Tuesday, January 17, 2012

Filem pembentuk budaya tinggi

Petikan Utusan Malaysia 16 Januari 2012

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

FILEM merupakan satu-satunya karya seni yang paling berpengaruh. Sejak dicipta oleh Lumiere pada 1896 dan melepasi seabad kemudiannya, filem boleh dimanfaatkan oleh pelbagai perkara; politik, sosial dan budaya.

Iran, sebuah negara Islam yang digeruni Amerika Syarikat (AS) menggunakan filem untuk membentuk budaya tinggi kalangan masyarakat. Iran menutup pintu kepada filem Barat khususnya Hollywood. Tetapi tidak bermakna tanpa filem Hollywood, Iran menjadi mundur. Malah filem Iran dihormati dalam dan juga di luar negara.

Maka di mana-mana negara sekalipun filem mesti dimanfaatkan untuk membentuk budaya tinggi, mengekang kekotoran sosial seperti seks bebas, gay dan lesbians menular dalam masyarakat. Pengaruh filem yang sangat luar biasa juga menjadi sebab diberi tanggungjawab melampaui sumbangan ekonomi semata-mata.

Masyarakat berbudaya tinggi bukan sahaja akan dihormati malah dengan sendirinya menolak kekotoran yang dibawa oleh penjajahan Hollywood ke negara ini. Sebenarnya banyak filem dari negara lain yang lebih berbudaya tinggi. Tetapi Hollywood terlebih dahulu menjajah pasaran filem di negara ini. Maka Hollywood sahaja yang kita tahu.

Difahamkan sebanyak 70 filem tempatan menunggu giliran untuk ditayangkan tahun ini. Tahun lalu separuh daripada jumlah ini tetapi mencatatkan kutipan RM100 juta. Bermakna tahun ini kutipan lebih tinggi sekali gus meningkatkan sumbangan filem kepada ekonomi. Tetapi masa yang sama filem tempatan perlu ditanya sumbangan dalam membentuk budaya.

Dalam mendepani isu sosial yang tenat, filem tempatan mesti tampil dengan gagasan budaya tinggi untuk menolak segala kekotoran dan hedonisme ini. Filem tempatan mesti menjana budaya tinggi kerana dengan cara itu sahaja kekotoran sosial boleh dikekang daripada bertapak dan merebak.

Mengekang kecelaruan sosial tidak semestinya membuat filem mengenainya. Menentang penularan gay bukanlah dengan membuat filem tentang gay, kononnya menyuntik sisi buruk gejala gay itu. Menyedarkan mat rempit bukan memberikan sebuah filem khusus tentang mereka sekali gus mempromosikan mat rempit.

Filem kita lebih bercerita tetapi bukan menyuntikkan wacana. Pembuat filem bercerita tentang gay, lesbians, pengkid dan sebagainya tetapi tidak menyuntik wacana dalamnya. Atau lebih parah lagi mendorong masyarakat menumpahkan simpati kepada golongan ini.

Maknanya jumlah filem dihasilkan dan kutipannya bukanlah penanda aras kejayaan kecuali mampu membentuk budaya tinggi kepada masyarakat. Untuk apa Malaysia menjadi pusat industri filem terbesar kalau ia hanya ejen kepada penularan kekotoran sosial dari Barat? Maka kita ada tanggungjawab untuk tidak terperangkap menyokong filem berbudaya rendah. Sebabnya dalam teori kepenggunaan, pengguna ada kuasa menentukannya. Ayuh, kita buktikan.


Angkara Mossad dan CIA

Petikan: Mingguan Malaysia 15 Jan. 2012

Angkara Mossad dan CIA

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Pembunuhan saintis nuklear Iran, Mostafa Ahmadi-roshan dengan bom magnet di keretanya Rabu lalu ada kaitan dengan ketegangan hubungan diplomatik Iran - Amerika Syarikat (AS) ketika ini. Ini kerana Presiden Barack Obama kembali mengenakan tekanan kepada Iran berhubung pelan pembangunan tenaga nuklear Iran.

