Friday, July 26, 2013

Pulangnya seorang teman






                     ALLAHYARHAM DR. MARZUKI IBRAHIM


Baru sebentar tadi saya menerima berita kepulangan seorang teman, Dr. Marzuki Ibrahim ke rahmatullah dua hari lalu oleh  Zulkifli Ismail (Gerak Khas).  Dr. Marzuki  yang berusia 48 tahun adalah Bendahari Perkasa  selain terlibat dalam politik  serta perniagaan. 

Dr. Marzuki adalah rakan serumah ketika saya  baru berkerja di Utusan Melayu tahun 1984.  Saya bersama Zulkifli Ismail, Idris Hamid  (kini di Jabatan Perdana Menteri) dan Wan Zulkifli Wan Yaacob (kini Ketua Biro Utusan Terengganu)  menyewa sebuah flat di Taman Cheras, Kuala Lumpur.  Flat Desa Aman setinggi lima tingkat itu dihuni oleh 99 peratus kaum Cina. Tetapi kerana tidak ada pilihan, kami berempat yang menjadi wartawan kadet  bergaji RM350  terpaksa menyewa flat dua bilik dengan harga RM200 sebulan.

Suatu hari Zulkifli Ismail membawa balik seorang rakannya, kelihatan masih budak lagi. Dia juga baru datang ke Kuala Lumpur dan berkerja sebagai wartawan di majalah Era yang diterbitkanb oleh Sasterawan Negara Datuk Baha Zain. Era adalah majalah berita mingguan pertama di negara ini yang memuatkan rencana dan ulasan yang berkualiti.

Zulkifli beritahu  kawan dia ini berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan pekat dengan loghat Pulau Pinang. Dia hendak tumpang di rumah sewa kami sebagai ahli baru. Walaupun pada mulanya kami hadkan kepada empat orang sahaja  tetapi melihat perwatakannya yang menyakinkan, kami terima dia sebagai  ahli baru di rumah itu.

Walaupun dalam rumah itu menghimpunkan pelbagai negeri, saya (Perlis), Zulkifli (Kedah), Wan Zulkifli (Kelantan) dan  Idris (Johor), tetapi semuanya telah didoktrinkan dengan bahasa utara.  Bahasa utara jadi bahasa rasmi dalam rumah. Selepas bertambah seorang lagi, orang utara jadi majoriti. Tetapi beberapa istilah bahasa Kedah dan Perlis tidak difahami oleh teman baru ini. Misalnya istilah "selului" (kerap) membuatkan dia ternganga kerana tidak faham walaupun dia orang utara. Yang menariknya teman baru ini seorang ulat buku dan banyak juga buku yang dipinjamkan kepada saya.

Itulah Allahyarham Dr. Marzuki Ibrahim yang telah terputus hubungan  hampir sepuluh tahun kerana selepas penutupan majalah Era,  Allahyarham berkerja sendiri hingga berjaya menjadi penerbit beberapa majalah mingguan. Tetapi majalah sehebat Era pun  gulung tikar, apatah lagi majalah lain dan Allahyarham beberapa kali buka dan tutup syarikat penerbitannya. Allahyarham seorang yang berjiwa kental, pernah jatuh hampir bangkrap tetapi boleh bangun kembali dengan penuh semangat. Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Tuesday, July 9, 2013

Morsi jadi mangsa Amerika

Presiden Mesir yang dipilih menerusi pilihan raya pertama selepas lebih 30 tahun di bawah diktator Hosni Mubarak telah dinafikan oleh pihak tentera. Morsi dipilih menerusi sistem pilihan raya yang boleh dianggap demokratik selepas berlaku kebangkitan warga Mesir yang melancarkan Arab Spring. Kalau dilihat secara teliti, parti Ikhwan Muslimin yang didukung Morsi adalah parti yang diharamkan semasa pemerintahan diktator Mubarak.

