Wednesday, September 28, 2016

Nilailah Zahid dengan adil


Saya mengikuti isu Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan kurang fasih berbahasa Inggeris ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)  ke 71  di New York baru-baru ini.  Tetapi saya  bukanlah orang yang tepat untuk menilai kefasihan  Zahid  kerana saya bukanlah arif dalam bahasa Inggeris.

Tanpa menyanggah atau menafikan hujah rakan-rakan  yang mengkritik kelemahan Zahid,  saya  mengakui  fasih adalah satu hal penting tetapi yang lebih penting isi pemikiran atau hujah yang dilontarkan  oleh sang orator. 

Apakah kita akan berbangga sekiranya pemimpin kita yang sangat fasih berbahasa Inggeris tetapi hujah-hujahnya   tidak memperlihatkan pemikiran seorang tokoh?  Kelemahan di segi penuturan boleh dilatih. Tetapi untuk mempunyai pemikiran dan  gagasan idea yang besar, prosesnya bukan saja panjang malah  tidak mudah.

Saya  sengaja tidak mahu menjadikan alasan banyak pemimpin dunia yang lain juga teruk penguasaan bahasa Inggerisnya.  Hal itu  barangkali kesengajaan mereka tidak mahu memahirkan  diri berbahasa Inggeris kerana mahu merendahkan bahasa itu.

Pemimpin  Korea, Jepun atau  Perancis juga menutur   sebutan bahasa Inggerisnya ada nuansa bunyi  bahasa ibunda.  Mereka peduli apa.  Orang Perancis sangat berbangga dengan bahasa mereka, begitu juga Korea atau Jepun.  Samalah juga dengan dasar negara-negara berkenaan untuk tidak menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi menjadi negara industri yang jauh lebih maju berbanding kita yang ada program khas memperkasa bahasa Inggeris.

Memang benarlah apabila kita bertutur  sesuatu bahasa,  kita wajib memurnikan bahasa itu dari semua aspek termasuk tatabahasa dan sebutan.  Tetapi  peliknya orang Melayu tidak pernah merasa terhina  apabila orang luar atau pemimpin sendiri  tidak fasih berbahasa Melayu. 

Apabila berada dalam dua keadaan,  satu  tidak fasih tetapi hujahnya bernas dan  kedua,  tidak fasih  ditambah  hujahnya mengarut, melalut dan melaut.  Saya fikir kita patut  merasa lega apabila Zahid setidak-tidaknya hanya kurang fasih tetapi hujah dan retorikanya diyakini.

Tidak wajarlah  kelemahan  Zahid kurang fasih berbahasa Inggeris  ini  tidak boleh dijadikan penanda aras  seorang pemimpin.  Zahid  wajar dinilai  dengan adil misalnya  dalam kurang fasih  berbahasa Inggeris beliau  antara orator yang tidak boleh diperkecilkan.  Maknanya kita boleh menilai kelebihan-kelebihan  yang lain untuk menilai seseorang pemimpin.

Zahid  tentulah jauh kalau mahu dibandingkan dengan ketrampilan  Anwar Ibrahim sebagai seorang orator.  Hakikat ini sukar untuk dinafikan.  Tetapi  Zahid jauh lebih  hebat berbanding  Najib Razak atau Abdullah Ahmad Badawi.

Isu Zahid ini juga perlu membawa kita beralih ke negara sendiri,  tanyalah  berapa kerat pemimpin yang memilih bercakap bahasa Melayu dengan betul ketika di depan khalayak?   Tidak usahlah tanya bab  memurnikan bahasa Melayu, itu sudah terlalu jauh.  Cukuplah  kalau mereka tidak melintang pukang bahasa kebangsaan. 

Ini tidak, sudahlah bahasa Melayu tunggang langgang,  (untuk bukti sila tonton TV3)  hujah yang dilontarkan pula  hampas.  Inil juga  patut ditegur atau "diserang"  untuk menyedarkan pemimpin-pemimpin berkenaan.

Saya  realistik dan tidak meminta pemimpin-pemimpin kita bertutur dalam bahasa Melayu tinggi seperti  Penasihat Sosiobudaya Kerajaan,  Dr. Rais Yatim.  Kalau hendak menunggu tahap Dr. Rais,  susah hendak jumpa pada masa terdekat ini.  Sepatutnya begitu,  kalau tidak jangan jadi pemimpin yang memimpin semua hal termasuk berbahasa.