Menjelang tahun baru yang lalu, Obama mengumumkan sekatan kepada semua institusi kewangan AS daripada berurusan dengan bank pusat di Iran. Ini salah satu bentuk tekanan ekonomi yang dilakukan sendiri oleh AS tanpa penglibatan Majlis Keselamatan PBB. Tidak cukup dengan itu AS menerusi Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner semasa mengunjungi Naib Presiden China, Xi Jinping turut mendesak China mengenakan sekatan atas Iran. Ini kerana China antara negara kuasa besar anggota Majlis Keselamatan PBB yang menyokong resolusi menghalang pelan nuklear Iran.

Tetapi China mempunyai pertimbangan lain. Memandangkan China menjadi negara guna tenaga terbesar di dunia, China memerlukan Iran. Ini kerana Iran menyumbang sebanyak 11 peratus import minyak China atau 600,000 tong sehari pada November lalu. Jumlah ini adalah satu pertiga daripada eksport minyak Iran yang berjumlah 2.2 juta tong sehari. Kerana itu AS terpaksa mencari cara lain untuk memberikan tekanan kepada Iran.

Kempen AS itu supaya dikenakan sekatan ekonomi ke atas dijangka akan mempengaruhi pemimpin-pemimpin negara Kesatuan Eropah (EU) yang akan bermesyuarat 23 Januari ini. Mesyuarat itu dijangka bersetuju mengadakan sekatan daripada membeli minyak Iran. Iran adalah pengeksport minyak kedua terbesar dan menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Minyak (OPEC).

AS sejak rejim bekas Presiden George W. Bush lagi mahu mengenakan tekanan kepada Iran, selepas berjaya meruntuhkan Iraq dengan dakwaan palsu memiliki senjata nuklear. Kerana itu pembunuhan saintis nuklear Iran ini lebih menjurus kepada penglibatan AS menerusi Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan Israel, Mosaad.

Ini adalah pembunuhan keempat saintis Iran sejak 2010. Pada 12 Januari 2010, saintis nuklear Massoud Ali-Mohammadi dibunuh dengan bom magnet kawalan jauh di depan rumahnya di Tehran. Pada 29 November 2010, saintis nuklear Majid Shahriyari terbunuh dan isterinya cedera parah dalam serangan bom. Pada 23 Julai 2011, saintis Darioush Rezal yang berusia 35 tahun ditembak mati oleh seorang yang tidak dikenali di Tehran.

Semua pembunuhan ini mempunyai bukti kukuh penglibatan CIA dan Mossad. Banyak teori menjurus kepada sabotaj membantutkan pelan pembangunan nuklear Iran. Malah ini selari dengan tekanan AS kepada Iran dan kebimbangan Israel terhadap pelan nuklear Iran. Buktinya semua mangsa pembunuhan itu adalah saintis yang mempunyai hubungan dengan nuklear Iran.

Teori konspirasi ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan pemimpin tertinggi tentera Israel bahawa, "Iran kena menerima perkara-perkara yang tidak dijangka pada 2012." Dalam kemelut politik Asia Barat, kini hanya ada Iran yang mengekang penguasaan Israel selepas Iraq tumpas kepada AS 2003. Iran juga menjadi faktor penentu penghalang penguasaan dan penyusunan semula politik Asia Barat oleh AS.

Konspirasi penglibatan AS dan Israel disokong oleh pendedahan majalah TIME bahawa sumber perisikan mengakui pembunuhan terbaru itu dilakukan oleh Mossad. TIME turut mendedahkan seorang pegawai kanan Israel menjerit gembira ketika kejadian itu, "Yeah...seorang lagi. Saya tidak bersedih apa yang berlaku kepada dia."

Tahun lalu stesen televisyen Iran menyiarkan pengakuan seorang agen perisikan Mossad, Majid Jamali Fashi yang bertanggungjawab membunuh saintis Massoud Ali Mohammadi. Dia mengaku melihat sendiri model rumah dan kawasan laman saintis Iran itu di ibu pejabat Mossad di Tel Aviv. Majid dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Massoud pada 12 Januari 2010.

