Tuesday, December 31, 2013

Inilah realitinya

Mulai esok penderitaan rakyat akibat kenaikan kos sara hibup akan bermula. Mulai esok tol di Lembah Kelang secara puratanya naik seratus peratus. Saya ulangi seratus peratus. Tambang pengangkutan awam juga akan naik. Tarif eletrik juga akan menyusul.

Penderitaan ini barangkali tidak dirasakan oleh para menteri dan warga kabinet yang membuat keputusan mewajarkan kenaikan tol, tarif eletrik dan harga barang. Sebabnya mereka berada dalam kedudukan berbeza terutama dengan golongan miskin bandar.

Kerajaan telah mengumumkan pelan penjimatan tetapi kelihatan tidak akan memberikan kesan yang besar terutama kepada kerajaan yang sebelum ini berlaku banyak pembaziran. Laporan Ketua Audit Negara baru baru ini membuktikan berlakunya ketirisan yang sangat serius di beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Rakyat juga disaran berjimat tetapi nak berjimat apa lagi kerana sebelum ini pun rakyat yang miskin bandar tidak bermewah mewah. Mereka terpaksa menggunakan kereta kerana perkhidmatan awam sangat lemah. Apabila menggunakan kereta mereka kena bayar tol yang naik seratus peratus.

Sepatutnya kerajaan yang dilihat bermewah mewah sudah lama berjimat, tidak menganjurkan program politik dengan menggunakan duit rakyat yang dikutip daripada bermacam macam cukai. Semua kementerian mempunyai dewan seminar yang boleh digunakan untuk banyak acara tetapi tetap dibuat di hotel hotel lima bintang.

Saya setuju dengan saranan Dr Asri Zainal Abidin bahawa pelan penjimatan ini juga mesti meliputi pihak istana. Tetapi bila saya kata setuju dengan Dr Asri mulalah puak puak tertentu melabelkan saya pembangkang. Isu penjimatan ini Dr Asri sudah tulis lama dulu dalam kolum dia di Mingguan Malaysia semasa beliau masih Mufti Perlis.

Satu frasa yang saya ingat sampai hari ini ialah kisah orang kampung yang makan nasi bungkus kongsi dua orang dan pada masa yang sama kerajaan menyarankan supaya berjimat. Orang kampung itu tidak tahu makna berjimat kerana mereka bukan berjimat tetapi hanya itu yang mampu dilakukan.

Pada masa yang sama pemimpin pemimpin di kota dihidangkan makanan mewah yang nilai satu meja boleh untuk penoreh getah menggunakan untuk hidup sebulan. Sekarang musim persekolahan bermula, ibu bapa dicengkam resah kerana keperluan anak anak untuk ke sekolah bukannya murah.

Dalam pada itu pula ada yang menyarankan supaya ibu bapa tidak membeli peralatan yang mahal untuk anak mereka ke sekolah. Hei, kalau nak beri nasihat fikirlah nasihat itu ditujukan untuk golongan mana? Tidak ada istilah barang mewah tetapi memang harganya meningkat dari tahun ke tahun.

Saya percaya walaupun sesetengah pemimpin kita semasa kempen pilihan raya turun ke pasar pasar ikan yang busuk dan hanyir sebagai tanda berjiwa rakyat tidak dapat menghayati penderitaan yang dilalui oleh rakyat. Mereka hanya berbuat demikian hanya atas desakan politik.

Ada pemimpin yang turut menorah getah tetapi mereka tidak merasakan kegetiran hidup menjadi penoreh kerana itu hanya pendekatan kosmetik supaya kelihatan memahami rakyat. Hari ini tinggallah penoreh getah, penjual ikan di pasar dengan realiti hidup sejak turun temurun. Lima tahun lagi mungkin ada pemimpin yang akan datang dan bersalaman.

Bukti kerajaan tidak mengendahkan pembaziran boleh disaksikan malam ini di Dataran Merdeka dan Putrajaya. Dalam keadaan rakyat menderita dengan bala kenaikan harga barang, satu pesta yang menelankan belanja besar tetap diadakan walaupun tidak menyumbang kebaikan kepada generasi muda.

Cuba kita fikirkan berapa kos sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka malam ini? Kos sewa peralatan pentas, pentas, khemah yang mewah, bunga api dan bayaran untuk artis menyanyi lagu lagu yang melarutkan generasi muda dalam keseronokan sekalipun realitinya memeritkan. Kenapa tidak dimulakan pelan penjimatan dengan membatalkan sambutan tahun baharu malam ini?

Siapa kata kerajaan membazir?

Perdana Menteri Najib Tun Razak menggariskan sebelas penjimatan selepas sana sini rakyat bercakap tentang mala petaka dan bencana hidup yang menimpa mereka selepas harga barang, minyak, tol dan rumah naik mencanak. Ini adalah satu mala petaka yang hanya akan menimpa golongan berpendapatan rendah atau miskin bandar.

Ini adalah yang diumumkan oleh Najib:

* Elaun keraian menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri akan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Elaun keraian bagi pegawai kanan kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) ke atas akan dikurangkan sebanyak 5 hingga 10 peratus.

* Pengurangan sebanyak 5 peratus kos utiliti elektrik di kesemua kementerian/jabatan/agensi/premis kerajaan.

* Kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan kerajaan (Gred JUSA C ke atas) dikurangkan sebanyak RM50 hingga RM100 atau 30 peratus.

* Permohonan baru bagi pengubahsuaian ruang pejabat kementerian/jabatan/premis kerajaan dibekukan.

* Mengetatkan pelantikan juru perunding atau consultant untuk projek- projek fizikal kerajaan termasuk dalam menjalankan feasibility study, di mana cadangan pelantikan hendaklah dikemukakan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk kelulusan.

* Mengurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara atau event management serta pemberian saguhati (door gifts) atau cenderamata untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan yang membabitkan anggota pentadbiran dan penjawat awam.

* Pindaan terhadap kelayakan tiket penerbangan domestik dan antarabangsa bagi penjawat awam. Sebagai contoh, kelayakan penerbangan sektor domestik bagi penjawat awam Gred JUSA C ke bawah ialah Kelas Ekonomi.

* Mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

* Mengurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi penganjuran persidangan, seminar, mesyuarat, kursus, bengkel atau sebarang acara rasmi kerajaan.

* Mengoptimumkan penggunaan ruang pejabat sedia ada untuk mengurangkan sewaan premis pejabat.

* Mengaplikasikan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan mengoptimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia atau 1Malaysia Training Center (1MTC) dan juga kemudahan-kemudahan di institusi-institusi latihan milik kerajaan bagi penganjuran kursus, seminar dan bengkel.

Sebenarnya penjimatan ini memang bagus tetapi tidak lebih sebagai kosmetik untuk kelihatan kerajaan prihatin terhadap penderitaan rakyat. Sebenarnya penjimatan yang berkesan bukanlah di peringkat ikan bilis (kumpulan JUSA C) tetapi juga menteri-menteri. Cuba tanya berapa banyak yang menteri-menteri gunakan semasa kempen pemilihan jawatan baru-baru ini? Memanglah nampak macam kempen untuk kementerian tetapi yang menonjol adalah menterinya.


