Wednesday, July 29, 2015

Beza Muhyiddin dengan Mat Sabu

Walaupun Muhyiddin Yassin dan Mat Sabu,   pernah berada pada kedudukan yang sama dalam parti masing-masing tetapi janganlah menyamakan  Mat Sabu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. 

Mereka berdua jauh panggang dari api sekalipun kedua-duanya Timbalan Presiden.  Muhyiddin masih lagi  Timbalan Presiden UMNO tetapi Mat Sabu telah disingkirkan dari jawatan Timbalan Presiden Pas.

Muhyiddin semasa disingkirkan dari jawatan nombor dua dalam kerajaan menerima dengan tenang, mungkin beliau tidak mengejar jawatan. Tetapi Mat Sabu  menggelepar dan menyalahkan orang apabila tewas dalam pemilihan Pas.

Muhyiddin terus bersama UMNO walaupun hayatnya sebagai Timbalan Presiden  UMNO dijangka tidak lama. Beliau tidak menubuhkan parti baharu untuk menjadi Presiden.  Tetapi Mat Sabu  hendak tubuh parti baharu dan melantik dirinya sebagai Presiden.

Muhyiddin tidak kata UMNO tidak relevan, tetapi Mat Sabu menghukum Pas sebagai tidak relevan hanya apabila dia dikalahkan dan dimalukan dalam pemilihan.  Saya fikir memang benar Pas kini sudah tidak relevan. Pas tidak relavan dengan Mat Sabu sahaja tetapi relevan dengan orang lain.



Video skandal AS$700 juta: Kita tunggu penafian Muhyiddin

Penyebaran video 55 saat yang  didakwa rakaman perbualan  Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan, Muhyiddin Yassin dengan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir petang ini  menjadikan skandal 1MDB semakin dramatik.  Daripada video berkenaan,  Muhyiddin  mengaku yang Najib  mengaku memasukkan wang  AS$700  juta dalam akaun peribadinya.

Portal Malaysiakini yang memecah berita ini boleh sahaja disaman oleh Najib sekiranya berita ini palsu atau video itu telah dipinda.  Malaysiakini terdedah dengan tindakan undang-undang  tetapi keberanian menyiarkan video dan berita mengenainya membuatkan persepsi tentang kebenarannya.

Kita sama-sama menunggu apakah tindakan  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap penyebaran video yang sudah pasti akan dikelaskan sebagai 'palsu' ini.   Tetapi sebelum bertindak kenalah memastikan sama ada benar-benar palsu atau memang benar-benar.

Bagaimanapun setakat ini Muhyiddin tidak menafikan. Ini sama dengan ceramah Muhyiddin di ILMU di mana beliau mengkritik keras 1MDB dan salah seorang Menteri yang ketawa besar apabila Muhyiddin berkata, 'Kita pegang tanduknya' adalah Zahid Hamidi yang dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi Muhyiddin tidak menafikan yang beliau berkata demikian, cuma yang kelihatan kepanasan ialah Zahid yang mahu memburu individu yang merakamkan program tertutup itu.  Kali ini apabila tidak ada penafian daripada Muhyiddin, kita boleh membuat kesimpulan, setakat ini pengakuan Muhyiddin adalah benar.

Muhyiddin bukanlah individu yang kebal daripada undang-undang, tambahan pula sudah tidak ada apa-apa jawatan dalam kerajaan.  Kalau pengakuan Muhyiddin itu satu pembohongan, beliau boleh disaman kerana memalukan Perdana Menteri.

Kalau ada yang berkata,  video itu sudah dibuat superimpose,  ini menunjukkan tahap kreatif orang kita mengalahkan  Hollywood.  Kalau penonton Youtube percaya video itu asli,  hebatlah orang yang membuat superimpose itu.  Mereka ini boleh diberi peluang  untuk memajukan industri filem Melayu yang layu ini.