Modus operandi pembunuhan Mostafa sama dengan pembunuhan dua saintis Iran sebelum ini iaitu menggunakan bom magnet. Kesemua mangsa adalah saintis yang merupakan orang penting dalam pelan nuklear itu.

Ini mempunyai persamaan dengan modus operandi Mossad membunuh saintis Jerman yang membangunkan peluru berpandu di Mesir tahun 1960-an dan 1970-an. Sebagai balasan, pejuang Palestin melancarkan serangan komando dan membunuh 11 atlet Israel di Sukan Olimpik 1972 di Munich.

Cara pembunuhan yang sama juga dilakukan Mossad terhadap saintis Mesir dan Kanada yang berkerja dengan program nuklear dan peluru berpandu Iraq semasa rejim Saddam Hussein. Begitu juga cara Mossad menyerang dan membunuh pemimpin Hamas, Mahmoud al-Mabhouh di hotel penginapannya di Dubai pada 2010.

Kenyataan pakar keselamatan, Theodore Karasik dari Gulf Military Analysis bahawa selain perang konvensional, Barat dan sekutunya juga melancarkan perang taktik untuk mengekang pelan nuklear Iran menguatkan teori penglibatan AS dan Israel.

Agensi berita Associated Press pula pernah membocorkan laporan mesyuarat tertutup Jawatankuasa Pertahanan dan Hubungan Luar Negara Israel baru-baru ini di mana Leftenan Jeneral Benny Gantz berkata, "2012 adalah tahun kritikal bagi Iran". Ini merujuk kepada perang taktikal untuk menghalang pembangunan pelan nuklear Iran.

Walaupun pentadbiran Obama dan Israel menafikan terlibat dalam pembunuhan kali ini tetapi hujah mereka sangat nipis. Apakah kita tidak percaya AS dan Israel boleh membunuh saintis Iran sedangkan mereka telah membunuh jutaan orang awam di Palestin dan Iraq?

Tetapi tindakan radikal Mossad dan CIA tidak memberi kesan kepada ketegasan Iran membangunkan pelan nuklear. Sebaliknya insiden terbaru ini menyukarkan AS membebaskan n seorang anggota marinnya yang mendepani hukuman mati di Iran kerana kesalahan mengintip.

Sunday, January 15, 2012

Selepas Anwar bebas, apa langkah UMNO?

Anwar Ibrahim telah dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah dari tuduhan jenayah seksual 9 Januari lalu. Sebelum ini tuduhan jenayah seksual itu dikatakan menjadi pembunuh kerjaya politik Anwar yang kini Ketua Pembangkang.

Sebelum ini sejak tercetusnya kes jenayah seksual Anwar, UMNO menggunakan isu moral Anwar untuk membunuh kewibawaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Walaupun mahkamah belum memutuskan salah atau tidak Anwar waktu itu, UMNO telah menggunakan mahkamah rakyat untuk menghakimi Anwar.

Sebenarnya selain mahkamah yang fizikal dan peranannya sebagai mahkamah, ada satu lagi mahkamah yang tidak kurang pentingnya untuk mengalih persepsi, mencipta persepsi dan sekaligus mendapat keadilan sosial. Anwar juga menggunakan mahkamah rakyat ini untuk menangkis tuduhan jenayah seksual yang dihadapinya.

Malah menganjurkan kempen 901 yang kemuncaknya pada 9 Januari iaitu hari keputusan penghakiman kes jenayah seksual Anwar. Ini adalah mahkamah rakyat. Kempen ini ialah menggunakan pengaruh mahkamah rakyat untuk membina persepsi Anwar tidak bersalah. Selebihnya membina persepsi bahawa tuduhan jenayah seksual Anwar itu tidak lebih konspirasi politik UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Maknanya tidak boleh hanya mengharapkan mahkamah undang-undang sahaja untuk mencapai kemenangan. Menang di mahkamah undang-undang juga akan kalah di mahkamah rakyat. Malah kalah di mahkamah undang-undang pula boleh saja menang pada pandangan umum di mahkamah rakyat.