Sunday, December 29, 2013

Tulisan Dr. zaharuddin tentang riba

Tanggungjawab pemimpin korporat Islam
(Tulisan Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di Mingguan Malaysia)

SETIAP individu Muslim wajib mengetahui hukum Islam berkaitan kewajipan fardu ain dan setiap ajaran yang mesti dipatuhi di dalam kehidupannya termasuk peraturan Islam dalam menyucikan diri, sembahyang lima waktu dan solat Jumaat. Bahkan ia wajib mempunyai ilmu berkenaan lima rukun Islam yang menjadi tonggak seorang Muslim.

Bagaimanapun, tidaklah dikehendaki mempelajarinya secara amat terperinci seperti tugasan ilmuwan Islam yang khusus. Sila rujuk http://www.zaharuddin.net//.

Demikian juga berkaitan zakat. Seorang Muslimperlu mempelajari selok-belok menunaikan zakat harta yang diperolehnya. Sebagai usahawan pula, antara yang perlu diketahui adalah:

- Berkenaan kewajipan zakat perniagaannya.

- Transaksi jual beli yang sah menurut syariah.

- Sensitiviti terhadap barangan yang dijual atau diperbuat agar tidak membantu kepada industri haram.

- Pengetahuan berkaitan riba dan perangkap-perangkapnya kerana isu ini kerap timbul apabila sesebuah syarikat memerlukan modal bagi menjalankan perniagaan antaranya melalui produk pinjaman daripada bank konvensional.

- Kebajikan pekerja yang dijaga bertepatan kehendak syariah.

- Hadiah-hadiah yang dianugerah dan diterima dan kaitannya dengan rasuah.

- Kemudahan yang disediakan oleh perbankan Islam untuk menjana kekuatan syarikatnya. Ini perlu, agar tidak terjebak dalam kemelut riba yang diharamkan.

Seluruh kepimpinan Muslim dalam syarikat perlu menyedari bahawa tiada lagi alasan "darurat" atau "terpaksa" untuk mengambil apa jua produk kewangan konvensional, sambil mendakwa tiada produk Islam yang boleh digunakan.

Amat penting bagi seseorang pemimpin korporat Muslim memastikan seluruh transaksi perniagaan, pelaburan, sumber kewangan dan kegunaannya menurut landasan syariah. Jika tidak, perniagaannya pasti akan "kering" daripada berkat serta lahirlah kakitangan bermasalah yang tidak amanah yang membawa ke arah keruntuhan sesebuah organisasi.

Kepimpinan korporat dan syarikat perlu memahami bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja untuk mencipta kekayaan dan keuntungan semaksimum bahkan memastikan mereka dan pekerja menjaga etika dan tanggungjawab sosial.

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Tiada seorang hamba Allah yang dilantik menjadi pemimpin, kemudian ia tidak (menggunakan kedudukannya) menasihati dan membawa rakyatnya kepada kebaikan (dan Islam), kecuali Allah akan mengharamkan baginya syurga" ( Riwayat Muslim).

Maka perlulah dipastikan semua pekerja diberikan hak sewajarnya terutamanya dalam menunaikan sembahyang fardu dan Jumaat. Surau perlu disediakan dengan baik.

Selain itu, sesetengah syarikat besar menawarkan kemudahan pinjaman kereta dan rumah untuk para kakitangannya. Pihak pengurusan bertanggungjawab memastikan semua pembiayaan rumah dan kereta dibuat secara Islam bagi setiap individu Muslim, terutamanya jika kakitangan itu sendiri menginginkannya. Jika telah menggunakan pinjaman secara konvensional, masih lagi ada jalan keluar iaitu dengan refinance atau pembiayaan semula dengan bank-bank Islam yang semakin banyak hari ini.

Kebanyakan bank Islam menyediakan kemudahan penukaran produk konvensional kepada cara Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda : "Tinggalkan apa-apa yang kamu ragui kepada yang tidak diragui" ( Riwayat At-Tirmidzi, An-Nawawi : Sahih). Tiada alasan boleh digunakan bagi menjustifikasi sikap ambil ringan kepimpinan syarikat yang tidak menawarkan pembiayaan secara Islam kepada kakitangan Islamnya.

Perlu difahami bahawa bank-bank Islam sentiasa bersedia membantu syarikat korporat besar dan kecil menyelamatkan atau menukar pinjaman kepada pembiayaan Islam. Malah mereka sentiasa bersedia membantu memperbetulkan sesuatu model perniagaan sesebuah syarikat yang dijalankan secara tidak Islam kepada yang bertepatan dengan syariah. Ia pasti membawa keselamatan bagi pemimpin dan pekerja.

Seorang ketua syarikat mesti mengetahui apa yang halal dan haram dalam urusan kerja pekerjanya. Contohnya, syarikat cetakan ditegah oleh syariah menerbitkan majalah dengan gambar yang boleh menaikkan syahwat dan mendekati zina. Demikian juga, menerbitkan kisah fitnah, khurafat serta karut. Biarpun membawa pulangan banyak, ia hanyalah keuntungan sementara di dunia yang pasti membawa kecelakaan di akhirat.

Ketua syarikat juga perlu menasihati pekerjanya soal keikhlasan dalam kerja, penjagaan waktu yang sempurna, tuntutan bayaran yang benar, rasuah, peratusan haram hasil anugerah kontrak kepada kontraktor pilihan dan banyak lagi.

Kerap kali kita bertemu dengan pekerja yang bersarapan sehingga 30 minit kerana bersembang panjang. Mereka tidak sedar tindakan itu menggolongkan mereka dalam sebuah athar : "Setiap daging yang terbina daripada harta haram, maka neraka adalah lebih layak untuknya."

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah menyukai seseorang hamba-Nya yang apabila membuat sesuatu pekerjaan maka mereka sentiasa memperelokkannya" (Riwayat Ibn Majah dan At-Tabrani- Hadith Hasan).

Sambutan Tahun Baharu perosak generasi muda

Sambutan tahun baharu pemangkin hedonisme




KENAPA kita menyambut tahun baharu 1 Januari? Bukankah kita sudah menyambut tahun baharu Hijrah pada 1 Muharam saban tahun? Adakah telah disyaratkan untuk menjadi negara maju, kita mesti menganjurkan sambutan tahun baharu Masihi walaupun isi kandungan acara lebih menjurus kepada keburukan bukan kebaikan?

Tahukah kita asal-usul sambutan tahun baharu hingga kita menjadikan seolah-olah sambutan menjelang 1 Januari saban tahun sebagai acara "wajib"? "Kita" dalam konteks ini ialah pihak berkuasa yang mempunyai kuasa sama ada terus mengadakan atau tidak.

Tahun Masihi bermula pada kelahiran Nabi Isa al-Masih sementara tahun Sebelum Masihi dikira sebelum kelahiran Nabi Isa. Maknanya tahun baru 2014 yang akan muncul dua hari lagi adalah kiraan 2,014 tahun selepas lahirnya Nabi Isa dan penganut Kristian merayakan tahun baharu sebagai mengingati Nabi Isa.

Sejarah sambutan tahun baharu paling awal dimulakan oleh penganut Kristian Rom kuno pada tahun 45 Sebelum Masihi iaitu tidak lama selepas Julius Caesar diangkat sebagai Raja Rom.

