaja terus bebas malah menjadi Presiden.  Tetapi di mahkamah nama Lyndon Johnson tidak disebut dan namanya bersih hingga ke akhir hayat.

UMNO tidak berpecah

Ternyata UMNO tidak berpecah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak.  Perhimpunan agung  yang ditutup dengan ucapan penggulungan oleh Presiden UMNO, Najib Razak  tidak memperlihatkan konflik dalaman UMNO  parah yang dibayangkan  selepas   Najib memecat Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan meghalang  daripada  memberikan ucapan  perasmian sayap  dan  penggulungan.

Walaupun UMNO dilihat tidak demokratik apabila buat pertama kali tahun ini menghalang Timbalan Presiden  daripada memberikan ucapan perasmian sayap parti dan penggulungan,  tidak ada  reaksi yang konfrontasi  terhadap Najib.  Malah Naib Presiden yang diketepikan, Shafie Apdal juga tidak memulaukan perhimpunan kali ini.

UMNO pada ketika ini tidak sampai ke tahap  konflik  seperti yang berlaku antara Dr. Mahathir dengan  Ku Li tahun 1987 hingga membawa kepada pengharaman UMNO.  Kali ini  gelombang sekadar dalam cawan sahaja.  Keadaan ini membuktikan dalam UMNO tidak ada pasukan A  dan pasukan B di mana masing-masing menonjolkan Dr. Mahathir dan Ku Li sebagai Presiden UMNO.

Kali ini UMNO hanya berkocak  disebabkan  isu integriti.  Malah  Muhyiddin  yang  bertanyakan Najib mengenai derma RM2.6 bilion serta kemelut 1MDB bukanlah mencabar jawatan  Najib sebagai Presiden.  Muhyiddin memperlihatkan sosok  pemimpin yang tidak  rakus jawatan.  Bagaimanapun kerana memikirkan beliau juga bertanggungjawab terhadap isu derma RM2.6 untuk dijelaskan kepada rakyat, Muhyiddin  bertanya berdepan dengan Najib.

UMNO  wakar bersyukur kerana masih  mempunyai pemimpin yang endah perihal integriti dan gelombang itu terasa pada perhimpunan kali ini  biar pun kelompok ini  dilabelkan sebagai “orang Muhyiddin”.   Tanggapan itu kurang tepat kerana  tidak ada untungnya menjadi orang Muhyiddin melainkan sependapat dalam isu yang melibatkan integriti.

Bagaimanapun   reaksi sesetengah perwakilan yang terdiri daripada Ketua Bahagian terhadap  tindakan Muhyiddin  tidak begitu matang.  Mengugut untuk memecat atau mengesyorkan supaya Muhyiddin dipecat adalah gaya politik ketinggalan zaman. Itu politik lapuk untuk menonjolkan diri di depan Presiden.

UMNO wajar mengambil iktibar dan berubah supaya lebih pragmatik dan  terbuka  kepada perbezaan pandangan.  Tidak perlulah takut kepada Muhyiddin begitu sekali. UMNO mesti keluar daripada gaya berpolitik yang ketinggalan zaman  iaitu  dengan mudah menutup pintu demokrasi  kepada pihak yang dianggap memilih keluar dari landasan. 

Satu lagi  UMNO tidak boleh lagi memaksa atau mendesak  ahli supaya menyokong membuta tuli kepada pemimpin.  Ini akan membuatkan pemimpin berada dalam zon selesa kerana  tidak ada kritikan yang membina dan tajam dari dalam.  Dalam mana-mana organisasi  tidak wajar  ahli-ahli didoktrinkan supaya menyokong tanpa menyoal terhadap pemimpin kecuali  UMNO sudah  membiarkan parti ini diresapi  neofeudalisme.




Berakhirkah misteri RM2.6 bilion?

