Tuesday, March 25, 2014

Siapa kata undi popular tidak penting?

Saya fikir MCA tidak perlu defensif apabila kalah dalam PRK Kajang Ahad lalu. Faktanya MCA kalah kepada PKR, jadi tidak perlulah menghujahkan majoriti PKR menurun berbanding PRU13 lalu. Lebih baik MCA diam dan membuat perubahan dari dalam daripada berkokok seolah olah orang Cina sudah menerima parti Cina ini.

Hujah MCA sebenarnya memakan diri kerana majoriti kecil atau besar itu menandakan undi popular penting kepada sesebuah parti politik. Tetapi BN yang menafikan undi popular dalam PRU13 kononnya sistem pilihan raya kita bukan berdasarkan undi popular.

Sebabnya undi popular pembangkang lebih tinggi daripada BN. Maksudnya BN tidak kisah kepada kemenangan yang majoriti tipis kerana kemenangan bukan diukur kepada berapa majoriti tetapi ada majoriti walaupun satu undi.

Tetapi bila sampai ke Kajang, MCA pandai pula membela diri seolah olah kemenangan PKR lebih rendah daripada PRU13 sebab majoritinya kecil. Bagaimana pula kalau PKR kata dalam sistem pilihan raya Malaysia kemenangan bukan dikira undi popular tetapi majoriti?

Hakikatnya undi popular adalah kelangsungan sesebuah parti politik. Semakin jauh jurang meninggalkan lawan semakin kuat parti itu. Dalam politik bukan sekadar mendapat majoriti tetapi berapa majoriti. Cuma dalam pilihan raya sahaja memerlukan lebih dari satu undi untuk menang.

Menang dalam pilihan raya bukan bererti menang dalam politik. Pilihan raya adalah angka angka tetapi politik adalah sokongan. Saya bimbang kalau BN tidak memerlukan undi popular. Nanti mereka sentiasa selesa walaupun di banyak kawasan hanya mendapat majoriti tipis atau dua tiga undi sahaja.

Sebab itulah dalam Parlimen pun untuk selesa memerlukan majoriti dua pertiga. Ini menunjukjan semakin besar majoriti semakin kuat sesebuah parti dalam galanggang politik. Kalau tidak mementingkan undi popular suatu hari nanti BN hanya menang 51 - 49 peratus. Ketika itu kemenangan tidak bermakna kerana pembangkang mempunyai pengaruh yang sama kuat.

MCA betul kerana prihatin terhadap undi popular. Tetapi kenyataan MCA bertentangan dengan BN yang kata undi popular bukan ukuran kemenangan. Kalau mengikut kenyataan BN selepas PRU13 lalu, kemenangan PKR tidak boleh dipersoalkan sama ada majoritinya besar atau kecil.

Kalau MCA merasakan kekalahan di Kajang adalah kemenangan kerana undi majoriti PRK mengecil, pembangkang tentu merasakan kekalahan mereka dalam PRU13 adalah kemenangan kerana majoriti BN mengecil. Apa BN nak jawab kalau dikatakan begini?

Monday, March 24, 2014

Pengajaran kepada UMNO, rakyat menolak MCA

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang telah dimenangi oleh orang Melayu yang mewakili PKR dan menewaskan Cina yang mewakili BN. Wan Azizah menewaskan Chew. Mei Fun dengan majoriti yang pada relatifnya besar. Saya fikir kalau BN meletakkan calon Melayu dari UMNO keadaan tidak akan seteruk itu.

Saya tidak tahu di atas alasan apakah BN meletakkan calon MCA kerana sudah tahu MCA telah ditolak oleh pengundi dalam PRU 13 yang lalu. Prestasi MCA dalam PRU 13 sangat buruk dalam sejarah parti Cina itu. UMNO pula tidak ada keberanian dalam BN walaupun menunjukkan prestasi hebat pada PRU 13.

Sekarang kita hanya boleh berkata, padan muka UMNO yang tidak meletakkan calonnya di Kajang. Padan muka UMNO kerana hendak jaga hati MCA hingga "merayu" MCA duduk dalam kabinet. Rakyat sudah lama menyampah dengan MCA yang korup bila pegang jawatan dalam kerajaan. Malangnya UMNO semacam tidak yakin diri dalam keadaan rakyat memberi kepercayaan kepada mereka.

