Wednesday, September 21, 2011

ISA jadi umpan PRU 13?

Saya sebenarnya tidak kisah pun sama ada ISA terusk dikekalkan atau dimansuhkan. Saya dan majoriti rakyat tidak ada hubungan dengan ISA. Kerana itu pengumuman pemansuhan ISA bukanlah untuk majoriti rakyat tetapi segelintir sahaja yang mempunyai kecenderungan membuat haru hara. Jadi, pengumuman pemansuhan ISA adalah hadiah kepada puak-puak ini supaya lebih bebas membuat haru hara pada masa depan.

Apabila sampai ke peringkat ini, saya dan majoriti rakyat yang tidak ada kepentingan dengan ISA terpaksa memikirkan juga selepas negara ini tidak ada ISA. Kami rakyat jelata ini memikirkan peluang yang lebih besar oleh puak-puak tertentu untuk menggugat ketenteraman rakyat termasuk saya sendiri. Kalau pengumuman ini dikatakan “rakyat diutamakan”, ini bukanlah mengutamakan kepentingan majoriti rakyat tetapi sejumlah kecil sahaja.

Saya akan lebih teruja kalau Perdana Menteri mengumumkan keprihatinan kerajaan mengawal kenaikan harga rumah terutama di Lembah Kelang yang sangat gila ketika ini. Saya juga menunggu kalau-kalau kadar cukai pendapatan dikurangkan. Isu ini adalah isu rakyat. Ia lebih dekat berbanding ISA yang tidak ada kesan secara langsung sama ada wujud atau tidak.

Malah saya dan rakyat yang lain juga tertunggu-tunggu apa tindakan kerajaan untuk mengekang kenaikan harga barang yang tidak seimbang dengan kenaikan pendapatan rakyat. Tetapi memikirkan penguatkuasa undang-undang yang ada sekarang sangat lembab, proses perbicaraan juga sangat lembab dan mengambil masa bertahun-tahun, apakah kita boleh yakin masalah puak yang membuat haru hara misalnya dapat diselesaikan dalam masa yang singkat? Rakyat terpaksa memikirkan juga perihal liberalnya kerajaan memansuhkan ISA.

Lihat sahaja bagaimana terhegeh-hegehnya pendakwaan dan perbicaraan kes Anwar Ibrahim. Kalau tidak didesak oleh rakyat, kes Anwar Ibrahim mungkin belum dimulakan lagi selepas berlaku pada 2008. Selepas ini semua kes mesti melalui pendakwaan di mahkamah. Bayangkan kes Anwar Ibrahim selama tiga tahun belum ada apa-apa keputusan lagi. Bagaimana kalau kes yang sepatutnya diletakkan bawah ISA kini dibicarakan di mahkamah?

Kita semua tidak tahu apa agenda sebenarnya pemansuhan ISA. Adakah untuk memancing undi pembangkang yang selama ini berjuang memansuhkan ISA? Saya sama sekali tidak fikir pembangkang begitu mudah berubah. Ini kerana perjuangan memansuhkan ISA adalah modal politik pembangkang semata-mata.

Malah kalau belum wujud ISA, mereka ini jugalah yang berjuang mendesak diwujudkan ISA. Tengoklah apa reaksi pembangkang apabila ISA dimansuhkan. Sedikitpun mereka tidak gembira padahal dulunya itulah yang mereka perjuangkan.

Dulu masa ada gerakan memansuhkan ISA, kalau tidak silap saya hampir semua menteri, timbalan menteri menentang usaha memansuhkan ISA. Kata mereka, ISA perlu dikekalkan dan berbagai-bagai hujah lagi selari dengan pendirian Perdana Menteri Najib Tun Razak. Gerakan ini pernah membuat perhimpunan haram di Kuala Lumpur untuk mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Saya tertanya-tanya di mana menteri-menteri yang dulunya menentang pemansuhan ISA kini sudah tidak bersuara. Kalau bersuara pun mereka tiba-tiba menyokong pula pemansuhan ISA. Ini menteri burung kakak tua atau apa? Kalau dulu macam-macam hujah dilontarkan untuk menentang usaha memansuhkan ISA, kini selepas dua tahun macam-macam hujah pula untuk menyokong pemansuhan ISA.