Selain Muhyiddin, Nur Jazlan turut disingkirkan

Semalam,  Perdana Menteri,  Najib Razak  menyingkirkan  Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin  sekaligus porfolio  sebagai Menteri Pendidikan.  KIni Muhyiddin hanya Ahli Parlimen Pagoh dan Timbalan Presiden UMNO.  Penyingkiran Muhyiddin dan digantikan dengan bekas orang kuat Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Penyingkiran Muhyiddin disebabkan kelantangan membawa suara rakyat yang mahukan penjelasan mengenai skandal 1MDB yang melibatkan kehilangan misteri RM42 bilion.  Kini  Kabinet Najib 2015  memang kabinet,  yang tidak ada suara untuk memberikan pandangan kedua.  Resmi kabinet, yang dibuka untuk diisikan atau diambil barang kemudian ditutup. Diam.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak mah menjadi 'kabinet' yang diam seperti layak duduknya di dapur.  Muhyiddin mahu menjadi  Kabinet yang memberikan timbal balik kepada ketua,  meraikan pandangan kedua dan menjulang perbezaan pandangan.

Oleh kerana itu tidak hairanlah akan banyak yang mengambil resmi 'kabinet'  yang diam di dapur.  Diisikan apa sahaja kabinet terus diam.  Ini termasuklah  'kabinet'  kitar semula atau reject shop yang  membawa resmi 'kabinet' .  Tahniah kepada Menteri Besar Kedah yang paling tidak menonjol, Mahdir Khalid  yang dilantik Menteri Pengajian Tinggi.

Semalam juga menyaksikan  Pengerusi  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  Nur Jazlan Mohamed  dilantik sebagai Timbalan Menteri  Dalam Negeri.  Tetapi jangan gembira dengan pelantikan  Nur Jazlan kerana dia terpaksa dikeluarkan daripada mengetuai PAC yang kini sedang menyiasat skandal 1MDB.

Mengikut Peraturan 77 (A) Dewan Rakyat,  mereka yang dilantik sebagai anggota Kabinet perlu meletakkan jawatan sebagai  ahli  atau pengerusi PAC.  Oleh yang demikian  Nur Jazlan antara Pengerusi PAC yang lantang, telus dan tegas disingkirkan dari PAC yang sedang menyiasat Najib dan 1MDB.

Ini bermakna prosiding 1MDB  terpaksa ditangguhkan sehingga  Pengerusi dan  empat ahli yang terdiri daripada Reezal Merican,  Mas Ermiaty dan Madius Tangau dilantik sebagai Timbalan Menteri  diganti.  Secara jelas penyingkiran Nur Jazlan sebagai Pengerusi PAC untuk memperlahankan kontroversi skancal 1MDB.

Banyak yang bertanya kenapa  terlalu banyak (11 orang)  dilonggokan sebagai Menteri Jabatan Perdana Menteri (Menteri JPM)?  Padahal  tidak semua daripada mereka diberi porfolio kecuali  hal ehwal Islam,  ekonomi, perpaduan dan  'menjaga'  Dewam Parlimen.  Malah sangat tidak masuk akal hal ehwal Parlimen dikendalikan oleh seorang Menteri.

Barangkali jawapannya ialah ini jawatan untuk 'kawan-kawan'  dan 'membalas budi' .  Tidak mengapa,  rakyat yang menanggung  segala belanja termasuk  gaji dan elaun serta  segala macam  faedah lain yang layak dinikmati oleh seorang yang bertaraf Menteri.  Barangkali di negara lain jumlah 11 Menteri  di JPM adalah sebuah Kabinet.   Oleh kerana Malaysia 'kaya' dengan Menteri,  11 orang hanya di JPM sahaja.  Ini tidak termasuk lagi banyak Penasihat yang bertaraf Menteri.






Tuesday, July 28, 2015

Muhyiddin, terbuang tapi terbilang

Landskap politik Malaysia dijangka berubah berikutan penyingkiran Timbalan Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin kerana  menyampaikan suara dari akar umbi yang mahukan penjelasan mengenai kontroversi syarikat pelaburan kerajaan 1MDB.  Kedudukan Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan juga turut dilucutkan berkuatkuasa esok.

Bagaimanapun setakat ini Muhyiddin masih lagi Timbalan Presiden UMNO.  Tetapi banyak dalam kalangan penganalisis menganggap, jawatan dalam UMNO itu juga tidak lama. Ini kerana sebagai Timbalan Presiden UMNO,  Muhyiddin perlu ada dalam mesyuarat-mesyuarat penting parti.

Oleh yang demikian,  mereka berpendapat,  usaha akan dilakukan untuk menyingkir atau setidak-tidaknya 'membekukan' Muhyiddin daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO.  Penamatan jawatan  Gani Patail sebagai Peguam Negara yang belum sampai tempoh kontraknya Oktober ini dilihat  sebagai  satu jalan pintas.

