Saturday, June 27, 2015

Kenapa pemilihan UMNO ditangguh?

Apabila Presiden UMNO, Najib Razak mengumumkan pemilihan parti itu yang sepatutnya diadakan tahun depan ditangguh 18 bulan untuk memberi peluang UMNO berkerja kepada rakyat,  saya tertanya-tanya apa kena mengena pemilihan dengan kerja untuk rakyat?

Pemilihan UMNO hanya empat atau lima hari sahaja, bukan sepanjang masa. Masa lain berkerjalah untuk rakyat.  Kenapa pemilihan menjadi begitu susah, besar dan mendebarkan sekiranya semua pemimpin UMNO berkerja untuk rakyat?

Adakah kenyataan Najib ini menunjukkan setahun lagi menjelang pemilihan pemimpin UMNO sudah tidak buat kerja lain selain berkempen di sana sini hingga masalah rakyat pun terabai?  Tetapi  itulah yang saya faham, dalam UMNO pemilihan lebih penting daripada menjalankan amanah seperti dalam manifesto.


Jadi, kalau UMNO mengutamakan pemilihan yang menjanjikan peluang kenaikan pangkat dan kedudukan walaupun tidak bergaji,  slogan UMNO berkerja untuk rakyat demi agama, bangsa dan negara tidak tepatlah.  Selepas ini UMNO kena menukar slogan  yang lebih tepat dengan jiwa dan pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO sekarang.

Friday, June 26, 2015

Justo bukan pil penawar sakit 1MDB

Ada beberapa pihak di negara ini telah bertepuk sorak kerana gembira apabila pengarah jabatan teknologi maklumat (IT)  syarikat minyak dan gas PetroSaudi International , Xavier Andre Justo ditangkap dan didakwa memeras ugut bekas majikannya.  PetroSaudi  antara syarikat yang mempunyai hubungan pelaburan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka gembira kerana dalam soal siasat polis Thailand  mendapati  Justo telah meminda e-mel PetroSaudi berkaitan dengan 1MDB.  Mereka gembira kerana menganggap Dr. Mahathir  memetik fakta dari sumber yang palsu.

Hello Bro, jangan gembira dulu.  Justo bukanlah  pil penyembuh 1MDB yang tenat dan diserang banyak penyakit misteri.  Kalau benar Justo  meminda e-mel itu dan didapati bersalah sekalipun,  itu hanya satu chapter kecil dalam novel misteri  bernama 1MDB.

Tetapi kita jangan lupa kepada  teori konspirasi.  Teori ini boleh dilakukan  dan tidak mustahil penangkapan  Jusco sebahagian dari teori konspirasi tahap tinggi untuk  menyelamatkan 1MDB daripada  terus diserang oleh Dr. Mahathir.

Bacalah yang semiotik (tersirat)  sebaik sahaja berita penangkapan mamat  berasal  Switzerland ini tersebar.  Sebuah akhbar dari Media Prima,  New Straits Times telah menyiarkan  sisi hitam  Justo.  Kenapa?  Teorinya  untuk membina persepsi khalayak bahawa mamat ini memang  berperibadi buruk, kaki joli dan dia memerlukan duit yang banyak untuk itu.

Tetapi kenapa seorang Cina yang dikatakan mempunyai hubungan dengan  keliuarga Perdana Menteri, Jho Low  tidak didedahkan  sisi yang sedemikian?  Padahal  nilai berita  Jho Low sama dengan Justo,  orang kaya yang menjadi perhatian, setidak-tidak dalam isu 1MDB.

Kita kena ingat bahawa media di bawah Media Prima yang banyak menyiarkan serangan ke atas Dr Mahathir kerana Dr Mahathir mengkritik  dan mempersoalkan 1MDB.  Hinggakan ‘keledek rebus’ yang mencabar Dr Mahathir berdebat pun menjadi bahan berita.  Semua ini bukan kerja salah dan tugas kita sebagai warga perlu berwaspada dengan  segala bentuk konspirasi.

Pihak 1MDB mendakwa  e-mel yang disebarkan kepada blog pemecah berita Sawarak Report dan  akhbar mingguan The Edge telah  dipinda oleh Justo. Jadi,  maksudnya pembongkaran yang dibuat oleh Sarawak Report dan The Edge (yang memetik Sawarak Report)  adalah palsu.

Tetapi siapa pun boleh mendakwa e-mel itu dipinda  bagaimanapun  tidak disertakan dengan bukti bahawa ia benar-benar dipinda.  Saya fikir kita janganlah bergembira terlalu  awal sebelum dapat memastikan permainan di sebalik ini.

Kes Justo hanya secebis sahaja dari sekian banyak  misteri yang melanda 1MDB.  Justo tidak menjadi kudis kepada misteri  1MDB sama ada dia bersalah atau tidak. Ini kerana misteri 1MDB sangat besar dan jangan terperosok dalam jaring teori konspirasi  untuk menutup kononnya kontroversi 1MDB hanya Justo.

Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi memberi amaran akan mengambil tindakan ke atas Sarawak Report dan The Edge kerana membuat laporan yang palsu.  Baguslah tindakan itu.  Tetapi jangan terlalu gopoh kerana palsu atau benar,  perjalanannya masih terlalu jauh untuk dipastikan.  Tunggu selepas mahkamah di Bangkok membuat keputusan barulah boleh cakap palsu atau benar.

Sekarang ini kita semua dalam keadaan pening-pening lalat kerana mabuk gas  PteroSaudi,  banyaklah pihak yang datang menghulurkan  pil  penahan loya dan menyakinkan pilnya sangat mujarab. Awas,  jangan mudah percaya kerana gas PetroSaudi  yang menular kepada 1MDB   bukan  mudah untuk dicari penawarnya.




Monday, June 8, 2015

Apakah yang mengancam keselamatan di PWTC?

Apabila bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad diarahkan oleh polis supaya berhenti berucap dan turun dari pentas di PWTC Jumaat lalu selepas menyebut 'Jho Low',  apakah rakyat yang terdiri daripada orang biasa  masih percaya kerajaan   mengamalkan  demokratik, setidak-tidaknya kebebasan bersuara?

Perdana Menteri,  Najib Razak  selalu mencanang pihaknya terbuka kepada kritikan dan memberikan kebebasan bersuara seluas-luasnya kepada rakyat.  Tetapi apabila tokoh seperti Dr. Mahathir pun dilarang bercakap,  macammana dengan orang biasa yang tidak ada pangkat dan kedudukan.  Dr. Mahathir  pernah menjadi Perdana Menteri  yang melantik Najib sebagai anggota Kabinetnya.

Kalau orang biasa yang naik ke pentas di PWTC Jumaat lalu dan berucap sambil menyumpah seranah  pihak tertentu ,  sangat wajar sekali untuk polis bertindak mengarahkan individu berkenaan turun dari pentas.  Tetapi yang berucap itu adalah bekas Perdana Menteri,  munasabahkah  beliau akan menyumpah seranah orang lain  kalau diberi peluang menerukan ucapannya?

Maknanya kebebasan bersuara atau demokrasi dalam berpolitik tidak lebih sebagai Aji No Moto sahaja,  bertujuan melazatkan  tetapi bukan memberikan khasiat yang sebenarnya.  Kalau benar Dr. Mahathir tidak layak berucap,  secara munasabahnya semasa menjadi  Perdana Menteri, polis  telah mengarahkan beliau turun dari pentas.

Saya percaya polis bertindak mengikut  arahan bukan undang-undang sepenuhnya.  Kalau polis mengikut undang-undang kenapa suatu ketika dulu Dr. Mahathir boleh berucap malah lebih lantang lagi?  Kenapa sekarang  baru sahaja menyebut 'Jho Low'   ada arahan  mengarahkan beliau turun?

Siapakah "Jho Low'  hingga namanya  dilarang disebutkan  waima oleh seorang bekas Perdana Menteri?   Saya tidak kisah  sama ada Najib hadir atau tidak pada majlis dialog mengenai 1MDB anjuran  SukaGuam.  Kalau Najib tidak hadir pada jangkaan saya orang ramai yang datang boleh mendengar 1MDB daripada sudut pandangan Dr. Mahathir.

Jumaat lalu  adalah tragedi terhadap kebebasan bersuara di mana  kerajaan sendiri yang membunuhnya.  Tidak setakat itu  diciptakan pula  satu suasana  supaya meninggalkan paranoid kepada rakyat dengan mengkelaskan  acara itu mengancam keselamatan khususnya kepada Perdana Menteri.  Ironinya sehingga kini polis tidak menghuraikan apakah bentuk ancaman  keselamatan sekiranya  acara itu diteruskan?  Adakah  dalam kalangan orang ramai itu membawa botol, parang atau setidak-tidaknya telur busuk yang dijadikan bom?  Adakah  hanya tercetus keadaan merempuh masuk ke dewan sudah dikelaskan  sebagai keadaan yang 'tidak selamat'  kepada Perdana Menteri?

Oleh yang demikian,  ada dua perkara penting  yang boleh dikutip dan dijadikan iktibar pada acara Jumaat lalu. Pertama,  kebebasan bersuara hanya sandiwara keterbukaan dan kedua,  polis mencipta paranoid bahawa kehadiran Dr Mahathir membuatkan keselamatan Najib terancam.  Maka sebagai rakyat yang mempunyai kebebasan berfikir tanpa diserkup  oleh kecenderungan menyokong membuta tuli individu tertentu boleh berfikir mesej yang bersifat subteks  daripada kejadian ini.

Orang mungkin boleh mengongkong  kebebasan  fizikal kita tetapi tidak mampu mengongkong kebebasan berfikir terhadap sesuatu.  Kita terkongkong  disebabkan kecenderungan kita membiarkan pemikiran dikongkong  dan memuja individu secara membuta tuli atau ada muslihat di sebaliknya.


Saya mempunyai pemikiran  sendiri terhadap isu-isu rakyat seperti 1MDB,  Jho Low,  UMNO dan sebagainya.  Terima kasih kerana setakat ini kerajaan belum menggubal akta melarang  saya berfikir di luar kotak.