Sunday, June 23, 2013

Anwar gagal, penyokong sudah bosan

Syukur alhamdulillah kerana orang ramai sudah tidak terpengaruh dengan Anwar Ibrahim untuk buat kacau dalam perhimpunan haram petang tadi. Penganjur menjangka kehadiran setengah juta orang tetapi yang datang tidak sampai 20 ribu orang. Kenapa sambutan begitu mengecewakan? Jawapannya penipuan Anwar bahawa ada penipuan dalam PRU 13 tidak berhasil. Ini  meninjukkan sambutan terhadap arahan Anwar semakin tidak diikuti.

Salah satu sebab utama sambutan sangat jauh daripada sasaran adalah faktor Pas. Kini terdat dua golongan dalam Pas. Satu yang menyokong cara tak bertamadun Mat Sabu dan satu lagi cara bertamadun Harun Taib dan Menteri Besar Kelantan. Golongan yang selari dengan Mat Sabu tidak banyak berbanding mereka yang memilih untuk menerima kekalahan secara bermaruah dalam pilihan raya.

Perhimpunan haram ni boleh dikatakan tidak disertai oleh Pas. Walaupun ada Haji Hadi tetapi merrka yang memilih untuk tidak sertai perhimpunan lebih ramai. Keadaan ini berlaku kerana Pas sudah mulai menolak PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang. Sejak sebelum pilihan raya lagi banyak isu yang membuatkan Pas tercabar dengan PKR dan DAP. Memang ada orang Pas yang menyertai perhimpunan haram ini tetapi jumlahnya kecil.

Ini menunjukkan sudah berlaku perubahan yang ketara dalam Pas. Keadaan ini membimbangkan Anwar kerana kekuatan pakatan untuk mempengaruhi orang Melayu adalah dengan adanya Pas. Kalau Pas keluar dari pakatan pembangkang, sebahagian besar penyokong PKR akan menyokong Pas. Sepatutnya Anwar sudah membawa isyarat bahawa pengaruh dia mengajak orang buat perhimpunan haram sudah mengecut.

Anwar memang seorang pelawak yang bertaraf badut pencen. Untuk menyembunyikan kekecewaan, dia mengaitkan kehadiran yang sedikit itu dengan keadaan jerubu melanda Kuala Lumpur. Kalau benarlah kerana jerubu, maknanya semangat mereka yang hendak berhimpun sangat kecil dan tidak tahan ujian. Baru jerubu sudah mengalah, macamana nak berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air?

Maka kita perlu bersimpati dengan Anwar kerana mendapat penyokong yang penakut. Merrka sanggup membiarkan Anwar kecewa di Padang Merbuk hanya kerana jerubu. Kalau hendak tahu, budak sekolah di Kuala Lumpur tetap pergi sekolah. Alahai Anwar. Kalau nak kelentong pun biarkan cerdik sikit. Kenyataannya perhimpunan gagal dan yang menggagalkan adalah Anwar. Penyokong sudah hilang kepercayaan kepada Anwar.

Saturday, June 22, 2013

DBKL double standard

Tadi, ketika saya melewati jalan di depan Masjid Negara hingga jalan susur ke Bukit Aman, kelihatan  kaki lima penuh dengan gerai menjual baju T perhimpunan haram Blackout yang akan diadakan petang ini. Setahu saya perhimpunan ini diadakan secara haram oleh puak Anwar Ibrahim. Persoalannya kenapa DBKL  yang sebelum ini begitu galak merampas gerai  yang didakwa tidak berlesen memejam mata?

Adakah ini bermakna pihak DBKL serta Menteri Wilayah Persekutuan menyokong perhimpunan haram hari ini? Kalau DBKL bertindak menghalang gerai haram itu diadakan sudah tentu tidak ada gerai yang menjual baju T blackout. Atau DBKL termasuk Datuk Bandarnya serta Menterinya sekali memang bacul kerana takut untuk mengambil tindakan kepada puak ini.

DBKL tidak berlaku adil kepada orang miskin yang terpaksa menjaja di gerai yang tidak ada lesen. Mereka akan berdepan dengan tindakan dan gerai mereka yang menjadi tempat untik menyara keluarga dan memberi makan anak yang masih kecil dirampas secara kejam oleh DBKL. Tetapi ketegasan itu tidak ditunjukkan kepada peniaga haram ang bukan berniaga untuk menyara keluarga pada hari ini.

