Saturday, November 28, 2015

Khairuddin tidak perlu bebaskan Anwar

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan tidak boleh mendesak  kerajaan membebaskan Anwar Ibrahim  hanya kerana dia  menentang  Perdana Menteri, Najib Razak.  Dia wajar fokus pada isu yang diperjuangkan iaitu keraguan terhadap urus tadbir  1MDB.

Desakan  Khairuddin memperlihatkan seolah-olah dia mencari rakan yang memusuhi Najib untuk berpakat menentang Najib.  Ini bukan satu permainan politik yang baik dan menguntungkan apa lagi  dia pernah menerbitkan buku hingga membawa kepada pemecatan Anwar.

Sekiranya Khairuddin mahu memperjuangkan Anwar dengan menganggap penahanan terhadap Anwar sebagai  politik,  sepatutnya sejak awal lagi dia membangkitkan  isu penahanan Anwar.  Tetapi malangnya ketika itu hanya isu 1MDB yang menjadi fokusnya.

Khairuddin tidak memberikan hujah yang kukuh untuk membebaskan Anwar selain bertenggek di atas hujah Kumpulan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penahanan Arbitrari (WGAD) yang mendakwa Anwar dinafikan perbicaraan yang adil.

Saya sangat bersetuju backbenches Barisan Nasional tidak mampu mewujudkan semak dan imbang kepada kerajaan kerana  sesetengah daripada mereka  adalah oportunis  yang takut  terlepas habuan.  Tetapi pada masa sama saya tidak setuju  kenyataan  bahawa Anwar  boleh mewujudkan semak dan imbang.

Impian politik Anwar yang begitu tinggi  tidak mampu memandu dia menjadi  semak dan imbang yang  telus, ikhlas dan  bertanggungjawab.  Anwar  akan  berada pada sisi yang  tidak bebas dan adil  kerana hanya  akan nampak buruk  kerajaan semata-mata.


Perjuangan  menuntut ruang bersuara dalam isu 1MDB  jauh lebih besar daripada  membebaskan Anwar.  Khairuddin  wajar lebih fokus dalam keadaan  banyak sistem  dan penguatkuasaan  telah diceroboh  kerana disalahtimbang oleh neraca politik.

Renungi nasihat Sultan Nazrin

Ucapan dan tulisan Sultan Perak, Sultan Nazrin tidak pernah mengecewakan.  Ucapan yang disampaikan dengan bahasa mudah dan tidak retorik membuatkan siapa yang mendengar akan menghayati luahan hatinya.

Kepada pemimpin-pemimpin terutama politik yang bermewah-mewah, ambillah iktibar daripada nasihat Sultan Nazrin. Rakyat bukan mempertikaikan sumber kekayaan mereka tetapi sifat bermewah-mewah yang menjurus kepada membazir.

Janganlah pula menjawab,  "Dulu masa belum masuk politik saya adalah orang korporat. "  Maksudnya hendak memberitahu yang dia bermewah dengan jam beratus ribu ringgit,  berkereta besar dan bermotor besar adalah hasil usahanya.  Rakyat tidak mempertikaikan itu.

Analoginya,  walaupun kerajaan Selangor memberikan air percuma tetapi adalah tidak baik kalau membazir  air secara tidak berhemah.  Walaupun  masa bangun pagi kita terjumpa seguni  wang tetapi itu bukan alasan untuk bermewah-mewah.  Apa lagi sifat itu bertentangan dengan kata-kata yang selalu dimuntahkan kepada rakyat supaya berjimat dan jangan membazir.
 
*******

KUALA KANGSAR 27 Nov. - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan golongan kepemimpinan supaya tidak berperwatakan ibarat pepat di luar, rencong di dalam atau bersifat munafik yang boleh membawa kepada kehancuran sesebuah tamadun.

Baginda bertitah, Allah telah menghamparkan pelbagai contoh untuk dijadikan pengajaran tentang sejarah kegemilangan sesuatu bangsa dan sesebuah negara, juga kisah kejatuhannya untuk dijadikan pengajaran.