Sekarang tengok, calon Melayu boleh menang di Kajang walaupun sebelum ini calon Cina dari PKR. Saya fikir kekalahan teruk calon MCA di Kajang kerana banyak yang memprotes dan tidak keluar mengundi. Mereka dilema, nak bagi undi kepada Melayu akan menyumbang kepada PKR kalau nak bagi kepada BN akan pergi kepada Cina.

Kalau ada dalam kalangan UMNO berkata, PRK Kajang bukan penting, saya akan menjawab, sepatutnya BN tidak bertanding dalam PRK ini. Sebabnya ini pilihan raya sandiwara PKR. Untuk apa BN ikut menari rentak yang dipalu oleh PKR bagi percaturan hayat politik Anwar bin Ibrahim?

Dulu pun calon PKR dan kalau terus bagi kepada PKR pun bukan satu yang merugikan BN. Malah lebih menguntungkan apabila memperlekehkan PKR yang menang tanpa bertanding. Dalam politik menang tanpa bertanding satu penghinaan yang sangat besar. Tetapi mungkin UMNO tidak pernah fikir begitu, sebab itulah jawatan Presiden dan. Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Mereka ingat cara itu bermaruah, padahal satu penghinaan kepada yang dikekalkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden.

Jadi, kalau BN galak sangat hendak bertanding di Kajang, buatlah supaya boleh menang. UMNO pun kena bersuara jangan ikut telunjuk MCA yang sudah hampir lubang kubur kerana orang Cina sendiri menolak parti Cina ini. Macam Parlimen Bandar Tun Razak, kalau bagi UMNO belum tentu Khalid bin Ibrahim menang di di situ. Tetapi UMNO takut hendak bersuara akhirnya bagi kepada MCA anak kepada bekas MP MCA Bandar Tun Razak.

Kekalahan di Kajang memalukan UMNO bukan BN. Biarpun UMNO cuba membina persepsi rakyat bahawa Kajang tidak penting tetapi kalau tidak penting buat apa BN turut bertanding dan membazirkan duit rakyat? Ada dua lagi PRK dan kita tengok adakah UMNO akan letak Cina MCA untuk kerusi yang dikosongkan oleh Karpal Singh di Pulau. Pinang?

Wednesday, March 19, 2014

Pesta muzik liar: Mana suara UMNO


Pesta muzik liar yang dinamakan Future Music Festival Asia yang berlangsung di Stadium Nasional. Bukit Jalil telah mengorbankan enam remaja kerana mengambil dadah secara berlebihan. Sementara berbelas lagi dalam keadaan kritikal.

Pesta muzik ini menggunakan acuan pesta muzik liar Woodstock di New york tahun 1969 yang menganjurkan satu budaya sosial mengagung pergaulan bebas, seks bebas, arak dan dadah. Pesta muzik yang berlangsung selama tiga hari di Woodstock itu telah memberikan kesan yang buruk kepada remaja di dunia pada dekad 1960 an hingga kini.

Tetapi minggu lepas penganjur pesta muzik yang terdiri daripada orang tempatan telah menganjurkan pesta muzik liar hingga mengorbankan enam pengunjung. Ini belum lagi mempromosikan pergaulan bebas oleh pengunjung yang datang dari luar negara.

Cuma yang menghairankan hingga kini kita tidak mendengar sebarang kenyataan daripada UMNO mengenai pesta muzik liar ini. Adakah penganjuran pesta muzik liar ini mendapat restu UMNO maka UMNO kecewa apabila polis membatalkan konsert hari ketiga selepas enam pengunjung mati kerana dadah?

Ternyata UMNO sedikit pun tidak sensitif dengan anasir anasir yang dibawa masuk untuk meruntuhkan generasi muda atas nama muzik. UMNO mungkin takut dilabelkan tidak mesra orang muda maka UMNO sanggup membiarkan mereka jahanam demi kelangsungan politik UMNO.

