Wednesday, June 25, 2014

MCA tidak ada prinsip, janji tak ditepati

PUTRAJAYA 25 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan dalam barisan Kabinet yang menyaksikan kemasukan semua wakil-wakil daripada MCA dan Gerakan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Kiong turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tiga lagi Naib Presiden MCA turut dilantik sebagai timbalan menteri.

Mereka ialah Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). - UTUSAN ONLINE


Komen saya:

Sepatutnya wakil MCA tidak ada dalam kabinet kerana orang Cina sudah tidak memerlukan MCA dan suara MCA pun sudah senada dengan DAP.  MCA wajar malu dan tidak sepatutnya menerima jawatan dalam kabinet  sekalipun dipujuk oleh Najib Razak kerana MCA tidak menyumbang dalam PRU 13 yang lalu. Kini ternyata MCA tidak ada prinsip kerana sebelum ini berikrar tidak mahu duduk dalam barisan kabinet. Apa kata UMNO?



Monday, June 23, 2014

Teguran ikhlas kepada Wanita UMNO

Semalam (22 Jun) saya hadir ke majlis Anugerah Nadi Negara anjuran Wanita UMNO di Hotel Premiera. Acara itu  adalah penyampaian anugerah kepada bekas bekas siswa yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Tetamu kenamaan adalah isteri Perdana Menteri,  Rosmah Mansor.

Walaupun penganjurnya sebuah sayap parti politik iaitu Wanita UMNO tetapi saya tidak menjangka majlis yang bertujuan menghargai siswa yang cemerlang itu bertukar menjadi majlis  berkempen UMNO.

Tetapi jangkaan saya meleset sama sekali, tiga ucapan yang disumbatkan kepada tetamu termasuk ibu bapa siswa yang diraikan itu melimpah ruah dengan  kempen politik UMNO.  Penganjur perlu membezakan antara majlis politik dan acara yang dianjurkan untuk memberi semangat dan penghargaan kepada generasi muda khususnya dalam dunia akademik.

Ucapan Ketua. Wanita UMNO, Shahrizat Jalil penuh dengan puji pujian kepada Perdana Menteri dan isterinya, Rosmah Mansor. Dia juga seolah olah mengungkit sumbangan UMNO dalam bidang pendidikan di negara ini.

Ucapan Rosmah juga mengecewakan saya kerana dia tidak menekankan peri pentingnya pendidikan kepada generasi muda. Tetapi yang ditekankan adalah jasa jasa UMNO yang bagi saya semua tidak menafikan perkara itu. Saya percaya sebahagian besar tetamu mengakui sumbangan UMNO terhadap pendidikan.

Saya percaya majlis itu akan menjadi lebih baik sekiranya penganjur tidak tergelincir daripada majlis untuk menghargai siswa kepada acara yang memperlihatkan UMNO begitu defensif pada hal yang tidak sepatutnya UMNO defensif.

Saya membayangkan masa yang saya beri kepada acara itu (selepas Rosmah lewat satu jam masuk ke dewan walaupun sudah sampai)  memberikan sekian banyak pencerahan tentang perancangan Wanita UMNO terhadap dunia pendidikan.

Tetapi malangnya semua itu tidak diberikan kepada tetamu termasuk saya dan  rasa macam sia sia kerana membazirkan masa ke majlis yang mahu memberitahu jasa jasa UMNO. Bagi saya pengendalian majlis ini perlu lebih fokus kepada penerapan peri pentingnya pembinaan generasi pelapis kepimpinan negara.

Saya percaya umtuk menjadi parti politik yang baik tidak perlu berpolitik dan bercakap tentang politik sepanjang masa. Ruang perlu diberikan untuk memikirkan hal hal lain yang boleh digerakkan dengan menggunakan pelantar politik.

CIA hilangkan pesawat MH370



CIA kawal keselamatan pesawat Boeing, kata Global Flight

(Mingguan Malaysia 22 Jun 2014)


Oleh Ku Seman Ku Hussain
Pengeluar pesawat terkemuka, Boeing sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan pengguna yakni penumpang pesawat dalam keadaan selamat semasa berada di udara. Boeing antara pengeluar pesawat termoden dan terbesar dunia dan boleh dikatakan di udara sekarang bersimpang siur dengan pesawat Boeing yang dibeli oleh banyak negara.