Mengambil contoh kejatuhan dua tamadun besar iaitu Rom dan Parsi, Sultan Nazrin bertitah, itu disebabkan kepemimpinan negara yang lemah, para pembesarnya hidup mewah, raja-raja tenggelam dalam kenikmatan dan lupa tanggungjawab selain melakukan kezaliman, penindasan serta kekejaman.

Titah baginda, tindakan itu menyebabkan kehidupan rakyat terumbang-ambing dan anggota tentera runtuh moral perjuangan serta luntur semangat kepahlawanan.

“Barang dijauhkan Beta daripada didampingi dan barang dijauhkan kerajaan Beta daripada dianggotai oleh pembesar-pembesar yang berwatak pepat di luar, rencong di dalam, bersifat munafik. Allah telah menjadikan contoh-contoh tersebut agar dijadikan pengajaran oleh umat terkemudian supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku,” titah ba­ginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda di Istana Iskandariah Bukit Chandan di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut mengingatkan golongan kepemimpinan mengambil iktibar daripada kisah kejatuhan bangsa Arab akibat terlena dengan muzik kejayaan sehingga Allah menyerahkan panji kepemimpinan dunia kepada bangsa Kurdish.

Titah baginda, apabila bangsa Kurdish pula berpaling daripada Islam, Allah telah menyerahkan tampuk kepemimpinan Islam kepada bangsa Saljuk. 

Bangsa Saljuk, titah baginda, kemudiannya menyerahkan kepe­mimpinan kepada Usmaniah yang terkenal dengan kepemimpinan besar mereka, Sultan Muhammad al-Fateh dan Sultan Sulaiman al-Qanuni yang bertahan hampir enam abad.

“Begitupun kuasa yang dianugerahkan oleh Allah kepada bangsa itu akhirnya jatuh apabila Sultan-Sultan Usmaniah dan para penguasanya tergelincir jauh daripada syariat Allah dan Rasul,” titah baginda.

Sultan Nazrin sebaliknya mahu para kepemimpinan mencontohi pemerintahan sahabat Nabi, Saidina Umar yang tidak melantik orang yang meminta-minta jawatan atau menunjuk-nunjuk kemampuannya atau yang menggunakan saudara-mara untuk memperoleh jawatan.

Titah baginda, ketika itu para pemimpin dipastikan tidak berlaku zalim, tidak menyalah guna kuasa untuk kepentingan peribadi dan ditegah melambangkan sebarang kemewahan.

Baginda bertitah, Saidina Uthman yang terkenal dengan sifat mulia sebagai seorang hartawan yang sangat pemurah, namun memberikan ruang kepada pihak tertentu melakukan pelbagai manipulasi menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi.

“Dasar toleransi Saidina Uthman telah diambil kesempatan oleh orang yang rakus hingga harta baitulmal tidak terlepas daripada digunakan sewenang-wenangnya.

“Penglibatan ramai ahli keluarga yang dilantik dalam pentadbiran negara tetapi tidak bersifat jujur telah mengakibatkan banyak peraturan kewangan dan perbendaharaan menjadi longgar yang memberikan kesan negatif kepada pemerintahan,” titah baginda.


