Sunday, April 29, 2012

Pak Samad tak menyokong ganas


Pada perhimpunan haram Bersih yang diadakan semalam, Pengerusi Bersama A. Samad Said seperti “tidak ada.” Seorang lagi pengerusi ialah bekas Presiden Majlis Peguam, S. Ambiga pejuang seks bebas di negara ini.
.
Kenapa Pak Samad tidak berada di barisan depan seperti tahun lalu bersama Ambiga dan Anwar Ibrahim memberikan sidang media? Kenapa kali ini Pak Samad meminggirkan diri dan dia duduk di jejambat berdekatan Masjid Jamek sahaja?
.
Melihat gambar dalam portal berita di mana Pak Samad duduk dan di sisinya seorang anggota polis, saya melihat keadaan Pak Samad yang “serba-salah” terlibat dengan gerakan ganas itu. Saya kenal lama dengan Pak Samad, beliau seorang yang tidak mudah marah-marah.
 .
Pak Samad kerapkali menjawab soalan panas mengenai dunia sastera sebelum ini dengan senyum. Kata-katanya teratur dan tidak mengguris hati orang yang ditujukan kata-kata itu. Saya percaya Pak Samad tidak pernah berubah menjadi ganas dan pemarah selari dengan gerakan Bersih ini.
 .
Kepada Ambiga dan Anwar Ibrahim, sudah-sudahlah memperalatkan Pak Samad untuk menunjukkan gerakan ini melampaui batas politik tetapi gerakan rakyat. Hakikat yang tertonjol pada Sabtu lalu Bersih adalah gerakan politik. Mana wakil NGO yang dikatakan menggerakan Bersih? Tetapi yang kita lihat adalah pemimpin politik.
 .
Saya sangat percaya kalau Pak Samad tahu perusuh Bersih melompat dan memecahkan kereta polis, membelasah polis yang bukan musuh mereka, Pak Samad tidak akan menyokong sama sekali. Saya tahu jiwa Pak Samad walaupun beliau didewasakan oleh persekitaran perang.
 .
Malah saya sangat percaya Pak Samad yang tidak pernah menanjingkan orang lain akan membantah apabila perusuh memanggil anggota polis yang berkawal sebagai anjing. Kalau Pak Samad berada di situ, beliau tentu sangat kecewa.
 .
Pak Samad boleh kritik kerajaan malah mana-mana pemimpin kerajaan yang berperangai buruk, perasuah dan menyalahguna wang rakyat. Saya orang pertama yang akan menyokong Pak Samad. Tetapi untuk membawa Pak Samad bersekongkol dengan keganasan seperti semalam, saya fikir Pak Samad ada pendirian sendiri.
 .
Saya sangat gembira kerana Pak Samad tidak berucap dan menghasut perusuh supaya melakukan apa sahaja seperti kata Anwar dan Ambiga untuk menawan Dataran Merdeka. Saya percaya ini mungkin pendirian Pak Samad kerana mustahil beliau tidak diberi peluang berucap kerana kedudukannya sebagai Pengerusi Bersama.
 .
Terima kasih Pak Samad. Pendirian ini membuatkan saya sangat terharu. Saya sama sekali tidak menyekutukan Pak Samad dengan segala kebiadapan dan keganasan kepada orang yang tidak berdosa dalam perhimpunan haram semalam. Saya tidak prasangka buruk sekalipun Pak Samad hadir pada perhimpunan itu.

Wednesday, April 25, 2012

Saya, rakan-rakan dan Pak Samad

Tulisan saya dalam buku Pak Samad Di Mata Kami terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengenai Sasterawan Negara A. Samad Said mengundang rasa kurang senang kalangan rakan-rakan penyokong tegar UMNO dan pembangkang.

Apabila semakin hampir dengan pilihan raya umum, penyokong tegar parti akan bermimpi atau melatah hal-hal parti sahaja. Mereka menterjemah semua perkara dalam erti kata politik semata-mata.

Saya antara 30 orang yang diundang menulis oleh Rahimidin Zahari yang menyelenggara buku ini. Ia sebagai apresiasi terhadap Pak Samad sebagai sasterawan besar sempena ulang tahun kelahiran ke 77 pada 9 April lalu.

Saya menulis mengenai pengalaman mengikuti kerjaya Pak Samad hinggalah menjadi antara rakan bualnya di Pasar Budaya. Dalam tulisan itu juga saya meluahkan kekecewaan apabila Pak Samad menjadi teraju perhimpunan haram Bersih 9 Julai tahun lalu.