Walaupun begitu Dr. Rais harus dijadikan contoh dan semua pemimpin berusaha untuk mencapai  tahap pemurnian bahasa Melayu  dalam ucapan-ucapan  atau  percakapan kalau tidak lebih tinggi setaraf Dr. Rais sudah mencukupi.

Maknanya  mengambil endah  dan menegur pemimpin  yang tidak fasih berbahasa Melayu  juga menjadi tanggungjawab rakyat.  Rasanya tidak adil kalau Zahid diserang kerana tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi  merelakan pemimpin tempatan  tidak fasih berbahasa Melayu.





Monday, September 26, 2016

Surat terbuka kepada Yang Berhormat


Apakah kenyataan politik  yang bertalu-talu di media arus perdana (akhbar dan televisyen)  oleh para pemimpin politik dapat meredakan resah dan gundah gulana  kami rakyat jelata  tentang masa depan ekonomi dan kesejahteraan hidup? 

Setahu kami  Tuan Yang Berhormat  tidak kira Menteri atau Timbalan Menteri dilantik selepas mendapat mandat daripada rakyat melalui kerusi Parlimen.  Kamilah rakyat yang memilih  Tuan-Tuan semua.  Kalau kami tidak memilih, Tuan Yang Berhormat tidak berada di situ.

Rakyat memilih Ahli Parlimen  di kawasan masing-masing dengan harapan kalau bernasib baik   Tuan Yang Berhormat  dapat menganggotai Kabinet.  Tidak kiralah Menteri atau Timbalan Menteri.  Kalau tidak terpilih dalam Kabinet pun  kami  mengharapkan Ahli Parlimen yang dipilih bercakap hal-hal rakyat.

Tetapi  sejak akhir-akhir ini  Tuan-Tuan  Yang Berhormat pemimpin politik kerajaan  lebih banyak berhujah, membelasah dan mempersenda  parti  saingan di media arus perdana.  Maaflah Tuan Yang Berhormat,  kami tidak mahu menjadi penonton  aksi pemain politik.

Tuan Yang Berhormat  patut sedar tanggungjawab sebagai anggota Kabinet. Tua Yang Berhormat  perlu    banyak bercakap perihal porfolio masing-masing  yang berkaitan dengan hal ehwal  kami sebagai rakyat, bukannya bercakap perihal politik. 

Memang semua maklum  bahawa Tuan Yang Berhormat adalah  pemain politik.  Makan Tuan Yang Berhormat adalah makan politik.  Mimpi Tuan Yang Berhormat juga mimpi politik. Tetapi berpada-padalah  berpolitik kerana  dalam manifesto parti,  yang tercatat adalah khidmat kepada rakyat.  Tidak tercatat kerja serang menyerang parti lawan hingga lupa tugas yang hakiki.

Cuma beberapa orang sahaja yang selepas memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri lebih banyak berkerja daripada berpolitik.  Lebih banyak mengeluarkan kenyataan tentang keadaan ekonomi semasa daripada  berbalas hujah dangkal di kandang politik.

Tentu sukar untuk kami  menafikan  Menteri Kewangan 11, Johari Abdul Ghani misalnya lebih banyak berkerja daripada berpolitik.   Bila kali terakhir Johari meberikan kenyataan politik  yang menyerang dan mempersenda lawan?  Tentu  tergagau juga untuk mengingati kerana  Johari bukan seperti  Menteri  Komunikasi dan Multimedia,  Salleh Said Keruak yang lebih banyak menyerang parti lawan,  malah sudah  setaraf  panglima.

Begitu juga bekas Menteri Kewangan  11,  Ahmad Husni Hanadzlah yang lebih banyak berkerja  dalam ruang tugas berbanding berpolitik di media arus perdana.  Tetapi pemimpin yang begini tidak banyak dalam kerajaan. Barangkali disebabkan  Tuan Yang Berhormat  tidak boleh memisahkan kedudukan sebagai pemain politik dan pemimpin  kerajaan yang  berkhidmat kepada rakyat.

Sebagai rakyat  yang sebulan gaji hanya sama dengan sepasang kasut Menteri,   kami  merasa  telah diabaikan oleh  pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan.  Kami  berdepan dengan kenaikan harga barang yang tidak masuk akal,  kami juga terpaksa menanggung  Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Anak-anak kami berdepan dengan peluang pekerjaan yang menirus malah  yang punyai pekerjaan pun tidak terlepas  risiko  diberhentikan kerja kerana masalah ekonomi.  

