Sunday, February 26, 2012

Polis cadang suami Shahrizat didakwa

Mingguan Malaysia hari ini (26 Feb 2012) menyiarkan berita polis mencadangkan supaya Peguam Negara mendakwa Pengerusi Ekselutif Nasional Fidlot Nasional (NFC) Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah. Mohamed Salleh adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Jalil.

NFC mendapat dana kerajaan sebanyak RM250 juta untuk menjalankan projek lembu daging di Gemas Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan. Tetapi Laporan Ketua Audit Negara mendapati pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.

Kemudian timbul pula kontroversi pembelian kondo mewah di Bangsar yang didakwa Mohamed sebagai pelaburan yang menguntungkan. Soalnya dana RM250 juta untuk meningkatkan pengeluaran daging bagi keperluan rakyat. Beli kondo mewah kalau untung berganda sekalipun untuk syarikat ini.

Sebelum diadakan PRU 13, Perdana Menteri, Najib Razak kena menyelesaikan isu yang melibatkan keluarga Shahrizat dulu. Kalau dibiarkan tertangguh, ini akan menjadi barah yang mempunah peranahkan UMNO dan Barisan Nasional.

Jangan biar Shahrizat dengan retoriknya menuding jadi kepada pembangkang kerana mahu menjatuhkannya. Itu bukan isunya kerana orang UMNO pun mendesak Shahrizat letak jawatan untuk membersihkan nama UMNO.

Lain kali kerajaan jangan buat kerja bodoh lagi memberi projek yang melibatkan wang rakyat kepada mereka yang ada hubungan dengan kerajaan dan parti pemerintah. Kalau Shahrizat telus, dia boleh menasihatkan suaminya jangan mengambil dana itu kerana dia seorang menteri.

Tidak adakah syarikat lain yang lebih bebas dari hubungan dengan kerajaan yang layak diberi tanggungjawab menambahkan pengeluaran daging tempatan? Kalau satu syarikat ini sahaja, kalau syarikat ini bungkus, maknanya kita kebulur daging tempatan. Rakyat yang membayar cukai pendapatan kepada kerajaan ayuh bersuara.

Payah sangatkah hendak suruh atau paksa Shahrizat letak jawatan? Dr. Mahathir yang lebih diperlukan pun boleh letak jawatan, inikan pula Shahrizat yang tidak nampak apa sumbangan yang dilakukan.

Wednesday, February 22, 2012

SBPA menindas kakitangan bawahan

Saya bukan pegawai atau kakitangan kerajaan. Saya berkerja dengan syarikat swasta milik Melayu. Orang kerajaan dapat bonus, saya tidak merasa walaupun syarikat tempat saya berkerja menyokong kerajaan hingga surat khabar yang diterbitkan bertukar jadi buletin kerajaan.

Tetapi saya bersimpati dengan pegawai dan kakitangan kerajaan. Sebahagian besar kakitangan yang bernaung bawah CUEPACS misalnya dilayan sebagai ”kuli batak” oleh pegawai kanan kerajaan bertaraf Premier dan JUSA. Kakitangan rendah ini berkerja bagai nak mampus, bila tiba masa merombak skim penyelerasan gaji, puak Premier dan JUSA yang makan isi. Kakitangan bawahan hanya jilat mangkuk, kalau hirup kuah kira okey lagi.

Siapa yang merangka Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)? Sudah tentulah puak-puak Premier dan JUSA. Jawatan apa yang bertaraf Premier dan JUSA? Secara mudahnya ialah:

* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)

* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)

* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)

* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Yang hanya jilat mangkuk adalah kakitangan Gred 54 ke bawah atau yang masuk kerja dengan sijil PMR. Mereka inilah yang dilayan bagai ”kuli batak” dalam SBPA. Tetapi kita jangan lupa kumpulan Gred 54 ke bawah jumlahnya lebih sejuta orang. Semuanya sudah layak mengundi. Bayangkan kalau sejuta orang ini melahirkan kemarahan mereka pada kertas undi?

Mengikut skim baru, gaji kumpulan Premier antara RM35,000 hingga RM60,000. Gaji ini melebihi CEO syarikat GLC. Berapa pula kenaikan JUSA? JUSA diberi kenaikan gaji antara 57 peratus hingga 81 peratus. Kalau dalam Ringgi Malaysia kenaikan gaji mereka ialah RM5,000. Apa kejadah kenaikan gaji hingga RM5,000? Kenaikan gaji kakitangan bawahan yang bernaung bawah CUEPACS pula hanya antara RM116 hingga RM137.