Sudah terdengar ura-ura  pihak tertentu akan membuka fail salah laku Muhyiddin di Kementerian Pendidikan.  Sekiranya ini berlaku, Muhyiddin terpaksa direhatkan untuk satu tempoh hingga pemilihan yang akan datang, dijangka selepas Pilihan Raya ke 14 nanti.

Peguam Negara yang baharu barangkali boleh digunakan untuk membuka siasatan terhadap Muhyiddin  sebagai langkah teknikal untuk membekukan tugas Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Bagaimanapun penyingkiran Muhyiddin bukanlah suatu yang mengejutkan apabila Najib memberi laluan kepada  Menteri Dalam Negeri,  Zahid Hamidi sebelum ini mengatasi Muhyiddin.  Malah yang terbaru,  Zahid sudah berani  mengkritik  Muhyiddin kerana mempersoalkan 1MDB dalam satu acara UMNO Bahagian Cheras.

Mustahil Zahid yang  duduk di tangga ketiga boleh menegur (baca membelasah) Muhyiddin yang berada di atas daripadanya dalam  UMNO dan juga kerajaan kalau tanpa isyarat daripada Najib. Muhyiddin pula sudah bersedia dikenakan tindakan kerana membawa suara akar umbi mengenai 1MDB.

Walaupun terbuang, Muhyiddin terus terbilang di mata rakyat.  Tidak banyak pemimpin politik yang sanggup menerima risiko disingkirkan hanya untuk berlaku jujur kepada pendiriannya sebagai pemimpin. Muhyiddin dilihat sangat tenang menerima penyingkiran dan inilah kekuatan yang juga jarang ada kepada pemimpin politik.

Penyingkiran  Muhyiddin mengulangi  tragedi perpecahan dalam UMNO seperti  era Dr. Mahathir dan Ku Li pada tahun 1980-an  dan  Dr Mahathir dengan Anwar Ibrahim pada pertengahan 1990-an.  UMNO berpecah dan melahirkan PKR.  Pengaruh Muhyiddin yang besar itu  akan mencipta satu gelombang penolakan kepada UMNO Najib.

Bagaimanapun penyingkiran Muhyiddin yang bertanya tentang 1MDB tidak akan memadamkan kontroversi yang kini di peringkat yang sangat genting.  Rakyat mempersoalkan 1MDB bukan kerana Muhyiddin.  Tetapi Najib telah bercakap jujur apabila berkata, dia mahu kabinet yang sealiran dengannya.  Tidak ada yang boleh memberikan pandangan kedua, kecuali pandangan Najib semata-mata.

Sebenarnya Muhyiddin bertindak bijak dengan bersuara lantang mengenai 1MDB.  Kemudian kelantangannya dibalas dengan penyingkiran dari jawatan nombor dua dalam kerajaan.  Maka kebusukan 1MDB tidak terpercik kepada Muhyiddin kerana beliau telah berusaha sedaya upaya sebagai orang nombor dua.





Monday, July 27, 2015

Apabila Muhyiddin bersuara

Amaran Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin bahawa UMNO akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 14 tidak boleh dipandang ringan.  Muhyiddin semasa berucap di Cheras  semalam secara sinikal berkata, kalau Parlimen dibubarkan 'hari ini'  UMNO akan tewas kerana banyak isu yang tidak selesai terutama 1MDB.

Persoalannya adakah  sesetengah jebon dalam UMNO bimbang dengan masa depan UMNO, setidak-tidaknya untuk menghadapi PRU 14 dua tiga tahun sahaja lagi?  Kalau mereka bimbang, pernahkah mereka meluahkan kebimbangan dan mencari jalan untuk mengatasinya?

Bayangkan isu sebesar 1MDB mahu disapu di bawah karpet dan mengalihkan ia sengaja dikontroversikan oleh pembangkang.  UMNO kena berfikir jauh ke depan,  soal pembangkang yang  mengangkat isu 1MDB, itu satu hal.

Tetapi yang penting  apakah usaha UMNO untuk  menjelaskan kepada rakyat bahawa 1MDB tidak seperti yang dikatakan oleh pembangkang.  Kalau setakat mengatakan pembangkang berniat jahat,  mahu menjatuhkan kerajaan,  mahu menjejaskan reputasi Perdana Menteri, Najib Razak,  itu bukan luar biasa dan bukan jawapan kepada rakyat.