Bagi saya Pak Samad tidak wajar berada di situ yang pentasnya telah dikotori politik. Saya fikir saya wajar menyuarakan demikian. Saya tidak pasti apa reaksi Pak Samad tetapi saya percaya Pak Samad dapat menerima sekalipun tidak setuju.

Bagi rakan kalangan penyokong tegar UMNO mereka bertanya kenapa saya menulis yang baik-baik tentang Pak Samad yang telah menyokong pembangkang? Mereka tidak melihat dunia kesusasteraan yang lebih tebal membaluti Pak Samad berbanding politik.

Anehnya mereka juga tidak membaca teguran dan kekecewaan saya apabila Pak Samad sertai perhimpunan Bersih itu. Saya tegaskan, setiap orang bebas menganuti fahaman politik masing-masing asalkan yang tidak diharamkan oleh undang-undang.

Tetapi bagi mereka tulisan yang baik-baik tentang tokoh bukan UMNO akan memberi pengiktirafan dan sokongan kepada pembangkang. Ironinya mereka tidak mengenali Pak Samad sebagai sasterawan kerana imej politik lebih tebal dan sering dikaburi persepsi.

Sementara rakan-rakan kalangan penyokong tegar pembangkang pula kecewa kerana saya mengkritik penglibatan Pak Samad dalam Bersih. Kata mereka, sepatutnya saya berfikiran terbuka dan menerima itu sebagai satu perjuangan Pak Samad untuk mendemokrasikan sistem pilihan raya kita.

Sebenarnya ayat-ayat yang mereka hamburkan itu sangat klise dan mengulang kata-kata pemimpin mereka yang tidak ditapis oleh kewarasan.

Disebabkan saya bukanlah orang yang menutup kewarasan terhadap percanggahan fahaman politik, tindakan mereka sedikit pun tidak menyinggung perasaan. Biarlah Pas atau UMNO, semuanya kawan.

Cuma pengalaman ini memberitahu saya tentang kefahaman politik yang sempit menguasai sebahagian besar daripada kita. Walaupun tulisan saya itu saksama rupa-rupanya tuntutan politik bukanlah kesaksamaan tetapi berat sebelah. Ini pengajaran baru kepada saya.


Saturday, April 21, 2012

Apa agenda DBKL?

Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  menegaskan  bahawa Dataran Merdeka hanya digunakan untuk acara-acara yang bertaraf nasional seperti Hari Kebangsaan dan sebagainya.  Jawapan itu diberikan kepada  NGO  Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang meminta kebenaran untuk mengadakan  perhimpunan membantah seks bebas atau LGBT.

Permohonan itu ditolak kerana tidak “sesuai”  dengan dasar DBKL yang hanya memberikan kebenaran menggunakan Dataran Merdeka untuk acara bertaraf nasional.  Pada masa yang sama  DBKL  tidak berbuat apa-apa terhadap  budak-budak  yang memprotes PTPTN berkhemah di Dataran Merdeka.  Malah  Perhimpunan  Bersih 3.0  Sabtu ini juga akan diadakan di Dataran Merdeka.

Barangkali kedua-dua  acara itu bertaraf nasional,  maka sebab itulah DBKL  tidak menghalang  walaupun secara  tersuratnya tidak memberi kebenaran.  Kalau tidak percaya tunggulah Sabtu ini  adakah  Dataran Merdeka  kosong atau dipenuhi manusia berbaju kuning  yang membuat perhimpunan haram.

Inilah alasan yang paling bahlul pernah dikeluarkan oleh DBKL.  Kita boleh melihat dengan mata dan kepala sendiri  bahawa  JMM itu membuat sesuatu yang baik untuk membanteras  LGBT tetapi permohonan yang beradab itu ditolak.   Lain  kali jangan beradab sangat dengan pihak yang  tidak beradab.

Kalau rasa hendak menggunakan Dataran Merdeka,  redah sahaja.  Alasannya  orang buat khemah di Dataran Merdeka  hanya main redah sahaja. Tak ada siapa yang mengusir  atau menerajang mereka. Begitu juga perhimpunan haram Bersih 3.0  Sabtu ini bukannya ada kebenaran DBKL.

Sunday, April 15, 2012

Terengganu dan pelestarian budaya

TANPA riuh seperti umpama ayam yang telor sebiji riuh sekampung, Terengganu mempunyai cara tersendiri untuk menyerlahkan seni dan budaya Melayu serta melestarikan keunggulan Islam di negeri itu. Ketika desakan supaya papan tanda dan nama bangunan dalam bahasa Melayu, Terengganu melangkah setapak ke depan. Bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu di papan tanda malah memberi kedudukan istimewa tulisan jawi termasuk di papan iklan di seluruh Terengganu.