Ketika itu Julius Caesar dibantu oleh ahli astronomi mengubah sistem astronomi Rom yang diciptakan sejak tahun ketujuh Sebelum Masihi dengan mengikut peredaran matahari seperti dilakukan oleh ahli astronomi Mesir.

Satu tahun dalam kalendar baharu Julius Caesar mempunyai 365 tambah suku dan dia menambahkan 67 hari pada tahun 45 Sebelum Masehi membuatkan tahun berikutnya dimulai pada 1 Januari.

Umat Islam menyambut tahun baharu Hijrah pada 1 Muharam dan sebagai sebuah negara Islam dan Islam termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan, sewajarnya tidak timbul acara sambutan tahun baharu Masihi.

Pengisian

Kalau disambut pun mungkin oleh penganut Kristian atau agama-agama lain kerana orang Islam sudah menyambut tahun baharu Hijrah dengan pengisian acara yang boleh membangunkan masyarakat. Atau dalam kata lain tidak perlulah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau agensi serta kementerian tertentu turut menganjurkan tahun baharu di Dataran Merdeka serta beberapa lokasi lain.

Ada dua persoalan utama yang mesti ditekankan dalam isu sambutan tahun baharu Masihi ini. Pertama, acara ini bukan tradisi dalam sejarah Islam kerana secara terang-terang diambil dari sejarah Kristian. Bagaimanapun masih boleh dianjurkan sekiranya isi kandungan acara tidak bertentangan dengan Islam, budaya dan akhlak masyarakat.

Kedua, daripada sudut isi acara. Setakat ini belum ada sambutan tahun baharu Masihi yang menampilkan pengisian untuk melahirkan generasi yang berakhlak, bermoral dan bersemangat juang yang tinggi. Kalau ada, sila buktikan.

Seperti yang saya katakan tadi, acara ini masih boleh dianjurkan sekiranya penganjur memastikan isi kandungan acara tidak menjurus kepada pemangkin pertumbuhan budaya hedonisme yang disuntik menerusi hiburan melampau.

Tetapi setakat ini terutama di Dataran Merdeka dan Putrajaya, isi kandungan acara sambutan tahun baharu Masihi penuh dengan hiburan yang tidak menyumbang kepada pembangunan sahsiah generasi muda. Pemujaan dan sanjungan kepada hiburan sudah terlampau tinggi dalam kalangan generasi muda khususnya yang beragama Islam. Jadi, tidak usahlah kita membinasakan generasi muda yang sudah mabuk dengan hiburan dengan melonggokkan hiburan di depan mereka. Ini sama juga dengan mengumpan generasi muda dengan K Pop.

Generasi muda mesti dikasihani, caranya jangan terus merosakkan dengan mewajarkan budaya hedonisme. Walaupun cara ini disukai generasi muda, tetapi pada masa sama menghancurkan mereka. Kita kena bertanggungjawab memberikan hiburan yang bernilai tinggi.

Kalau Julius Caesar masih hidup, sudah tentu dia berbangga kerana dialah menjelang tarikh 1 Januari saban tahun generasi muda Islam disogokkan mengikut caranya. Para birokrat pun tersenyum bangga apabila acara anjurannya mendapat sambutan. Ini menyumbang kepada KPI. Itu sajalah yang difikirkan.

Dua hari lagi akan menjelang malam tahun baharu Masihi. Khabarnya di Dataran Merdeka sudah dijadualkan acara hiburan dan pertunjukan bunga api. Dijangka acara kali ini juga seperti yang sudah-sudah, melonggokkan artis menjaja seni murahan. Tetapi dalam masa dua hari lagi kalau kita hendak berubah, kita boleh berubah. Adakah kalau ditiadakan sambutan tahun baharu Masihi kita akan dicerca oleh masyarakat antarabangsa? Kalau benar akan dicerca, biarkan kerana negara kita bukan mereka yang tentukan acuannya. Itupun kalau berani berubah.

- Ku Seman
kusemankh@gmail.com

Monday, December 16, 2013

Contohi Ahmad Shabery Cheek

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek memberikan contoh yang baik kepada banyak wakil rakyat lain supaya mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi rakyat. Tindakan Shabery meninggalkan Perhimpunan Agung UMNO baru baru ini kerana kembali ke kawasannya di Parlimen Kemaman, Terengganu untuk membantu mangsa banjir wajar dipuji.

Walaupun ada yang menganggap tindakan itu bersifat popular tetapi Shabery tidak perlu melakukannya kalau untuk mendapat pengaruh atau undi. PRU 14 masih jauh dan sifat orang Melayu sebahagian besarnya mudah lupa. Jadi, kalau Shabery berbuat demikian untuk kelangsungan kerjaya politik, tentulah tidak munasabah.

Satu lagi Shabery tidak mengarahkan RTM membuat liputan beliau meranduk air dan berbasah kuyup bersama orangramai. Padahal beliau boleh berbuat demikian kerana RTM berada di bawah kementeriannya. Kerana itu saya melihat ada keikhlasan Shabery apabila dia bersama sama rakyat menangani banjir baru baru ini.

Bayangkan ketika pemimpin UMNO di PWTC menikmati makanan dalam suasana mewah dan bertaraf lima bintang, Shabery berhimpit himpit di pusat pemindahan dalam keadaan yang sangat tidak selesa. UMNO sejak dulu lagi sinonim dengan kemewahan tetapi Shabery memperlihatkan sebaliknya apabila sanggup turun padang tanpa bunga mangar seperti sesetengah pemimpin yang "turun padang" sebelum ini.

Maka kita dapat melihat dan merasakan bahawa program "turun padang" sebelum ini dibuat buat. Orang ramai pula dikerah untuk menyambut kedatangan pemimpin yang kononnya "turun padang" secara spontan. Tetapi spontan apa ke benda kalau seluruh cawangan dan bahagian UMNO dikerah menghimpunkan orangramai untuk program itu.

Sebenarnya bukan kerja Shabery untuk tolong mengedarkan makanan kepada orangramai di pusat pemindahan. Kita mempunyai agensi yang diberi tanggungjawab untuk berbuat demikian. Tetapi kehadiran Shabery secara tersirat membuktikan pemimpin mesti berjiwa rakyat. Caranya mengambil berat masalah rakyat dan tidak bersenang lenang di Kuala Lumpur sedangkan rakyat yang memilih mereka untuk duduk di Parlimen bertarung nyawa.

Memang banyak pemimpin mengaku berjiwa rakyat, tetapi pada masa yang sama mereka hidup mewah dengan elaun itu dan ini hasil cukai yang dibayar oleh rakyat. Pemimpin yang dilahirkan di atas dulang emas ditambah pula dengan sikap tidak menjiwai rakyat akan kelihatan warnanya apabila berpura pura berjiwa rakyat.

Friday, December 13, 2013

Apa ni Saifuddin bin Abdullah?

Bekas timbalan menteri, Saifuddin Abdullah dalam twitternya menulis bahawa dia juga mengagumi Khomeini tetapi adakah dia syiah? Tulisan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan KDN mengenai timbalan Presiden Pas, Mat bin Sabu dikaitkan dengan syiah antaranya mengagumi pemimpin revolusi, Ayatullah Khoemini di Iran.