Walaupun semua pesawat Boeing yang berterbangan di udara telah dijual tetapi tetap ada perjanjian "khidmat selepas jual". Ini boleh dianalogikan kepada mereka yang membeli kereta mewah, walaupun kereta itu sudah bertukar nama tetapi pembuat kereta itu tetap memberikan khidmat kepakaran apabila berlaku sebarang masalah. Ini kerana hanya pembuatnya sahaja yang mahir tentang selok belok atau "perangai" kereta buatan mereka.

Hal yang sama juga dilakukan oleh Boeing. Syarikat ini mempunyai tanggungjawab terhadap setiap yang berlaku ke atas pesawat Boeing. Tentu sahaja membeli sebuah pesawat Boeing tidak sama dengan kita membeli sebuah lampu picit di kedai Ah Kau yang kalau rosak tidak lagi menjadi tanggungjawab Ah Kau. Sebab itu Boeing sangat prihatin terhadap keselamatan pesawat dan juga penumpang.

Salah satu usaha mempertingkatkan keselamatan pesawat dan penumpang ialah memasang alat Advanced Route Evaluation System (ARES) yang dihubungkan kepada pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA). Menurut jurnal penerbangan, Global Flight 1 Disember 2006, dengan menggunakan alat kawalan jauh ini, CIA boleh memantau semua penerbangan pesawat Boeing di seluruh dunia. Ini bertujuan untuk menghalang daripada perampas melencongkan pesawat di luar laluan yang sepatutnya.

Menurut Global Flight, Boeing telah menggunakan alat itu sejak 2006 sebagai langkah proaktif menangani kejadian rampasan pesawat di mana perampas akan memaksa juruterbang melencongkan pesawat ke lokasi yang dikehendaki. Dengan menggunakan ARES, CIA yang memantau penerbangan pesawat Boeing akan mengambil alih tugas juruterbang secara kawalan jauh dan memandu pesawat itu ke lapangan terbang yang berdekatan dan selamat untuk mendarat.

Menerusi ARES, apabila CIA mengesyaki sesebuah pesawat Boeing itu dalam keadaan "luar biasa" sama ada isyarat diberikan oleh juruterbang atau CIA melihat pesawat telah terkeluar laluan, CIA akan mengambil alih sepenuhnya pemanduan pesawat berkenaan dan semua sistem di kokpit sudah tidak berfungsi lagi. Sekiranya dirampas, pesawat itu tidak boleh dilencongkan seperti yang selalu berlaku dalam rampasan pesawat sebelum ini.

Menurut artikel itu, dalam keadaan sekarang (2006) di mana semua pesawat Boeing dipasang dengan alat ARES, pergerakan pesawat adalah dalam tangan CIA dan tidak mungkin pesawat Boeing, apa lagi yang dikelaskan sebagai termoden akan terkeluar dari operasi kawalan jauh CIA. Maknanya pesawat Boeing menjanjikan keselamatan yang maksimum dan sekiranya perampas dalam kalangan teroris yang mahu membalas dendam terhadap Amerika Syarikat (AS), kerja mereka akan sia-sia kerana CIA tahu apa yang berlaku.

Penggunaan peralatan kawalan jauh yang dikendalikan oleh CIA ini memberikan keyakinan kepada penumpang-penumpang yang trauma membaca berita tentang pesawat yang dirampas. Penumpang akan selamat apabila keselamatan mereka dipantau setiap saat oleh CIA. Sekiranya perampas bertindak membunuh penumpang yang dijadikan tebusan, kerja itu adalah sia-sia. Juruterbang sudah tidak ada peranan lagi dan pesawat Boeing bertukar menjadi pesawat tanpa pemandu seperti yang digunakan oleh AS untuk mengintip dan mengebom musuh.