Anak-anak kami yang mendapat  peluang melanjutkan pengajian ke luar negara juga terpaksa melupakan peluang itu apabila agensi seperti Mara  mengecilkan jumlah pelajar yang diberikan pinjaman.   Kami sedar ini bukan salah Mara tetapi  kami hendak tahu apakah  langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Kenyataan-kenyataan  dangkal  Tuan Yang Berhormat menyerang dan mempersenda bekas Perdana Menteri,  Dr. Mahathir Mohamad misalnya  tidak memberikan pencerahan kepada kami rakyat jelata yang terumbang ambing dalam bahtera yang "membuka layar tetapi sauhnya dilabuhkan."  Tidak ke mana-mana.

Kami tidak mahu tahu samada  parti  Tuan Yang Berhormat  tergugat atau tidak dengan pembangkang.  Kami juga tidak mahu tahu pembangkang terdesak atau tidak. Itu bukan urusan yang akan mengubah masa depan kami.  Itu urusan  Tuan Yang Berhormat  dan jangan khabarkan kepada kami di media arus perdana.  Kami sudah muak mendengar dan membacanya.

Tuan Yang Berhormat  jeritkanlah di pentas-pentas  politik kerana  yang  pergi ke situ   adalah mereka yang berminat dan ada kepentingan dengan hidup mereka.

Lagi pula apa perlunya  Tuan Yang Berhormat  berpolitik hingga lupa  "siang dan malam"  dan  lupa tanggungjawab kepada rakyat kerana  Tuan Yang Berhormat  juga  yang sangat yakin  parti  Tuan Yang Berhormat  tidak tergugat sedikit pun dengan  serangan pembangkang. 

 Nah,  Tuan Yang Berhormat  dengan mudah  boleh   mempertahankan status quo  menjadi  parti kerajaan di negara ini.  Kami mengharapkan  Tuan Yang Berhormat  mengendahkan kami  sebagai rakyat jelata.   Kami tidak mahu tahu atau ambil tahu perihal  parti  Tuan Yang Berhormat.  Itu bukan kepentingan kami.



Friday, September 23, 2016

Ciri-ciri pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang



Turki  adalah sebahagian daripada Empayar Constantinople ditawan Kerajaan Uthmaniyyah pada tahun 1453 yang dipimpin oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Sejak itu Turki berada di bawah sistem monarki Kerajaan Uthmaniyyah hingga digulingkan oleh Kamal Ataturk tahun 1923.

Banyak iktibar daripada penggulingan ini antaranya selepas 500 tahun Sultan Muhammad al-Fatih 'mengislamkan' Turki daripada Kristian, sultan-sultan selepasnya yang memerintah Turki moden pada abad ke-19 sudah lupa kepada tanggungjawab.

Siapa Sultan Muhammad al-Fatih? Difahamkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi Muhammad  SAW bersabda: "Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera."

Para sarjana Islam dan ulama merujuk hadis itu kepada kelahiran Sultan Muhammad al-Fatih lebih kurang 800 tahun selepas itu. Ini kerana ciri-ciri 'raja yang sebaik-baik raja' ada pada anak muda yang menakluki Constantinople pada usia 21 tahun itu.

Dengan kekuatan bala tentera lebih kurang 150,000 orang, khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah ini membuktikan usia bukan penentu sesuatu kejayaan, apa lagi perjuangan membebaskan Islam.
Sultan Muhammad al-Fatih dilahirkan pada 30 Mac 1432 dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 berjaya menghancurkan Empayar Byzantine dan menduduki takhta pemerintahan selama 30 tahun.
Baginda bukan sahaja mengangkat martabat Kerajaan Islam Uthmaniyyah tetapi juga memuliakan Islam walaupun tidak ditugaskan sebagai ketua agama Islam di Constantinople.

Selepas menawan Constantinople, baginda menjadikan sebuah gereja terbesar, St. Sophies yang dibina tahun 537 Masehi sebagai masjid dan diberi nama Hagia Sophia. Masjid ini sejak sekian lama menjadi simbol kejayaan Islam dan juga bukti seorang sultan yang melangsungkan tugas menjaga agama Islam dengan penuh amanah dan ikhlas.

Inilah ciri-ciri pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang atau dijatuhkan waima melalui sistem demokrasi moden pada masa ini.  Bagaimanapun tidak semua pemimpin Islam mempunyai ciri-ciri  Muhammad  al- Fatih.