Selepas ini kalau gerai anda yang menjadi tempat untuk mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga, tiba tiba didatangi oleh para penguatkuasa DBKL, anda tenang mereka. Anda kena melawan kerana mereka tidak berkerja dengan adil apabila memejam mata dan tidak berani bertindak ke atas peniaga haram hari ini. Semua ini memberikan gambaran bahawa golongan tidak ada kuasa seperti penjaja kecil sering dijadikan mangsa untuk menunjukkan bahawa DBKL menjalankan tugas.

Tetapi sebenarnya mereka tidak berlaku adil dan semua ini dibuktikan pada hari ini apabila gerai gerai haram dibiarkan begitu sahaja. Di mana keadilannya?  Sudah tentu Menteri Wilayah mengarahkan Datuk Bandar dan Datuk Bandar mengarahkan Ketua Pengarah DBKL supaya jangan buat apa apa kepada peniaga haram ini.



Thursday, June 6, 2013

Apa sumbangan Michelle Yeoh?


Apakah merit pelakon Cina dari Ipoh, Michelle Yeoh dilantik sebagai  mentor  Satu Malaysia Untuk Belia (saya agak meloya untuk menulis 1Malaysia For Youth – 1M4U)?  Itulah yang menjadi topik perbahasan  dalam banyak blog yang prihatin terhadap negara ini.  Mereka bertanya dengan jujur, siapakah Michelle Yeoh hingga menjadi ikon untuk membanteras jenayah di negara ini?

Sebenarnya pelakon Cina dari Ipoh ini tidak ada merit untuk menjadi ikon Satu Malaysia Untuk Belia. Perdana Menteri Najib Razak sekali lagi membuat perhitungan silap selepas menganjurkan konsert  penyanyi Korea di Pulau Pinang untuk memikat pengundi Cina.  Malah kali ini lebih buruk lagi,  sebabnya orang masih ingat bagaimana pelakon Cina ini menyatakan sokongan kepada BN hampir PRU13 yang lalu.

Najib tidak dapat mengalih  persepsi umum bahawa pelantikan  pelakon Cina ini ada kaitan dengan sokongan kepada BN. Tetapi siapakah  dia dalam konteks pembanteras jenayah dan ikon belia di negara ini?  Pelakon Cina ini tidak ada sumbangan kepada negara ini walaupun menjadi pelakon di Hollywood.

Maka jangan salahkan kalau orang berkata, “balik-balik Michelle Yeoh, macam tak ada orang  lain. Dulu ikon kempen membaca pun Michelle Yeoh juga.”  Kalau menganggap golongan artis sahaja yang boleh menarik minat belia,  banyak lagi artis yang memberi sumbangan menaikkan nama negara yang boleh diberi tugas.

Michelle Yeoh jadi pelakon Hong Kong kemudian Hollywood tidak ada kena mengena dengan Malaysia. Hanya kebetulan dia dilahirkan di Ipoh, Perak dan Perak itu sebuah negeri dalam Malaysia. Itu sahaja. Tetapi penampilan Michelle Yeoh di luar negara tidak membawa imej Malaysia.

Cuma sesetengah pihak sahaja yang  bangga tidak tentu arah bila ada orang Malaysia jadi pelakon Hollywood. Padahal  itu hanya kejayaan peribadi dan tidak disumbangkan sedikit pun untuk menaikkan imej negara.  Michelle Yeoh berlakon filem Hong Kong sebagai seorang Cina di Hong Kong.  Dia berlakon filem James Bond pun bukan watak orang Malaysia.  Jadi, apakah yang hendak dibanggakan sangat?

Tahun depan pelakon Cina ini berlakon filem sequel  Crouching Tiger, Hidden Dragon 2. Ini sebuah filem Hong Kong yang kaya dengan budaya dan tamadun Cina di China.  Khabarnya Michelle Yeoh akan mengusahakan  sebahagian penggambaran filem itu dibuat di Malaysia. Sebenarnya tidak perlu.

Dunia tidak kenal Malaysia hanya dengan menjadi lokasi penggambaran filem dari luar. Sama sekali tidak. Sebelum ini ada menteri membuka pintu negara kepada kru filem dari India kononnya dengan  pemilihan Malaysia sebagai lokasi penggambaran, negara ini akan terkenal. Itulah otak menteri dangkal.