Pada 2006, Boeing dalam satu kenyataannya berkata, "Kami secara berterusan mengkaji dan melaksanakan pelan keselamatan kepada penumpang dan menjadi pesawat yang paling cekap di dunia dalam penerbangan." Selain mematikan sistem yang dikemudikan oleh juruterbang, ARES juga dibekalkan dengan sumber tenaga elektrik sendiri yang tidak boleh diputuskan secara manual.

Menurut jurucakap syarikat Raytheon Corporation telah berjaya mendapat kontrak yang dikeluarkan oleh Federal Avation Administration untuk memasang ARES pada pesawat Boeing, sistem ini bukan sahaja menyediakan pemanduan secara kawalan jauh oleh CIA malah menyediakan analisis pada laluan penerbangan yang selamat kepada CIA ketika pesawat dalam keadaan kecemasan.

Sebenarnya semua ini bukan baharu malah sudah lapan tahun digunakan dan banyak orang tahu tentang teknologi pemantauan yang digunakan oleh pesawat Boeing. Dengan teknologi ini juga memungkinkan tidak ada pesawat Boeing hilang dan tidak dapat dikesan.

Dengan teknologi, dunia menjadi semakin kecil. Semua pergerakan boleh dipantau dan sudah tentu tidak boleh hilang begitu saja.

Antara faktor yang mendorong Boeing menggunakan alat ini ialah kejadian rampasan pesawat untuk melanggar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001. Sekiranya menggunakan alat kawalan jauh ini sudah pasti tidak ada pesawat yang akan melanggar WTC kerana telah dilencongkan oleh CIA. Sebenarnya Boeing melakukan semua ini bukan sahaja kerana tanggungjawab kepada penumpang pesawatnya tetapi untuk menjaga reputasi. Kalau boleh Boeing tidak mahu sebuah pun pesawatnya bermasalah kerana itu akan menghilangkan keyakinan pembeli pada masa akan datang. Salah satu pesawat Boeing yang dilengkapi ARES adalah MH370.