Saya sangat tidak faham dengan manusia yang tidak ada pendirian seperti ini. Saya sangat tidak hormat kepada mereka kerana yang dilontarkan berapi-api itu tidak lebih kata-kata pengampu supaya jangka hayat politik lebih panjang, bukan kerana rakyat. Kalau saya terjumpa manusia seperti ini, saya memilih untuk bercakap dengan tukang cuci atau pemotong rumput daripada bercakap dengan mereka.

Tuesday, September 13, 2011

Apa ertinya 31 Ogos kalau tidak dijajah?

Pada setiap tahun, 31 Ogos adalah hari cuti umum. Ini bukan cuti umum puak Hindu menyambut Deepavali. Ini cuti umum kerana memperingati ulang tahun kemerdekaan negara ini. Kalau ada “kemerdekaan” tentulah ada yang menjadi tuan kepada kita. Tetapi apabila kita dikhabarkan bahawa negara ini tidak pernah dijajah, apalah erti “merdeka” yang Tunku Abdul Rahman laungkan pada 31 Ogos 1957?

Adalah selama 54 tahun kita hanya suka-suka saja menyambut “ulang tahun kemerdekaan” yang menelan belanja yang bukan kecil hasil cukai yang dibayar oleh rakyat? Tahun ini sambutan “ulang tahun kemerdekaan” pada 16 September sebab 31 Ogos adalah hari raya kedua. Untuk apa kita berhabis dam membazir meraikan kemerdekaan yang tidak wujud?

Definisi merdeka sangat mudah. Ia berlaku apabila ada dua pihak, satu sebagai tuan dan satu lagi sebagai hamba. Kalau tidak pernah dijajah, maknanya kita tidak pernah merdeka. Ini kerana hanya yang pernah dijajah sahaja yang akan merdeka. Kalau kita tidak merdeka kenapa memperingati ”ulang tahun kemerdekaan?”

Adakah semua ini bermakna kita tidak pernah dijajah, tetapi kesannya macam kita dijajah? Barangkali lebih baik kalau benar kita dijajah tetapi kesannya tidak seperti dijajah. Sekarang ini ada pihak menafikan kita dijajah. Okeylah. Kita bukan pakar sejarah. Tetapi yang kita tahu sebuah negara yang tidak dijajah ini macam kena jajah.

Hairan ya, kenapa Tunku berulang alik ke England kerana berunding untuk mendapat merdeka. Kalau tidak dijajah, perlukah Tunku ke England mengadah Queen? Atau Tunku saja pergi makan angin? Tokoh sejarah kena perjelaskan untuk apa pemergian Tunku ke England.


Monday, September 5, 2011

Tampilkan nama 100 pejuang merdeka


MENCARI seratus nama yang memperjuang kemerdekaan perlu dimulai sekarang. Selepas 54 tahun usia kemerdekaan, sekurang-kurang seratus nama mereka yang berjuang untuk merdeka perlu ditampilkan kepada rakyat.

Sebelum ini Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dilihat sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi sama ada Dato’ Onn atau Tunku, mereka tidak boleh berjuang sendiri tanpa gerakan daripada segenap sudut. Kerana itu sebelum sampai era Dato’ Onn dan Tunku, gerakan memperjuangkan kemerdekaan telah bermula. Golongan ulama, sasterawan dan wartawan sudah berkerja untuk merdeka sejak lebih awal lagi.

Kalau kita mempunyai senarai seratus nama tokoh pejuang kemerdekaan, kita tentu boleh melihat akar dan sejarah kemerdekaan secara lebih menyeluruh dan adil. Dalam perjuangan kemerdekaan, sumbangan golongan berhaluan kiri misalnya tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Ini kerana makna kiri ketika itu adalah gerakan penentang kepada penjajahan termasuk penjajah British.

Tokoh seperti Pak Sako, A. Samad Ismail, Said Zahari, Ahmad Boestamam, Syed Sheikh Al Hadi, Burhanuddin Helmi serta banyak tokoh ulama barangkali boleh disenaraikan dalam seratus nama pejuang merdeka. Kecenderungan mengangkat tokoh tertentu seolah-olah kita tidak sedar telah memadam sejarah. Sejarah tetap sejarah.