Friday, November 27, 2015

Kenyataan penuh Shafie Apdal

Berikut adalah kenyataan penuh Shafie:
Dalam menghormati keputusan Majlis Tertinggi yang diadakan baru-baru ini, saya berpandangan adalah tidak wajar ketetapan yang telah dilakukan oleh barisan Majlis Tertinggi yang secara terang menidakkan tradisi yang telah menjadi amalan Umno selama ini di mana ucapan timbalan presiden di dalam perasmian sayap-sayap itu ditiadakan.
Saban tahun mesyuarat agung Umno yang diadakan setahun sekali ini biasanya akan menghimpunkan ahli-ahli Umno dari semua peringkat akar umbi dari seluruh pelusuk negara. Adalah menjadi kebiasaan juga bagi ahli-ahli Umno ini untuk mendengar ucapan, pandangan, dan harapan bukan hanya dari presiden parti, bahkan suara akar umbi, termasuk timbalan presiden parti, naib-naib presiden dan juga para perwakilan.
Sebagai parti terbesar negara, kita tidak mahukan hanya ahli Umno sahaja yang terkesan dengan segala inisiatif dan juga agenda yang bakal dilakukan, sebaliknya kita juga mahu supaya apa yang dilontarkan boleh didengari tidak hanya oleh ahli Umno bahkan kita juga mahu jutaan rakyat Malaysia yang berada di luar dewan mendengar dan seterusnya menyokong kita.
Saya masih ingat semasa pertama kali saya mengikut ayahanda saya Tun Sakaran ke perhimpunan agung Umno pada tahun 1970-an di Hotel Hilton, tempat persidangan pada ketika itu bukan sahaja dipenuhi dengan asap rokok, malahan halwa telinga kita disajikan dengan ucapan-ucapan yang bernas, walaupun ada juga teguran-teguran lantang yang dibuat, tetapi saya dapat lihat setiap ahli Umno yang hadir termasuk barisan pemimpin tertinggi parti menerima setiap bait ucapan dan teguran itu dengan berlapang dada.
Setiap teguran yang dibuat pasti ianya untuk penambahbaikan dan juga asas kepada kekuatan parti terbesar negara ketika ini. Umno yang menjangkau usia 70 tahun sepatutnya lebih terbuka dan tidak hanya inklusif untuk kepentingan individu-individu tertentu. Umno bukan dimiliki oleh seorang ahli, Umno adalah hak kepada lebih 3 juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan parti keramat sejak sekian lamanya.
Walaubagaimanapun, kalau itulah kehendak ketua-ketua sayap yang lebih arif tentang perjuangan dan memahami perjuangan Umno lebih daripada pemimpin yang lebih berpengalaman, saya hormati keputusan kolektif tersebut, tetapi sekurang-kurangnya takkanlah timbalan presiden dan naib-naib presiden tidak boleh berucap di dalam penggulungan?
Saya yakin dan pasti ahli Umno peringkat akar umbi mahu mendengar, meniliti, dan menilai setiap apa yang ingin disampaikan oleh barisan pimpinan ketua-ketua sayap, naib-naib presiden, timbalan presiden dan seterusnya presiden parti sendiri. Saya percaya ahli Umno mampu membezakan mana yang baik untuk kekuatan serta penambaikan kepada parti dan sebaliknya.
Tidak lama dulu presiden parti pernah menyuarakan dan mahukan supaya Umno perlu reform, setiap ahli parti di peringkat akar umbi perlu lakukan perubahan demi perubahan, bagi memastikan Umno ini kekal sebagai sebuah parti yang sentiasa relevan dengan peredaran masa, mampu menarik minat orang-orang muda dan sebagainya.
Tetapi sayangnya proses pembaharuan ini tidak lengkap dan tidak berlaku di peringkat bawahan sahaja, sebaliknya ia perlukan komitmen dan juga sokongan di setiap peringkat, terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan menentukan hala tuju parti keramat ini.

Wednesday, November 25, 2015

ANEKDOT AHAD 14 DEC 14

Pagi tadi semasa minum di kafe,  saya  bertanya kepada seorang rakan, "Untuk apa UMNO berhimpun dan bersidang setiap tahun?"  Katanya, "Untuk memperjuangkan agama (Islam), bangsa (Melayu) dan tanah air (Malaysia). "   Pertanyaan saya sebenarnya tidak dijawab.  Saya teringat tulisan saya mengenai UMNO selepas perhimpunan agung tahun lalu.  Saya turunkan di bawah ini untuk tatapan walaupun sudah tidak relevan.


UMNO mesti manfaatkan peluang yang diberi Tuhan
(Mingguan Malaysia 14 Disember 2014)

“Kita sudah ‘kalah’ pun dulu dalam PRU lepas cuma Tuhan bagi kita satu tempoh untuk kita fikir balik bahawa zaman hadapan menjadi zaman yang paling sukar. Saya nak kata, kalau tak betul-betul jaga dan tak buat perubahan dan pembaharuan, kita akan kalah. Pilihan sekarang sama ada mahu terus kekal hidup dan bernafas atau kita akan kalah.”