Friday, June 13, 2014

Utusan Malaysia membakar diri demi rakyat



Akhbar  Utusan Malaysia  sekali lagi menjadi lilin, membakar diri untuk menjaga kepentingan jangka panjang rakyat khususnya di Johor apabila mendesak  pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ)  ditangguh dan dikaji dengan lebih teliti.  Rang undang-undang ini menjadi sangat “luar biasa”  apabila LPHJ  memberi kuasa kepada Sultan Johor melantik  dan menggugurkan  ahli lembaga.
 .
Maksud  “luar biasa”  ini  adalah rumusan daripada pandangan pelbagai pihak terutama pakar undang-undang dan perlembagaan negara ini. Rang undang-undang tersebut  dilihat secara profesional  oleh  pihak yang  arif  sebagai  bertentangan  dengan sistem Raja Berpelembagaan  dalam Perlembagaan Persekutuan.  
 .
Bagi orang kebanyakkan,  mereka juga merasa “luar biasa” kerana belum pernah institusi raja dilibatkan  dalam bidang  kuasa eksekutif walaupun mereka tidak arif tentang terma-terma perundangan.
 .
Walaupun  banyak pihak menggunakan wadah  yang  dibuka oleh Utusan Malaysia untuk menzahirkan pandangan tentang baik buruknya melibatkan institusi raja dalam LPHJ,  rang undang-undang itu telah disokong oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  UMNO  pada sidang  Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor  Isnin lalu.  Pembentangan usul ini  “berjalan dengan lancar”  walaupun khabarnya mengambil masa tiga  jam di mana akhirnya  semua ADUN UMNO menyokong.  
 .
Sebenarnya tidak banyak akhbar yang sanggup menjadi lilin  dan bermain api seperti yang dilakukan oleh  Utusan Malaysia walaupun  isu ini mempunyai hubungan langsung dengan kepentingan rakyat. Sebabnya tidak banyak pihak yang sanggup mengotorkan tangan kerana isu ini  melibatkan institusi raja.  Tetapi Pengerusi Majlis di Raja Johor, Abdul Rahim Ramli  dalam satu sidang akhbar berkata,  Sultan bukan di belakang rang undang-undang itu. Ternyata Utusan Malaysia tidak menghina Sultan apabila mempersoalkan rang undang-undang ini.
 .
Tulisan ini bukanlah  seperti perumpamaan Melayu,  “rumah siap pahat berbunyi”.   Tetapi pahat berbunyi kerana  rumah disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa untuk cepat diduduki.  Dalam keadaan tergesa-gesa,   ada kalanya  kekurangan di sana sini apa lagi “pahat” itu  adalah tukang rumah yang arif  tentang  membuat rumah yang selamat untuk diduduki.
 .
Walaupun kebimbangan  rakyat  yang disuarakan menerusi  Utusan Malaysia telah dijawab  melalui  10 pindaan tetapi sebahagian besarnya adalah  untuk mengindahkan bahasa,  maksudnya  tidak berubah. Pindaan itu memasukkan frasa-frasa yang  lebih sedap  didengar misalnya  perkataan “raja”  dipinda kepada “pihak berkuasa negeri.”  Sementara  frasa yang membawa maksud keputusan  yang dibuat oleh  Sultan  pula dipinda  dengan menambah  supaya lebih sedap didengar, “dengan nasihat Menteri Besar.” 
 .
Pakar undang dan perlembagaan  bukan menentang tetapi meminta ditangguhkan supaya  ADUN  diberi masa yang cukup untuk meneliti rang undang-undang  berkenaan. Mereka berhujah berteraskan kepakaran dalam bidang masing-masing dan tentunya tidak ada kepentingan  lain. Tidak seperti sesetengah orang politik yang menyalahkan orang lain untuk menonjolkan kebaikannya. 
.
Utusan Malaysia  tidak mahu mendabik dada tidak bersendirian dalam isu  yang kontroversi ini walaupun  ternyata banyak pihak mengatakan sokongan kepada Utusan Malaysia. Tetapi  yang penting untuk ditegaskan ialah  pendirian Utusan Malaysia   bukanlah tindakan  melulu.  Sekiranya  Utusan Malaysia bertindak melulu, adalah mustahil  ia  disokong oleh  pakar undang-undang  dan perlembagaan  yang arif  dalam bidang masing-masing.  Utusan Malaysia tidak ada kuasa memaksa pihak lain menyokong kecuali mereka juga sama pendirian dengan akhbar ini. 
 .
Kerana itu  Utusan Malaysia  tidak perlu memohon maaf  walaupun seorang ADUN  meminta  berbuat demikian. Dia kena ingat,  Utusan Malaysia tidak boleh disamakan dengan sikapnya yang menjaga kelangsungan politik  sanggup mengenepikan rakyat.  Utusan Malaysia  menyuarakan hal-hak yang berkaitan kepentingan  rakyat dengan cara mendedahkan baik buruk untuk difikirkan oleh rakyat. Menganggap laporan  Utusan Malaysia mengenai  rang undang-undang itu sebagai provokasi  adalah menafikan peri pentingnya rakyat diberi maklumat yang tepat lagi jelas.
 .
Utusan Malaysia bukan sengaja mahu bermain api  tanpa memikirkan kesan di sebalik pendirian yang ditunjukkan. Tetapi sebagai   suara hati nurani rakyat, Utusan Malaysia  perlu menyuarakan  kebimbangan rakyat terhadap masa depan mereka.  Memang benar, ini tindakan tidak popular.  Tetapi Utusan Malaysia  tidak mahu  popular dengan cara menafikan  suara hati nurani rakyat untuk mengembirakan pihak tertentu. Ini mungkin cara orang politik tetapi bukan cara Utusan Malaysia.
 .
Orang politik  selalunya akan mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan bagi diri mereka kelihatan  betul.  Jadi, tindakan pihak yang  menganggap  laporan muka depan Utusan Malaysia 6 Jun lalu sebagai provokasi  dan mendesak  akhbar itu meminta maaf kononnya tidak sensitif terhadap institusi raja bukanlah suatu yang luar biasa. 
 .
Bagaimanapun  ada perkara yang lebih penting daripada tindakan ADUN UMNO menyalahkan Utusan Malaysia  ialah   rang undang-undang   berkenaan telah menjadi satu kajian kes  dalam konteks  sistem Raja Berpelembagaan  negara ini. Mahu tidak mahu  pihak istana  telah dilibatkan dalam pentadbiran walaupun Menteri Besar, Khaled Nordin menekankan  “atas nasihat Menteri Besar.”
 .
Tetapi penegasan itu  tidak mampu untuk Utusan Malaysia menyembunyikan kebimbangan  rakyat  dalam  kalangan pakar-pakar  yang arif dalam hal ehwal undang-undang dan perlembagaan  serta  orang  biasa  bahawa akan wujud konflik antara istana dan kerajaan pada jangka panjang. Maka Rang Undang-Undang LPHJ yang diluluskan  tetap  akan dibahaskan secara akademik dan profesional.  Mahu tidak mahu  pihak  yang terlibat dalam rang undang-undang ini  wajar menerima dengan fikiran yang terbuka.