Kepada mereka yang pernah bertandang ke negeri ini, tentunya dapat merasai kelainan apabila tulisan jawi begitu dominan di papan iklan. Bukan sahaja bertulisan jawi malah gambar model wanita di papan iklan juga bertudung. Misalnya pelakon Rozita Che Wan selalu "diseksikan", di papan iklan di Terengganu dia sopan dan bertudung litup.

Semua ini menunjukkan Terengganu bukanlah sekadar keropok lekor atau kain sutera di Pasar Payang sahaja. Terengganu jauh ke depan dari aspek pelestarian budaya dan agama. Tanpa riuh dengan slogan "Membangun Bersama Islam" atau "Kota Bahru Bandar Raya Islam" seperti dilaungkan di Kelantan, Terengganu melakukan pelestarian sejak dulu lagi sudah tentu tidak ada kena mengena dengan politik semasa.

Di Kuala Lumpur atau bandar-bandar lain di Selangor misalnya, perlaksanaan undang-undang kecil menjurus kepada memartabatkan bahasa Melayu sangat rendah. Undang-undang memang ada tetapi kalau tidak ikut pun tidak mengapa. Nama-nama bangunan atau nama premis perniagaan berselang seli dengan bahasa Inggeris atau Perancis. Alasannya nama Melayu tidak ada nilai dagang di Kuala Lumpur. Dalam undang-undang kecil, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh diambil tindakan tetapi dibiarkan begitu sahaja.

Kenapa di Terengganu tulisan jawi boleh digunakan di papan iklan tetapi di tempat lain seolah-olah tidak boleh? Kenapa Terengganu boleh menguatkuasakan peraturan menghalang apa sahaja yang bertentangan dengan Islam tetapi di tempat lain tidak boleh? Walaupun bukan diterajui Pas, Terengganu melarang pertunjukkan konsert artis lelaki dan perempuan. Ini membuktikan bukan negeri Pas saja yang Islamik.

Larangan ini sebenarnya sesuai dengan tamadun Islam yang dimiliki Terengganu. Semua pihak menghormati larangan ini kerana ia bukan membawa maksud kolot atau anti kemodenan. Buktinya konsert Jom Heboh yang selalunya sendat dengan hiburan hedonisme tetapi di Kuala Terengganu kelihatan tertib dan tidak segan untuk disaksikan "oleh seisi keluarga."

Ini bukan faktor Pas. Sebabnya Pas hanya menerajui negeri ini hanya satu penggal sahaja dan selebihnya oleh Barisan Nasional (BN) dan sebelum itu Perikatan. Ini faktor asas yang dibina oleh pemimpin terdahulu terlalu kuat untuk digoyah atas alasan kepentingan politik mana-mana pihak sekalipun.

Kerana itu Terengganu boleh dirujuk hal-hal yang berkaitan dengan citra seni dan budaya Melayu serta keunggulan Islam. Perlaksanaan dilakukan tanpa riuh rendah penuh retorik. Sebabnya ia keperluan rakyat bukan kepentingan politik.

Di pusat bandar Kuala Terengganu, majoriti premis perniagaan adalah milik orang Melayu. Dengan menggunakan tulisan jawi dan bahasa Melayu, terasa semacam satu keanehan apabila banyak bandar-bandar besar di tempat lain dimonopoli oleh bukan Melayu. Tanpa mengenepikan kaum lain, di Kuala Terengganu ada sebuah penempatan Cina yang dipanggil Kampung Cina.

Penempatan ini lebih kurang seperti Jalan Petaling di Kuala Lumpur tetapi jauh lebih terjaga citra budayanya oleh PBT. Hasilnya Kampung Cina adalah salah satu tempat tumpuan pelancong terutama dari China untuk melihat ciri-ciri seni dan budaya Cina yang terpelihara di negeri tersebut. Ia berbeza dengan Pekan Cina Jalan Petaling yang lebih cauvinis Cina sifatnya.

Kuala Terengganu bebas sama sekali dari rumah urut, pusat hiburan atau pusat judi. Semua ini tidak "dihalalkan" dalam erti kata dilesenkan seperti di negeri-negeri lain terutama Kuala Lumpur dan Selangor. Kenapa Terengganu boleh tetapi negeri lain kelihatan sangat liat untuk membanteras segala rumah urut dan pusat judi? Sebenarnya semua ini terletak kepada iltizam pemimpin sama ada mahu atau tidak mahu atau buat ala kadar sahaja seperti berseleraknya rumah urut di Selangor.