Sejak beberapa bulan lalu semasa tercetusnya isu 1MDB,  kerajaan yakni Perdana Menteri serta Menteri Kabinet tidak menjawab secara jelas dan tegas mengenai 1MDB.  Mereka hanya menjawab  secara retorik politik,  "oh itu niat jahat pembangkang." 

Rakyat tidak mahu jawapan  itu.  Mereka realistik pembangkang manakah yang tidak mahu menjatuhkan pihak yang satu lagi?  Tidak tahulah kalau UMNO jadi pembangkang, mereka tidak akan menjatuhkan  pihak lawan. Mungkin UMNO akan menjadi pembangkang  contoh untuk masa depan.

Muhyiddin sendiri mengakui,  beliau sebagai orang nombor dua tidak pernah diberi penjelasan mengenai isu 1MDB.  Kalau orang seperti Muhyiddin pun tidak diberi penjelasan,  tidak hairanlah rakyat terus tertanya-tanya.  Kenapa  berat sangat untuk menjelaskan (kalau 1MDB tidak ada masalah)  kepada rakyat.  Inilah cara untuk menangkis  'tohmahan'  dan 'fitnah'  pembangkang.

Terlalu banyak pihak yang cuba dikambinghitamkan untuk tidak menjawab masalah sebenar 1MDB.  Saya bukan pembela portal pemecah berita Sarawak Report  yang mendedahkan kepincangan urus tadbir 1MDB.  Tetapi kerajaan hanya mengatakan laporan portal itu salah kerana telah dipalsukan.  Bagaimanapun tidak memberitahu apa yang betul.  Cara yang betul ialah beritahulah apa yang dipalsukan.

Mudah sahaja untuk 'mengajar'  Sarawak Report atau  The Wall Street Journal yang dicanang menyiarkan dokumen yang telah dipinda.  Caranya  dengan mendedahkan  perkara yang sebenarnya. Misalnya  The Wall Street Journal  dikatakan menfitnah Najib memindahkan sejumah wang ke dalam akaun peribadinya.  Untuk 'mengajar' The Wall Street Journal,  apa salahnya kalau Najib mendedahkan akaun peribadinya.

Bukan suatu yang mengaibkan kalau kita mendedahkan akaun peribadi malah ini suatu yang sangat bermaruah kerana  kita difitnah melakukan perbuatan yang tidak bermoral.  Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad pun pernah mengesyorkan perkara ini  tetapi tidak dilayan.  Kalau Najib berasa malu kerana duit dalam akaunnya sikit,  jangan bimbang rakyat faham keadaan itu kerana mereka tahu berapalah sangat elaun Perdana Menteri.

Kita bersyukur apabila orang nombor dua mula bersuara. Biarlah jebon-jebon  pengampu  bertindak 'menyembelih'  kerjaya politik  Muhyiddin. Tetapi  usaha itu tidak berjaya  kerana  rakyat sudah mulai meluat  dengan  sesetengah pihak dalam UMNO.  Difahamkan banyak blog pro UMNO mulai menyerang Muhyiddin seperti yang dilakukan kepada Dr. Mahathir.

Saya sentiasa bersangka baik dalam isu  yang setaraf  Watergate era Richard  Nixon di Amerika Syarikat awal 1970-an.  Saya tidak terpengaruh dengan  Sarawak Report,  The Wall Street Journal atau  The Edge.  Tetapi sebagai rakyat biasa saya tidak diberi pencerahan oleh  kepimpinan UMNO mengenai 1MDB yang melibatkan duit saya sebagai pembayar cukai.

Akhirnya  mahu tidak mahu saya mulai terpengaruh dengan  media yang dilabelkan sebagai 'penyebar fitnah' apabila  satu demi satu terburai daripada 1MDB.  Misalnya setakat ini sudah beberapa orang kanan 1MDB ditahan reman dan terbaru seorang penghantar surat turut direman.  Akhirnya  seorang  laksa sawan Cina Malaysia,  Jho Low  yang dinafikan terlibat  dengan 1MDB juga telah dipanggil  oleh  Jawatankuasa Kira-Kira Wang  Negara (PAC).  Saya tidak mengatakan mereka bersalah  tetapi sekurang-kurangnya 'ada benda'  dalam 1MDB.