Di atas adalah petikan wawancara Utusan Malaysia dengan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 November lalu sempena Perhimpunan Agung UMNO. Penegasan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri bahawa UMNO dalam keadaan yang sangat bahaya adalah suatu yang mesti difikirkan oleh pemimpin di pelbagai lapisan parti itu.

Saya tidak fikir Muhyiddin sengaja mencetuskan suasana panik tetapi membentangkan hakikat yang terpaksa diakui bahawa UMNO berada dalam cabaran baharu, khalayak pengundi baharu dan limpahan maklumat juga dalam bentuk baharu yang mengubah landskap politik masa kini. Limpahan maklumat ini membuatkan tidak banyak perkara yang boleh diselindungkan daripada pengetahuan umum terutama yang melibatkan wang rakyat. 

Walaupun tulisan ini sudah 'luput tarikh' kerana demam perhimpunan agung sudah lama berlalu malah kehangatan semasa di Dewan Merdeka PWTC sudah sejuk dan kembali seperti sediakala, tetapi sebagai orang luar saya melihat ada keazaman daripada pemimpin-pemimpin tertinggi untuk mengeluarkan UMNO dari zon selesa, terbuai dengan kegemilangan silam dan tidak realistik dengan aspirasi politik semasa.

Sebagai orang yang tidak mempunyai akses yang banyak tentang hal-hal dalaman UMNO, bukan ketua cawangan, ketua bahagian atau lain-lain lagi, perspektif saya mungkin salah. Tetapi saya yakin betul iaitu UMNO berada dalam keadaan yang tidak berapa kuat atau “tidak berapa sihat” berbanding sebelum ini. Saya tidak fikir Muhyiddin akan berkata, “Cuma Tuhan yang bagi kita satu tempoh” sekiranya prestasi UMNO tidak menurun terutama pada pasca Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008.

Saya fikir kalau benarlah UMNO agak tenat sekarang, ia bukanlah suatu perkara yang luar biasa malah itulah penyakit dalam mana-mana parti politik di luar negara yang pernah merentasi zaman gemilang, berpengaruh dan terlalu lama berada di puncak kuasa. Apabila berada dalam keadaan ini berlakulah serba sedikit kealpaan, menjadi agak elitis dan kuasa juga boleh membuatkan manusia melanggar garis moral. 

UMNO tidak wajar tergopoh-gapah menganggap kurangnya sokongan disebabkan UMNO tidak remaja dan tidak ada kebersatuan. 

Meremajakan UMNO dan mengukuhkan kebersatuan tidak wajar dijadikan agenda utama pemulihan UMNO. UMNO sudah memberi perhatian kepada golongan muda dengan adanya Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO. Untuk menjadi pemimpin kenalah pilih berdasarkan merit bukan usia. Yang tidak ada merit kalau muda pun akan jadi masalah juga.

UMNO juga tidak boleh terlalu ideal untuk melihat kebersatuan yang mutlak dalam parti ini. Dalam mana-mana parti politik tidak ada kawan yang benar-benar kawan, juga tidak ada musuh yang benar-benar musuh. Yang ada adalah berkompromi yang memberikan pulangan.  Sistem berpolitik itu sendiri sebenarnya bertentangan dengan kebersatuan kerana ia menganjurkan individu membina tangga politiknya sendiri. Cantas-mencantas adalah adat, cuba tunjukkan parti politik yang tidak ada cantas-mencantas?

Kejatuhan Parti Liberal Demoktarik (LDP) dalam Pilihan Raya Umum Jepun 2009 bukan kerana tidak ada kebersatuan sekalipun, banyak pecahan dalam parti itu. Kejatuhan disebabkan parti itu terlalu kuat dari segi kuasa politik dan kawalan ekonomi. 

LDP memegang tampuk kuasa selama 55 tahun di Jepun tetapi kecundang kepada pembangkang yang lemah, Parti Demokratik Jepun (DPJ) kerana rakyat hilang kepercayaan. LDP hanya memayungi golongan elit dan rakyat bangun menuntut pendemokrasian ekonomi.
Yang boleh kita pelajari daripada peristiwa ini ialah pengakuan LDP bahawa menjadi parti yang berkuasa begitu lama bukanlah mudah. 