Tetapi selepas Anwar dilepas dan dibebaskan, apakah langkah proaktif UMNO untuk mendapat kemenangan di mahkamah rakyat? Di mahkamah undang-undang UMNO yakni kerajaan telah kalah. Tetapi masih boleh mencapai kemenangan di mahkamah rakyat seperti mana Anwar bersedia untuk menang di mahkamah rakyat sekiranya dia didapati bersalah di mahkamah undang-undang.

UMNO seperti hilang punca apabila sebelum ini terlalu yakin Anwar akan didapati bersalah, tiba-tiba dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah undang-undang. Sebenarnya tidak cukup sekadar mengatakan kemenangan Anwar itu bukti badan kehakiman kita bebas dari pengaruh politik. Kenyataan begini dalam kata lain membawa maksud Anwar memang tidak bersalah, sebab itu dia dilepas dan dibebaskan.

Tetapi sebenarnya bukanlah ini yang dimahukan oleh UMNO dan BN. Mendakwa Anwar bukanlah sekadar membuktikan badan kehakiman bebas dari pengaruh politik. Mandakwa Anwar ialah kerana kita yakin dia melakukan jenayah seksual itu. Apabila tidak ada suatu tindakan proaktif oleh UMNO dan BN (selain komen yang retorik), UMNO dan BN juga kini kalah di mahkamah rakyat.

Sebaliknya Anwar terus menggunakan mahkamah rakyat apabila sejurus selepas dibebaskan dia berkata pembebasan itu kerana tekanan dari luar negara. Maknanya dia mahu memberitahu rakyat tindakan undang-undang ke atas dia hanya kerana politik bukan disebabkan jenayah seksual itu benar-benar wujud.

Maka UMNO dan BN perlu menang di mahkamah rakyat selepas kalah di mahkamah undang-undang. Caranya mereka kena menangkis strategi Anwar di mahkamah rakyat dan memastikan rakyat tidak memberi kemenangan kepada Anwar. Tetapi UMNO belum berbuat apa-apa.

Thursday, January 12, 2012

Pas, kembalilah pada perjuangan asal

Apabila melihat bagaimana Pas sekarang yang dipacu atau ditunggangi oleh Anwar Ibrahim, eloklah Pas sedar dan kembali kepada perjuangan Islam yang menjadi matlamat asal sejak ditubuhkan. Lihatlah, sekali saja Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bersuara supaya Pas memecat Hassan Ali, Pas akur seolah-olah berada bawah kongkongan PKR @ Anwar Ibrahim.

Pas sebuah parti yang kuat. Kerana kuat maka Pas tidak memerlukan parti ini menyekutukan diri dengan PKR yang liberal, sekular dan tidak ada landas perjuangan dan juga dengan DAP yang tidak pernah menggugurkan tentangan terhadap gagasan Negara Islam oleh Pas.

Pas tidak boleh tamak dan bermimpi untuk menawan Putrajaya. Cukuplah mendapat sebuah negeri iaitu Kelantan. Kekuatan Pas di Kelantan sudah terbukti, apa lagi dengan percakaran sesama sendiri UMNO Kelantan. Pas berada dalam zon selesa di Kelantan. Kemenangan Pas di Kelantan tidak disokong oleh PKR dan jauh sekali DAP.

Untuk apakah Pas menggadaikan laras perjuangan asal hanya kerana mahu menggapai kejayaan lebih besar? Malah kejayaan yang digapai itu pula menurunkan darjat Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Bukankah ini hanya merugikan perjuangan silam Pas yang besar hanya kerana mahu menggapai mimpi menawan Putrajaya?

Melihat senario politik sekarang, tanpa menyekutukan diri dengan PKR dan DAP, Pas tidak akan hilang. Malah Pas akan lebih dihormati dan mungkin menjadi alternatif kepada Melayu untuk memilih parti selain UMNO. Sekarang ini memang ada yang tidak "berparti" mahu menyokong Pas kerana kecewa dengan UMNO (dalam banyak isu mengalah kepada MCA dan MIC). Tetapi mereka tidak dapat menerima idealisme PKR dan DAP.