Tuesday, April 10, 2012

Pengaruh seorang Pramoedya

TETRALOGI Buru karya Pramoedya Ananta Toer semasa menjalani tahanan tanpa bicara di Pulau Buru adalah sejarah penting abad ke-20 di Nusantara. Empat karya dalam tetralogi ini dibahaskan oleh para sarjana di seluruh dunia. Empat karya fiksyen sejarah itu ialah Bumi Manusia (1980), Anak Semua Bangsa (1980), Rumah Kaca (1988) dan Jejak Langkah (1985).

Tetralogi ini menjadi hasil terbesar lagi berpengaruh untuk menguak sejarah kesusasteraan sebuah bangsa di Asia Tenggara pada abad ke-20 dengan segala macam kompleksiti.

Sumbangan besar tetralogi Buru kepada kesusasteraan adalah seluruh sejarah Indonesia dan kehidupan Pramoedya dituangkan di situ. Malah kesusasteraan juga yang menghantar Pramoedya sebagai ikon sejarah sosial yang penting pada abad lalu apabila haknya sebagai manusia diambil secara yang amat biadab.

Tanpa diberi hak untuk mendapat pengadilan, dia dihumban dalam tahanan selama tiga dekad. Tetapi berakhir era kekuasaan Order Baru Suharto, hukuman terhadap Pramoedya diringankan. Dari tahanan di Pulau Buru, Pramoedya ditahan di rumah. Demikianlah seorang tua hanya berbekal pena dan kertas menjadi manusia yang kononnya paling bahaya kepada negara.

Biar pun tetralogi Buru membawa kesusasteraan Indonesia menyeberangi sempadan politik dan geografi dunia, di negara sendiri karya itu diharamkan era Suharto. Penulisnya menghabiskan tiga dekad usia di dalam buangan. Hadiah itu sangat berharga. Semuanya tidak lain kerana novel-novel Pramoedya yang sangat berpengaruh dan dibimbangi membuka pemikiran rakyat untuk bangun bertanya tentang hak mereka. Lalu sasterawan ini cukup bahaya kepada `bangsa dan negara'.

Order Baru memusuhi orang cerdik pandai dan sastera adalah antara wadah yang boleh mencerdik serta membuka tempurung kejumudan yang diserkup ke kepala rakyat. Selepas jatuhnya Suharto di tangan anak-anak muda, hukuman tanpa bicara terhadap Pramoedya terbubar. Dengan derita sebagai manusia buangan yang tidak tergambar, sastera terus mendampingi Pramoedya.

Suharto melabelkan Pramoedya sebagai penganut Marxisme dan Leninisme. Apa lagi beliau orang kuat Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra) yang awal- awal lagi dikatakan wadah komunisme pada zaman rejim Sukarno. Rupa-rupanya sastera dan sasterawan juga ditakuti. Tanpa pengaruh kesusasteraan, Pramoedya barangkali tidak begitu digeruni sekali gus menjadi penyebab penyiksaan yang diwajarkan di Pulau Buru.

Sebahagian daripada warga di negara ini mengenali Pramoedya menerusi Keluarga Gerilya. Inilah novel yang suatu ketika dulu menjadi teks sastera di sekolah menengah di negara ini. Pemikiran dan perjuangan dikaji baik dari pendekatan formalisme, strukturisme atau semiotik. Tetapi Keluarga Gerilya hanya cacatan kecil berbanding sekian banyak novel selepas itu terutama tetralogi Buru.

Abad ke-20 di Indonesia terbukti mencatatkan pengaruh sastera telah diperakui status kekuatannya dalam masyarakat. Sasterawan diperhatikan gerak geri, nada suara dan patah bicara. Nah, dalam ketidakyakinan terhadap sastera, ini tentunya suatu yang paling menggembirakan apabila Order Baru prihatin terhadap liuk lintuk sastera.

Sastera juga ada pengaruh yang luar biasa dalam peralihan Order Lama Sukarno kepada Order Baru. Kerana itu Asia Tenggara wajar berbangga mempunyai seorang `Pramoedya' yang terus percaya kepada prinsipnya sejak tiga dekad lalu. Ternyata bagi seorang sasterawan, hukuman seberat di Pulau Buru bukanlah alasan untuk dia mengubah prinsipnya.

Sasterawan Ernest Hemingway dalam novel Old Man And The Sea menulis; manusia boleh dibunuh tetapi tidak mungkin dapat dihancurkan pengaruhnya. Pramoedya membuktikan kata-kata itu.


Monday, April 9, 2012

Seorang Tua Di Kaki Gunung

Petang ini selepas 30 tahun saya membaca kembali novel Seorang Tua Di Kaki Gunung karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Novel ini saya beli daripada rakan saya wartawan Berita Harian, Nazmy Yaakob semasa acara baca puisi di Rumah Pena Jumaat lalu (6 April 2012). Sudah lama saya mencari kembali novel-novel lama terutama terbitan DBP tetapi sukar ditemui.