Ini membuatkan orang bertanya, apa halnya dengan pejuang yang lain? Adakah mereka tidak menyumbang sesuatu dalam perjuangan kemerdekaan sama ada secara langsung atau tidak langsung? Kita lebih melihat acara pengisytiharan kemerdekaan daripada orang yang menggerakkan kemerdekaan di peringkat rakyat. Tiga tokoh wartawan, Pak Sako, A. Samad Ismail dan Said Zahari hampir tidak pernah disebut pada acara mengenang kemerdekaan. Adakah mereka ini langsung tidak berjasa?

Sebenarnya usaha menyenaraikan seratus nama ini adalah langkah supaya tidak wujud kecenderungan memadam sejarah. Ini kerana kita seolah-olah diasuh melupakan perjuangan golongan kiri kerana fahaman politik di luar arus zaman penjajah. Generasi selepas ini perlu tahu sumbangan pejuang kemerdekaan selain Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. Sekurang-kurangnya kalau kita mempunyai seratus nama, kita akan melihat secara menyeluruh proses perubahan dari aspek sosial dan politik menuju kemerdekaan.

Tetapi kita hanya perlu mencari seratus nama, tidak kira siapa mereka termasuklah Tunku Abdul Rahman. Dalam kata lain, setiap penglibatan mereka menyumbang kepada satu gerakan perjuangan kemerdekaan.

Senarai ini bukanlah bertujuan menafikan sumbangan pihak atau tokoh tertentu tetapi mengingatkan nama-nama yang barang kali asing kerana kealpaan kita. Sejarah kemerdekaan jangan jadi seperti sejarah perfileman Melayu yang banyak nama terpadam kerana memberi laluan kepada P. Ramlee. Dunia perfileman Melayu telah memadamkan banyak tokoh besar dan ini tidak boleh turut berlaku dalam perjuangan kemerdekaan kerana generasi baru mempunyai banyak laluan untuk mengkaji sejarah. Biarlah dunia filem sahaja yang memadamkan nama Hussein Haniff dan Jamil Sulong untuk mengangkat P. Ramlee.


Kelab Putra 1Malaysia gila publisiti

<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE MicrosoftInternetExplorer4

Apabila melihat begitu ramai wakil media yang dibawa ke Somalia untuk membuat liputan Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Abdul Azeez Rahim sampaikan barang bantuan kepada rakyat Somalia, saya tertanya-tanya adalah ini satu perkelahan atau misi kemanusiaan? Untuk apa diberi liputan kerana penyampaian bantuan itu tidak perlu dihebah atau dihebohkan? Ia dihebah atau diheboh mungkin kerana di situ ada kepentingan untuk politik Abdul Azeez.

Pihak lain seperti Mercy bukan tidak pernah membawa bantuan kepada mangsa bencana atau perang di luar negara. Tetapi tidak pula membawa berpuluh wartawan untuk membuat liputan. Ini barangkali orang dalam Mercy tidak ada kepentingan politik. Matlamat Mercy untuk menyampaikan bantuan. Tetapi matlamat Abdul Azeez mungkin lain, antaranya hendak memberitahu rakyat Malaysia dia menjadi wira kemanusiaan di Somalia.

Orang selalu berkata, kalau tangan kanan memberi biarlah tangan kiri tidak tahu apa yang diberi. Tidak perlulah menghebah hebohkan kalau bantuan itu datang dari hati yang ikhlas. Nampaknya segala segi hendak dijadikan bahan meraih sokongan politik.

Isu terkorbannya seorang jurukamera Bernama TV tentulah ajal dan maut. Tetapi kalau Abdul Azeez tidak membawa wakil media orang pun tidak tahu Abdul Azeez membuat kerja-kerja amal di Somalia. Maka wakil media menjadi korban politik yang sebenarnya membuatkan orang semakin meluat kepada kecenderungan mengaut kepentingan politik cara begini.

Kalau Kelab Putra 1Malaysia hendak menyampaikan bantuan, mereka boleh pergi secara senyap tanpa publisiti yang melimpah ruah. Rakyat negara ini tidak perlu tahu apa yang kelab ini buat untuk membantu rakyat negara lain yang menderita.

Maka ini boleh dijadikan pengajaran, kalau hendak berbuat kebaikan di luar negara, tidak usahlah mempunyai agenda tersirat untuk kepentingan politik. Buatlah kerja dengan ikhlas sekalipun tidak ada sebaris berita tentang kerja itu.