Sepatutnya Saifuddin membaca Utusan. Malaysia hari ini sebelum memberikan reaksi yang dangkal dan tak senonoh. Dalam Utusan Malaysia hari ini "kagum Khoemini" hanya salah satu maklumat yang mengaitkan Mat Bin Sabu dengan syiah. Ada sembilan lagi yang Saifuddin tak sentuh termasuklah cara Mat bin Sabu sembahyang cara syiah dan ada batu leper diletak di tempat sujud.

Kepada Saifuddin, selepas jatuh terbenam berbagai bagai cara orang lakukan untuk menampakkan diri di permukaan. Dengan kenyatan begini nama Saifuddin kembali diingati. Tetapi kalau baca komen Saifuddin dan baca pula pendedahan KDN dalam Utusan Malaysia, Saifuddin hanya ambil satu sahaja yang disebutkan oleh KDN.

Kenyataan Saifuddin diberi liputan meluas oleh Malaysiakini yang kita tahu hanya mencari kenyataan yang menyalahkan kerajaan yakni KDN. Malaysiakini telah memalukan Saifuddin kerana mendedahkan reaksi yang setengah masak dan tidak menggambarkan reaksi itu hasil pendedahan KDN seperti disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Malaysiakini akan mencari orang UMNO untuk menembak kerajaan dan Saifuddin salah seorang kerana ghairah memberikan reaksi padahal tidak mendapat maklumat yang lengkap. Untuk pengetahuan Saifuddin, maksud KDN bukanlah hanya kerap pergi ke Iran dan kagum dengan Khoemini sahaja dikelaskan sebagai syiah.

Tahniah kepada Saifuddin kerana menghulur leher dijadikan mangsa Malaysiakini yang lebih bijak menggunakan peluang daripada orang terbenam dan tenggelam macam Saifuddin.

Tuesday, December 10, 2013

Kalau penyokong begini, malanglah UMNO

Saya telah dilabelkan oleh penyokong totok UMNO (sebenarnya UMNO tidak memerlukan penyokong buta dan tuli begini) sebagai pembangkang atau dalam kata lain bukan penyokong UMNO. Salah satu sebabnya ialah menampalkan tulisan Tokoh Wartawan Negara, A. Kadir Jasin di blog ini.

Selain daripada itu mereka juga "menganalisis" tulisan saya dalam blog ini yang disifatkan ada sebahagiannya mengkritik UMNO. Antaranya saya tlus tentang tidak berlaku perubahan dalam pemilihan UMNO apabila mengekalkan status quo dalam majalah Dewan Masyarakat edisi November 2013.

Saya tidak pernah berkecil hati dengan penyokong UMNO yang buta dan tuli sebaliknya sedih kalau benar UMNO mempunyai penyokong jenis ini. Inilah sokong yang membawa rebah, tidak dapat membezakan antara kritikan dan tohmahan atau mencerca. Parti yang kuat adalah parti yang terbuka kepada kritikan, begitu juga pemimpin yang kuat adalah mereka yang positif kepada kritikan.

Seingat saya apa yang saya tulis bukan satu tohmahan atau cercaan yang membuatkan saya dilabelkan sebagai pembangkang. Saya tidak menjadi ahli mana mana parti politik, kerana menjadi orang neutral adalah satu kelebihan di mana mata dan pemikiran kita tidak condong kepada mana mana fahaman politik.

Saya boleh saja memuji mana mana parti politik sekalipun tidak wajar berbuat demikian. Tetapi saya memilih untuk menulis daripada yang lahir dari pemikiran yang waras, bukan hipokrit memuji sedangkan saya tahu ia tidak patut dipuji. Kalau banyak penyokong UMNO yang totok begini, alangkah malangnya UMNO.

Semua yang dibuat waima salah sekalipun tidak ada pihak yang mengkritik alamat UMNO menempah liang lahat untuk dikebumikan pada PRU14 akan datang. Saya antara orang Melayu yang tidak mahu UMNO dikebumikan dan caranya saya mengkritik. Kalau hendak menunggu menteri atau ahli MT UMNO mengkritik, saya fikir mereka tidak akan berbuat demikian kerana termakan budi dilantik menjadi menteri.

Saya percaya pemimpin UMNO semuanya terbuka kepada kritikan. Mereka selalu berkata UMNO bukan kebal daripada kritikan. Cuma yang menjadi masalah ada sesetengah penyokong yang totok yang menganggap siapa sahaja usik UMNO terus dianggap pembangkang.

Thursday, December 5, 2013

Agenda menyingkirkan pengaruh Mahathir dalam UMNO

Calon Naib presiden UMNO yang kalah tipis kepada Hishamuddin Hussein, Mukriz Mahathir tidak disenaraikan antara sembilan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dilantik oleh Presiden UMNO Najib Razak. Mukriz tewas sembilan undi kepada Hishamuddin selepas semua bahagian UMNO di Pahang mendapat "wahyu" supaya jangan memberi undi kepada Mukriz. Buktinya satu bahagian pun tidak memilih Mukriz.

Najib bagaimanapun menafikan dia memainkan peranan dalam pemilihan Naib Presiden untuk menyelamatkan Hishamuddin dari terkeluar dari barisan tiga naib presiden. Tetapi yang peliknya Mukriz yang kalah tipis tidak ada dalam sembilan ahli MT yang dilantik baru baru ini termasuk Ustaz Kazim Elias.

Nampaknya agenda untuk menghapuskan pengaruh Mahathir dalam UMNO bukan lagi cakap cakap kedai kopi sebaliknya ternyata wujud walaupun ada pihak tidak berani secara terang terang menolak Mahathir. Najib barangkali belajar daripada apa yang berlaku kepada Abdullah Badawi yang menolak Mahathir secara terang terang.

Mahathir dan juga Mukriz tentu boleh membaca percaturan yang dimainkan oleh Najib walaupun Najib kelihatan "sangat" menghormati dan menyanjung Mahathir. Baru baru ini Mahathir mengumum akan meletak jawatan sebagai Penasihat Petronas dan Najib "memujuk" supaya Mahathir terus berada di Petronas.

Najib kenal siapa Mahathir yang akan mengotakan apa yang dikata, maka dia berani "memujuk" supaya kelihatan Mahathir diperlukan di Petronas. Kalau kita tidak membaca yang tersirat sudah tentu menganggap tidak ada apa apa yang berlaku antara Najib dan Mahathir.

Kini Mukriz yang dianggap saki baki Mahathir dalam UMNO telah dipancung hidup hidup. Ini mengiyakan kenyataan Mahathir sebelum pemilihan Naib Presiden UMNO bahawa daripada pengalamannya menjadi Perdana Menteri, orang yang disukai beliau akan menang dalam pemilihan.

Apabila satu bahagian pun di Pahang tidak memilih Mukriz sebagai Naib Presiden dan ada tokoh veteran UMNO dilarang memberikan sokongan terbuka kepada Mukriz, kini Mukriz pula tidak dilantik sebagai ahli MT sudah jelas agenda menyingkir pengaruh Mahathir dilakukan secara terancang.