Dengan kemenangan badut bernama Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas menewaskan Nasharuddin Mat Isa, kelihatan orang-orang dalam Pas sendiri sudah terbius dengan sekularisme PKR dan DAP. Mat Sabu tidak layak digandingkan dengan Haji Hadi Awang tetapi kerana lemahnya Pas, mereka pun sama macam PKR dan DAP.

Pas hanya boleh diselamatkan oleh orang Pas sendiri. Caranya dengan berdiri sendiri sebagai Pas bukan Pakatan Rakyat. Pas jangan menjadi seperti gajah, kerana matanya kecil, ia tidak nampak badannya yang besar. Kalau tidak masakan manusia yang jauh lebih kecil boleh menjadi gembala kepada gajah?

Pas mesti memikirkan biarlah tidak menjadi pemerintah negara (kononnya kalau Pakatan Rakyat menang PRU 13), asalkan perjuangan tidak hilang. Apalah ertinya Pas kalau tidak ada laras perjuangan. Pas lebih mulia kalau sanggup tewas kerana menjaga prinsip daripada menang tetapi menggadaikan prinsip.


Jamil Khir kena jawab, bukan bersilat

Berita pada 31 Disember 2011:

SEPANG 31 Dis. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dakwaan yang beliau bersama dua yang lain menggunakan wang zakat bagi pembayaran kos guaman adalah satu bentuk kezaliman dan kekejaman pelaporan berita yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, laporan seperti itu bertujuan melahirkan satu persepsi bahawa pihak kerajaan dan menterinya selalu melakukan penyelewengan dana rakyat, termasuk wang zakat.

”Saya lihat apa yang penting bagi mereka adalah menimbulkan persepsi. Rakyat yang membaca akhbar hari ini, tidak baca keesokan harinya untuk penjelasan maka, sudah terlekat satu persepsi buruk kepada mereka yang terbabit.

”Dalam hal seperti ini pihak pembangkang terlalu banyak memainkan isu yang pada saya bukanlah lagi isu pokoknya sebaliknya ia dipolitikkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Muhammad Yamin Ismail.

Sebelum ini, akhbar pembangkang melaporkan berlaku penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden iaitu beliau, Che Mat dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dalam kes tuntutan qazaf Ali Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan itu mengatakan, Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

SEMENTARA ITU

Berita pada hari ini (12 Jan 2012) Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, penggunaan wang zakat bukan penyalahgunaan kuasa kerana perbelanjaan tersebut dibenarkan mengikut mengikut Asnaf Fisabillah.

Komen saya:

Pertama, apa yang saya faham dari berita pertama di atas, Jamil Khir telah difitnah oleh pembangkang mengatakan dia dan kuncu-kuncunya menggunakan duit zakat untuk bayar yuran guaman. Katanya, pembangkang hanya mencetuskan satu persepsi penyalahgunaan wang zakat dan isu ini telah dipolitikkan. Bagi saya bukan dipolitikkan tetapi Jamil Khir tidak menjelaskan apa yang menjadi isu. Isunya menggunakan wang zakat untuk bayar yuran guaman. Kenapa Jamil Khir tidak menjawab ya? Ini kerana mengikut mufti itu tidak menyalahi undang-undang.

Kedua, saya lebih percaya laporan Ketua Audit Negara mengenai duit zakat yang dikeluarkan untuk bayar yuran guaman. Jamil Khir kena jawab isu laporan Ketua Audit Negara sama ada benar atau tidak. Setakat ini Jamil Khir tidak menafikan laporan itu dan tidak mengiyakan dia menggunakan duit zakat.

Ketika kita dapat membaca kisah orang Islam yang miskin dan hidup melarat hampir setiap hari di surat khabar dan di televisyen, padahal kutipan zakat melimpah ruah, orang tertanya-tanya di manakan duit zakat digunakan? Fenomena orang Islam yang miskin melarat memberi gambaran wang zakat tidak cukup untuk membantu mereka.