Filipina dan Sri Lanka  lebih banyak dari Malaysia menjadi lokasi penggambaran filem Hollywood yang menggambarkan Vietnam dan Kemboja.  Tetapi adakah kedua-dua negara itu terkenal di persada dunia  seperti Malaysia yang terkenal kerana kehebatan Dr. Mahathir?

Jadi, kalau ada kru penggambaran dari Hong Kong datang,  tidak usahlah melayan seperti raja. Mereka tidak menyumbangkan apa-apa kepada negara ini. Sama juga dengan Michelle Yeoh yang tidak beri sumbangan apa-apa tetapi  diberi penghormatan  demi penghormatan bertaraf negara.



Sikap pengasingan orang Cina


PILIHAN Raya Umum Ke 13 (PRU-13) yang lalu memperlihatkan polarisasi kaum Melayu dan Cina yang begitu jelas. Ini adalah hakikat yang mesti diterima dengan hati terbuka selepas sekian lama dimomokkan bahawa hubungan kaum berada pada tahap yang terbaik.

Daripada PRU-13, jelaslah Melayu dan Cina bergerak pada dua landasan selari, yang mungkin tidak akan bertemu di hujungnya. Dari sudut politik PRU-13 memperlihatkan majoriti pengundi Cina menolak untuk bersama-sama Melayu dalam Barisan Nasional (BN) yang dalamnya ada MCA yang mewakili Cina.

Statistik menunjukkan parti berteraskan kaum Cina, DAP mendapat 38 kerusi Parlimen tetapi MCA hanya tujuh kerusi Parlimen berbanding PRU-12 MCA mendapat 15 kerusi Parlimen. Statistik ini menunjukkan majoriti pengundi Cina menolak MCA kerana bergabung dengan parti Melayu, UMNO dan India menerusi MIC. Jadi, pengundi Cina bukan menolak MCA tetapi BN yang ada kaum lain dalamnya. Ini dari sudut politik.

Keputusan PRU-13 juga boleh digunakan sebagai penanda aras untuk melihat kesediaan Cina menyerapi semangat perpaduan dengan kaum yang menjadi teras iaitu Melayu. Hakikatnya perpaduan tidak berlaku dan orang Cina sebahagian besarnya tidak mahu menyerapkan pemikiran sosio-etnik mereka dengan kaum teras ini.

Sebahagian besar Cina memilih pengasingan atau mengasingkan diri dari menerima sosio-budaya dan sosio-etnik Melayu. Pengasingan ini berlaku secara besar-besaran apabila melihat pengaruh DAP dalam politik Malaysia. Persoalannya bukanlah mempertikaikan jumlah kerusi Parlimen DAP tetapi kenapa orang Cina memilih mengasingkan diri dengan kaum teras?

Mereka adalah warganegara, sama seperti orang Melayu, India dan pribumi di Sabah dan Sarawak. Cuma bezanya mereka mempunyai nenek moyang dan akar keturunan di China. Sementara orang Melayu pula nenek moyang dan akar budaya mereka di Nusantara termasuk negara ini.

Kita tidak dapat menafikan sejarah silam abad ke 19 dan awal abad ke 20 dulu nenek moyang kaum Cina yang ada di negara ini sekarang datangnya dari China. Pada awal abad ke 19, berlaku pergolakan politik yang hebat di China dan etnik Han yang menjadi majoriti di negara itu mencari tempat lain yang lebih aman serta dapat menambah kekayaan.

Etnik Han di utara China mencari penempatan baharu dan kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kaya dan bangsawan. Mereka tidak boleh lagi meneruskan hidup dengan mewah akibat ditekan oleh Manchuria serta peperangan dengan Jepun atau Sino-Japanese War. Etnik dari utara ini memilih untuk berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.

Sementara etnik Han di selatan pula memilih Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu. Tetapi hasrat mereka berhijrah dengan etnik di utara berbeza. Mereka berhijrah untuk mencari kekayaan dan bukan untuk menetap di Tanah Melayu pada mulanya. Mereka berhasrat untuk pulang ke China suatu masa nanti dengan membawa kekayaan yang diraih di Tanah Melayu.

Seorang anak muda Cina, Tai Zee Kin menerusi laman sosial Facebooknya berhujah mengenai perkara yang sama; kenapa nenek moyangnya yang berhijrah ke Tanah Melayu tidak mahu menyerapi sosio-budaya kaum teras seperti mereka menerima sosio-budaya Barat di AS dan Eropah.