Pertama kali membaca pada 1982 ketika saya masih remaja dan tidak mampu lagi membaca subtext kecuali cerita di lapisan permukaannya sahaja. Tetapi petang ini saya habis membaca dan nikmatnya ternyata jauh lebih tinggi kerana melihat dari sudut pandangan yang berbeza berbanding masa remaja dulu.

Sangat terasa alam yang diperhalusi menerusi tulisan oleh Azizi. Kehidupan di kaki gunung menjadi watak penting kepada novel ini selain Tokya dan Mak Besah. Terasa kedinginan angin dari gunung dan pagi berkabus yang menyelubungi teratak Tokya.

Novel ini pernah diadaptasi menjadi drama televisyen kira-kira lebih sepuluh tahun lalu. Watak Tokya dilakon oleh Tamam Idris tetapi yang lain saya tak berapa ingat. Malangnya drama itu tidak mengangkat perwatakan alam semulajadi yang digambarkan Azizi. Sebaliknya lebih kepada jurang generasi antara Tokya dengan anaknya Fikri.

Saya membayangkan alangkah menariknya kalau ada penerbit filem yang mahu melabur dan pengarah filem yang boleh membaca subtext novel ini mengadaptasi menjadi filem. Daripada mengadaptasi novel-novel murahan sekalipun ada potensi menjadi filem popular, Seorang Tua Di Kaki Gunung adalah cabaran kepada siapa yang mahu mengarahnya.

Tetapi saya tidak fikir ada penerbit yang berminat dengan novel ini kerana banyak sebab, antaranya tidak sensasi, tidak ada lokasi kolam renang untuk mereka “membogelkan” pelakon wanita, tidak ada babak cinta macam Ombak Rindu dan akhir sekali tidak ada watak untuk menonjolkan pelakon wanita cantik jelita.

Kalau diadaptasi sekalipun novel ini tidak memberi peluang kepada pengarah untuk “melacurkan” pelakon wanita dengan babak ranjang. Tidak tahulah kalau watak Tokya dan Mak Besah berusia lebih 70 tahun itu diberi babak ranjang. Semuanya boleh berlaku kerana banyak otak pengarah dan penerbit filem kita telah dimasuki selut.

Pak Samad yang saya kenali

Berikut adalah salah satu daripada 30 tulisan dalam buku Pak Samad Di Mata Kami terbitan Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) sempena ulang tahun ke 77 Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Pada rembang Jumaat hari itu di depan Majlid Negara, Pak Samad, Allahyarham Hassan Ahmad bersama ribuan pejuang bahasa Melayu menyertai perhimpunan anti PPSMI, saya segera teringat novel Hujan Pagi (1987). Saya teringat kepada Lokman dalam novel itu. Kemudian saya seperti ternampak Lokman yang bukan lagi di alam bawah sedar tetapi benar-benar sedar di alam nyata di depan Masjid Negara. Rembang itu adalah kemuncak kemarahan pejuang bahasa Melayu terhadap dasar baru dalam sistem pendidikan kebangsaan yang mengembalikan bara puisi Keranda 152 karya Allahyarham Usman Awang. Hujan Pagi karya agung Pak Samad yang menyusuri alam bawah sedar Lokman yang memberontak terhadap sistem politik yang mengikat tangan dan mulut wartawan.

Di bawah langit Jumaat yang mulia itu saya melihat Lokman dalam Hujan Pagi telah bangun ke alam zahirnya. Hari itu Lokman bukan lagi menyampaikan berontak bawah sedar dan impian memaruahkan akhbar Hujan Pagi dari segala kuku besi politik. Saya melihat Lokman bersama ribuan yang lain melintas di depan saya. Pak Samad pula dulunya seorang lelaki yang banyak berdiam dan bersuara dalam puisinya sahaja. Kini beliau bersuara. Hari itu Pak Samad menzahirkan suara lantang Lokman dari Hujan Pagi.

Pak Samad tentunya sangat kecewa dengan UMNO yang tidak bersuara sepatah pun bagi mewakili orang Melayu. Maka di pentas pembangkang Pak Samad meluahkan marah yang lama terbungkam. Katanya, pilihlah apa sahaja asalkan bukan UMNO. Bukan Pak Samad sahaja yang marah, orang Melayu lain pun marah juga kecuali yang menjaga perut sendiri. Kalau diharapkan UMNO, PPSMI tentunya terus menjadi dasar pendidikan kebangsaan hingga hari ini. Kepada yang membaca Hujan Pagi dan melihat ketegasan Pak Samad menentang PPSMI, tentu sahaja teringat kepada Lokman. Kalau melihat dari teori psikoanalisis Sigmund Freud, Lokman mewakili suara jiwa Pak Samad, bukan sahaja latar wataknya seorang wartawan tetapi perjuangan menuntut kebebasan bersuara.