Tuesday, June 10, 2014

Tahniah Khaled Nordin, anda hebat



Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor telah diluluskan oleh ADUN UMNO dalam Dewan Undangan Negeri Johor semalam.  Rang undang-undang yang kontroversi kerana dilihat sebagai langkah permulaan  memasukkan kuasa istana dalam pentadbiran Johor dan seterusnya mungkin akan diikuti oleh negeri-negeri lain.
.
Malah kelulusan rang undang-undang ini juga dilihat kuasa istana (Sultan Johor)  sudah melepasi sempadan yang sepatutnya dalam kuasa eksekutif (Menteri Besar).  Kenapa rang undang-undang ini  memberi penglibatan kuasa istana  terus menjadi persoalan.  Malah  banyak yang sangsi dengan penerangan retorik  Menteri Besar, Khaled Nordin bahawa “kuasa masih di tangan beliau”.
.
Dalam mewajarkan kelulusan rang undang-undang ini sekali lagi rakyat khususnya rakyat Johor telah diperbodohkan oleh kuasa eksekutif  yang diterajui oleh Menteri Besar.  Frasa  dalam rang undang-undang ini yang menyebut “dengan nasihat Menteri Besar”  terus dipersoalkan  hakikatnya. Malah  kalau benar wujud “dengan nasihat Menteri Besar”  apakah yang Menteri Besar telah menasihatkan Sultan Johor?
.
Tetapi saya percaya rakyat Johor tidak boleh diperbodohkan dengan begitu mudah kononnya terdapat pindaan dalam rang undang-undang yang dibahaskan selama tiga jam sebelum diluluskan.  Untuk rekod,  ADUN pembangkang tidak menyokong rang undang-undang ini.  Hanya ADUN UMNO sahaja yang menyokong.
.
Khaled Nordin berkata,  perkataan “Raja” dalam rang undang-undang asal dipinda kepada “pihak berkuasa negeri” . Mengenai frasa yang menyebut “lembaga yang dilantik oleh Raja” ditukar kepada “dilantik oleh Raja dengan nasihat Menteri Besar.”   Bagi saya pindaan itu tidak ada beza apa-apa pun.
..
Adakah pindaan-pindaan yang sekadar mainan bahasa ini mengubah tujuan asal  rang undang-undang ini yang memberi kuasa kepada Sultan Johor membuat keputusan walaupun ada disebut “dengan nasihat Menteri Besar”. Siapa pun tidak dapat memastikan benar-benar wujud keadaan Sultan Johor mendengar nasihat Menteri Besar  atau  Menteri Besar yang  akur kepada  perintah Sultan Johor.
.
Hingga kini tidak disebut siapakah yang mengusulkan supaya rang undang-undang itu dibentangkan untuk mendapat kelulusan DUN Johor?  Dan siapakah yang mengusulkan nama Sultan Johor dimasukkan rang undang-undang itu?  Adakah usul ini datang daripada Khaled Nordin sendiri?  Kenapa Khaled Nordin beriya-iya mempertahankan rang undang-undang itu  sedangkan dasar perumahan dan hartanah Johor selama ini tidak melibatkan Sultan Johor?
.
Saya tertanya-tanya mana suara  UMNO  Johor?  Adakah mereka sudah menjadi tukang angguk kerana masing-masing menjaga tembolok supaya tidak dimurkai  oleh pihak istana?  Saya lebih percaya kepada hujah-hujah tokoh undang-undang termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad daripada ADUN-ADUN UMNO di Johor
.
Kalau tokoh undang-undang melihat  rang undang-undang itu sebagai satu yang menimbulkan konflik antara istana dan kerajaan,  adakah rakyat  Johor  akan percaya kepada keputusan yang dibuat oleh ADUN berhubung masa depan mereka  padahal mereka bukan sahaja tidak arif tentang undang-undang malah mempunyai kepentingan tertentu?
.
Melihat keadaan ini saya sangat setuju dengan pandangan penulis pojok Mingguan Malaysia, Awang Selamat bahawa Menteri Besar Johor lemah.  Saya tambah, bukan sahaja Menteri Besar yang lemah malah panglima-panglima (ADUN UMNO) juga lemah.
.
Saya melihat  ADUN UMNO telah membuat satu keputusan besar yang melibatkan masa depan rakyat secara langsung.  Rang undang-undang telah diluluskan  dan  Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor dengan rasminya wujud sebagai satu entiti yang sah di segi undang-undang.  Begitu juga  kuasa "nasihat Menteri Besar kepada Sultan Johor"   dalam menentukan ahli lembaga yang akan menduduki entiti baharu ini.
.
Kita anggaplah entiti baharu ini  "dikuasai sepenuhnya oleh Menteri Besar"  kalau tidak untuk apa ada frasa "dengan nasihat Menteri Besar".  Siapa yang dilantik nanti, itu adalah lantikan oleh Menteri Besar dan siapa yang akan dibuang juga dilakukan oleh Menteri Besar.  Lagi pun Menteri Besar sudah menegaskan bahawa kuasa tetap di tangan Menteri Besar.