Kerana itu jangan keliru dengan saranan sesetengah alim ulama yang dipetik sekerat-sekerat oleh media bahawa pemimpin Islam tidak boleh ditentang atau diturunkan.  Media berkenaan tidak menyiarkan saranan penuh tentang ciri-ciri pemimpin Islam yang tidak boleh ditentang.

Media yang dikuasai oleh puak tertentu hanya memetik saranan yang selari  kepada kepentingan mereka tetapi membuang  bahagian-bahagian yang tidak menguntungkan mereka.
Alim ulama ini sudah menjadi mangsa demi kepentingan puak-puak tertentu untuk menyelamatkan pemimpin Islam yang  tidak mempunyai ciri-ciri Al Fateh. 

Lihatlah, Kamal Ataturk pun pemimpin Islam Turki.  Tetapi  Kamal Ataturk  seorang sekularis  Islam yang merosakkan Islam di Turki.  Islam di Turki mengalami kerosakkan yang sangat parah.
Rasuah dan salah  guna kuasa berleluasa dilakukan oleh pemimpin Islam di Turki dan juga di negara-negara lain yang berstatus negara Islam dan diterajui oleh Islam. Tetapi tahap  amanah  mereka berada jauh di bawah pemimpin negara-negara bukan Islam. Adakah pemimpin begini tidak boleh ditentang hanya kerana dia seorang Islam?


Saturday, August 20, 2016

JASA AHMAD BOESTAMAM DIPADAM




Buku  Memoir Seorang Penulis ini  lebih 30 tahun berada dalam perpustakaan mini saya. Semalam saya mengulang baca buku yang ditulis oleh salah seorang pejuang kemerdekaan  Abdullah Thani Raja Kecil (Ahmad Boestamam). Buku nipis ini diterbitkan oleh DBP pada 1979.

Memoir Seorang Penulis merupakan sebuah  catatan ringkas secebis daripada pengalaman panjang  Boestamam dalam kewartawanan, kesusasteraan dan politik. Walaupun ringkas memoir ini memperjelaskan sosok pemikiran dan perjuangan Boestamam untuk memerdekakan negara dengan wadah kewartawanan,  kesusasteraan dan politik.

Perjuangan politik Boestamam  bermula  pada tahun 1940-an  dan menyertai badan-badan politik Melayu bergabung menentang Malayan Union di sekitar tahun 1945 dan 1946. Beliau mengetuai API (Angkatan Pemuda Insaf) cabang pemuda sayap kiri.

Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buroh sebagai ’Socialist Front’. Hasilnya  beliau memenangi pilihan raya bagi Parlimen Setapak pada 1959. Sungguhpun demikian kejayaan  itu menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Pada tahun 1941 beliau ditahan di bawah akta keselamatan tetapi dibebaskan sebaik sahaja Jepun menguasai Malaya.  Kemudian ditahan semula pada 1948  hingga 1955  ekoran  pengharaman  API  oleh penjajah. Pada tahun 1963 hingga  1967 beliau dipenjarakan sekali lagi kerana dituduh menyokong pemberontakan Brunei dan membantu Indonesia melancarkan konfrantasi ke atas Malaysia.

Boestamam  dalam konteks hari ini adalah pejuang kemerdekaan yang dipadamkan dari sejarah  kemerdekaan negara.  Bukan sahaja Boestamam malah tokoh seperti  A. Samad Ismail, Pak Sako,  Said Zahari  dan Ibrahim Yaacob juga ikut terpadam.  Demikianlah apabila sejarah ditulis dengan penuh prasangka dan dendam  oleh pihak yang menang

Saya tidak pasti adakah semua nama-nama ini dipadamkan dari sejarah kemerdekaan kerana mereka bukan dari  UMNO.  Memang benar mereka bukan UMNO tetapi perjuangan  untuk memerdekakan negara.  Kalau  sang pencatat sejarah  berjiwa besar sudah tentu mereka tidak memadamkan nama musuh politik  yang pernah menyumbang untuk negara.

Boestamam seorang yang luar biasa,  pada usia 16 tahun beliau  diberi kepercayaan menulis pojok sebuah akhbar mingguan dan pada usia 19 tahun menjadi  timbalan pengarang sebuah akhbar. 