Persoalan saya, adakah Ketua Audit Negara tersilap membuat laporan? Kalau tersilap, Jamil Khir boleh betulkan. Tetapi kenapa tidak dibetulkan? Kerana itu jangan cepat sangat anggap semua perkara termasuk perihal bulan dan bintang ”dipolitikkan”. Yang politik biarlah, tetapi yang betulnya mana? Jamil Khir kena menafikan dia dan kuncu-kuncunya guna duit zakat. Kalau setakat menggunakan mufti untuk menyelamatkan diri, dialah yang menjadi liabiliti kepada kerajaan.

Walaupun dibenarkan oleh hukum syarak tetapi menggunakan wang zakat untuk bayar yuran guaman tidak patut berlaku. Kalau buat juga jangan salahkan puak itu dan puak ini buat persepsi.

Monday, January 9, 2012

Nak tangkap ayam, dapat bau tahi

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim telah dibebas dan dilepaskan dari tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Saiful tiga tahun lalu. Kita tentu dapat bayangkan berapa banyak wang rakyat dihabiskan untuk kes yang selalu tertangguh-tangguh begitu lama.

Kita juga tentunya tahu bahawa kes ini sangat memalukan orang Melayu dan budaya politik Melayu. Liputan yang meluas terhadap kes ini sebenarnya memberi gambaran kepada orang lain tentang perangai buruk orang Melayu.

Ini satu pengajaran kepada UMNO dan juga Barisan Nasional. Inilah seperti kata orang tua-tua, nak tangkap ayam tetapi hanya dapat bau tahinya. Membuat sesuatu kerja dengan perasaan bukan fikiran.

Kalau tidak cukup bukti, kenapa perlu tergesa-gesa dibawa ke mahkamah? Sekarang semua ini memberi malu kepada UMNO yang begitu banyak bersorak. Maka yang kelihatan dalam kes ini pihak pendakwaan kita sangat lemah dan pasukan pembelaan kelihatan berpengalaman.

Sekarang kita kenalah mengangguk apabila Anwar kata dia dibebaskan kerana tidak bersalah. Sama ada betul atau tidak, bukan soalnya. Soalnya Anwar telah mendapat lesen rasmi yang mengatakan dia tidak bersalah. Adakah kita hendak kata mahkamah silap membuat penghakiman?

Keputusan hari ini akan digunakan dalam kempen Pilihan Raya Umum 13 nanti. Ia memberi banyak faedah politik kepada pembangkang dan seolah-olah mengesahkan bahawa tuduhan itu adalah “perangkap” UMNO. Tentu sukar untuk UMNO menepis apabila mahkamah akhirnya membebaskan Anwar.

Walaupun Anwar dibebas dan dilepaskan bukan kerana tidak bersalah tetapi bukti pendakwaan yang tidak kukuh, rakyat hanya akan diberitahu oleh pembangkang bahawa “Anwar tidak bersalah”. Ini kerana berapa kerat sangat yang tahu hal undang-undang dan dapat membezakan antara “dibebaskan” dengan “tidak bersalah”.

Pembangkang mesti dikalahkan kerana tidak akan membawa kesejahteraan kepada rakyat, tidak berani bertegas tentang Islam dan orang Melayu akan menjadi melukut di tepi gantang. Tetapi siapa lagi selain UMNO? Kalau nak pilih Pas, samalah dengan pilih DAP yang lagi bangsat. Hendak tak hendak kenalah juga memilih UMNO kerana tidak ada lain lagi yang lebih baik. UMNO kena ingat itu. Maka mana-mana yang menjadi liabiliti kepada UMNO eloklah awal-awal lagi ditendang keluar. Orang Melayu masih sayangkan UMNO tetapi kalau UMNO toleran dengan perkara-perkara tidak sepatutnya, susahlah.

Saturday, January 7, 2012

Memang buang masa

(Petikan Awang Selamat - Mingguan Malaysia 8 Jan. 2012)

KEPUTUSAN pihak polis memberi kebenaran kepada penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901 mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, esok, menarik perhatian.