Pada perhimpunan agung UMNO yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, beberapa perwakilan dari Langkawi membangkitkan kenapa Mukriz tidak dilantik sebagai MT selepas berjaya mengambil semula Kedah daripada Pas. Sekarang ini Mukriz kena bijak menari mengikut gendang yang dipalu oleh puak puak yang mahu menyingkirkan pengaruh Mahathir dalam UMNO.

Wednesday, December 4, 2013

Ustaz Kazim tolak jadi MT UMNO

Ustaz Kazim tolak jadi MT UMNO

SUNGAI PETANI 4 Dis. - Penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengumumkan menolak pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Pengumuman tersebut dibuat beliau di hadapan kira-kira 2,000 hadirin dalam program ceramah agama di Taman Ria, di sini, malam tadi.

Ustaz Kazim berkata, beliau akan mengumumkan secara rasmi melalui sidang akhbar hari ini.

Pada Jumaat lalu, UMNO mengumumkan pelantikan sembilan anggota MT, antaranya Ustaz Kazim dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Selepas pengumuman terbabit dibuat, Ustaz Kazim menerima pelbagai tohmahan dan fitnah termasuk daripada pemimpin dan ahli parti Pas.

Lantaran itu, kelmarin, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada Pas. - UTUSAN ONLINE

Komen saya:

Ustaz Kazim telah membuat tindakan yang bijak dan keputusan ini akan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap beliau yang tidak terikat dengan mana mana parti politik. Difahamkan beliau telah dipecat dari Pas selepas mendapat tahu UMNO melantik beliau sebagai MT. Sekarang sudah jelas Pas bertindak macam budak budak, Kazim belum pasti lagi menerima pelantikan, mereka sudah hukum.

UMNO tak berubah

UMNO mengekalkan status quo

(Dewan Masyarakat Nov 2013)

Ku Seman Ku Hussain

Kembali kepada status quo. Demikianlah kesimpulan ringkas yang boleh diberikan kepada pemilihan UMNO baru-baru ini. Ahli UMNO yang mempunyai kelayakan membuat pilihan telah memilih untuk meletakkan UMNO seperti yang ada sebelum ini. Tidak ada perubahan atau penjenamaan baharu terhadap parti Melayu yang berusia 67 tahun itu.

UMNO barangkali lebih selesa seperti yang telah sedia ada. Maka tidak perlu diubah walaupun itulah yang dijanjikan oleh pemimpin tertinggi UMNO kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk menghadapi cabaran politik Melayu yang paling hebat pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14) lima tahun lagi. Barangkali UMNO bimbang sekiranya tidak mengekalkan status quo, keadaan yang lebih buruk akan menimpa.

Kerana itu keputusan yang dibuat oleh perwakilan tidak mencerminkan slogan yang dilaung-laungkan kepada rakyat bahawa UMNO akan membuat perubahan. Apa yang difahami perubahan yang dimaksudkan adalah membariskan kepimpinan baharu sekalipun Presiden dan Timbalan Presiden tidak dicabar. Inilah keputusan yang dibuat oleh perwakilan yang berjumlah 146,500 dari 191 bahagian. Keputusan yang tidak mengejutkan pada pemilihan kali ini memberikan isyarat UMNO mengekalkan status quo, selesa dengan apa yang dimiliki. Orang Melayu telah mendapat isyarat yang diberikan oleh UMNO bahawa keadaan sebelum ini perlu diteruskan. Belum masanya untuk membuat perubahan.

Perkataan yang terlalu kerap disuapkan kepada rakyat khususnya orang Melayu sebelum ini adalah “transformasi” dan “meremajakan” dalam UMNO. Orang Melayu menerima baik slogan ini dan sangat mengharapkan akan berlaku usaha bersungguh-sungguh untuk meremajakan UMNO. UMNO menjadi tunggak kepada Barisan Nasional (BN) tetapi selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12) pada 2008, pada persepsi sesetengah pihak pengaruh UMNO mulai berkurangan. Ini disebabkan berlaku tsunami politik yang teruk dan menumbangkan lima negeri yang sebelum ini dikuasai oleh BN.

Pada PRU13 yang baru lalu, banyak menjangkakan satu perubahan besar berlaku dalam UMNO seterusnya dalam BN untuk menebus kembali kekalahan di beberapa negeri. Walaupun UMNO memperlihatkan sedikit peningkatan, BN tidak bertambah malah semakin menyusut apabila MCA dan MIC tidak memperlihatkan kesungguhan untuk mengubah kedudukan genting BN dalam PRU 12.

Bagaimanapun belum tiba masa yang sesuai untuk UMNO melakukan perubahan yang besar. Ini ditunjukan dalam keputusan pemilihan kali ini menunjukkan tidak berlaku perubahan besar dalam UMNO dan tidak ada keputusan yang mengejutkan. Daripada pengalaman sebelum ini, keputusannya adalah seperti yang dijangka. Inilah tebalnya status quo yang berakar tunjang dalam UMNO.

Sebenarnya ini adalah suatu yang kurang sihat kepada sebuah parti yang berhadapan dengan cabaran politik yang bukan kecil pada era ini. Ini membayangkan UMNO tidak mempunyai pelapis yang benar-benar diyakini boleh melangsungkan perjuangan politik yang telah digariskan pada masa depan. Tidak mungkin UMNO sengaja tidak menonjolkan barisan kepimpinan dalam keadaan segenting ini. Tidak ada calon yang hebat maknanya itu sahajalah yang ada. Maka tidak adalah perubahan yang boleh dilakukan.
Tahun ini merupakan kali pertama pemilihan UMNO menggunakan sistem electoral college sama seperti yang digunakan untuk memilih Presiden Amerika Syarikat. Ini satu penambahbaikan UMNO yang wajar dipuji untuk mengekang gejala politik wang yang sejak sekian lama mencemarkan maruah UMNO parti orang Melayu beragama Islam di negara ini.

Menerusi sistem baharu ini, sebanyak 146,500 perwakilan dari 191 bahagian UMNO diberi peluang memilih bagi jawatan di Majlis Tertinggi; Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat kebangsaan. Berbanding sebelum ini pemilihan hanya dilakukan oleh lebih kurang 2,000 perwakilan yang berkampung di PWTC. Secara teorinya mereka membawa suara daripada bahagian masing-masing tetapi bukan semua perwakilan membawa amanah tersebut. Banyak yang berubah apabila sampai ke PWTC.

​Tetapi menerusi sistem baharu, potensi untuk menyogok perwakilan terlalu kecil kerana terdapat 146,500 perwakilan di seluruh negara. Politik wang bukan satu persepsi tetapi benar-benar berlaku sebelum ini kerana Jawatankuasa Disiplin telah mengenakan tindakan terhadap beberapa calon kerana kesalahan tersebut. Tetapi sistem yang bertambah baik bukanlah penentu membawa perubahan dalam sesebuah organisasi, apatah lagi parti politik. Kalau manusia dalam organisasi tidak mahu berubah, perubahan tetap tidak berlaku.

Ahli UMNO kelihatan tidak berani untuk melompat ke luar kotak dengan membuat keputusan yang benar-benar meremajakan UMNO dan sekaligus membuktikan “transformasi” telah dilakukan. Kita masih boleh menerima dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan kerana faktor mengekang wujudnya perpecahan dalam UMNO. Tidak mahu wujud team A dan team B seperti yang berlaku semasa Tun Dr. Mahathir Mohamad dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden.