Petang ini Presiden UMNO, Najib Razak akan membuat ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015.  Banyak yang mengharapkan pada ucapan penggulungan itu akan terlerai misteri  derma RM2.6 bilion yang dikatakan sebagai dana politik UMNO.  Sebabnya  selepas persidangan bermula Selasa lalu hingga kini,  misteri RM2.6 bilion masih tidak dijawab.  Rakyat sekadar mahu tahu  adakah benar duit yang dimasukkan dalam akaun peribadi Najib itu  adalah dana politik UMNO.  Ini kerana pada perkiraan mereka  kalau duit itu untuk UMNO  sudah tentulah  ada dalam penyata kewangan UMNO.  Bagaimanapun difahamkan RM2.6 bilion itu tidak tercatat.

Isunya sekarang kalau tidak ada dalam penyata kewangan UMNO sudah tentu duit itu tidak ada dalam akaun UMNO. Adakah  dalam SOP  UMNO  dana  boleh dimasukkan dalam akaun selain akaun UMNO?  Kalau boleh begitu,  UMNO mesti menjelaskan  bahawa dalam SOP   dana politik boleh dimasukkan dalam akaun peribadi dan tidak tercatat dalam penyata kewangan.

Disebabkan tidak ada penjelasan,  saya setuju dengan pertanyaan Muhyiddin tentaang  derma RM2.6 bilion itu.  Beliau tidak menuduh Najib membuat salah laku tetapi sebagai orang nombor dua, beliau perlu menjelaskan kepada rakyat perkara-perkara pelik dalam UMNO  Saya sentiasa bersangka baik kepada Najib dan UMNO dengan menganggap  dalam SOP UMNO  dana politik boleh disalurkan dalam akaun peribadi presiden parti.  Tetapi UMNO kena ingat kalaulah ini  menjadi SOP  UMNO,  bagaimana untuk membezakan duit peribadi dan duit parti?

Saya harap semua perwakilan kali ini tidak balik dengan tangan kosong tanpa membawa penjelasan untuk diberitahu kepada akar umbi. Saudara-saudara mesti sedar,  saudara  memikul tanggungjawab besar daripada rakyat khususnya ahli UMNO.  Saudara-saudara menjunjung Islam sebagai agama dan saudara-saudara juga wajib menjunjung kesuciannya menentang segala bentuk perbuatan yang tidak amanah. Ini bukan soal politik tetapi amanah yang seharusnya saudara-saudara pegang walau berpegang ideologi apa sekalipun. Jangan lupa pekikan saudara-saudara, "Demi agama, bangsa dan negara"

Friday, December 11, 2015

Pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang

Apabila Najib Razak menyebut rakyat  di negara ini wajib menyokong pemimpin Islam semasa berucap di PWTC semalam,  maka saya segera teringat seorang pemimpin Islam yang hebat zaman Empayar Uthmaniyyah, Muhammad al Fateh yang menawan Empayar Constantinople tahun 1453.
.
Saya percaya Najib merujuk pemimpin Islam yang dimaksudkan ialah mempunyai ciri-ciri  Fateh.  Saya setuju dengan Najib bahawa  pemimpin Islam seperti  al Fateh tidak boleh ditentang atau diturunkan. Kita mesti menyokong kuat di belakangnya.
.
Siapa  al Fateh? Difahamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Nabi Muhammad bersabda: "Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera."
.
Para sarjana Islam dan ulama merujuk hadis itu kepada kelahiran Sultan Muhammad al-Fateh lebih kurang 800 tahun selepas itu. Ini kerana ciri-ciri 'raja yang sebaik-baik raja' ada pada anak muda yang menakluki Constantinople pada usia 21 tahun itu.
.
Dengan kekuatan bala tentera lebih kurang 150,000 orang, khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah ini membuktikan usia bukan penentu sesuatu kejayaan, apa lagi perjuangan untuk membebaskan Islam. Al Fateh  dilahirkan pada 30 Mac 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 berjaya menghancurkan Empayar Byzantine dan menduduki takhta pemerintahan selama 30 tahun.
.
Al Fateh  bukan sahaja mengangkat martabat Kerajaan Islam Uthmaniyyah tetapi juga memuliakan Islam walaupun tidak ditugaskan sebagai ketua agama Islam di Constantinople.
.
Selepas menawan Constantinople, baginda menjadikan sebuah gereja terbesar, St. Sophies yang dibina tahun 537 Masehi sebagai masjid dan diberi nama Hagia Sophia. Masjid ini sejak sekian lama menjadi simbol kejayaan Islam dan juga bukti seorang sultan yang melangsungkan tugas menjaga agama Islam dengan penuh amanah dan ikhlas.
.
Sejarah mencatatkan ketinggian pegangan agama  al Fateh  terbukti apabila baginda bersama bala tentera mahu mengadakan sembahyang Jumaat pertama selepas gereja itu menjadi masjid Hagia Sophia.
.
Bagaimanapun selepas hampir lima abad berlalu, masjid Hagia Sophia ditukar menjadi muzium kerana dasar sekularisme Turki moden di tangan Kamal Ataturk melarang penonjolan agama Islam, sebaliknya disamakan taraf dengan agama lain terutama Kristian. Barat telah berjaya meracuni pemimpin Turki ini dengan menawarkan sekularisme, satu jarum ideologi untuk menghapuskan sejarah keagungan Islam Kerajaan Uthmaniyyah yang menawan Constantinople sekali gus menghancurkan Empayar Byzantine. 
.
Saya fikir semua setuju bahawa pemimpin Islam seperti al Fateh mesti disokong  oleh rakyat apa lagi dalam kalangan Islam. Masalahnya sekarang  adakah kita mempunyai “pemimpin Islam”   seperti al Fateh yang tidak boleh diturunkan?  Bagaimanapun agak malang kerana Najib tidak memperjelaskan pemimpin Islam bagaimana yang tidak boleh ditentang.  Haji Hadi dan Nik Aziz juga Islam tetapi kenapa UMNO menentang kedua-dua pemimpin ini untuk menjatuhkannya?