Inilah skim yang paling menindas bertaraf zionis yang pernah dibuat kepada kakitangan bawahan jabatan kerajaan. Datuk Omar Osman Presiden CUEPACS jangan goyah dengan pendirian menuntut SBPA dirombak kembali. Kakitangan bawahan jangan lupa kuasa anda dalam pilihan raya kalau kerajaan masih ketegar tidak mahu merombak SBPA.

Di mana suara UMNO memperjuangkan nasib kakitangan bawahan yang ditindas dalam SBPA? Saya fikir sebahagian besar pemimpin UMNO hanya jaga temolok (perut) masing-masing sahaja. UMNO terlalu kecoh dengan Anwar Ibrahim hingga terlupa ada zionis yang menjadi penentu SBPA. Kenapa UMNO tidak bersuara?


Sunday, February 19, 2012

Mana perginya pengarah filem?

Pagi tadi saya hadir ke acara Dialog Orang Muda (DOM) anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) di Rumah PENA. Tajuknya menarik perhatan saya iaitu Moraliti Dalam Filem: Tanggungjawab Siapa. Walaupun saya bukan lagi tergolong “orang muda” tetapi tajuk ini memikat saya. Tetapi apabila tiba di Rumah Pena, bukan saya sahaja bukan “orang muda” sebab pengarah dan pensyarah filem Hassan Mutalib pun hadir sama.

Panel dialog kali ini ialah Kolumnis Filem Mingguan Malaysia, Ali Atan, Aidil Rusli dan Azhar Rudin. Moderator pula ialah Editor Dewan Sastera yang juga penagih filem tegar, Fadhli al-Akiti.

Sejak dari rumah lagi saya membayangkan dialog ini akan dipenuhi oleh pengarah-pengarah filem yang popular sekarang ini. Sebabnya dialog ini sangat kena mengena dengan bidang kerja mereka yang menentukan moral atau tidaknya filem arahan mereka.

Walaupun kata akhir sesebuah filem adalah tauke yang mengeluarkan wang tetapi kalau pengarah tidak mahu mengarah, filem tidak akan wujud. Maknanya pengarah yang kena dibetulkan kalau ada yang tidak betul.

Malangnya tidak ada pengarah-pengarah terutama yang galak membuat filem “tak ketahuan” di pawagam kita. Saya fikir pandangan yang dilontarkan menerusi dialog ini penting untuk mereka renungi. Ini adalah pandangan orang yang masih ambil endah terhadap penyakit dalam filem kita.

Pengarah dan penerbit filem kena akui bahawa sekarang ini banyak yang sudah tidak ambil endah dengan filem tempatan. Sepatutnya orang yang ambil endah ini perlu diberi perhatian untuk membina kembali keruntuhan nilai moral dalam filem kita.

Kepada pengarah-pengarah yang perasan popular sangat di luar sana, keluarlah dari tempurung. Caranya bukan sahaja berebut untuk berjalan atas red carpet festival filem atau Anugerah Skrin TV3, hadirlah di acara-acara yang boleh membantu mereka berkarya.

Monday, February 13, 2012

Apabila 3.7 juta tidak mendaftar

Ada pihak begitu gundah gulana apabila 3.7 juta orang tidak mendaftar sebagai pemilih. Lebih mengundah gulana lagi apabila lebih 2 juta adalah orang Melayu. Maka mereka pun dengan mudah berkata orang Melayu tidak ada kesedaran politik. Tetapi yang gundah 3.7 orang tidak mendaftar ini adalah pemimpin UMNO.

Kenapa mereka gundah? Benarkah mereka gundah tahap kesedaran politik Melayu rendah? Atau sebenarnya mereka gundah kalau-kalau dalam jumlah lebih 2 juta orang Melayu itu separuh daripadanya akan undi UMNO? Bagaimana kalau semua lebih 2 juta itu tiba-tiba “timbul kesedaran” dan mendaftar kemudian pada PRU 13 mereka mengundi Pas?

Adakah kita ada dengar ulasan bahawa kesedaran politik Melayu telah meningkat biarpun undi Pas? Adakah maksud kesedaran politik itu daftar dan undi UMNO? Kalau kesedaran politik Melayu rendah, Pas sudah bungkus.

Sebab itulah sebelum kita menghukum Melayu yang tidak mendaftar jadi pemilih sebagai tidak ada kesedaran politik, kita kena tengok dulu apakah “demokrasi” yang telah kita hidangkan kepada rakyat khususnya Melayu. Makna “demokrasi” bukanlah sekadar ada pilihan raya. Mesir misalnya sebelum ini ada pilihan raya juga tetapi tidak ada demokrasi. Ini kerana demokrasi dan pilihan raya adalah dua perkara berbeza.