Dr. Mahathir boleh sahaja mengarahkan sama ada secara terus langsung atau tidak langsung supaya jawatan nombor satu tidak dicabar. Tetapi beliau tidak berbuat demikian sekalipun tahu pengaruh Tengku Razaleigh besar dalam kalangan ahli UMNO. Akhirnya berlaku pertarungan dan Dr. Mahathir membuktikan beliau lebih hebat sekalipun menang tipis.

Sebenarnya UMNO sudah matang berpolitik dan perpecahan semasa perebutan jawatan akan bertaup semula selepas suasana menjadi tenang. Sekarang ini apabila dua jawatan utama tidak dipertandingkan dengan harapan kesatuan dalam UMNO akan bertambah untuk survival politik yang semakin mencabar.

Kemaraan Mukhriz dihalang

Untuk jawatan Naib Presiden, sekalipun percubaan Mukhriz Mahathir dilihat sebagai isyarat perwakilan mahukan perubahan, status quo sangat tebal dalam UMNO. Penyandang Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishamuddin Hussein mengekalkan kedudukan dengan selesa kecuali Hishamuddin yang terpaksa bertarung dengan Mukhriz. Sejak awal lagi banyak pihak menjangka Zahid dengan mudah mempertahankan jawatan, begitu juga dengan Shafie.

Saya sangat tertarik dengan jawapan Dr. Mahathir ketika ditanya mengenai peluang Mukhriz dalam percubaan pertama merebut kerusi Naib Presiden. Kata Dr. Mahathir, daripada pengalaman beliau, calon yang disukai Perdana Menteri mempunyai peluang yang lebih cerah. Walaupun Dr. Mahathir tidak mengatakan Presiden iaitu Najib Tun Razak tidak suka kepada Mukhriz tetapi spekulasi yang dibuat oleh majalah The Economist baru-baru ini telah “dibaca” oleh sesetengah perwakilan sebagai suatu yang benar. The Economist membuat spekulasi kononnya Mukhriz menjadi saingan kepada Najib.

Ada kebenarannya calon yang “tidak disukai” Perdana Menteri pada persepsi perwakilan susah untuk mencapai kemenangan. Mukhriz bukan dijadikan satu kajian kes apabila tidak ada satu bahagian pun di Pahang memilih Mukhriz berbanding ketiga-tiga penyandang lain dipilih oleh semua bahagian.
Barangkali perwakilan di Pahang “membaca” spekulasi yang dicetuskan oleh The Economist sebagai suatu yang benar dan mereka bertindak demikian untuk menyelamatkan Perdana Menteri. Daripada keputusan semua bahagian di Pahang ini, tidak salah kalau kita membuat kesimpulan bahawa Mukhriz bukan disukai Perdana Menteri, meminjam kata-kata Dr. Mahathir. Dalam pemilihan yang lalu Zahid mendapat 188 undi, Shafie (177 undi), Hishamuddin (101 undi), Mukhriz (93 undi), Isa Samad (7 undi) dan Mohamed Ali Rustam (7 undi). Walaupun dari segi undi Hishamuddin mengatasi Mukhriz tetapi Mukhriz mengatasi dari segi undi popular. Sebanyak 57,189 perwakilan memilih Mukhriz dan 56,504 memilih Hishamuddin.

Pada masa yang sama Mukhriz juga menjadi mangsa sabotaj sebuah akaun laman sosial Facebook yang menyamar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Mukhriz hilang kelayakan bertanding kerana politik wang. Petikan laman Facebook itu disiarkan dalam portal pro pembangkang Malaysian Insider. Walaupun portal berita itu menarik balik berita itu dan meminta maaf kepada Mukhriz, kesannya membuatkan Mukhriz hilang banyak undi. Dipercayai sabotaj ini dilakukan oleh pihak tertentu untuk menyekat kemaraan Mukhriz dalam politik.

​Ada pemerhati politik melihat apa yang dilalui oleh Mukhriz dalam pemilihan ini adalah antara usaha untuk menyingkirkan pengaruh Dr. Mahathir dalam UMNO dan kerajaan. Mukhriz dilihat melangsungkan pengaruh Dr. Mahathir serta mempunyai potensi yang tinggi menjadi pemimpin utama pada masa depan.

Laluan mudah Khairy, Shahrizat

Bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita, kedua-duanya tidak memperlihatkan saingan sengit malah awal-awal lagi sudah dapat dijangkakan keputusannya. Pencabar kepada penyandang untuk kedua-dua jawatan ini hanya ala kadar sahaja. Penyandang Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin tidak ditentang dalam erti kata sebenarnya kerana semua pencabar bukanlah dalam kalangan yang berpengaruh dan berwibawa malah tidak popular.

Khairy dicabar oleh Akhramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar. Khairy belum teruji sepenuhnya keupayaan untuk “berdikari” selepas tidak lagi menantu kepada Perdana Menteri. Semasa Abdullah Haji Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Khairy bertarung sengit dengan Mukhriz untuk jawatan Ketua Pemuda. Khairy menang tetapi perbezaannya kecil selepas diulang kira.

Tetapi pada pemilihan kali ini Khairy tidak berhadapan dengan calon sekuat Mukhriz. Khairy mencatat kemenangan tetapi tidak semanis dengan Mukhriz. Ini kerana dalam sesuatu pertandingan, orang akan bertanya dengan siapa kita menang. Timbul persoalan, adakah laluan mudah Khairy mengekalkan jawatan Ketua Pemuda kerana sememangnya tidak ada calon yang berwibawa dalam kalangan Pemuda? Kalau pencabar-pencabar Khairy boleh dijadikan sebagai satu tanda aras, alangkah malangnya Pemuda pada masa depan. Pemuda tidak ada pelapis dan ini dibuktikan apabila tidak ada pencabar yang benar-benar mencabar Khairy.

Atau adakah semua ini berlaku kerana perwakilan Pemuda mahu mengekalkan status quo dan selesa seperti yang sedia ada? Pemuda tidak berani berubah kerana Ketua Pemuda yang sedia ada adalah cukup baik dan tidak mahu memeningkan kepala memilih ketua baharu kerana tidak sampai tahapnya.
Perebutan untuk jawatan Ketua Wanita juga menghadapi situasi yang sama. Penyandang Shahrizat Jalil tidak berhadapan dengan laluan sukar untuk mengekalkan jawatan. Kemenangan Shahrizat tidak mengejutkan sebaliknya sekiranya Shahrizat tewas pula suatu yang sangat mengejutkan. Shahrizat dicabar oleh Raihan Sulaiman Palestin dan Maznah Mazlan. Bagi jawatan Ketua Puteri, Mas Ermieyati Samsudin mendapat laluan mudah memenangi jawatan tersebut sekalipun terdapat pencabar. Bekas Ketua Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin tidak mempertahankan jawatan kerana melebihi had umur. Beliau berjaya memenangi jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Hanya dua Wanita dalam MT

Sementara itu hanya lima dari wakil sayap UMNO berjaya menduduki Ahli Majlis Tertinggi. Ini bermakna daripada 25 Ahli Majlis Tertinggi, suara dari sayap; Pemuda dan Wanita hanya lima sahaja. Dalam kata lain suara sayap parti dalam Majlis Tertinggi hanya 20 peratus iaitu lapan peratus Wanita dan 12 peratus Pemuda. Kekalahan tujuh calon Wanita dalam perebutan kerusi Ahli Majlis Tertinggi juga memberikan satu isyarat yang tidak begitu menggembirakan kepada UMNO.