Thursday, September 1, 2011

Bahasa Melayu dan merdeka

Saya pernah sampai ke negara Perancis, Itali dan Korea Selatan. Ketiga-tiga negara ini membuatkan kita menjadi bisu kerana mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris. Walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi negara mereka maju dan sektor teknologi juga maju.

Kita lupakan dulu Perancis dan Itali. Kita tengok Korea Selatan yang menggunakan bahasa Korea sebagai bahasa kebangsaan. Walaupun tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi industri kereta Korea Selatan menakluki dunia. Barang-barang elektronik Korea Selatan sampai ke negara kita.

Kalau mengikut teori sesetengah pemimpin kita bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu, Korea Selatan sudah tentu menjadi negara yang paling miskin sebab penguasaan bahasa Inggerisnya lebih teruk berbanding kita. Semua buku-buku dalam bahasa Korea, papan tanda dalam bahasa Korea dan mereka bertutur dalam bahasa Korea.

Tetapi kenapa agaknya membuatkan Korea Selatan menjadi lebih maju berbanding kita? Bahasa Inggeris kita hebat-hebat belaka. Sekarang khabarnya beratus-ratus guru bahasa Inggeris diimport dari United Kingdom untuk mengajar “bahasa ilmu” kepada rakyat negara ini.

Sesetengah pihak di negara ini kata, kalau mahu menguasai teknologi, kena mahir bahasa Inggeris sebab semua buku tentang teknologi dalam bahasa Inggeris, teknologi pula mesti diajar dalam bahasa Inggeris. Adakah ini menunjukkan orang Korea Selatan secara sembunyi-sembunyi belajar bahasa Inggeris?

Adakah ini menunjukkan orang Korea Selatan lebih faham apa itu bahasa kebangsaan berbanding orang kita? Mungkin orang Korea Selatan belajar dan mahir bahasa Inggeris tetapi mereka memartabatkan bahasa Korea hingga orang luar anggap mereka tidak pandai berbahasa Inggeris.

Sempena 54 tahun negara ini merdeka, pemimpin kita masih tidak percaya bahawa bahasa Melayu juga membolehkan kita menjadi Korea Selatan yang berjaya sebagai negara industri dan menguasai teknologi tinggi? Adakah kita merdeka sebenarnya kalau kepala otak pemimpin masih berkarat dan percaya hanya bahasa Inggeris boleh memajukan negara ini?

Semalam pejuang bahasa Melayu terakhir, Hassan Ahmad telah pulang menemui Illahi. Hassan Ahmad seorang yang mahir bahasa Inggeris tetapi beliau percaya bahasa Melayu adalah bahasa ilmu yang boleh memajukan negara ini. Kalau orang kata mereka yang berjuang mengangkat bahasa Melayu kerana tidak mahir bahasa Inggeris, itu adalah bohong sama sekali.

Hassan Ahmad tidak perlu memperjuangkan bahasa Melayu kerana semasa hayatnya beliau berjaya duduk pada kedudukan tertinggi hingga bertaraf duta. Hassan Ahmad tidak perlu membaca buku-buku Melayu kerana dia mahir bahasa Inggeris dan boleh saja menimba ilmu dengan membaca buku bahasa Inggeris.

Maka kalangan pemimpin yang berjuang memartabatkan bahasa Inggeris tidak perlulah berpura-pura menganggap kepulangan Hassan Ahmad sebagai satu kehilangan kepada negara. Kepada pemimpin jenis ini Hassan Ahmad sebenarnya tidak bernilai apa-apa. Hassan Ahmad mungkin menjadi bernilai kalau beliau turut memperjuangkan bahasa Inggeris seperti yang pemimpin kita lakukan sekarang.

Besar sungguh makna kemerdekaan kita kerana kalangan peminpin tidak sedikit pun rasa malu bertutut bahasa Inggeris kepada orang tempatan. Kalau tidak percaya rajin-rajinlah menonton televisyen dan lihatlah sendiri cara pemimpin kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Lebih baik Chua Soi Lek dan Samy Vellu yang berusaha bertutur dalam bahasa Melayu berbanding pemimpin Melayu sendiri.