Adakah orang yang terlibat dalam penganjuran konsert ini berjasa besar kepada UMNO lalu UMNO yang kononnya memperjuangkan alif ba ta (agama, bangsa dan tanah air) cuba melindungkan pesta muzik ini daripada menjadi percakapan rakyat. Atau demi untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia kita terpaksa berkorban waima hal hal yang meruntuhkan generasi muda.

UMNO juga tidak bercakap sepatah haram mengenai konsert Life In Color yang dijadualkan pada 19 April depan di Litar Sepang. Konsert yang dibawa dengan kerjasama Zouk, sebuah pusat hiburan liar di Jalan Ampang Kuala. Lumpur diberi permit oleh kerajaan.

Bagaimanapun terpaksa dibatalkan selepas enam pengunjung konsert di Bukit Jalil mati minggu lalu. Sekiranya tidak berlaku kematian kerana dadah itu konsert Life In Color sudah pasti berlangsung seperti yang dijadualkan.

Hendak tahu apa itu Life In Color? Ini adalah konsert cat iaitu mengecat tubuh dengan warna yang terbesar di dunia. Hebat Malaysiaku. Bayangkan budaya hidup yang dibawa oleh konsert ini yang sama sekali bertentangan dengan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang menjadi rujukan dunia.

Di mana alim ulama dalam UMNO? Takkan demi kelangsungan politik mereka pun menjahit mulut daripada bersuara sesuatu yang bertentangan dengan dasar UMNO terhadap hiburan liar begini?

Monday, March 10, 2014

Jangan cepat sangat salahkan Imigresen

(Petikan Malaysiakini)

Takkan tak boleh fikir, Zahid selar imigresen


Satu siasatan dalaman dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi kelmarin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kita akan lakukan siasatan dalaman terutama ke atas pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen KLIA semasa penerbangan MH370.

"Saya masih hairan tak kan (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya kepada pemberita pada majlis pertemuan peserta konvoi Kembara Bumi Suci 2014 dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Seri Perdana di Putrajaya, semalam.

KOMEN SAYA:

Zahid kena fikir bahawa pasport warga Itali dan Austria itu hanya hilang di Thailand. Setakat ini tidak dinyatakan digunakan oleh orang Thailand, kecuali pihak berkuasa sudah mengesahkan penumpang itu mirip wajahnya orang Asia.

Sekiranya disahkan wajah penumpang itu mirip orang Asia, Zahid wajarlah menyalahkan Imigresen yang tidak ada common sence untuk mengesan antara wajah orang Itali dan Austria dengan wajah orang Thailand.

Zahid juga jangan lupa pengganas di luar negara bukan macam orang curi ayam. Dalam filem filem Hollywood, membuat wajah palsu bukan suatu yang luar biasa dan tidak memerlukan belanja yang besar. Saya tidak hairan kalau wajah Zahid misalnya digunakan oleh orang lain yang menyokong Anwar Ibrahim. Seolah olah Zahid masih lagi menjadi ayam sabung Anwar sama seperti Zahid menyerang Dr. Mahathir atas kapasiti Ketua Pemuda UMNO.

Saya harap pegawai pegawai yang tidak ada kuasa politik dijadikan kambing hitam untuk menunjukkan Zahid seorang menteri KDN yang paling bertanggungjawab, tidak melindungi pegawai sendiri. Saya percaya dengan mengecam orang lain kita akan dilihat hebat, telus dan bertanggungjawab.

Sebaiknya Shahrizat tak bercakap, RTM tak siar

Semalam Ketua Wanita UMNO, Sharizat Jalil membuat lawatan dan berjumpa dengan keluarga dan sanak saudara penumpang pesawat MAS yang hilang Di sebuah hotel di Putrajaya. Lawatan untuk memberikan sokongan moral itu baik tetapi RTM tidak perlulah menyiarkan temubual dengan Sharizat kalau setakat untuk mengeluarkan kenyataan yang retorik.

Saya melihat ini lebih kepada kepentingan politik daripada kepentingan rakyat yang resah menunggu penemuan terbaru mengenai kehilangan pesawat itu. Kalau setakat untuk menyuruh membuat sembahyang hajat, Shahrizat boleh menghantar kenyataan media sahaja.