Nak ampu pun agak-agaklah

Saya difahamkan ada  perwakilan berkata,  Najib Razak telah dipilih oleh Allah untuk menjadi Perdana Menteri.  Saya tak berani nak komen lanjut tetapi ulama-ulama dalam UMNO kena memberikan penjelasan supaya tidak mengelirukan. Komen saya ialah kalau nak ampu pun biarlah berpada-pada supaya tidak jatuh maruah  disebabkan kedunguan  sendiri.

Masih banyak yang beretorik

Selepas Najib Razak menyampaikan ucapan di PWTC semalam,  para pemimpin UMNO di pelbagai lapisan terus beretorik dalam mengulas ucapan berkenaan.   Contohnya:
x
 Ketua Wanita Shahrizat Jalil, "....tiada lagi  ungkapan untuk diri sendiri tetapi segalanya untuk parti dan semangat kebersamaan"  (Adakah selama ini ada pemimpin UMNO memperjuangkan kepentingan peribadi?)
x
Reezal Merican, "Ucapan yang memang luar biasa dan bersifat terus terang"  (Saya tidak pasti di mana terus terang dalam ucapan Najib.)
x
Hassan Malek, "Satu permntaan yang cukup ikhlas daripada Presiden parti agar ahli UMNO memberi sokongan kepadanya" (Bagaimana Hassan Malek tahu ikhlas atau tidak)
x
Nalla Karuppan pula, "Saya melihat ucapan Presiden UMNO hari ini merupakan yang terbaik apabila mengambilkira hala tuju parti"  (Saya tak ada komen)
x
Saya percaya untuk menjadi kuat UMNO tidak boleh lagi sekadar menyedapkan hari Presiden parti. Pemimpin UMNO harus berterus terang supaya UMNO tidak lena dalam zon selesa.  Cukuplah beretorik selama ini. Sekarang ini UMNO dalam keadaan tidak sekuat dulu, pengaruhnya menirus dan ditambah pula dengan isu-isu integriti yang tidak diselesaikan.  UMNO harus mempunyai dan memperlihatkan keazaman yang besar untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik.  Integriti adalah kata kuncinya.
x
Adakah saya yang tidak memahami bahawa puji memuji ini salah satu daripada erti kebersamaan dan kesepakatan  yang dilaungkan oleh Najib dalam ucapannya?  Oleh yang demikian jangan memandang negatif  apabila tidak banyak memuji UMNO sebaliknya banyak melontarkan provokasi. Pujian tidak menjulang Sukarno,  Dato Onn  malah Tun Razak. Mereka ini diasak oleh pemimpin-pemimpin bawahan supaya benar-benar menjadi besar dan kuat.