Saya memiliki buku ini  sebelum  menyertai dunia kewartawanan di Utusan Melayu tahun 1984.  Secara kebetulan dalam satu bab buku ini Boestamam menulis tentang pengalaman  berkerja di Utusan Melayu  dan pengalaman pahit diarahkan  meninggalkan Utusan  oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman. Sebabnya Boestamam memilih menulis suatu yang benar walaupun tidak disukai oleh Tunku.

Tulis Boestamam:
Melan Abdullah datang menemui saya menyuruh saya memilih satu di antara dua - saya menulis surat meletak jawatan atau menunggu Utusan Melayu membuang saya dengan notis 24 jam. Saya memilih menulis surat meletak jawatan kerana saya tidak mahu orang menyangka saya begitu bergantung kepada Utusan."

Memoir nipis ini sebenarnya sangat mengharukan sekaligus menginsafkan.  Ketika  menikmati  kemakmuran dan kesenangan  hasil daripada kemerdekaan pejuangnya   kita padam,  lupa dan benam  dari sejarah.  Kejamnya kita.

Thursday, August 11, 2016

Sabun cap UMNO dan ikan kepala busuk


Telinga aku sebenarnya sudah lama bengkak apabila pemimpin politik secara klise mengajak rakyat "setia" kepada parti.  Lepas  "setia" kepada parti "setia" pula kepada Presiden.  Jadi, aku pun tertanya-tanya kenapa tidak "setia" kepada siapa yang membawa ke jalan kebenaran?

Hangpa toksah cakap pasal kesetiaan.  Istilah ini tidak membawa makna apa-apa kecuali ada perkataan selepas kesetiaan itu diucapkan.  Kalau hangpa nak tau penyamun mata satu pun setia.  Depa setia kepada ketua yang hebat menyamun, kebal dan licik. 

Itu  bertuhankan kepada parti dan ketua.  Itu dah menyeleweng daripada hakikat berparti dan berjuang dengan parti.  Setia dan kesetiaan tidak boleh melulu  waima yang membawa kita ke longkang.  Setia melulu ibarat yang pandai memperkudakan yang tolol.

Tetapi adakan kita boleh buat kira dengan kesetiaan penyamun kepada ketuanya?  Dah tentu tidak boleh ambil kira.  Sebab kesetiaan para penyamun itu tidak membawa kepada kebenaran.  Maka tidak setia adalah lebih mulia daripada terus setia.

Dalam politik hangpa toksah  setia melulu.  Kalau hangpa terus setia kepada parti, kepada  Presiden, itu maknanya hampa tidak menggunakan kelebihan akal yang diberikan kepada manusia.  Hidup kita ini perlu setia kepada perbuatan atau tindakan yang membawa kepada kebenaran.  Kalau tak tau mana  yang benar dan tak benar, baca.

Banyak membaca. Pelbagaikan sumber  untuk dibaca. Jangan terperangkap dengan sumber yang dibaca.  Daripada situ kita akan mendapat petanda yang menunjukkan mana satukah  yang menuju kebenaran.  Misalnya depa dok kata jangan bagi ruang kepada kuasa asing campur tangan dalam negara kita.

Itu aku sangat setuju. Sebab itu aku sokong Dr. Mahathir yang masa dia jadi Perdana Menteri  tak sekalipun  Presiden Amerika dijemput datang ke negara ini.  Presiden Amerika tak datang macam kita pi  melawat  pak penakan kita.  Tak ada agenda depa tak datang.  Lepas tu dua kali menatang kedatangan  Presiden Amerika,  tiba-tiba kata jangan bagi ruang campur tangan asing.  Hangpa cakap bahasa apa ni?

La ni ada parti baru nama dia BERSATU.  Apa susah masuk dan sokong sajalah bila mengundi nanti.  UMNO?  Jangan dok risau pasai UMNO.  Ingat,  jangan bertuhankan parti atau Presiden.  Kalau parti  baru menawarkan lebih baik dari UMNO (yang  merelakan  integriti  dilempar ke tepi)  pilih saja yang baru.

Hangpa jangan terasuk dengan saranan supaya memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti.  Itu mengarut.  Itu mengarut tahap gaban.  Hanga kena berkata, "Ya  kami memberi  kesetiaan yang tidak berbelah bagi malah sanggup mati  demi parti  tapi dengan syarat yang  menuju kebenaran."   Memang benar  UMNO (dulu-dulu)  berjuang untuk rakyat hingga merdeka.  Bagaimanapun UMNO memadamkan perjuangan daripada golongan ulama, guru,  wartawan dan sasterawan.  Depa mendabik dada pada setiap  31 Ogos  "kununnya"  UMNO sajalah memperjuangkan kemerdekaan.  Tak apalah, sejarah  ditulis oleh yang menang (UMNO)  tetapi kebenaran sejarah tidak pernah berubah.