Saya harap orang politik yang sudah luput tarikh tidak perlulah mencari keuntungan politik dengan cara begini. Najib walaupun orang politik tetapi bercakap di atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, begitu juga Hishamuddin Hussein yang bercakap di atas kapasiti sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.

Setahu saya tidak ada orang politik lain yang tidak berkenaan turut memberi kenyataan apa lagi di hotel yang menenpatkan keluarga penumpang pesawat itu. Maka tindakan Shahrizat dan RTM yang menyiarkan kenyataan tidak ada nilai berita itu adalah sangat memalukan.

Untuk pengetahuan Shahrizat, sesaat masa siaran di televisyen itu sangat berharga pada masa ini. Rakyat Malaysia dan keluarga penumpang mahu mengetahui perkembangan terbaru. Mereka tidak mahu membuang masa mendengar kenyataan kenyataan retorik.

Saya memuji tindakan Rosmah Mansur yang melawat keluarga penumpang di hotel di Putrajaya tetapi tidak memberikan kenyataan. Saya fikir Rosmah faham dalam keadaan sekarang orang sudah muak dengan kata kata supaya mereka bersabar.

Cara Rosmah membuatkan kehadiran beliau bernilai tinggi dan keikhlasan terserlah berbanding Shahrizat yang datang seolah olah berjumpa dengan ahli ahli Wanita UMNO.

Tuesday, March 4, 2014

Perihal blogger hantu raya orang UMNO

Tentera Kacang Merah dan ‘blogger hantu raya’


Oleh Ku seman Ku Hussain
SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), cerita tentang Tentera Kacang Merah (Red Bean Army) banyak didedahkan. Mereka didakwa tentera komuniti siber peliharaan DAP dan melancarkan perang psikologi sejak PRU-12 tahun 2008.

Modus operandinya menyerang tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN) atau kerajaan selain menceroboh akaun media sosial pihak lawan.

Daripada maklumat yang didedahkan di media juga, kewujudan tentera siber ini adalah satu strategi terancang dan bergerak sebagai satu pasukan.

Bagaimanapun setakat ini tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab ‘membela’ tentera siber ini. Baru-baru ini kolumnis Mingguan Malaysia, Shen Yee Aun diugut ekoran pendedahan beliau mengenai Tentera Kacang Merah ini. Barangkali tentera siber ini bergerak tanpa membawa nama parti tertentu, supaya mereka dilihat natural padahal tidak.

Di pihak UMNO juga didakwa wujud apa yang diistilahkan sebagai tentera siber media baharu. Tetapi malangnya mereka dikacau oleh kelompok yang saya istilahkan sebagai ‘blogger hantu raya’. Difahamkan hantu raya ini ‘dibela’ oleh individu tertentu untuk menonjolkan dirinya di gelanggang politik.

Bukan semua blogger pro-UMNO itu ‘hantu raya’. Banyak juga yang jujur dan tidak mengharapkan upah, mereka menulis kerana sayangkan UMNO walaupun yang ditulis tidak selalunya manis.

Tetapi kewujudan ‘blogger hantu raya’ ini walaupun kecil tetapi telah memalitkan imej buruk kepada UMNO. Mereka ini bukan sahaja tidak ada strategi malah buruk dari segi etika dan peribadi serta tidak ada wibawa. Ada yang dibuang kerja kerana rasuah, kemudian dijulang menjadi blogger dan menyekutukan diri dengan UMNO.

Mereka cenderung mendedahkan sesuatu yang sensasi. Barangkali ini ada kena mengena juga dengan tahap mentaliti dan integriti. Mungkin amat sedikit atau langsung tidak ada kefahaman terhadap propaganda, hanya mahu upah yang berganda.

Ini antara faktor yang membuatkan seolah-olah tentera siber UMNO tidak bermaya, layu dan syok sendiri dengan isu remeh bertaraf seluar dalam.

Hakikatnya mereka bukan tentera siber UMNO. Mereka hanya ‘hantu raya’ yang berpindah dari satu tuan kepada tuan yang lain bergantung kepada berapa telor ayam diberikan sebagai upah.