Semakin dalam menyelami Hujan Pagi, saya semakin kenal Pak Samad yang keras, tegas dan lantang dalam lembut yang penuh pesona. Kerana itu sejak dahulu lagi saya memilih Hujan Pagi sebagai karya agung Pak Samad. Saya tidak memilih Salina yang lebih banyak diperkatakan malah pernah diadaptasi ke pentas oleh Johan Jaaffar. Hujan Pagi membawa suara perjuangan Pak Samad yang lebih besar berbanding pengalaman peribadi melihat pergulatan sosial selepas perang yang dibanjiri perempuan kabaret dan pelacur. Tetapi saya agak malang kerana pertama kali mengenali karya Pak Samad pada tahun 1980 menerusi novel Langit Petang. Ketika itu saya seorang budak kampung, berkerja di sawah cuma lebihnya berbanding rakan-rakan sekampung ialah saya gemar membaca. Dari pembacaan itu saya bertemu dengan Langit Petang.

Semasa di sekolah saya tidak mengambil mata pelajaran sastera. Tetapi saya ada koleksi novel-novel hebat waktu itu seperti Keluarga Gerilya karya Pramoedya, Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin), Badai Semalam (Khadijah Hashim), Tulang-Tulang Berserakan (Usman Awang), Nyawa Di Hujung Pedang (Ahmad Murad Nasaruddin), Putera Gunung Tahan (Pak Sako), Sandera (Arenawati) dan juga Langit Petang (A. Samad Said). Saya membeli novel Langit Petang selepas membaca tentang pembikinan filem Langit Petang oleh Shahrom Mohd Dom. Pelakonnya Dharma Harun al-Rashid, Azean Irdawaty dan Mahmud June. Kalau tidak silap satu adegan filem itu dibuat di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia di Kuala Lumpur kerana Dharma yang berlakon watak Hafiz seorang wartawan sambilan.

Pertama kali membaca saya terkesan dengan lenggok bahasanya yang sangat aneh. Pembacaan saya pada awalnya kurang lancar kerana ia tidak seperti novel-novel yang saya baca sebelum ini. Selepas beberapa kali menghabisi Langit Petang, apa sahaja tentang Pak Samad menarik saya untuk membacanya. Saya membina gambaran sendiri tentang alam dan manusia dalam Langit Petang. Saya kerap juga bercerita kepada kawan-kawan tentang Langit Petang dan Pak Samad. Tetapi mereka kurang berminat kerana ketika itu majalah hiburan seperti URTV, Varia Pop dan beberapa lagi menjadi kegilaan remaja.

Maka apabila saya menonton filem Langit Petang tahun 1982 di Simpang Empat Theatre, sebuah panggung wayang berdinding papan dan beratap zink, berkerusi kayu, pada mulanya saya kecewa kerana gambaran saya dengan filem itu tidak sama. Gambaran saya terhadap Hafiz dan Zakiah penari kabaret dalam novel Langit Petang juga berbeza. Ketika itu saya belum tahu apa itu adaptasi yang mewajarkan perubahan dari karya asal kepada karya baru seperti filem Langit Petang.

Pada masa itu lagi saya berfikir filem Langit Petang seharusnya lebih kompleks dan tidak semudah Hapuslah Airmatamu atau Si Badul. Sebabnya novel Langit Petang bagi saya yang baru mengenal karya sastera adalah suatu yang kompleks. Hafiz adalah kekuatan Langit Petang. Akhirnya barulah saya tahu bahawa Hafiz itu mewakili Pak Samad yang juga seorang wartawan. Saya juga pernah terbaca luahan hati Pak Samad yang tidak begitu senang dengan filem Langit Petang. Tetapi itu adalah soal lain kerana Shahrom juga ada sudut pandangan baru yang hendak disuntik terhadap filem yang diadaptasi dari novel Langit Petang.

Kerana Langit Petang, Pak Samad menjadi sasterawan pertama yang melekat di ingatan saya. Ketika itu gambar Pak Samad di kulit belakang Langit Petang seorang lelaki kacak berkaca mata, berambut pendek tidak berjambang atau janggut. Tetapi apabila saya mula berkerja di Utusan Malaysia di Kuala Lumpur tahun 1984, wajah Pak Samad sudah berubah. Berjanggut panjang dan bermisai dan berkaca mata macam John Lennon dari kumpulan The Beatles.