Tapi itu UMNO  (dulu-dulu).  Tak malukah UMNO (sekarang) menenggek di atas UMNO (dulu-dulu).  Hangpa dalam UMNO la ni dok buat apa?  Takkan dok julang Presiden 24 jam atau 365 setahun?  UMNO dulu gagasannya bebaskan tanah air,  takkan pula hangpa dalam UMNO setakat nak bebaskan Presiden?  Lagipun Presiden tak bersalah,  apa yang dok kalut jaga dia. Dia okey saja,  hangpa pula yang tak berapa okey.

Aku nak bagitau hangpa parti politik ni macam sabun basuh kain.  Kalau zaman mula-mula merdeka dulu  kita pakai sabun  cap UMNO misalnya.  Tetapi bukanlah sepanjang zaman kualitinya sama. Ia berubah menjadi lebih baik dan mungkin lebih buruk terletak kepada siapa pembuatnya. Memanglah dulu sabun  cap UMNO hebat.  Tetapi sekarang sabun cap UMNO  jangan kata nak tanggal  baju terkena getah nangka,  daki  pun tak tanggal. 

Adakah kita akan terus menggunakan sabun cap UMNO padahal kita ada sabun pilihan lain yang menjanjikan kualiti lebih baik.  Kalau tidak percaya pun setidak-tidaknya cuba dulu  sekali dua.  Kemudian kita kaji siapa pembuatnya.  Kita bandingkan dengan sabun lama kita.

Kalau hangpa terus setia kepada sabun  cap UMNO,  aku rasa hangpa telah menganiaya dan tidak berlaku adil kepada diri sendiri.  Hangpa telah berlaku tidak adil kepada akal  yang sewajarnya memberikan hangpa membuat pilihan yang bijak.

Aku bukan ahli mana-mana parti.  Tapi kalau hangpa tanya aku,  parti baru memberikan hangpa pilihan.  Hangpa kena buat pilihan dengan akal yang waras.  UMNO  sikit tak heran dengan parti  baru,  depa semua tu dah hebat sangat dah.

Tetapi tugas hangpa  nilai "kepala"  kedua-dua parti, UMNO dan parti  baru. Hangpa nilailah sendiri,  malas aku nak tolong suap kat hangpa.

Orang bijak pandai  ada berkata,  ikan busuk di  kepala dulu, lepas tu baru merebak ke badan kemudian ke ekor.  Apa maknanya kata-kata orang bijak pandai ini?  Maknanya kalau "kepala" telah rosak,  kalau tidak dipotong kepada seluruh badan ikan akan ikut busuk.  La ni hangpa dok sayang kepala ikan  dan biar sekoq ikan langsung tak boleh makan?

Hangpa dok tanya lagi apa sebenarnya yang aku nak cerita?  Hangpa pikirlah sikit.  Rajin-rajinkan guna akal fikiran.  Aku malas nak suap kat hangpa semuanya.  Kalau hangpa terus buat macam ni,  senanglah  orang cerdik keldaikan hangpa.

Wednesday, July 27, 2016

Kambing hitam terbaru akan dikorbankan

(Peringatan: Ini bukan rencana politik)

Saya fikir Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun  tidak mempunyai keberanian untuk bertindak sebelum mendapat isyarat daripada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Najib Razak.  Saya  sama sekali tidak fikir sikap pemimpin bawahan UMNO berani melangkau ketua.  Mereka sanggup mempertahankan ketua tetapi tidak sanggup mempertahankan kebenaran.

Semalam Khairul dengan diiringi beberapa juaknya telah membuat laporan polis terhadap tiga  bekas pegawai tinggi kerajaan kononnya berkomplot dengan pihak luar untuk menggulingkan Najib.  Mereka yang dituduh oleh Khairul ialah bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail,  bekas Gabenor Bank Negara Zeti Aziz dan Ketua Persuruhjaya SPRM  Abu Kassim Mohamad.

Khairul bukan sahaja mendapat isyarat daripada Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin tetapi yang lebih signifikan ialah isyarat daripada Najib. Ini kerana mereka bertiga menganggotai pasukan yang menyiasat 1MDB tetapi kemudianya dibubarkan.  Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar yang kelihatan "mesra"  arus perdana tidak termasuk dalam senarai laporan polis.