Sebenarnya isu Mesir mesti dilihat di luar kepompong politik Malaysia yang sempit. Memang Morsi memenangi pilihan raya menerusi kesan kebangkitan rakyat. Tetapi ini tidak boleh disamakan dengan  gerakan membengkitkan kemarahan warga menerusi perhimpunan haram. Morsi mesti dilihat dalam konteks politik dunia dengan campur tangan AS yang kompleks.

Ada penganalisis di negara ini melihat Morsi sebagai Anwar Ibrahim dalam konteks Malaysia. Bagi saya analisis begini menyempitkan pemikiran warga untuk melihat kemelut politit dnia dari kaca mara yang luas. Walaupun ada parti politik pembangkang mewirakan Morsi semasa kemenangannya, ini bukanlah boleh dianggap perjuangan Ikhwan Muslimin dan Morsi sama dengan pembangkang. Maka menyamakan dan mempelekehkan perjuangan Morsi adalah suatu pandangan singlat.

Kepada siapa yang mengikuti kemelut politik Mesir, mereka akan tahu bahawa Amerika yang selama ini melindungi Mubarak, mahu menukarkan pemimpin Mesir tetapi mesti yang menyokong Amerika. Maka Amerika membiayai kebangkitan rakyat untuk menjatuhkan Mubarak. Tetapi Amerika kecewa apabila Mubarak jatuh kerana yang dipilih oleh rakyat adalah pemimpim Islamis yang menentang Amerika. Kemenangan Morsi sangat tidak disenangi oleh Presiden Amerika, Barack Obama.

Dalam sejarah politik Mesir beberapa presiden Mesir hingga kepada Mubarak adalah pemimpin tentera.  Tentera Mesir mendapat dana  yang besar daripada Amerika untuk membangunkan Mesir kerana pemimpin tentera adalah Presiden Mesir. Tetapi dana yang diberikan oleh Amerika itu lebih separuh daripadanya digunakan untuk mempertingkatkan kekuatan tentera.

Morsi dijatuhkan bukan kerana kegagalan membaikpulih ekonomi Mesir yang merudum semasa Mubarak. Morsi dijatuhkan kerana dia bukan pemimpin tentera seperti tradisi Presiden Mesir sebelum ini. Apabila Morsi bukan pemimpin tentera, Amerika tidak boleh menggunakan Morsi untuk tujuan penguasaan politik di Asia Barat. Apa lagi Morsi memusuhi Israel dan membantu Palestin. ini bertentangan dengan Mubarak yang memusuhi Palestin dan berkerjasama dengan Israel. Mubarak memusuhi Palestin kerana dia telah dikawal oleh Amerika.

Adalah suatu yang tidak adil untuk melihat peningkatan ekonomi dalam masa setahun Morsi memerintah untuk memulihkan kerosakan ekonomi lebih 30 tahun yang dilakukan oleh Mubarak. Kerana itu menghukum Morsi kerana gagal memulihkan ekonomi adalah sama dengan alasan Amerika untuk mewajarkan Morsi dijatuhkan.

Sebenarnya tidak menghairankan apabila pemimpjn tentera merampas kuasa daripada Morsi walaupun pemimpin tentera itu cuba berselindung kononnya yang dilakukan itu adalah kehendak rakyat. Kini Mesir kembali seperti era Mubarak apabila pemimpin tentera yang merampas kuasa adalah proksi Amerika. Apa yang berlaku di Mesir adalah kejayaan Amerika menerusi tangan tangan ghaib mencorakkan politik Mesir.

Kalau ada dalam kalangan kita hanya melihat Morsi sebagai Anwar lalu kita bergembira kerana Morsi jatuh, sebagai menempelak Anwar, itu adalah pemikiran yang terjajah oleh Amerika. Tidak semua perkara yang berlaku di dunia mesti dilihat dalam konteks politik tempatan yang sempit. Morsi  seorang yang berfahaman sederhana dan mendokong Islam yang diruntuhkan oleh Mubarak. Pemimpin begini tidak disukai oleh Amerika. Adakah kita juga sependapat dengan Amerika yang menganggap rampasan kuasa itu menunjukkan kegagalan Morsi?