Awang secara peribadi tiada masalah dengan keputusan itu. Tentu ada sebab dan percaturan yang mungkin dianggap terbaik bagi mengendurkan risiko ketegangan. Ia boleh memperlihatkan sikap keterbukaan kerajaan termasuk kepada dunia luar.

Namun dalam Awang sentiasa menjadi warga negara yang menyokong kuat polis, Awang juga perlu membawa keresahan dan menyampaikan maklum balas orang ramai.

Keputusan membenarkan penyokong Anwar berhimpun mengecewakan banyak pihak terutama NGO dan orang ramai. Menyerahkan kepada penganjur agar bertanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan buruk, bukan strategi yang sesuai. Janganlah percaya bulat-bulat jaminan PKR bahawa perhimpunan itu akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang perlanggaran syarat.

Sejak awal penubuhannya, parti itu bijak mengekspolitasi perhimpunan haram. Malah difahamkan, dengan kebenaran terhad yang diberikan oleh pihak polis itu, sudah ada rancangan beberapa pihak penyokong Anwar untuk berhimpun di beberapa lokasi di ibu negara selain di mahkamah Jalan Duta.

Maka Awang boleh faham kekecewaan orang ramai dan NGO. Mereka bersungguh-sungguh dan lantang bersuara demi keamanan tetapi akhirnya suara kelompok minoriti yang didengari. Pihak berkuasa kita memang mudah mengalah kepada ugutan dan kerap terperangkap dalam permainan yang dicorakkan oleh pembangkang. Itu persepsi ramai.

Di Malaysia, lebih mudah menjadi budak jahat dan nakal maka akan mendapat perhatian dan layanan baik. Ketika menghadapi perhimpunan haram Bersih tahun lalu, ribuan aduan polis dibuat tetapi ia umpama mencurah air ke daun keladi. Tiada negara lain yang rakyatnya membuat aduan polis sebegitu banyak sehingga boleh mencatat rekod dunia. Di Singapura, ada dua atau tiga aduan sahaja, pasti disusuli dengan tindakan segera yang menyakinkan.

Dalam isu perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, sekali lagi orang ramai mendapat isyarat yang mengelirukan. Selepas banyak memberi amaran, polis tunduk lagi. Lebih baik dari awal lagi, keluarkan kenyataan, membenarkan sahaja perhimpunan. Tidak perlulah orang ramai dan NGO membuat ratusan lagi aduan polis. Nampaknya sikap responsif rakyat yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga bergegas ke balai-balai polis di seluruh negara, tidak diambil perhatian. Untuk apa lagi ghairah membuat aduan polis kerana penghujung ceritanya tetap sama.

Komen saya:

Memang ini kerja membuang masa. Saya setuju sangat dengan Awang Selamat, kerajaan banyak sangat beralah hingga hak majoriti diganggu oleh kepentingan minoriti. Ini membuang masa kerana polis (baca Kementerian Dalam Negeri) tidak membuat keputusan membenarkan perhimpunan 901 itu awal-awal lagi.

Saya memang sangat menyampah dengan tindakan begini. Apakah kerajaan masih hendak meraih populariti kalangan pembangkang? Masih ingatkah bagaimana perhimpunan haram Julai tahun lalu yang diputarbelitkan pembangkang walaupun kerajaan berlembut? Maka benar sangatlah seperti kata Awang Selamat, di negara ini jadi orang jahat lebih banyak dapat untung kerana kita mendapat kerajaan yang penakut untuk membuat keputusan tidak popular.

Lain kali halalkan saja semua perhimpunan, kalau tidak cukup sediakan khemah dan makan minum secukupnya kepada sesiapa yang hendak membuat demonstrasi. Biarlah rakyat yang menurut undang-undang menjadi mangsa kerana kerajaan kita kebulur sangat undi kononnya pembangkang akan mengundi BN. Tadi saya berselisih dengan lori membawa babi, mulut saya pun tersebut BABI....



Wednesday, January 4, 2012

Apabila BN gunakan Raja Petra

Apakah dengan pendedahan dan pengakuan yang dibuat oleh seorang penyokong Anwar Ibrahim bernama Raja Petra akan memberi banyak faedah kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam PRU 13? Adakah pendedahan itu suatu yang baru atau yang semua orang tahu sebelum ini?