Saturday, June 7, 2014

Jawapan retorik MB Johor

Kuasa eksekutif dipegang MB, kata Khaled

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan penglibatan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang akan ditubuhkan kerajaan negeri bukan menjadi satu isu kerana kuasa eksekutif dipegang menteri besar.
   
Mohamed Khaled berkata menteri besar adalah pengerusi secara automatik dan apa-apa tindakan Sultan Johor adalah atas nasihat menteri besar.
   
"Apa pun keputusan yang dibuat mengenai pentadbiran negeri ini masih dibuat oleh saya kerana kuasa eksekutif adalah di bawah Menteri Besar.
 
"Menteri Besar akan menjadi pengerusi lembaga manakala pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai timbalan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Induk Pelancongan Johor dan pameran 'Explore Johor Fest' 2014, di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di Kulaijaya hari ini.
   
Menurut laporan sebuah portal berita, kerajaan Johor akan membentangkan satu rang undang-undang baharu di Dewan Undangan Negeri Johor, Isnin ini untuk membentuk satu lembaga perumahan dan hartanah yang memberi kuasa meluas kepada Sultan tentang isu perumahan.
 
Tambah portal tersebut, ia merupakan enakmen pertama seumpamanya yang akan dibentangkan dengan Sultan Johor diberi kuasa untuk melantik ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga berkenaan.
   
Menurut beliau, penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor adalah sama seperti penubuhan Johor Corporation (JCorp) yang secara automatik peranan pengerusi dipegang oleh menteri besar.
   
Katanya, usaha untuk menubuhkan lembaga itu juga bukan sesuatu yang baru kerana sebelum ini pendekatan yang sama digunakan untuk menubuhkan JCorp atau yang sebelum itu dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor
(PKENJ).
   
"Kita mengikut enakmen sama seperti penubuhan Johor Corporation (JCorp) dahulu dan akta ini mesti dibaca bersama-sama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor," katanya.  - Bernama

Komen saya:

Kenapa rakyat terus diperbodohkan sedemikian rupa? Maknanya pembentangan rang undang undang yang memberi kuasa kepada sultan ini juga datang dari Menteri Besar? Kalau ini datang daripada Menteri Besar, kenapa pula orang politik hendak memberi kuasa kepada sultan? Saya fikir jawapan Menteri Besar ini tidak menjawab isu utama iaitu kenapa sultan terlibat dalam pentadbiran dan ada kuasa eksekutif.