Thursday, December 10, 2015

Kenapa masih terkial-kial

Saya melihat Perdana Menteri lebih cepat bertindak berbanding Presiden UMNO.  Buktinya Perdana Menteri begitu cepat memecat Muhyiddin dan menggantikan dengan Zahid Hamidi.  Tetapi Presiden UMNO masih terkial-kial  untuk mengambil tindakan ke atas Muhyiddin yang "melanggar"  peraturan UMNO.  Kenapa lambat sangat?  Lagi pun 3 juta ahli UMNO bersama Najib, nak takut apa lagi. Adakah takut apabila jeritan "Hidup Tan Sri"  bergema malam tadi?

Trend UMNO sokong arus perdana

Najib memberitahu dia menyokong Dr. Mahathir ketika berkrisis dengan  Ku Li  tahun 1987.  Kita kena tanya kenapa dia menyokong Dr. Mahathir?  Adakah kerana Dr. Mahathir berada di arus utama bukan seperti Ku Li? Apa yang Najib lakukan diteruskan oleh pemimpin UMNO sekarang yang memilih berada di arus perdana menyokong Najib bukan Muhyiddin.

UMNO tidak berpecah

Jangan terperangkap dengan perang persepsi yang dilancarkan oleh segelintir pemimpin tinggi UMNO bahawa UMNO berdepan dengan pepecahan. Persepsi ini samalah juga dengan mereka cerita  kerajaan negera ini akan diguling. Para perwakilan yang bijaksana jangan percayakan taktik politik sengkek ini. UMNO tidak akan berpecah. Kalau berpecah Dr. Mahathir, Muhyiddin atau Shafie Apdal tidak datang.  Trend sesetengah pemimpin tinggi UMNO  ialah suka menakutkan rakyat, mereka juga suka menakutkan ahli UMNO. Yang berlaku dalam UMNO sekarang ialah ada pemimpjn menjunjung integriti dan ada yang memijak integriti. Itu saja.

Impikan negara Baldatun toy yi batun

Saya sangat tertarik dengan impian Najib untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Baldatun toy yi batun yakni negara yang patuh syariah sepenuhnya. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya yang beragama Islam. Tetapi impian Najib yang dilontarkan dalam ucapannya  sepatutnya telah bermula. Apabila berselerak pusat hiburan termasuk yang terbesar di Jalan Tun Razak, impian sahaja gelaran Baldatun toy yi batun tidak akan kita miliki. Tanyalah Pemuda UMNO Kuala Lumpur, sedarkah tentang ini?

Semua kerajaan menentang penceroboh

Mempertahankan negara daripada penceroboh adalah  tanggungjawab semua kerajaan di dunia ini.  Belum ada lagi kita dengar ada kerajaan yang membiarkan negara diceroboh. Jadi, Najib tidak wajar  menekankan bahawa kerajaan BN dan UMNO mempertahankan Sabah daripada penceroboh. Tidak ada yang luar biasa.

Jangan lupa tanya RM2.6 bilion

Saya difahamkan penyata kewangan UMNO selalunya diaudit oleh juruaudit bertauliah selain audit dalaman. Oleh yang demikian para pewakilan jangan lupa untuk meneliti atau bertanya adakah tercatat RM2.6 bilion dalam penyata itu. Ini duit UMNO (sebab dikatakan dana politik) bermakna duit  ahli UMNO dan tuan-tuan juga. Kalau tercatat mesti tiga tahun lalu, kalau tiga bulan lalu tak acilah.

Hendak samakan dengan Al Fateh?

Dalam ucapan pagi tadi Najib menyebut bahawa rakyat wajib mentaati pemimpin  Islam.  Saya sangat setuju tentang itu. Tetapi pemimpin Islam yang saya faham salah satunya ialah seperti Muhammad Al Fateh yang bukan sahaja  berjiwa rakyat  tetapi integritinya tinggi. Adakah kita mempunyai pemimpin seperti Al Fateh?