Ini sebenarnya bertentangan dengan tanggapan banyak pihak, semakin lama berkuasa semakin kuat sesebuah parti. Tetapi politik bukan matematik. Politik juga bukan ilmu fizik. Politik ialah persepsi, apabila ada parti lawan berjaya mengalih persepsi daripada baik kepada buruk, ilmu matematik tidak boleh membantu LDP.

Itulah yang berlaku kepada LDP. Kekalahan yang sangat memalukan dalam pilihan raya bersejarah itu disebabkan leka dalam zon selesa, penyalahgunaan kuasa dan yang paling dikesalkan ialah terbius dalam kegemilangan silam selama setengah abad di puncak kuasa. LDP terlupa bahawa politik adalah suatu yang sangat dinamik, perubahan persepsi boleh berlaku bila-bila masa.

Kesimpulannya UMNO jangan terlalu bimbang dan tergopoh-gapah membuat pelan pemulihan walaupun berada dalam keadaan tenat. Yang perlu dilakukan sekarang ialah membina keyakinan rakyat bahawa parti ini cakap serupa bikin. Kalau boleh kurangkanlah majlis memotong reben yang lebih syok sendiri dan tidak memberi faedah kepada rakyat. 

UMNO mesti menjadi parti yang lantang membanteras rasuah, tidak kira dalam bentuk apa dan di mana. Kalau boleh saringan calon yang bersih sahaja dibenarkan bertanding wajar dilaksanakan juga dalam pemilihan jawatan dalam parti. Ini lanjutan daripada saringan yang dibuat kepada calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum. 


Bagaimanapun saya percaya Islam menjadi benteng ahli-ahli UMNO daripada terlibat dengan rasuah dan lain-lain lagi yang menyalahi hukum Islam. Inilah yang mesti ditonjolkan supaya ia menjadi wajah peribadi UMNO.


ANEKDOT AHAD 12 OKT 14

12/10/14

AS biaya Islamic State (IS), Obama pelakon utama
(Mingguan Malaysia 12 Oktober 2014)


 Barangkali ada antara kita yang menggeleng kepala apabila menonton footage dalam berita di televisyen tentang keganasan pelampau Islamic State (IS) yang membunuh orang awam dengan kejam. Lebih-lebih lagi apabila agensi berita Barat menyiarkan gambar dan video wartawan AS, James Foley akan dipancung oleh IS di satu kawasan yang tidak diketahui.

Tetapi jangan lupa AS sebenarnya lebih banyak membunuh orang Islam di Iraq, sementara di Palestin dilakukan oleh proksinya regim Zionis Israel. Di Iraq sahaja lebih setengah juta dibunuh dalam perang Iraq, pembersihan etnik terbaru oleh regim Zionis di Gaza, Palestin yang menjangkau 2,000 orang. Ini belum dikira kecederaan dan kemusnahan harta benda.

Elok simpan dahulu simpati kita kepada wartawan yang dipancung itu. Sebabnya apa yang kita lihat atau baca adalah salah satu daripada babak dalam drama propaganda yang sedang dimainkan oleh AS. Saya bukan menyokong keganasan dan harap tidak ada bekas Duta AS yang pernah ke Malaysia sasau dan mengecam saya menyokong pelampau.

Saya hanya mahu merasionalkan beberapa babak dalam drama yang sedang dipertontonkan di hadapan kita termasuk masyarakat Islam di seluruh dunia. Keganasan IS yang kononnya membunuh orang Islam fahaman Syiah adalah babak yang dicipta oleh AS. Babak-babak itu tidak benar. Yang benarnya orang Islam dibunuh, dihina dan termasuk dinafikan hak untuk mendiami negara sendiri.

Saya tertarik dengan hujah penyelidik geopolitik, Tony Cartalucci dalam Global Research yang mengistilahkan tindakan AS menbiayai IS sebagai "geopolitical arsonist" iaitu kembali ke tempat yang pernah dibakar untuk terus menguasainya. Bagi Cartalucci, AS kembali ke Iraq dan menguasainya dengan helah memerangi IS. Ini juga helah Obama yang sebelum ini menarik keluar semua tentera AS di Iraq.