Saya tidak fikir pendedahan yang menjurus kepada mengkritik Anwar Ibrahim oleh Raja Petra memberi markah kepada UMNO atau BN. Sebaliknya ini memperlihatkan strategi kerajaan yakni BN yang menggunakan pembelot kepada Anwar Ibrahim untuk melawan balik tuan mereka. Ini strategi lapuk sebenarnya.

Sebabnya yang belot kepada Anwar Ibrahim bukanlah tokoh yang mempunyai pengaruh besar kecuali Ezam Mohd Noor. Orang seperti Nalla Karuppan yang bersekongkol dengan Anwar sebagai bapa ayam, tauke judi tidak ada pengaruh dalam kalangan pembangkang. Nalla menepati ciri-ciri oportunis dan dia meninggalkan Anwar kerana Anwar sudah tidak ada masa depan.

Maka tidak usahlah terlalu taksub dengan cerita-cerita kejahatan Anwar Ibrahim yang disampaikan oleh Nalla. Tetapi kerajaan taksub hingga melatik Nalla sebagai Senator. Kini timbul pula Raja Petra. Tak usahlah terlalu bergembira dengan kenyataan-kenyataan Raja Petra.

Semua ini adalah taktik orang oportunis. Jangan terkejut kalau selepas ini Raja Petra boleh bebas balik ke negara ini tanpa sebarang tindakan. Ini mungkin adalah upah dia belot daripada Anwar. Malah jangan terkejut kalau Raja Petra juga akan jadi Senator selepas ini.

Menggunakan orang yang buruk pekerti dan personaliti seperti Nalla dan Raja Petra untuk menarik sokongan kepada BN dan UMNO bukan strategi bijak. Kenapa kerajaan seperti tidak yakin dengan perubahan-perubahan yang sudah buat kepada rakyat boleh menarik sokongan? Bukankah kerajaan dikatakan banyak membuat kebaikan kepada rakyat?

Tuesday, January 3, 2012

Salleh Majid pemikir Melayu

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Salleh Majid telah kembali ke rahmatullah pada 2 Januari lalu dalam usia 62 tahun. Rakyat telah kehilangan seorang pemikir Melayu yang juga ahli ekonomi yang banyak menyedarkan orang Melayu menerusi tulisan-tulisannya.

Saya menggemari tulisan Salleh kerana allahyarham tidak membodek atau mengampu mana-mana pihak apabila bercakap tentang perjuangan dan kepentingan orang Melayu. Biasanya kita selalu membaca tulisan-tulisan yang mengampu pihak tertentu walaupun rakyat di gerai tepi jalan tahu itu adalah mengampu.

Apabila menulis dengan terus terang dan ikhlas (orang lain pun selalu sebut ikhlas tapi mengampu) maka banyak tulisannya tidak disenangi oleh sesetengah pemimpin kerajaan. Tetapi Salleh bukan menghentam tetapi mengkritik. Biasalah sesetengah pemimpin kerajaan cakap sahaja terbuka kepada kritikan tetapi hakikatnya tidak.

Bagi saya kerajaan tidak kehilangan Salleh. Ini kerana semasa hayatnya Salleh kurang disenangi kerana kritikannya. Kerana itu taraf Salleh semasa hayatnya lebih rendah daripada wakil rakyat yang lompat parti. Malah mungkin lebih rendah daripada Nala yang baru dilantik Senator.

Orang macam Salleh yang sepatutnya dilantik Senator seterusnya jadi menteri yang menjaga ekonomi negara. Saya tidak pasti samaada pernah atau tidak allahyarham ditawarkan Senator. Tetapi kalau dibandingkan dengan sesetengah Senator yang dilantik, banyak yang menghabiskan beras sahaja.

Demikianlah hipokrasi yang telah basi dalam politik kita. Saya tetap rasa kehilangan seorang pemikir Melayu biarpun puak-puak tertentu tidak berasa apa-apa apabila Salleh menutup usia 2 Januari lalu.