Kali ini hanya dua calon Wanita yang berjaya menduduki kerusi Majlis Tertinggi iaitu Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Azalina Othman Said. Calon Wanita yang tewas ialah Noraesah Mohamad, Halimah Mohamed Sadique, Dr Siti Zaharah Sulaiman, Maznah Abdul Hamid, Raja Ropiah Raja Abdullah, Rosni Zahari dan Hamidah Osman.

Daripada 62 orang yang menawarkan diri untuk bertanding dalam Majlis Tertinggi hanya sembilan sahaja dari Wanita. Kemenangan dua calon Wanita menunjukkan hanya lapan peratus suara Wanita dalam Majlis Tertinggi. Kedudukan ini terlalu jauh daripada sasaran sekurang-kurang 30 peratus suara wanita sebagai pembuat dasar. Bayangkan hanya seorang wanita menjadi Ketua Bahagian dari 191 bahagian UMNO. Keadaan ini tidak seharusnya berlaku. Daripada prestasi yang ditunjukkan ini maka tidak hairanlah Shahrizat dengan mudah mengekalkan jawatan sekalipun dilingkari pelbagai kontroversi yang mencipta persepsi demi persepsi.

UMNO perlu memberikan peluang yang lebih besar kepada golongan wanita dan inilah kalau mahu dikatakan satu transformasi. Malangnya ini tidak berlaku dalam sebuah parti yang menjadi dominan dalam kerajaan. Apakah akan berlaku dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar pada 2016, hanya dua tahun sahaja lagi?

Isa dan Ali ditolak

Pemilihan UMNO kali ini memperlihatkan para perwakilan menolak calon yang pernah disabitkan dengan politik wang pada masa lalu. Ini menunjukkan perwakilan masih mempunyai tanggungjawab untuk memastikan UMNO tidak disekutukan oleh gejala politik wang walaupun sukar untuk membersihkan sepenuhnya. UMNO harus melihat perkembangan ini sebagai suatu yang sihat dan kesedaran daripada perwakilan memberi isyarat bahawa usaha membersihkan UMNO akan berhasil.

Dua calon Naib Presiden yang bertanding, Isa Samad dan Ali Rustam pernah disabitkan dengan politik wang suatu ketika dulu. Walaupun tidak diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua tokoh UMNO ini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin.

Kini Isa Samad yang dulunya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan adalah Pengerusi Felda. Banyak yang menjangka hayat politik Isa hidup semula selepas memegang jawatan Pengerusi Felda, agensi kerajaan yang berdamping rapat dengan masyarakat Felda. Sementara Ali Rustam pula bekas Ketua Menteri Melaka yang kecundang dalam PRU13 yang lalu akibat tsunami pengundi Cina. Ali seorang tokoh veteran UMNO dan antara Ketua Menteri Melaka yang bertanggungjawab membangunkan negeri bersejarah itu.

Dalam pemilihan kali ini Isa dan Ali, kedua-duanya hanya mendapat tujuh undi dari 191 bahagian. Isa mendapat 12, 783 undi popular sementara Mohamad Ali mendapat 15,294 undi popular. Ada sesetengah pihak melihat pemilihan kali ini sebagai penamat hayat politik kedua-dua tokoh UMNO itu. Tetapi dalam politik semuanya boleh berubah. Cuma kali ini hanya UMNO yang kelihatan tidak banyak berubah.

Tugas besar Ustaz Kazim bila duduk dalam UMNO

Ustaz popular setaraf Siti Nurhaliza, Ustaz Kazim Elias telah dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO baru baru ini. Ada yang setuju dan tidak kurang juga yang menganggap tidak wajar kerana Ustaz Kazim lebih diperlukan sebagai seorang yang neutral, tidak membawa jenama parti politik. Walaupun banyak yang tahu Ustaz Kazim seorang ahli Pas, bagi saya itu bukan bermakna dia membawa jenama Pas, kecualilah ada kedudukan tinggi dalam Pas.

Secara peribadi saya lebih suka Ustaz Kazim berada pada kedudukan neutral seperti Mufti Perak, Harussani Zakaria atau bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin. Walaupun tidak ada jawatan dalam parti kerajaan tetapi memainkan peranan yang besar dalam hal ehwal Islam. Mereka bebas menegur sekalipun kerap dilihat sebagai "pembangkang" apabila teguran itu kena kepada kerajaan.

Itulah masalah utama dalam kalangan kita, apabila kena tegur terus label orang itu dan orang ini sebagai "pembangkang". Apabila Ustaz Kazim berada dalam UMNO saya tidak pasti sejauh manakah beliau boleh memainkan peranan sebagai pengkritik dalam UMNO berkaitan dengan hal ehwal Islam.

Saya lebih melihat memasukkan Ustaz Kazim dalam barisan tertinggi tidak lebih untuk menjenamakan UMNO dengan Islam. Ini akan memperlihatkan UMNO juga ada ulama seperti Pas. Bagi saya jenama tidak terlalu penting sebaliknya yang lebih penting apa yang dilakukan oleh UMNO itu sebenarnya memgangkat martabat Islam.

Sebenarnya apabila menulis menongkah arus begini tentu ada pihak yang menganggap saya menyokong "pembangkang" sedangkan saya berkerja di organisasi akhbar yang dikuasai oleh UMNO. Tetapi saya bukan ahli mana mana parti politik dan sentiasa mencari persamaan dan kekuatan di sebalik perbezaan fahaman politik.

Pelantikan Ustaz Kazim bukan dibuat oleh rakyat atau setidak tidaknya para perwakilan seperti pemilihan jawatan dalam UMNO baru baru ini. Sebabnya Presiden UMNO mempunyai kuasa untuk melantik beberapa ahli MT tanpa melalui proses demokrasi.

Apabila berada dalam UMNO, Ustaz Kazim perlulah berani menegur perkara perkara yang dilarang oleh Islam antaranya pembaziran. Acara menyambut pemimpin selalunya dibuat besar besaran dan belanjanya daripada duit rakyat yang dikutip menerusi pelbagai cukai. Ustaz Kazim kena membetulkan perkara ini dan saya pasti kepimpinan UMNO akan menerima teguran dan melaksanakannya. Sebabnya semua pemimpin UMNO selalu berkata mereka terbuka kepada kritikan, cuma tidak ada yang berani mengkritik saja.

Malah dengan adanya Ustaz Kazim, acara acara hiburan yang menjurus kepada hedonisme dan anti agama tidak usahlah diadakan. Semoga selepas ini tidak ada lagi konsert seperti K Pop yang mendedahkan remaja kita dengan hedonisme. Walaupun difahamkan belanja membawa artis K Pop lebih RM1.6 juta itu dibayar oleh penaja tetapi itu bukan sahaja satu pembaziran malah membayar untuk membawa kerosakan moral kepada remaja.