Selepas saya datang ke Kuala Lumpur dan banyak hadir ke majlis-majlis sastera dan teater, hubungan dengan Pak Samad menjadi semakin rapat. Pada mulanya agak gusar juga tetapi di satu majlis perasmian pemeran lukisan di Menara Maybank, Pak Samad menegur dan menyebut nama saya.

Di pejabat, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin Maidin (kini Tan Sri) tahu saya selalu jumpa Pak Samad di Pasar Budaya mengarahkan saya mendapatkan kenyataan Pak Samad mengenai “mogok seni” pertengahan 1980-an. Esoknya terpampang gambar Pak Samad sambil menggalas beg kain warna biru dan berkata mata ala John Lennon di muka depan Utusan Malaysia. Saya rasa bertuah kerana turut terlibat dalam “mogok seni”, sekurang-kurangnya memberitahu rakyat tentang karenah birokrasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga Sasterawan Negara perlu melancarkan protes.

Ketika timbul kontroversi RTM mengharamkan penyanyi lelaki berambut panjang mengambil bahagian di RTM, Zainuddin sekali lagi meminta saya tanya Pak Samad. Ini kerana Pak Samad berambut panjang dan beliau hadir pada pelancaran album kumpulan rock Wings. Kata Pak Samad ringkas saja, “Biar rambut panjang tetapi jangan tangan panjang. Orang yang kerap mencuri duit rakyat bukan berambut panjang.”

Saya juga terpesona dengan naskhah teater Pak Samad, Wira Bukit yang diarahkan oleh Mior Hashim Manap di Auditorium DBKL akhir 1980-an. Saya hadir hampir setiap malam semasa pelakon-pelakon teater; Rahim Razali, Liza Othman, Hisham Ahmad Tajudin, M. Nasir, Pyanhabib berlatih. Saya mulai merasakan bara perjuangan Pak Samad menerusi watak Zuhdi (lakonan Rahim Razali) bekas nasionalis yang merantau ke Indonesia dan apabila negara merdeka, kepulangannya diragui dan dicerca. Sekadar makluman, ketika itu teater Malaysia belum lagi dicemari “sindrom komersial” yang melonggok artis-artis popular membuat “cat walk” di pentas.

Kepuasan menonton Wira Bukit sukar diulangi pada zaman ini. Kehebatan Wira Bukit juga sukar ditandingi. Kehebatan teater bukan berpaksi pada pentas yang mewah dan pelakon yang popular. Paksi teater adalah isi pemikiran dalam naskhah kemudian jatuh ke tangan pengarah yang mampu memahami pengarang dan dilakonkan oleh pelakon yang tahu berlakon. Sebabnya banyak juga yang perasan mereka pelakon teater tetapi tidak boleh berlakon. Kerana itu apabila ada yang mencadangkan Wira Bukit dipentaskan sekali lagi, saya pantas memotong, ”Tidak perlu.”Bold

Walaupun begitu Hujan Pagi lebih menyerlah diri, peribadi dan suara perjuangan Pak Samad untuk menuntut kebebasan dari belenggu politik sempit. Hujan Pagi sepatutnya menjadi rujukan wajib bagi semua wartawan supaya mempunyai kesedaran untuk keluar dari belenggu dan ikatan. Hujan Pagi membuktikan tahap karya sastera kita mampu mencapai taraf dunia.

Tetapi dalam sepinya karya baru, Pak Samad pula membuat cerita baru. Pak Samad mula bercakap tentang politik. Saya berasa seolah-olah ”kehilangan” Pak Samad ketika suara Pak Samad hampir senada dengan pemain-pemain boria di pentas politik. Kenapa begitu? Saya jadi binggung. Kerana itu apabila Pak Samad terlibat dalam perhimpunan haram 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur, saya jadi sangat kecewa. Saya memberitahu rakan-rakan, saya begitu sedih apabila melihat Pak Samad berbaju kuning diapit oleh Anwar Ibrahim dan bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan. Saya fikir Pak Samad tidak memerlukan kedua-dua mereka untuk bersuara. Sama sekali tidak perlu. Sebaliknya mereka memerlukan Pak Samad untuk menggambarkan kononnya golongan seniman juga menyokong mereka. Pada 9 Julai itu saya tidak melihat Pak Samad sebagai Lokman sepertimana saya melihatnya di depan Masjid Negara semasa perhimpunan protes PPSMI dulu. Harap Pak Samad tidak lupakan perjuangan Lokman dalam Hujan Pagi.