Apakah ertinya mengundi bagi seorang rakyat? Mengundi pada prinsipnya menghargai pilihan rakyat. Misalnya kalau seorang calon yang kalah dalam sistem yang demokratik ini tidak dilantik menjadi menteri. Secara demokrasinya rakyat misalnya telah menolak seseorang calon. Tetapi dengan kuasa Perdana Menteri mereka dilantik jadi senator seterusnya menteri.

Adakah tindakan mengangkat calon yang disingkirkan dalam amalan demokrasi bukan tindakan tidak demokratik? Apakah ertinya pilihan rakyat kalau pilihan itu tidak digunakan sebagai satu penanda aras pelantikan seseorang menteri atau apa sahaja?

Bagaimana untuk mendidik rakyat menerima demokrasi kalau kerajaan sendiri tidak demokratik? Di mana demokrasinya bekas-bekas pemimpin UMNO yang kalah dalam PRU 12 atau dikenakan tindakan kerana rasuah dipilih menerajui GLC? Bukankah masih banyak lagi pemimpin UMNO yang bersih dan boleh dilantik sebagai “anugerah” kerana kebersihannya?

Nallakaruppan bekas tauke judi, kawan baik Anwar Ibrahim dan menjadi orang yang membantu Anwar menyalahguna kuasa semasa dalam kerajaan tiba-tiba dilantik sebagai Senator. Demokratikkah cara begini? Shahrizat yang kalah dalam PRU 12 pun boleh jadi menteri, apa perlunya lagi undi rakyat sebagai penentu siapa yang sepatut jadi menteri kalau penanda aras undi rakyat tidak digunapakai?

Jadi, tidak perlulah gundah dengan 3.7 juga orang yang tidak mendaftar sebagai pemilih. Kalau mereka mendaftar dan mengundi pun keputusan yang dibuat bukanlah berdasarkan rekod kecemerlangan yang didapati dalam pilihan raya. Kita kena hormat pendirian mereka yang tidak mahu mendaftar kecualilah perkara-perkara yang disebutkan tadi tidak berlaku lagi selepas PRU 13.

Saturday, February 11, 2012

Awas jerat kapitalis

Petikan Mingguan Malaysia 13 Febuari 2011

Nilai komersial Hari Valentine

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Buku Consumer Rites: The Buying and Selling of American Holiday tulisan Leigh Eric Schmidt antara lain memperkatakan tentang hari-hari penting seperti Hari Krismas, Hari Ibu, Hari Valentine dan banyak lagi dari sudut budaya kepenggunaan.

Penulis yang juga seorang sarjana yang banyak mengkaji tentang agama ini melihat bagaimana Barat memperdagangkan hari-hari istimewa ini terutama berkaitan agama untuk mengaut keuntungan.

Menurut buku ini, budaya kepenggunaan membentuk selain memperkukuhkan hari-hari tersebut dalam agenda kehidupan sejak abad ke 20. Para kapitalis memperhebatkan kerja-kerja pemasaran supaya hari-hari istimewa itu kononnya menjadi penanda aras dalam kehidupan moden. Hal ini telah berlaku di negara ini pada setiap kali sambutan Hari Valentine.

Esok 14 Februari adalah Hari Valentine. Sejak seminggu lalu pusat-pusat membeli belah besar dan ternama memperagakan barangan yang berkaitan Hari Valentine. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah kepada yang besar dan mahal semuanya untuk perayaan yang senama dengan warna merah jambu ini.

Sebahagian besar remaja kita termasuk “bapa remaja” dan “emak remaja” turut menyibuk dengan hari yang diperkenalkan oleh Pope Gelasius I pada tahun 500 Sebelum Masihi. Mereka ini tidak tahu apa-apa tentang Hari Valentine serta tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap sebarang pembudayaan dari luar.

Walaupun Hari Valentine mempunyai hubungan yang jelas dengan Kristian tetapi banyak pengagum dan pak turutnya adalah orang Melayu - Islam. Kepada golongan ini keghairahan menyambut Hari Valentine menenggelamkan Maulidul Rasul Selasa ini. Inilah kesan ledakan budaya kepenggunaan Barat untuk memasarkan Hari Valentine. Maka dalam kelompok manusia yang bingung itu muncullah yang sedikit cerdik lalu mencipta terjemahan dalam bahasa Melayu sebagai Hari Kekasih, ada juga menyebut Hari Kasih Sayang. Semua ini utuk memberi nilai setempat kepada satu nilai asing dari Barat. Hakikatnya Hari Valentine adalah Hari Valentine.