Setakat ini saya tidak nampak apakah sumbangan artis K Pop kepada pembangunan moral dan sahsiah remaja kita selain kejayaan penganjur iaitu Kementerian Belia dan Sukan (semasa bawah teraju Ahmad Shabery Cheek) mengumpul penonton dalam kalangan remaja. Ini untuk KPI menteri tetapi bukan kepada para remaja kita yang tersihir oleh hedonisme dalam dunia hiburan.

Kalau Ustaz Kazim berhasrat untuk menegur UMNO dari dalam, saya fikir beliau boleh melakukannya tanpa rasa terhutang budi kepada sesiapa. Tetapi janganlah jadi seorang ulama muda UMNO yang berkata kenaikan harga barang adalah takdir dari Allah. Memang sah dia "ulama" UMNO.

Bebaskan "media arus perdana"

Realiti cabaran akhbar global

(Mingguan Malaysia 1 Disember 2013)

PENEMBUSAN Internet negara ini sebanyak 67 peratus pada September lalu berbanding 22 peratus pada 2008 telah memberi ruang wujud dan bertambah dengan pantas jumlah wartawan rakyat (citizen journalist). Wartawan rakyat menulis di media sosial seperti blog, Facebook, Twitter dan beberapa lagi. Istilah citizen journalist dulunya sangat asing tetapi kini suatu yang biasa selari dengan penembusan Internet di seluruh dunia. Sebelum itu kalau ada pun wartawan rakyat hanya menerusi halaman forum pembaca di akhbar-akhbar.

Wartawan rakyat menyumbang kepada percambahan media sosial bukan sahaja dari segi jumlah malah pengaruhnya terhadap sosiopolitik dan budaya. Hari ini apabila seseorang itu mendaftar akaun media sosial, kemudian menulis dan tulisan itu boleh diakses oleh umum, mereka adalah wartawan rakyat. Kerana itu wibawa mereka dipersoalkan tetapi banyak juga pemilik akaun blog dan facebook yang diyakini wibawa mereka.

Mereka ini termasuklah blog Tokoh Wartawan Negara, A. Kadir Jassin, bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, Akhiruddin Atan (Rocky Bru) dan banyak lagi. Pada masa yang sama tidak terkecuali wujud blogger politik upahan tetapi hayat mereka tidak lama selepas “warna" sebenar terbongkar. Kita boleh melihat sendiri mereka yang kecundang sekalipun berselindung di sebalik nama samaran.

Walaupun begitu media sosial telah menjadi cabaran utama media yang dikatakan “arus perdana" terutama akhbar. Bukan sahaja dari segi kepantasan menyampaikan maklumat malah dianggap lebih “terbuka" terutama dalam isu yang membela kepentingan rakyat.

Penurunan jualan bukan sahaja berlaku kepada akhbar yang dilabelkan sebagai “suara kerajaan". Malah akhbar suara pembangkang seperti Harakah juga menghadapi penurunan.

Sebabnya generasi Y adalah generasi Internet. Inilah generasi teman setia perkakas elektronik dan dari telapak tangan mereka boleh memantau perkembangan dunia. Generasi inilah yang menjadi pemangkin perubahan landskap media dari akhbar bercetak kepada dalam talian dan akhbar elektronik (e-paper) dan media sosial.

Realitinya akhbar bukan lagi platform mendapatkan maklumat kerana media sosial dan akhbar dalam talian sudah mengambilalih peranannya. Akhbar bercetak mesti berperanan sebagai pencetus pemikiran dan pembudayaan kepada rakyat.

Penurunan jualan akhbar adalah realiti dunia persuratkhabaran global. Apa yang dihadapi oleh organisasi akhbar di negara ini, perkara yang sama lebih dahulu dihadapi oleh Barat khususnya AS dan Britain. Jualan akhbar di seluruh dunia menguncup dari tahun demi tahun.

Menurut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Alliance for Audited Media (AAM), semua akhbar utama di AS mencatatkan penurunan kecuali The Wall Street Journal dan New York Times. Bayangkan hanya dua akhbar, selebihnya tidak mampu mengekalkan kedudukan. The Wall Street Journal kekal sebagai akhbar paling laris di AS dengan edaran mencecah 2.4 juta naskhah sehari iaitu meningkat 12 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara New York Times pula mencatatkan edaran 1.9 juta naskhah sehari meningkat 18 peratus dan edisi mingguan meningkat 16 peratus menjadikan edaran 2.3 juta naskhah.

Statistik MAA menunjukkan beratus-ratus akhbar di AS tidak mampu mengekang penurunan edaran. Ini termasuklah The Washington Post, sebuah akhbar berpengaruh dan mempunyai sejarah yang panjang.

Menurut MAA lagi, kadar langganan akhbar digital di AS adalah 19 peratus daripada jualan versi cetak, meningkat daripada 14.2 peratus pada awal tahun ini. Maknanya telah berlaku “perpindahan" dari cetak kepada digital secara konsisten. Faktor ini menyumbang kepada penurunan akhbar bercetak.

Semua peneraju organisasi akhbar dan pengarang di seluruh dunia memperkatakan isu yang sama; kejatuhan jualan akhbar. Media sosial berjaya menempatkan diri dalam masyarakat. Ia dianggap telus, bebas dan demokratik walaupun masih boleh dibahaskan tanda aras wibawa pemilik akaun media sosial yang menjadi wartawan rakyat.

Dalam konteks negara ini pengaruh media sosial telah dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU-12) pada 2008 kemudian pada PRU-13 yang lalu. Dalam konteks global pula tercetusnya Musim Bunga Arab (Arab Spring) yang menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi kepada pemimpin pilihan media sosial.

Di luar negara, walaupun akhbar bercetak berhadapan penurunan tetapi kaedah mengatasinya dengan “meminjam" formula media sosial. Antara memberi ruang supaya akhbar boleh berperanan sebagai suara rakyat dalam pendemokrasian maklumat.

Pemimpin politik perlu realistik bahawa pada era kebangkitan media sosial, tidak ada yang boleh dilindungkan daripada pengetahuan rakyat. Mereka tidak mampu “mengawal" media sosial kecuali menyekat jaringan Internet seperti yang dilakukan oleh pemimpin komunis Korea Utara.

Sekiranya ruang kebebasan akhbar hampir sama dengan media sosial, jangka hayat akhbar mungkin boleh dilanjutkan. Keberanian beradab untuk menegur pemimpin mampu memulihkan keyakinan rakyat kepada akhbar.

Seperkara lagi, definisi “media arus perdana" perlu dilihat semula setelah media sosial mencatatkan pengikut yang jauh lebih besar. Mereka yang mendapatkan maklumat (tidak semestinya benar) di media sosial jauh lebih besar dan inilah “media arus perdana" pada era ini.

Ruang kebebasan akhbar sebagai mata dan telinga rakyat perlu diperluaskan untuk menempatkan kedudukan sebagai media arus perdana. Tidak ada gunanya akhbar dilabelkan “media arus perdana" tetapi kepercayaan rakyat bahawa maklumat (termasuk yang palsu) hanya ada di media sosial.