Thursday, April 5, 2012

Apabila BN terlalu yakin

Kalau kita menoleh menjelang PRU 12 pada 2008, tidak ada siapa yang percaya BN tergugat begitu teruk pada pilihan raya tersebut. Ini kerana keyakinan BN yang dilontarkan kepada rakyat terlalu tinggi dan seolah-olah tidak ada masalah langsung. Dalam PRU 12, BN kehilangan negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan gagal menggugat Kelantan di tangan Pas.

Tetapi yang banyak diperkatakan ketika itu ialah impian BN atau dalam kata lain bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk merampas Kelantan. Maka poster dan papan tanda wajah korporat Awang Adek berceracak di Kelantan sebagai “bakal Menteri Besar Kelantan.”

Seminggu sebelum PRU 12 ketika melawat beberapa kawasan di Kelantan, tidak ada siapa (orang luar Kelantan) yang percaya Pas boleh menang. Gelombang serangan BN kelihatan sangat kuat dan sudah pasti Awang Adek akan menjadi Menteri Besar sekaligus membungkus Pas. Tetapi bagi orang Kelantan mereka tidak melihat suatu yang luar biasa dan percaya Nik Aziz tetap terus menjadi Menteri Besar.

Tetapi semasa BN mahu merampas Kelantan, “penyakit” negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang langsung tidak timbul kecuali ditimbulkan oleh bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin tentang beberapa negeri akan kecundang. Penyakit BN di Selangor tidak sampai ke telinga Pak Lah dan sudah pasti yang disampai semuanya cantik-cantik belaka.

Begitu juga Perak dan Kedah. Pak Lah hanya mendengar cerita yang elok-elok dan beliau pun memanjangkan keyakinan BN dalam PRU 12 kepada rakyat. Ini bukan salah Pak Lah tetapi beliau tidak diberi maklumat yang betul oleh orang-orang BN sendiri terutama UMNO.

Tetapi bagi sesetengah pihak, tsunami yang meruntuhkan kuasa BN di lima negeri dan prestasi BN yang teruk adalah rahmat. Hujah mereka, sekiranya dalam PRU 12 BN menang besar, Perdana Menterinya bukanlah Pak Lah tetapi menantunya Khairy Jamaluddin yang memainkan peranan besar dalam pemilihan calon-calon terutamanya UMNO dalam PRU 12.

Menjelang PRU 13 yang dijangka Jun depan, BN sekali lagi memperlihatkan tahap keyakinan yang tinggi untuk mengambil balik negeri yang jatuh ke tangan pembangkang. Mengikut laporan media arus perdana, BN Selangor sudah siap sedia dan dengan mudah dapat mengambil Selangor dari pembangkang.

Tetapi rakyat tidak pula diberitahu kayu pengukur apakah yang digunakan untuk menentukan BN cukup kuat di Selangor. Adakah isu-isu yang dicetuskan oleh BN di Selangor menjadi senjata yang akan menewaskan pembangkang? Baru-baru ini UMNO Selangor menyalahkan kerajaan Selangor apabila beberapa kawasan di negeri itu dilanda banjir yang teruk.

Sebenarnya ini bukanlah perang saraf BN yang bijak untuk menawan Selangor. Sebabnya isu banjir di Selangor adalah isu lama sejak zaman BN lagi. Bagaimana kalau ditanya apakah sebelum ini Selangor tidak dilanda banjir hingga menenggelamkan Taman Muda Shah Alam? Begitu juga isu pasir. Ini isu lama kalau tidak percaya cari balik pendedahan Edisi Siasat di NTV7 ketika Selangor diterajui oleh Khir Toyo.

Beginikah cara BN nak melancarkan “perang saraf” dengan pembangkang? Sebenarnya pembangkang banyak kelemahan di Selangor tetapi BN tidak menggunakan kelemahan itu sebagai senjata perang saraf.

Apa yang dibimbangkan ialah apabila BN khususnya UMNO didendangkan dengan tahap keyakinan, ini mungkin memberikan kesan kononnya berada dalam zon selesa dan tidak perlu berkerja keras untuk mencapai kemenangan. Tetapi malangnya tidak ada yang menegur supaya BN dan UMNO jangan mendendangkan yang enak-enak sahaja hingga semua pihak lupa tugas masing-masing.

Kita kena terima hakikat bahawa kejayaan dasar kerajaan, program transpormasi dan bantuan RM500 bukanlah faktor penentu dalam PRU 13. Rakyat melihat bukti di depan mata mereka; harga barang melambung, kos rumah melambung, harga minyak walaupun belum dinaikkan tetapi hanya menunggu masa untuk dinaikkan adalah faktor-faktornya. Dalam keadaan rakyat disuruh berjimat (sebenarnya yang tidak berduit memang berjimat) kerajaan pula kelihatan membazirkan duit yang dikutip dari cukai yang dibayar oleh rakyat.