Saya percaya UMNO tidak serakus itu untuk berpolitik dengan cara ‘bukan anak jantan’. Sebaliknya ini hanya dilakukan oleh sesetengah orang yang mendakwa dirinya sebagai UMNO.

Pendedahan tentang Tentera Kacang Merah yang terperinci menunjukkan kita mempunyai maklumat lengkap. Ini sudah cukup baik.

Strategi mereka dalam tangan kita. Misalnya digerakkan secara berpasukan, bersepadu dengan perancangan yang rapi.

Tetapi sejauh manakah tentera siber kita belajar daripada Tentera Kacang Merah? Apakah langkah ke hadapan yang kita ambil untuk melancarkan perang psikologi yang lebih hebat?

Saya secara peribadi tidak yakin ‘blogger hantu raya’ mampu bersilat dengan Tentera Kacang Merah yang strategis dan sangat licik ini. Maaf cakap, ‘blogger hantu raya’ tidak ada strategi, jauh sekali psikologi.

Mereka hanya memikirkan poket supaya berisi, kebetulan pula ada sesetengah individu mudah diperdaya demi nafsu politik yang seluas lautan, tetapi akal hanya panjang sejengkal.

Kita perlu juga menyalahkan diri sendiri yang tidak mewujudkan tentera siber yang hebat. Tanpa bersetuju dengan pencerobohan dan pelanggaran etika, tetapi kita tidak dapat menafikan Tentera Kacang Merah berjaya mengalih persepsi rakyat kepada idealisme pembangkang. Alangkah ruginya kerana ruang siber yang sangat berpengaruh ini tidak dimanfaatkan untuk melestarikan kuasa politik Melayu-Islam di negara ini.

Kita menyediakan teknologi tercanggih dalam maklumat dan komunikasi tetapi alangkah malunya apabila pihak lain menggunakan untuk menjatuhkan kita. Maknanya kita tidak bijak menggunakan peluang.

Tentera Kacang Merah tumbuh dan berkembang kerana kelemahan kita. Saya sangat percaya UMNO bukanlah kolot dalam hal ehwal media sosial.

Daripada maklumat yang didedahkan di media, Tentera Kacang Merah menggunakan pelantar Facebook, Twitter, Instagram dan blog. Pelantar ini bukanlah eksklusif untuk Tentera Kacang Merah. Soalnya kenapa tentera siber UMNO tidak berjaya menguasainya? Inilah angkara ‘blogger hantu raya’.

Ketika era perang dingin Amerika Syarikat (AS) dengan Kesatuan Soviet, perang sebenar ialah perang psikologi melalui media. Tidak banyak serangan ketenteraan tetapi AS bertubi-tubi menyerang Kesatuan Soviet dalam media dan budaya popular yang dikuasainya. Filem, muzik dan isi kandungan program televisyen yang dipasarkan ke seluruh dunia berjaya mempotretkan sisi hitam Kesatuan Soviet dan sisi putih AS.

Kesatuan Soviet tidak mempunyai ruang memenangi perang psikologi kerana AS menguasai media dan budaya popular. Awal-awal lagi memberi peluang kepada AS untuk memahatkan doktrin sosialnya kepada generasi muda seluruh dunia. Kesatuan Soviet tidak ada ruang itu.

Tetapi tentera siber UMNO sekarang bukan berada pada kedudukan Kesatuan Soviet. Kita mempunyai apa yang Tentera Kacang Merah ada. Kita mempunyai duit. Kalau Tentera Kacang Merah dikatakan dibiayai berjuta-juta ringgit sejak lima tahun lalu, kita boleh buat perkara yang sama.

Secara relatifnya ia masih kecil berbanding bayaran kepada seorang penyanyi kuda mabuk, PSY dari Korea Selatan di Pulau Pinang tahun lalu. Lagi pun habuan kepada ‘blogger hantu raya’ besar juga.

Jadi, apakah kurangnya tentera siber kita? Adakah hanya ada akal tidak ada duit, atau ada duit tetapi akal tidak cukup panjang?

313


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140302/re_08/Tentera-Kacang-Merah-dan-blogger-hantu-raya#ixzz2uzGJqerA
© Utusan Melayu (M) Bhd