Retorik dan kitar semula

Saya tidak tahu apakah reaksi perwakilan UMNO yang ada dalam Dewan Merdeka di PWTC selepas mendengar ucapan Najib Razak pagi tadi. Tetapi saya tidak  fikir mereka  menganggap ucapan itu bernas, hebat dan  memancarkan kehebatan menyuraikan kekaburan. Bagaimanapun tidak terkejut kalau mereka menganggap begitu kerana banyak juga yang belum keluar dari kotak.

Banyak penderma bukan isunya

Kata Zahid Hamidi, derma RM2.6 bilion bukan diterima daripada satu penderma. Cakap kepada Zahid isunya bukan  satu atau banyak penderma tetapi derma itu dimasukkan dalam akaun peribadi tiga tahun lamanya.  Adalah tidak amanah kalau orang menumpang akaun bank kita kemudian kita peram duit itu sampai bertahun-tahun sebelum memberi kepada yang berhak. Zahid jangan kata itu dana politik UMNO selagi penyata kewangan UMNO mencatatkan RM2.6 bilion.

Wednesday, December 9, 2015

Khairy dan suara orang muda

Kata Khairy Jamaluddin,  menegur dan bertanya bukan menderhaka. Sebenarnya itulah yang bermain dalam kalangan orang muda di peringkat akar umbi. Khairy bercakap  selari dengan  orang muda dan jangan memperemehkan dia.  Sekarang bukan zaman feudal yang semuanya tidak boleh dipersoalkan atau ditegur. Tidak tahulah kalau neofeudalisme  telah menjelma dalam UMNO.

Sindrom kenangan silam

UMNO tidak boleh terus larut dalam sindrom kenangan silam, cukup-cukuplah  membangkitkan UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan. Sebabnya fakta sebenar bukan UMNO sahaja yang berjuang. Wartawan, guru  dan ulama lebih awal berjuang menuntut kemerdekaan.  UMNO lahir tahun 1946 tetapi wartawan Utusan Melayu berjuang sejak 1939. Itu belum lagi ulama yang jauh lebih awal. Yang penting dilakukan sekarang   UMNO  kena realistik berdepan dengan realiti semasa pada era liberalisasi media. UMNO tidak mungkin mampu mengawal media untuk menutup kalau ada salah laku atau pelanggaran integriti yang berlaku dalam parti. Sebenarnya bukan suatu yang memalukan kalau ada yang tidak berintegriti dalam parti.  Tetapi sangat memalukan kalau  sedar ada yang tidak berintegriti tetapi menafikan semahu-mahunya.


Ikhlaslah kembalikan integriti UMNO

UMNO tidak ada isu pepecahan  seperti yang berlaku pada era Dr. Mahathir dan Ku Li. Malah dalam keadaan sekarang UMNO tidak berpecah cuma berbeza pandangan. Parti politik adakan satu ikatan yang  menyatukan seribu perbezaan. Yang menjadi isu besar UMNO adalah integriti.  Jadi, kenalah ikhlas untuk mengatasi masalah integriti dalam UMNO. Kalau  ini tidak diatasi, apa yang hendak dijaja kepada pengundi pada PRU 14.  UMNO  adalah tubuh manusia,  mana-mana  yang terkena kanser integriti mestilah dibuang supaya UMNO boleh terus hidup. berbakti dan berintegriti.

Buktikan perwakilan bukan tunggul

Banyak laman sosial pro Najib menggelar Muhyiddin sebagai tunggul.  Salah satunya mykmu.net.  Kalau Muhyiddin tunggul, bolehkah dipastikan perwakilan yang sedang bersidang  juga bukan tunggul yang tidak boleh menzahirkan  tindakan   demi "agama, bangsa dan negara".  Perjuangan "agama,bangsa dan negara" tidak sekadar bercakap tetapi melakukannya.

Wanita UMNO baru sedarkah?