Tahun-tahun sebelum ini juga ada beberapa stesen televisyen termasuk yang diterajui oleh Melayu - Islam menyediakan rancangan khas Hari Valentine. Mereka juga mengambil peluang untuk menaikkan rating penonton yang akhirnya boleh menambah kemasukan iklan sebagai punca pendapatan. Sikap begini juga yang menyebarluaskan tentang “keperluan” Hari Valentine hingga di segenap ceruk desa dan pekan.

Banyak remaja Melayu - Islam tanpa segan silu turut mengambil bahagian dalam pesta Hari Valentine. Orang Melayu yang menyambut Hari Valentine adalah kalangan yang perasan menjadi manusia moden tetapi berada dalam kotak fikir yang mundur. Inilah yang menjadi kebimbangan banyak pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang melancarkan Kempen Awas Jerat Hari Valentine. Sementara Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyarankan kepada semua Jabatan Agama Islam negeri mewartakan pengharaman Hari Valentine. Ini dari sudut agama Islam dan sewajarnya Jabatan Agama Islam negeri lebih awal melaksanakan perkara asas begini sebelum didesak oleh pihak lain.

Nilai-nilai Hari Valentine yang bertentangan sama sekali dengan Islam telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rencana ini cuba melihat Hari Valentine juga menjadi musuh kepada semua orang, tidak kira bangsa, agama atau budaya apabila sambutan ini menjadi agenda budaya kepenggunaan. Orang bukan Islam atau bukan Melayu tidak terkecuali kerana mereka yang meraikannya menjadi mangsa puak yang mengambil peluang dalam kepesatan budaya kepenggunaan.

Sanggupkah anda dikatakan kurang cerdik kerana membiarkan diri menjadi mangsa pengiklan, pembuat barangan, pemilik hotel, pusat hiburan waima penjual riben merah jambu? Apa pun jawapannya, elok kita lihat bagaimana Hari Valentine ini digempur sebagai budaya popular setaraf dengan kegilaan kepada muzik untuk tujuan perniagaan. Golongan kapitalis memasang bubu untuk memerangkap ikan-ikan yang terdiri daripada remaja dan golongan dewasa. Mereka inilah yang terpesona dengan terjemahan Hari Valentine sebagai Hari Kekasih atau Hari Kasih Sayang.

Dalam ledakan budaya kepenggunaan, kebijaksanaan mengambil peluang, memperagakan strategi pemasaran yang kreatif serta mampu membentuk sudut pandangan umum adalah syarat untuk berjaya. Kerana itu kalau diperhatikan di Kuala Lumpur khususnya, pusat membeli belah, hotel dan pusat hiburan telah lama merangka strategi pemasaran mereka. Mereka tidak peduli dengan punah-ranah moral dan akhlak remaja Islam, malah turut menyumbang kepada gejala sosial bukan Islam. Matlamat mereka adalah mengaut keuntungan.

Budaya kepenggunaan merangsang orang membeli, ikut serta dalam nilai-nilai popular tetapi akhirnya menyumbangkan kepada golongan peniaga. Persiapan yang seolah-olah tahun ini “Hari Valentine terakhir” bertujuan meningkatkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja. Mana ada nilai-nilai kasih sayang yang diterapkan dalam kempen pemasaran Hari Valentine. Ini membuktikan ia tidak ada kena mengena dengan kasih sayang.

Masyarakat kita yang baru dijengah budaya kepenggunaan dengan mudah menjadi mangsa kapitalis yang menjaja Hari Valentine, Hari Ibu dan segala macam hari lagi kecuali Hari Merdeka, Hari Maal Hijrah dan Hari Pahlawan. Mereka dibentuk supaya berfikir bahawa tanpa menyambut Hari Valentine tidak ada kasih sayang. Pembudayaan yang datang bersama barangan Hari Valentine telah berjaya dalam agendanya. Padahal Hari Valentine tidak lebih perangkap untuk memaksa masyarakat yang kurang cerdik berbelanja kepada suatu yang tidak perlu selain menerima nilai-nilai moral yang muflis dari Barat.

Orang tua-tua pernah berkata, yang bodoh adalah makanan yang cerdik. Inilah yang berlaku pada setiap kali menjelang 14 Februari, ketika langit senja berwarna jingga seolah-olah bertukar menjadi merah jambu. Kepada pengagum Hari Valentine, bersedialah untuk berubah menjadi lebih baik, jadilah orang yang cerdik dan esok tidak wujud Hari Valentine untuk disambut. Hiduplah seperti biasa kerana kasih sayang tidak ada hari-hari tertentu saja untuk dizahirkan. Hari Valentine bukan untuk mengeratkan kasih sayang. Semua itu mengarut.