Tai Zee Kin berasal dari Sungai Petani, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Kemudian melanjutkan pengajian di Kolej Taylor di Subang Jaya dan seterusnya di King College di London.

Anak muda ini sangat rasional melihat konflik yang berlaku dalam masyarakat Cina negara ini dalam konteks pengasingan dan penolakan daripada menerima sosio-budaya tempatan. Penolakan inilah yang diperjelaskan menerusi PRU13 yang baru lalu.

Tulisnya, nenek moyang mereka yang berhijrah dari Tanah Besar ke negara lain berpegang kepada falsafah Ru Xiang Sui Su yang bermaksud apabila berada di sesuatu tempat sesuaikan diri dengan budaya dan sosial di tempat baharu itu. Inilah yang dilakukan oleh nenek moyangnya yang berhijrah ke AS dan Eropah.

Tai Zee Kin mendedahkan, orang Cina di AS sanggup menukar nama menggunakan nama Kristian, belajar di sekolah Inggeris dan tidak ada sekolah vernakular. Begitu juga Cina di negara-negara Eropah yang menyerapi budaya Eropah. Orang Cina di sana menyesuaikan diri dengan cepat serta menerima nilai-nilai tempatan dalam kehidupan di sana.

Tetapi falsafah Ru Xiang Sui Su tidak diamalkan oleh nenek moyang yang berhijrah ke Tanah Melayu. Menurutnya, ini disebabkan tujuan datang ke Tanah Melayu bukanlah untuk tinggal selama-lamanya. Mereka hanya singgah dan akan pulang setelah mendapat kekayaan untuk diberikan kepada sanak saudara di China. Kerana tidak berhasrat untuk menetap dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara mereka, nenek moyangnya tidak mahu menyerap dalam budaya setempat. Mereka memperjuangkan bahasa etnik Cina, mempertahankan nilai-nilai kecinaan untuk membuktikan kepada sanak saudara di China bahawa akar budaya mereka tetap utuh walaupun di mana berada.

Sebab itulah tidak ada di mana-mana negara yang mewujudkan sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini. Malah di Singapura yang dianggap negara yang majoritinya Cina dan dipimpin oleh Cina tidak ada sekolah vernakular. Soalnya apakah sebahagian besar generasi Cina sekarang ini masih menganggap mereka hanya singgah di negara ini dan mempunyai negara lain untuk menetap?

Sekolah Tinggi Foon Yew di Johor menjadi perintis sekolah vernakular di negara ini yang kemudiannya menerbitkan surat khabar Cina pertama, Kwong Wah Jit Poh pada 1910 yang diasaskan oleh Sun Yat Sen.

Orang muda seperti Tai Zee Kin melihat dengan pandangan terbuka, antara akar budaya dan kenyataan semasa Cina di negara ini. Pandangan ini tentunya jauh berbeza daripada majoriti pengundi Cina yang memperlihatkan pengasingan dan menolak penyerapan budaya tempatan apabila memilih DAP.

Tulis Tai Zee Kin, “Saya belajar di sekolah Melayu tetapi lebih tahu tentang budaya Cina, sejarah dan ilmu berbanding mereka yang belajar di sekolah Cina."

Mengenai kewujudan Pekan Cina atau China Town di bandar-bandar besar di AS atau Eropah, menurut Tai Zee Kin bertujuan mengekalkan akar budaya dan sosio-etnik Cina dalam kalangan mereka yang berhijrah ke negara berkenaan.

Tetapi beliau mempersoalkan keperluan mewujudkan China Town di Jalan Petaling Kuala Lumpur. Hujahnya, hampir semua bandar di negara ini, tidak kira besar atau kecil adalah “China Town."

“Kenapa perlu ada China Town lagi? Di Banyak jalan di Pulau Pinang atau jalan-jalan di Kuala Lumpur seperti Serdang atau Puchong mengatasi China Town di London," soal anak muda Cina ini lagi.

Hujah-hujah yang dilontarkan oleh Tai Zee Kin mewakili orang Cina yang berfikiran terbuka dan realistik terhadap keadaan sebenar di negara ini. Maka sokongan majoriti pengundi Cina kepada DAP boleh dilihat sebagai melangsungkan impian nenek moyang yang tidak mahu menyerapi sosio-budaya setempat dan negara ini hanya persinggahan. Ini bukan lagi soal politik tetapi dilema orang Cina sendiri antara pesanan nenek moyang dan realiti sosial di negara yang menadah kelahiran mereka.