Tentu kita masih ingat budak yang sama juga yang mendesak kerajaan menarik balik kemudahan yang dinikmati Tun Dr. Mahathir di Yayasan Perdana kerana kerana mengkritik Najib.  Tidak lama selepas itu  "Majlis Tertinggi"  mengambil ketetapan menutup Yayasan Perdana.  Siapa yang menguasai keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  kalau bukan Amerika.  Siapa yang menguasai keputusan MT kalau bukan Presiden.  Maaflah saya tidak fikir MT berani menyanggah arahan Najib.

Perkara ini (laporan polis) adalah suatu yang terancang. Buktinya sebaik sahaja Pemuda UMNO membuat laporan polis  cybertrooper pro Najib dengan cepat memuat naik komen-komen yang menyokong  tindakan itu dan mencaci ketiga-tiga pegawai tinggi berkenaan.

Ini pasti akan disusul kemudian dengan reaksi daripada pemimpin-pemimpin  UMNO  yang menyeru supaya pihak berkuasa membuat siasatan ke atas ketiga-tiga  tokoh ini.  Tidak cukup pemimpin tinggi UMNO  komen juga akan datang daripada "entah siapa-siapa" asalkan menyokong tindakan Pemuda UMNO.

Ironinya, ketiga-tiga pegawai tinggi yang dituduh oleh Pemuda UMNO sebagai dalang mengguling Najib sudah terbukti individu yang berintegriti tinggi.  Tetapi ketiga-tiga jabatan yang mereka terajui telah dikacau oleh tangan-tangan ghaib;  pertukaran aneh Peguam Negara,  pemindahan paling tidak masuk akal dua pengarah SPRM yang menyiasat 1MDB  dan serangan kepada Zeti.

Saya juga mempunyai  kebimbangan bahawa ketiga-tiga mangsa politik kotor ini dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang menafikan peluang mengemukakan bukti. Saya selari dengan  kebimbangan peguam Syahredzan Johan sekiranya mereka bertiga  akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang membolehkan penahanan awal sehingga 28 hari tanpa bicara.  Kita jangan lupa bahawa tuduhan ini adalah berat.

Pada Rabu  lalu Najib telah menjadi tumpuan dunia apabila Jabaran Kehakiman Amerika (DOJ)  mengambil tindakan menyita aset dua rakyat Malaysia,  Riza Aziz (anak tiri Najib) dan Jho Lo  seorang Cina dari Malaysia serta dua individu yang bernilai lebih AS1 bilion.  Mereka dituduh mengambil wang daripada 1MDB,  syarikat pelaburan negara yang terlibat dalam skandal kewangan.

Pada umumnya pendirian  UMNO ialah menafikan keempat-empat tertuduh melarikan wang milik 1MDB.  Ini dapat dilihat pada reaksi pemimpin-pemimpin tinggi UMNO yang cuba menyalahkan DOJ  dan yang paling kelakar berhujah mempertikaikan  kewibawaan Peguam Negara Amerika Loretta Lynch.  Kemudian mereka mengalih tumpuan kononnya Amerika mencampuri hal ehwal negara ini.  Mereka tidak terangkan kepada rakyat bahawa Amerika hanya mengambil tindakan perbuatan yang diakukan di Amerika bukan di Malaysia.

Pemimpin-pemimpin tinggi  UMNO juga tidak menerangkan kepada rakyat tindakan mereka melindungi  Riza Aziz dan Jho Lo,  seolah-olah dari awal lagi kedua-dua ini dianiaya oleh Amerika.  Amerika bukanlah baik tetapi dalam isu ini  UMNO sepatutnya berterima kasih kepada Amerika kerana berusaha memulangkan wang yang dicuri.

Kepada rakan-rakan yang memperjuangkan kebenaran,  saudara-saudara perlu menerangkan kepada rakyat bahawa ketiga-tiga tokoh yang dituduh mempunyai rekod integriti yang tidak boleh dinafikan lagi.  Mereka adalah kambing hitam terbaru dalam episod drama 1MDB.  Adakah kita rela melihat mereka yang menjunjung integriti  ini teraniaya?   Adakah kita lebih bersimpati kepada Riza Aziz dan Jho Lo berbanding  Gani Patail,  Abu Kassim dan Zeti Aziz?