AS sengaja menyekutukan pelampau dengan Islam apabila mencipta nama 'Islamic State' yang membawa nama Islam dalam perbuatan tidak berperikemanusiaan. Islamic State digunakan secara meluas oleh media Barat.

Para sarjana Islam di seluruh dunia bersepakat menepis dan mengatakan bahawa pelampau IS bukan mengamalkan ajaran Islam. Memang betullah. Masakan AS memerlukan pejuang yang mengamalkan ajaran Islam kerana ini menggagalkan propaganda mereka. Sebab itu mereka memilih IS yang tidak mengikut ajaran Islam.

Dalam banyak analisis IS didakwa dibiaya oleh AS untuk memburuk-burukkan Islam. Bukan mustahil atau perkara baharu, buktinya AS sendiri sebelum ini yang mempopularkan istilah 'Islamofobia' yang menggambarkan suasana fobia Barat terhadap Islam. Islamofobia lahir selepas serangan 11 September 2001 di New York yang menurut banyak penganalisis serangan itu dirancang oleh CIA untuk mendapatkan 'lesen' AS menyerang Iraq.

Hujah ini diperkuatkan oleh kenyataan Pengarah Agensi Keselamatan Kebangsaan era Ronald Regan, Jeneral William Odom. Dia mengakui, untuk memastikan kelangsungan kuasa, AS sudah lama menggunakan pelampau untuk mencapai agendanya. Misalnya pada era 1970-an, CIA menggunakan Ikhwanul Muslimin untuk menyekat pengaruh Kesatuan Soviet menyebarkan fahaman Marxist di Mesir yang menjadi proksi AS.

Malah CIA juga melahirkan Osama Ben Laden pada era 1980-an di Afhganistan. Malah bekas Setiausaha Luar British, Robin Cook sendiri mengaku bahawa Al Qaeda adalah produk agensi perisikan Barat (CIA) . CIA melatih dan membiayai Al Qaeda untuk menentang Rusia di Afghanistan.

Atas sebab itulah kita jangan mudah terpengaruh dengan video pelampau IS membunuh wartawan AS yang disebarkan secara meluas. Semua ini tidak lebih propaganda untuk mengalihkan perhatian dunia daripada melihat kejahatan tentera Zionis Israel yang membunuh beribu-ribu orang awam di Gaza, Palestin kepada pelampau IS.

Baru-baru ini akhbar USA Today pada tajuk muka depannya berbunyi , "Obama authorizes airstrikes in Iraq to stop genocide" melaporkan seolah-olah Obama penyelamat dunia. Dia kononnya menyelamatkan orang Islam yang menjadi mangsa tidak perikemanusiaan IS. Obama seorang yang bijak, dia mencipta kewiraannya supaya dilihat sebagai penyelamat dunia. Kalau tidak sudah tentu dia tidak sanggup membohongi dunia bahawa Osama Ben Laden sudah ditangkap dan dibunuh tanpa sertakan bukti yang boleh dipercayai.

Apabila Obama begitu beria-ia memerangi IS kononnya membunuh orang awam, apakah kita boleh melupakan AS yang membunuh lebih setengah juta rakyat Iraq? Apakah IS dalam konteks Iraq misalnya lebih bahaya berbanding AS sendiri yang membunuh lebih berkali-kali ganda jumlahnya?
Maka dalam konteks ini AS lebih mendatangkan bahaya berbanding IS. Kejahatan AS terlindung di sebalik IS yang mencemarkan Islam.

Akhbar The Telegraph 8 Mac tahun lalu menerusi analisis bertajuk "US and Europe in major airlift of arms to Syrian rebels through Zagreb" antara lain mendedahkan AS menyalurkan bantuan ketenteraan sebanyak 30,000 tan kepada pelampau di Syria dan senjata itu dihantar dari Zagreb menggunakan 75 kapal terbang pengangkut tentera kepada puak pelampau yang sekarang dikenali sebagai IS.