Shahrizad Jalil berkata Wanita UMNO sedar ada komplot untuk menjatuhkan kerajaan.  Wanita UMNO baru sedarkah dalam setiap  pilihan raya umum  parti  BN dan pembangkang saling menjatuhkan antara satu dengan lain?  Yang menang  akan berkuasa. Kata Sharizad lagi, ada yang mendapat bantuan pihak luar. Adakah ini   bermakna Najib juga meminta bantuan luar  melalui derma RM2.6 bilion?

UMNO juga jangan bahas isu lama

Salleh Keruak kata Muhyiddin dan Dr Mahathir membangkitkan isu lama (mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion).  Baiklah itu isu lama.  Salleh Keruak juga kena sedar  setiap  tahun UMNO membahaskan isu yang sama dan retorik. Malah Salleh Keruak sendiri  bercakap isu lama  menangkis apa sahaja mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

SOP terima derma

Ku Nan meminta Muhyiddin Yassin supaya mematuhi peraturan (jangan kritik Najib). Pada masa yang sama Ku Nan kena tanya juga adakah UMNO ada peraturan atau SOP untuk menerima derma?  Rasanya  UMNO tak ada SOP terima derma, kalau tidak sudah tentu RM2.6 bilion dimasukkan dalam akaun UMNO.

Adakah RM2.6 bilion dalam penyata kewangan UMNO?

Kalau semua perwakilan yang meninggalkan anak bini, dan yang perempuan meninggal suami dan anak untuk berhimpun demi "agama, bangsa dan negara" serta berjuang demi rakyat,  tanyalah Bendahari UMNO adakah tercatat derma RM2.6 bilion dalam penyata kewangan. UMNO sebuah parti yang matang sudah tentu  kewangannya  lengkap. Kalau tercatat, bila ia dicatat?  Adakan tiga tahun lalu atau tiga bulan lalu?

Buktikan RM2.6 bilion duit UMNO

Naib Presiden UMNO dan Menteri yang dipecat, Shafie Apdal meminta Najib Razak membuktikan derma RM2.6 bilion diberikan kepada UMNO. Itulah yang sepatutnya lebih 2,000 perwakilan di PWTC  fikir dan persoalkan  supaya tidak dikencing hidup-hidup dan galas biawak hidup. Adakah yang berani bertanya begitu?

Tuesday, December 8, 2015

Pecat saja Muhyiddin

Ku Nan kata UMNO akan meneliti rakaman video ucapan Muhyiddin Yassin di Kampung Baru malam tadi  sama ada melanggar perlembagaan parti atau tidak.  Pesanan kepada Ku Nan, pecat saja Muhyiddin  dan tak payah membuang masa untuk teliti ucapan,  Muhyiddin tak ada  SPRM,  PDRM, SKMM atau AG.  Muhyiddin orang biasa.  Apa nak takut?

Muhyiddin deklamasi puisi Duri Dan Api

Malam tadi di Kampung Baru, Muhyiddin Yassin telah mendeklamasikan puisi Duri Dan Api karya Sasterawan Negara Usman Awang tahun 1961  yang didedikasikan kepada rakan-rakan di Utusan Melayu yang melancarkan mogok.  Di depan duri di belakang api,  Muhyiddin tidak boleh undur lagi walaupun beliau berkata, "Saya sudah melakukan tanggungjawab saya (bertanya dan menegur Najib isu derma RM2.6 bilion."


Ucapan Muhyiddin lebih dinantikan

Ucapan Muhyiddin di Kampung Baru malam tadi sudah tersebar di Youtube yang diambil dari KiniTV  dan orang persendirian.  Ucapan ini lebih dinanti-nantikan  berbanding ucapan Najib yang sudah biasa didengar. Maka suara  Muhyiddin  sampai ke segenap pelosok  negara, kesannya jauh lebih besar daripada berucap di perhimpunan agung UMNO.




Najib diperangkap?

Kalau benar penderma mahu memasukkan dalam akaun peribadi Najib Razak,  dia mempunyai kecenderungan untuk memerangkap Najib.  Sebabnya  kalau ketua pakatan kenduri kendara di kampung pun akan didakwa kalau memasukkan derma daripada pihak tertentu dalam akaun peribadinya. Benarkah  Najib senaif itu?